Awan panas luar biasa
Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
SEBAGAI pengarang kanan yang mengetuai pasukan laporan khas portal berita Vivanews.com, jiwa wartawan Yuniawan Wajyu Nughroho untuk memperoleh rencana-rencana eksklusif sentiasa membara. Ketika Yogyakarta berdepan dengan ancaman letusan Gunung Merapi, Yuniawan enggan ketinggalan mendapatkan bahan-bahan menarik.
Empat tahun lalu Yuniawan pernah mewawancara warga emas yang dianggap sebagai penjaga Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83. Kali ini dia mahu bertemu semula dengan lelaki tersebut yang dianggap oleh ramai penduduk sebagai seorang yang boleh meramal letusan Merapi.
Namun, Yuniawan mungkin tidak menyangka bahawa petang Selasa lalu adalah perbualan terakhirnya dengan pengarangnya, Nezar Patria yang sempat menghubungi beliau. Nezar mengingatkan Yuniawan supaya berhati-hati dan meninggalkan kawasan terbabit sekiranya mendengar siren kecemasan.
Sekitar pukul 7 malam, seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Rini Soegiharto memaklumkan kemungkinan Yuniawan dalam kebahaya.
Menurut Rini, perbualannya dengan Yuniawan sekitar pukul 6 petang terputus. Rupa-rupanya itu adalah panggilan telefon terakhir Yuniawan.
Kira-kira pukul 10.42 malam, Vivanews menerima panggilan daripada seorang tenaga kerja Pusat Pengurusan Bencana yang melakukan pencarian mangsa letusan Gunung Merapi. Mereka menemui kad pengenalan Yuniawan. Beliau disahkan sebagai salah seorang mangsa korban yang ditemui di rumah Mbah Maridjan.
Debu-debu volkanik
Selain orang ramai, wartawan Yuniawan merupakan salah seorang yang menjadi mangsa korban Merapi. Sejak beberapa hari lalu, awan panas dan debu-debu vulkanik dimuntahkan gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, yang memaksa ribuan penduduk yang tinggal di lereng-lereng gunung itu berpindah mencari tempat perlindungan.
Perkampungan di sekitar lereng gunung berapi yang dahulunya menghijau dengan tanaman pertanian yang subur telah berubah wajah menjadi kelabu apabila diselimuti debu-debu vulkanik.
Bahkan, letusan Gunung Merapi tersebut mencetuskan rasa panik di kalangan penduduk setempat yang ingin mendapat perlindungan daripada debu-debu vulkanik dan awan panas yang melanda kawasan penempatan mereka.
Gunung Merapi dengan ketinggian 2,968 meter meletus selepas para saintis memberi amaran tekanan di bahagian bawah kubah lahar gunung tersebut akan menghasilkan letusan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.
|
|
| SUKARELAWAN mengangkut mayat-mayat yang menjadi mangsa awan panas Gunung Merapi. |
Ketua daerah Sleman di Pulau Jawa, Sri Purnomo berkata, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada kira-kira 11,400 penduduk yang tinggal di selatan lereng gunung itu supaya bersedia untuk pemindahan segera.
Terdapat kira-kira 40,000 penduduk yang menetap berhampiran gunung paling aktif di Indonesia itu bahkan penduduk itu sebelum ini enggan meninggalkan rumah dan tanaman mereka.
Kebanyakan penduduk tempatan juga dipercayai masih menjalankan aktiviti harian mereka seperti mengusahakan ladang dan memberi makan haiwan ternakan sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.
Sri Purnomo berkata, khemah-khemah untuk penduduk yang dipindahkan telah didirikan di bangunan-bangunan kerajaan dan beberapa padang sukan lebih 10 kilometer (km) dari kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua ahli vulkanologi, Subandriyo berkata, letusan itu berlaku sebelum waktu senja.
Sebelum letusan berlaku, gunung itu terlebih dahulu telah mengeluarkan bunyi menderam dan asap tebal selama beberapa jam.
“Kita dapat mendengar bunyi deraman yang sangat kuat bagaikan badai selama beberapa ketika. Kemungkinan bunyi berkenaan berlaku selama 15 minit.
“Selepas itu kelihatan kepulan debu panas besar mula dikeluarkan ke udara dari Gunung Merapi,” kata seorang petani yang masih belum meninggalkan rumahnya di kawasan cerun gunung berapi itu ketika ia meletus.
Muntahan awan panas
Penduduk setempat juga memaklumkan bahawa mereka ada terbau belerang yang sangat kuat sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.
“Tenaganya meningkat... kami berharap ia akan reda perlahan-lahan.
“Jika tidak kita akan melihat satu letusan yang besar, lebih besar daripada apa yang kita lihat semasa ia meletus beberapa tahun lalu,” kata ahli vulkanologi kerajaan, Surono.
Dalam pada itu, pegawai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Vulkanik Yogjakarta (BPPTK), Agung Nandaka berkata, sukar bagi penduduk yang berada lima kilometer dari puncak gunung berkenaan untuk berpindah sebelum berlaku muntahan awan panas.
“Ini kerana ia panas dan mempunyai kelajuan yang luar biasa,” katanya.
Sementara itu, seorang bayi berusia dua bulan telah terkorban dalam letusan berkenaan, manakala 20 lagi cedera apabila gunung itu mula meletus.
Bayi tersebut yang tidak diketahui jantinanya mati semasa didukung ibunya ketika orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.
Stesen televisyen swasta, Metro TV melaporkan, mayat bayi itu telah dihantar ke hospital berdekatan.
Seorang wartawan agensi berita berkata, kebanyakan yang cedera akibat terkena debu panas yang dihamburkan oleh Gunung Merapi melecur teruk.
Selain itu, pasukan penyelamat telah menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah Mbah Maridjan di Cangkringan daerah Sleman. Mbah Maridjan merupakan Jurukunci Merapi sejak awal tahun 1980-an.
PENDUDUK kampung yang terjejas akibat letusan Gunung Merapi beratur untuk mendapatkan makanan.
Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia disebabkan melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik.
Bagaimanapun, pasukan penyelamat enggan mengesahkan mayat Jurukunci Merapi berkenaan adalah antara 15 mayat yang ditemui sehingga hasil ujian asid deoksiribonukleik ( DNA ) diperoleh.
Puluhan ternakan lembu penduduk kampung di lereng gunung Merapi juga ditemui mati.
Merapi yang membawa erti Gunung Api biasanya mengalami letusan-letusan kecil pada setiap dua atau tiga tahun dan akan mengeluarkan laharnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.
Kali terakhir gunung berapi berkenaan meletus adalah pada tahun 2006 apabila ia mengeluarkan gas dan serpihan batu menyebabkan dua orang terkorban.
Pada tahun 1994, letusan Gunung Merapi lebih dahsyat berbanding tahun 2006 apabila ia mengakibatkan 60 orang maut.
Pada tahun 1930, ia telah mengorbankan 1,300 orang manakala lebih satu dozen perkampungan musnah.
Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, lokasi terletaknya pertemuan lapisan-lapisan benua yang menyebabkan kekerapan berlaku aktiviti seismik dan gunung berapi. Negara itu dikatakan mempunyai lebih 120 buah gunung berapi yang aktif.
Sistem pendidikan kita ketinggalan
Oleh Ruhaiza Rusmin
SOKONGAN...jangan ada pandangan skeptikal atau diskriminasi kepada pelajar, bagi yang lemah, masih ada cara untuk membantu asalkan tahu kaedahnya.
TUNJUK KEBOLEHAN...setiap pelajar ada keupayaan tersendiri, justeru kelas mengikut aliran boleh diwujudkan.
AKHIRNYA persoalan sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuh atau dikekalkan terjawab apabila kerajaan mengumumkan kedua-dua peperiksaan itu menggunakan format baru mulai 2016.
Ia melegakan masyarakat yang mahukan pendekatan baru serta telus dalam menilai prestasi pelajar berbanding sistem akademik dan peperiksaan yang dilihat lebih membebankan.
Bagaimanapun, ada yang tidak setuju dan berpendapat sistem peperiksaan masih relevan selain mempersoalkan persediaan pihak terbabit mencorak pembaharuan pendidikan.
Kini, wujud perbahasan, sama ada format baru itu bakal memberi impak dan mampu melonjakkan prestasi ke tahap membanggakan.
Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Saedah Siraj, berkata sudah tiba masanya negara melangkah ke era pendidikan baru lebih fleksibel.
Beliau berkata cita rasa dunia kini berubah dan memerlukan suntikan baru dalam proses penyampaian, penerimaan serta pemahaman maklumat supaya masyarakat lebih bersedia berdepan arus permodenan.
"Meskipun pendidikan ditakrif sebagai elemen sejagat, perubahan perlu ada sebagai mengimbangi kehendak global yang pantas berubah dan semakin berteraskan kemajuan serta kepelbagaian.
"Pemansuhan itu mencerminkan keberanian dan anjakan paradigma baru dalam sistem pendidikan negara, jangan jadikannya kontroversi atau disalah anggap kerana ia memang diperlukan, " katanya.
Menurutnya, meskipun negara memiliki sistem pendidikan antara terbaik di dunia, ia dianggap ketinggalan kerana menggunakan kaedah peperiksaan sebagai penilaian tahap kecemerlangan pelajar.
"Semua tahu tahap pencapaian setiap pelajar berbeza, tidak boleh dinilai melalui satu sistem semata-mata, malangnya itulah yang diguna pakai sejak sekian lama.
"Ini menyebabkan pelajar bosan dan tertekan, sekali gus mencetuskan insiden tidak dijangka, misalnya bunuh diri hanya kerana gagal dalam peperiksaan. "Sekolah patut jadi tempat menyeronokkan bukan membosankan.
"Justeru apabila kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan, ia wajar mendapat sokongan kerana membantu meringankan 'penderitaan' pelajar," katanya.
Meskipun format baru masih belum diputuskan, ia bagai menamatkan dilema pelajar, institusi sekolah, ibu bapa dan masyarakat yang mahukan kongkongan peperiksaan ditamatkan.
Cadangan format boleh disarankan ialah menyediakan aliran pengajian bersesuaian di tingkatan satu mengikut kehendak dan kapasiti pencapaian pelajar.
Aliran itu, katanya, boleh dijadikan asas menilai dan mencorakkan pencapaian pelajar dalam tempoh lima tahun hingga tamat pengajian tingkatan lima.
"Pelajar boleh memilih aliran diingini berdasarkan minat, kehendak, cita-cita dan diberi kelonggaran tidak terikat dengan kehendak pencapaian akademik semata-mata.
"Ia umpama saringan penilaian sebelum memasuki pengajian tinggi. Kaedah ini boleh mengelak tekanan belajar, sekali gus memudahkan proses penyampaian ilmu," katanya.
Beliau menegaskan konsep pendidikan bukan hanya terhad kepada akademik dan peperiksaan semata-mata, malah boleh menggunakan pendekatan deria seperti mendengar, melihat dan merasa.
"Ramai beranggapan hanya akademik dan peperiksaan penting menentukan kecemerlangan pelajar manakala proses pembelajaran berlangsung di bilik darjah.
"Anggapan itu perlu diperbetulkan kerana ilmu boleh diperoleh menerusi pelbagai cara, bergantung bagaimana guru mengaplikasi kaedah itu supaya boleh diterima dan difahami pelajar.
"Realitinya kebanyakan pelajar negara ini bersifat pasif dan enggan bertanya, dengan pemansuhan, skop pembelajaran lebih luas, sekali gus menggalakkan pengembangan budaya ilmu dengan kaedah bersesuaian," katanya.
Dr Saedah turut mencadangkan pelajar kurang cemerlang dimasukkan ke kelas pemulihan agar dapat memperbaiki kelemahan.
"Dalam sistem pendidikan, pelajar lemah kurang mampu menguasai 3M (membaca, mengira, menulis). Kelemahan ini boleh diatasi dengan kelas pemulihan.
"Sistem sedia ada kurang mempraktikkan S<>
Sebagai sokongan dan persiapan negara menuju perubahan global, beliau berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan Pusat Pengembangan Pendidikan Masa Depan yang dapat menyediakan pelbagai hasil kajian.
"Di negara maju, peranan pusat ini diiktiraf membantu pelbagai sektor merangka persediaan masa depan," katanya.
INFO: > UPSR diperkenalkan pada 1988 sebagai ganti kepada peperiksaan Penilaian Darjah Lima yang diperkenalkan sejak 1967 manakala PMR pada 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran ( SRP) yang digunakan sejak 1960.
Mungkin 600 terkorban
PANJANG UMUR...seorang bayi berusia dua bulan yang ditemui terselamat dalam longkang ditempatkan di sebuah hospital di Sikakap, selepas kawasan itu dilanda tsunami, Isnin lalu.
HILANG ORANG TERSAYANG...penduduk Kampung Munte, Lisna, menangis di depan mayat ibunya yang ditemui anggota mencari dan menyelamat, semalam.
PAGAI UTARA: Indonesia terus menghadapi kesukaran menghantar bantuan kepada mangsa tsunami yang berada di kawasan terpencil ketika angka korban meningkat melebihi 400 orang, semalam.
Anggota penyelamat percaya, jumlah kematian sebenar daripada bencana di Kepulauan Mentawai itu boleh mencapai lebih 600 orang kerana kebanyakan mangsa disedut ke tengah laut ketika tsunami surut.
Hampir 13,000 orang kini berlindung di khemah sementara di kepulauan itu selepas kediaman masing-masing ranap dilanda ombak besar akibat gempa bumi sekuat 7.7 magnitud pada malam Isnin lalu.
Seorang mangsa memberitahu, kira-kira 30 orang dewasa dan 100 kanak-kanak di kampungnya terbunuh dalam bencana berkenaan.
Seorang lagi mangsa mendakwa, belum ada sebarang bantuan dihantar ke situ.
Sementara itu, pegawai bantuan berkata, helikopter mula menggugurkan bantuan ke kawasan terjejas mulai semalam.
Jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Gagah Prakoso, berkata walaupun terhad, bekalan itu sepatutnya mencukupi untuk mangsa terus hidup.
Sehingga malam tadi, angka korban rasmi akibat tsunami adalah 408, manakala 303 masih hilang dengan kira-kira 200 daripadanya dijangka tidak terselamat.
Cuaca buruk juga menyukarkan usaha menghantar bekalan seperti khemah, ubat-ubatan, makanan dan air bersih menggunakan bot dari Padang.
Perjalanan dari pelabuhan Padang ke situ biasanya mengambil masa sehingga setengah hari.
Sesetengah penyelamat juga berkata, mereka terkandas beberapa hari di bandar itu kerana menunggu masa menaiki bot ke Mentawai.
Walaupun amaran tsunami dikeluarkan di Jakarta, beberapa mangsa yang terselamat berkata, mereka hanya sedar kedatangan tsunami itu apabila terdengar ‘ngauman’ ombak yang bergerak pantas ke daratan menjelang jam 10 malam.
Seorang pegawai yang bertanggungjawab mengeluarkan amaran itu menyalahkan pihak berkuasa tempatan di Mentawai kerana gagal menyalurkan maklumat mengenai kedatangan tsunami itu.
“Saya tidak fikir ada kesilapan prosedur berlaku,” katanya. - AFP
Merapi muntah lahar pula
2010/10/30
MERAPI mula luahkan lahar panas, semalam.
BAYI tiga minggu baru diselamatkan daripada tsunami.
Usaha bantu mangsa tsunami bermasalah, korban bencana cecah 442
YOGYAKARTA: Gunung berapi Merapi memuntahkan lahar buat kali pertama semalam selain meletus lima kali ketika Indonesia menghadapi kesukaran menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa tsunami di Sumatera Barat.
Seramai 34 orang maut kerana letusan Merapi sejak Selasa lalu manakala angka kematian tsunami meningkat kepada 408 orang dan 303 lagi masih hilang.
Berpuluh-puluh mangsa terselamat daripada tsunami merana terbaring dalam hospital daif termasuk seorang bayi dua bulan yatim piatu ditemui dalam sebuah parit dipenuhi air.
Mereka yang cedera terbaring di atas tikar atau lantai ketika air hujan bocor di siling dan saluran intravena tergantung dari tali plastik yang diikat pada bumbung.
Bayi itu, paru-parunya dipenuhi cecair dan luka pada mukanya, tidur sambil matanya terkelip-kelip dalam buaian panas.
Pakar gunung berapi tempatan berkata, muntahan terbaru mungkin dapat menstabilkan lagi Merapi.
“Ia memuntahkan asap setinggi 3.5 kilometer di sebelah tenggaranya diikuti hujan debu,” kata pakar itu, Heru Suparwoko.
Beliau berkata, debu panas itu memang mengancam penduduk yang enggan akur kepada arahan supaya berpindah selepas pulang untuk menjaga ternaman dan kediaman masing-masing.
Seramai 50,000 orang lari ke tempat perlindungan sementara tetapi ramai pula yang pulang meskipun ada ancaman terhadap mereka jika Merapi meletus lagi.
“Memang susah meyakinkan orang ramai bahawa ancaman gunung berapi itu serius,” kata Pegawai Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Mudjiharto.
Pihak berkuasa bertanggungjawab dalam bencana percaya bahawa angka kematian akibat ombak besar yang melanda pulau Mentawai di pantai barat Sumatera Isnin lalu boleh melebihi 600 orang dengan kebanyakan mangsa dihanyutkan ke laut.
Hampir 13,000 penduduk tinggal dalam khemah mudah alih di pulau terbabit selepas rumah mereka dihanyutkan ombak besar selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter.
Mentawai yang terkenal sebagai destinasii peluncur asing menyaksikan banyak mayat yang tertimbus di pantai atau tersangkut di atas pokok.
Di Pagai Utara, usaha menghantar bantuan ke pulau pedalaman terus bermasalah disebabkan laut bergelora dan kekurangan bot.
Seorang koordinator bantuan mengakui semalam bahawa bantuan kini tergendala. Suryadi yang mengkoordinasikan maklum balas bantuan dari Sumatera Barat, berkata bertan-tan bantuan tiba di bandar utama pulau terjejas teruk itu menggunakan helikopter, selepas laut ganas menghalang bot tiba selama dua hari.
Bagaimanapun, pekerja penyelamat berkata mereka tidak dapat menghantar bantuan ke perkampungan tepi pantai yang jauh di pedalaman dan hanya boleh sampai jika berjalan kaki atau melalui laut kerana jalan raya terlalu usang atau rosak kerana dilalui trak besar.
“Kami memerlukan lebih banyak bot,” kata Suryadi. – AFP/AP
Debu gunung berapi boleh sampai ke India
2010/10/30
MUMBAI: Aktiviti seismik di gunung Merapi, Indonesia mungkin mencetuskan letusan dahsyat dan debunya diramal boleh sampai ke India, kata seorang pakar, di sini.
Ia boleh mengulangi kejadian seperti di Eropah selepas letusan gunung berapi di Iceland menyaksikan debunya tersebar ke banyak kawasan Eropah.
Pusat Pemantauan Gunung Berapi Merapi meramalkan satu letupan besar yang mungkin menghapuskan apa jua dalam laluannya dan justeru, industri penerbangan perlu memerhati rapat gunung berapi terbabit.
Aliran lahar bukan satu kebimbangan utama, namun gunung berapi itu biasanya memuntahkan bertan-tan kepulan asap debu yang boleh sampai ke India, kata Dr D Chandrasekharam, Profesor Jabatan Sains Bumi, IIT-B dan Lembaga Pengarah Persatuan Geoterma Antarabangsa semalam.
“Ledakan amat besar ialah ketika gunung itu secara asasnya meletup. Letusan dahsyat dunia berlaku sebelum ini ialah gunung Vesuvius yang menimbus bandar Pompeii dan Herculaneum; St Helens di Washington; Hekla di Iceland dan gunung berapi Pinatubo, Filipina,” katanya.
Sementara itu, debu panas itu juga dilaporkan mengancam candi Borobudur, antara lokasi pelancongan popular Indonesia.
Sebahagian kawasan kuil itu sudah ditutup kepada awam bagi membolehkan pekerjanya mencuci debu putih daripada lutusan Merapi.
Pakar antikuiti bimbang, bahan asid dalam dbu itu akan merosakkan batu candi berkenaan, kata Marsis Sutopo yang mengetuai pejabat perlindungan Borobudur.
Pelawat masih boleh masuk tetapi boleh hingga ke dalam sehingga minggu depan kerana usaha mencuci itu, kata pegawai. – Agensi
Cerpen: Laskar Syuhada
Oleh Fudzail
2010/10/23
(1)
KEEMPAT-EMPAT mereka bernafas kelegaan sebaik memboloskan diri dari terowong sepanjang 640 meter. Salah satu dari lebih 800 terowong di sempadan Rafah dan Gaza, terowong yang memisahkan dua dunia. Dalamnya empat meter, lebar satu meter, tinggi mencecah dua meter, cukup-cukup untuk memuatkan seorang demi seorang. Berjalan dalam kegelapan. Meraba-raba, terkadang, teraba punggung orang di depan. Berjalan perlahan, bernafas dalam kekurangan oksigen. Dalam dada berdebaran.
Apa sahaja boleh terjadi, termasuk pengeboman daripada serangan udara tentera Israel.
Datuk Ariffin terduduk dalam bangsal, mencari oksigen, meraba mencari rokok, tetapi teringat sudah berada pada bulan Ramadan. Ketiga-tiga yang lain, Datuk Rusdi, Datuk Mushil dan Datuk Imran sama terduduk di atas pasir. Awal subuh dan suhu masih rendah memberi kenyamanan dalam debaran jantung yang terus kencang.
“Fasa pertama misi sudah selesai!”
Mereka mengangguk. Menyeludup masuk ke Gaza mempunyai risiko besar. Tetapi destinasi itu bukan kebetulan. Mereka tahu dan tidak peduli. Semuanya sudah dirancang dengan teliti, sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan. Tiada jalan kembali.
Datuk Ariffin bangkit melihat keluar bangsal, memastikan tiada kelibat pihak penguatkuasa Palestin, apalagi tentera dan perisik Israel yang menjejak. Mata liar mencari petunjuk seperti yang telah dirancang. Ternampak sebuah kereta kuning cair parkir dalam 30 meter.
“Kenderaan yang ditempah sudah menanti!”
Mereka bergegas mengambil beg, berlari anak ke kereta.
“Kata laluan!” Pemandu berkumis, berkaca mata hitam bertanya.
“Angelina Jolie!”
Pemandu mengangguk sambil mata merenung wajah keempat mereka yang cuba kelihatan tenang. Cuba untuk menjadi macho dan hebat.
(2)
PERJALANAN dari Rafa ke bandar Gaza melalui kawasan kem pelarian yang kelihatan tidak teratur dengan bangunan seperti tidak siap. Keempat Datuk dengan satu misi bersama itu menatap pemandangan dengan penuh perhatian. Seperti dalam mimpi pula untuk berada di bumi bersejarah yang selama ini hanya diketahui dari media, buku-buku dan cerita-cerita.
“Ini bukan sahaja bumi anbia, tetapi juga bumi Musyrikin!”
Yasir, pemandu yang fasih berbahasa Inggeris itu menjadi pemandu pelancong yang baik.
“Kalau tiada orang jahat, tiada diturunkan nabi-nabi!”
Yasir menyambung cerita. Dari sejarah ribuan tahun ke situasi semasa. Seperti sahaja berada dalam dokumentari National Geoghrapic. Seketika, setelah berlegar di kawasan perumahan dan kedai-kedai, mereka menghampiri sempadan Israel.
“Tengok seberang tembok, di sana Israel, tanah kami yang dirampas sejak tahun 1948! Setiap hari melihat tanah yang dirampas, setiap hari yang tidak memudarkan semangat untuk kembali ke tanah kelahiran!”
Suara Yasir mendesir bersama-sama angin Mediterranean berhembusan. Suara yang melontar dendam dan keazaman. Wajahnya serius.
Datuk Ariffin, Datuk Imran, Datuk Rusdi dan Datuk Mushil mengangguk dengan wajah-wajah yang gusar. Kehadiran mereka ke bumi Gaza di bulan Ramadan bukan lagi satu mimpi, mereka benar-benar bernafas di ruang magis. Ruang yang membawa harapan berbunga dari satu misi kudus.
“Berapa lama kalian mahu berada di Gaza?” Yasir bertanya.
“Paling lama dalam dua minggu!” Jawab Datuk Mushil.
“Tidak menyambut Syawal di sini?”
“Kalau ada rezeki, mahu juga!” Datuk Imran pula menjawab.
“OK. Setelah tiba dan rehat di hotel, saya boleh bawa keliling Gaza, melihat kem-kem pelarian dan kita berbuka puasa di salah sebuah masjid dalam kem pelarian!”
Yasir mengatur jadual aktiviti, sesuatu yang tidak termasuk dalam pembayaran, tetapi cukup melegakan empat Datuk yang membawa pakaian cukup-cukup untuk seminggu.
(3)
MELIHAT kesan-kesan perang dan serangan rejim zionis yang ganas memang menginsafkan empat Datuk. Ada kalanya air mata mereka bergenangan melihat keadaan dhaif di khemah pelarian dan apabila bertemu dengan mereka yang cacat akibat serangan bom. Apalagi bertemu kanak-kanak pelarian yang kelihatan terbiar walau ceria dan berkumpul setiap kali melihat kedatangan mereka, ‘pelawat’ dari Malaysia, sebuah negara yang menjadi sebutan ramai kerana banyak membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak lama.
Sebaik solat Tarawih, mereka bersantai di kawasan pantai yang mula dipenuhi ramai warga Palestin. Meriah dengan manusia mengunjungi gerai makan yang menawarkan shisha dan tayangan filem percuma.
“Ada lebih 150 masjid yang musnah akibat pengeboman, manakala 300 yang lain rosak!”
Datuk Rusdi mengulang maklumat yang diterima. Sebagai seorang yang pernah menjadi pegawai kerajaan menjaga wang zakat dan masjid, dia mengira-ngira jumlah kos yang diperlukan untuk membina semula atau membaiki masjid-masjid tersebut. Sememangnya dia tahu wang zakat yang dikutip olehnya selama ini tidak semuanya sampai kepada yang berhak, malahan ada ketirisan dan digunakan untuk urusan lain, termasuk penyelewengan dalam bentuk hiburan seperti lawatan sambil belajar atas nama urusan rasmi. Walhal, tidak lebih untuk melancong secara percuma. Kekadang pelbagai perancangan dan tindakan dibuat atas nama agama pun tidak lebih sekadar menutup pelbagai kelemahan dan kepincangan di kalangan pegawai.
“Masjid di Gaza ini semuanya ada kelas tahfiz, sudah puluhan ribu hafiz yang lahir. Nampaknya dalam keadaan seperti penjara ini, warga Palestin di Gaza tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan, bersedia untuk kembali ke tanah yang dirampas!”
Sambung Datuk Mushil sambil matanya sesekali meninjau wanita-wanita Palestin yang lalu lalang. Tidak dapat mengelak untuk mengagumi kecantikan mereka, apalagi buat seorang yang selama ini ada banyak skandal sebagai ketua pengarah sebuah stesen TV. Dikelilingi artis-artis glamor yang mahukan publisiti dan kemewahan hidup tanpa bekerja keras. Datuk Mushil selalu mengambil kesempatan tanpa mengira dosa pahala. Asalkan bahagia dan seronok melapah seorang demi seorang artis wanita, terutama yang baru mahu berkecimpung dalam dunia hiburan dengan impian ke persada sebagai penghibur popular, selain kalau-kalau bernasib baik disambar para Datuk yang mahu melengkapkan kuota poligami.
“Kamu perasan selama dua hari di sini, sudah keliling Gaza, kita belum bertemu seorang pun peminta sedekah. Walhal, majoriti hidup di bawah paras kemiskinan!”
Datuk Ariffin mencelah. Sebagai seorang ahli politik yang sekian lama hidup mewah di bawah kuasa politik yang mana matlamat menghalalkan cara, dia cukup arif dengan sikap ahli politik yang lebih kurang sahaja sikap, sebagai peminta sedekah, kalau tidak sebagai pencuri dan perompak wang rakyat. Malah kekadang ada kebenarannya yang ahli politik sama taraf dengan pelacur, sesuatu yang tidak dinafikan oleh Datuk Ariffin yang telah menggadai bukan sahaja maruah diri, malah bangsanya sendiri dengan bisnes atas angin dan ali baba. Menidakkan hak majoriti kerana dia termasuk golongan elit yang berkuasa.
“Betullah! Malah ada yang apabila kita mahu beri wang, menolak dan minta masukkan dalam tabung, untuk dikongsi bersama!” Datuk Imran melepaskan kata-kata sambil melihat jauh ke arah kerlipan lampu kapal-kapal. Sebagai seorang penyanyi rock veteran yang bukan sahaja glamor, pernah menjadi idola anak muda malahan hidup dalam berfoya-foya, Datuk Imran selalu mencari publisiti murahan dengan konsert amal dan aktiviti seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Semuanya sandiwara, apalagi pihak media terus memberatkan hiburan dengan menjadikan artis sebagai bahan pelaris, walhal, kebanyakan artis seperti Datuk Imran yang mendapat anugerah Datuk kerana jasa mencemarkan budaya dengan budaya rock dan hippie, tidak lebih sekadar gimik.
Hidup dalam kemungkaran, solat tidak tentu hala dan mabuk-mabuk. Lebih banyak membawa keburukan kepada masyarakat yang menjadikan hiburan sebagai pelengkap kehidupan setelah muak, jelak, mual dan benci dengan gelagat, suasana politik dan ahli politik yang tidak berhabisan berebut kuasa. Jatuh menjatuh dan fitnah menfitnah sesama sendiri terutama kalau dalam sidang Parlimen yang boleh menjadi sarkis dan zoo.
Maka dalam kemeriahan malam Ramadan di Gaza menyelubungi suasana, tetapi tidak pada keempat Datuk yang kelihatan serba kekeliruan. Masih dalam ketidakpastian walau sebelum ini bertekad dengan satu misi. Sanggup masuk secara haram ke Gaza kerana tidak mahu menunggu lama untuk visa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir.
Misi yang diharapkan boleh mengubah satu destini dan destinasi kehidupan, setelah puluhan tahun bernafas dalam dosa, noda, pembohongan dan hipokrasi. Misi yang lahir dari satu sesi karaoke di pusat perjudian atas gunung setelah melihat dengan mata sendiri, seorang Tan Sri bertaraf bilionair mati sakit jantung di atas dada telanjang seorang GRO dari negeri China.
(4)
“KAMU tahu, abang saya adalah seorang syuhada. Dia menjadi pengebom berani mati yang berjaya membunuh 15 orang askar Zionis laknatullah di bandar Jericho!”
Keempat-empat Datuk segera tersedar mendengar cerita Yasir walau cukup mengantuk. Perjalanan selepas Zuhur ke kawasan khemah pelarian terbesar dan paling padat di dunia, Al-Jabaliah memang cukup menyeksakan kerana mata terpaksa dibuka luas. Tersengguk bersama cerita Yasir yang tiba-tiba terasa menyegarkan.
“Kamu tahu ini juga bermakna, saya boleh menjadi ahli syurga kerana setiap syuhada boleh memilih 70 orang untuk bersamanya ke dalam syurga!”
Mendengar perkataan syuhada dan ahli syurga menambahkan tarikan. Semua orang mahu masuk syurga walau ramai yang mencorakkan neraka dalam kehidupan seharian.
“Sebab itukah kamu memandu berbahaya,” Tanya Datuk Ariffin yang sejak lama mahu menegur cara Yasir memandu. Ciluk sana, ciluk sini. Kadangkala laju tidak bertempat dan memotong ikut suka hati, walau Yasir bukan pemandu unik di Gaza, sedikit sebanyak mencemaskan.
Yasir ketawa.
“Ya! Saya ada lesen ke jannah!”
“Tetapi kami belum ada, kamu boleh mati syahid, masuk jannah, kami boleh mati katak di Gaza ini dengan cara kamu memandu!”
Ujar Datuk Rusdi diikuti ketawa beramai-ramai. Teringat jumlah mereka yang mati nahas jalan raya terus meningkat di tanah air, biarpun kenderaan semakin canggih dan jalan raya semakin banyak.
“Bukankah kamu berempat datang ke Gaza ini untuk mati syahid?”
Tanya Yasir kembali, setelah lima hari, Yasir sudah seperti lama mengenali empat orang Melayu awal lima puluhan yang juga sudah tidak segan silu bercerita latar belakang masing-masing.
Membongkar satu misi untuk mati syahid kerana yakin taubat mereka sukar untuk diterima. Walau berkali ke umrah dan haji, masih terasa terlalu banyak dosa dan noda untuk dihapuskan. Terlalu banyak menganiaya orang. Menipu, menyeleweng, berzina, memberi dan menerima rasuah, hantar santau, malah merogol dan merancang pembunuhan kerana persaingan dan dendam. Taraf kejahatan melampau yang menyebabkan keempat-empat mereka yang pernah bergelar golongan elit Melayu Baru itu bertekad untuk menyusup ke Gaza, berdepan dengan rejim Zionis dan kalau bernasib baik, mati syahid. Terus ke syurga tanpa hisab. Boleh bawa 70 orang lain sama-sama ke syurga.
“Kamu ahli politik bukan?” Tanya Yasir kepada Datuk Ariffin yang mengangguk.
“Di bumi Palestin ini pun ramai ahli politik yang korup. Sebab itu kami memilih parti Hamas walau dianggap teroris kerana sudah muak, jelak dan benci dengan pemimpin Fatah berpuluh tahun memungkiri janji dan amanah. Sebab itu saya cakap di sini bukan sahaja bumi anbiya, malahan bumi Musyrikin. Sebab itu orang Palestin berterusan dizalimi, dilanyak Yahudi kerana pemimpin kami ada yang sudah dibeli, korup dan mementingkan perut semata-mata. Perjuangan keramat membebaskan Palestin hanya sandiwara semata-mata. Apalagi dunia Arab yang bersetongkol dengan Israel dan Amerika!”
Tersentuh hati Datuk Ariffin yang memang selama ini sekadar proksi kepada ahli-ahli perniagaan yang menggunakan beliau untuk manipulasi kontrak. Kekayaan yang dikumpul di bawah dasar politik kronisme. Berguni-guni, malahan kadang berlori-lori wang tunai yang disimpan hasil rasuah dan penyelewengan. Hidup mewah tetapi seperti bangkai kerana makan minum duit haram.
“Kamu bayangkan nanti, berapa ramai yang kamu mesti minta maaf setelah menyalahgunakan, menyelewengkan duit rakyat, duit zakat, duit derma, seperti ramai ahli politik Palestin yang mengagihkan sesama sendiri sewaktu berkuasa dan menidakkan hak-hak kami, terutama anak-anak yatim, anak-anak pejuang yang syahid dan anak-anak yang terus dalam kemiskinan walhal hasil negara dari dana derma cukup menampung perbelanjaan untuk menanggung mereka!”
Yasir terus melepaskan apa yang selama itu terbuku dalam diri, apalagi setelah mengetahui niat dan tujuan misi empat orang Melayu bertaraf Datuk di bulan Ramadan ke Gaza, tanah genting sekangkang kera yang tidak putus dengan konflik dan terus mengorbankan jiwa para syuhada hampir setiap hari.
“Di kawasan Jabaliyah ini selalu ada tentera Israel menyusup masuk untuk membunuh mereka yang dianggap teroris. Kamu tahulah, dikalangan kami pun ramai pengintip upahan Israel yang cari makan dengan beri maklumat, kekadang maklumat salah kerana dendam dan dengki!”
Yasir memberhentikan kereta menghala ke kawasan lapang. Diperbukitan adalah sempadan Israel. Ada tembok dinding sedang dibina.
“Nampak kereta kebal, kereta pacuan empat roda yang mengawasi sempadan?”
Keempat-empat Datuk memandang dan mengangguk. Berdebaran, begitu hampir dengan sempadan Israel yang memungkinkan apa sahaja. Tentera Israel boleh bertindak mengikut keputusan mereka kerana ‘keselamatan negara Israel’ lebih penting daripada segalanya.
“Dahulu kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok kurma, pihak Israel musnahkan semua dan kini menjadi kawasan lapang untuk memudahkan mereka membolos masuk. Semua kilang yang pernah memenuhi kawasan ini dibom dan diratakan, meranapkan terus ekonomi Gaza!”
Suasana menjadi hening. Hembusan bayu menerojah minda yang diselaputi bayang-bayang.
“Kalian mahu mati syahid bukan?”
Tanya Yasir. Separuh serius, separuh berjenaka.
“Nampak kereta kebal Israel itu sedang mara ke sini?”
Terpaku keempat-empat Datuk. Debaran jantung membawa gelombang ke wajah.
“Bersedia untuk melontar dengan batu-batu seperti yang kami, terutama anak-anak kami lakukan, kalian baling sebaik kereta kebal itu masuk ke kawasan Palestin!”
Yasir memberi arahan, setelah lama berteori dengan pelbagai strategi, hari ke enam Ramadan yang cerah itu boleh merealisasikan satu misi empat Datuk Melayu sebagai Laskar Syuhada, ribuan kilometer dari tanah air dan keluarga yang sudah diwariskan harta dan wang jutaan ringgit dalam ASB, Tabung Haji, akaun bank Islam, yang semuanya dari hasil tidak halal.
Kalau mereka mati syahid, bukan sahaja ke syurga malah semuanya menjadi halal, begitulah fatwa yang mereka sama-sama rumuskan di malam terakhir berkaraoke sebelum Ramadan. Fatwa yang menjadi pegangan sebagai sandaran ke syurga. Fatwa yang membawa mereka ke genting Gaza.
Seketika dalam pandangan menerpa ke arah kereta kebal Israel yang seakan laju menghampiri, imej-imej kehidupan lima dekad mereka seakan terlontar ke layar yang memerangkap perasaan. Wajah-wajah mereka yang pernah dianiaya, dirasuah, difitnah, di jadikan kambing hitam mengejek-ngejek ke seluruh ruang.
Suara-suara menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah disalahgunakan berdengung, bergema, memekik-mekik ke seluruh pendengaran.
Tiba-tiba Datuk Ariffin terasa mual oleh perut memulas, Datuk Mushil pula berpinar oleh kecepatan jantung mengepam udara, Datuk Rusdi basah berpeluh-peluh kepanasan dan Datuk Imran seakan mahu terkencing. Segala-galanya begitu real sekali, tidak lagi sureal atau dalam sebuah mimpi. Sesaat yang mengerikan, mereka kini berdepan dengan tentera paling canggih dan kejam di dunia dan serentak, mereka yang lengkap berbaju raya Melayu dengan samping songket, secara spontan keluar dari kereta, berlari selaju mungkin untuk berpatah, menyusup keluar Gaza, ke terowong nun 50 kilometer di Rafah!
PROFIL
FUDZAIL berkelulusan sains komputer dan matematik dari New Zealand, pernah menjadi Pengurus Teknologi Maklumat TV3 dan ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini menjadi konsultan kepada syarikat dari China, Turki, Hungary dan Perancis di Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Pernah memenangi hadiah sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Kumpulan puisi "Waikato' diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2001 dan kumpulan cerpen Dotkomania (DBP: 2009) dan trilogi Aotearoa (Oasisbuku: 2010). Mengikuti misi kemanusiaan di Gaza pada Ramadan lalu. Boleh dihubungi melalui e-mel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com
Cerpen: Kehilangan Lidah
Oleh Lee Keok Chih
2010/10/30
SOO Ler dilahirkan di kampung bahagian utara negara Kilatan. Kampung tepi sungai itu tidak ramai penduduknya, kesemuanya sekadar sepuluh keluarga. Mungkin kerana jumlah penduduk yang tidak ramai sekali gus tidak banyak pendapat yang berbeza, maka mereka hidup saling bantu membantu dalam suasana yang cukup harmoni. Mereka itu tiada pertalian darah, bukan sanak saudara tapi kerana sekian lama mendiami kawasan yang serupa, mereka telah menjadi begitu rapat dan akrab. Tetapi, jumlah penduduk mungkin bukan faktor utama tidak timbulnya pertelingkahan. Kerana pada mulanya, penduduk kampung hanya sebanyak lima keluarga. Kiranya dibiarkan masa terus berlalu, dari sepuluh keluarga, pastinya penduduk kampung berkembang menjadi berpuluh-puluh atau beribu-ribu keluarga.
Yang jelasnya, ketika itu penduduk kampung tiada masalah perkauman, bahasa atau budaya. Tiada masalah kerana pentas yang bernama kampung sudah menyambungkan mereka, kalaupun tidak menyatukan mereka. Atau lebih tepat lagi kiranya berkata sebatang sungai yang mengaliri bahagian hulu dan hilir kampung sudah menyambungkan penduduk yang tinggal secara berselerak di dalam kampung. Tidak kira penduduk yang tinggal di tebing sebelah sini atau tebing sebelah sana sungai, tidak kira mereka yang tinggal di bahagian hulu atau hilir sungai, semuanya bergantung kepada sebatang sungai itu untuk meneruskan kehidupan. Semua aktiviti hidup berkisar di kedua-dua tebing dan dalam sungai itu.
Mereka bergantung kepada sungai untuk mendapatkan minuman. Mereka membasuh barangan dan mandi dengan air sungai. Mereka memancing ikan dan meraba udang di dalam sungai. Mereka mencari rebun, paku-pakis dan pucuk-pucuk yang tumbuh di sepanjang sungai. Kayu yang hanyut dari hulu sungai pula, dijadikan bahan api atau membaiki rumah mereka. Tepat sekali kiranya dikatakan sungai itu adalah saluran darah penduduk kampung. Kiranya ada perbezaan kecil kerana ideologi dan pengasingan kerana jarak tempat tinggal, semua itu tidak jelas kerana sebatang sungai telah mendekatkan mereka.
Kawasan kampung itu subur dan banyak sekali hasil alamnya. Di dalam sungai ada ikan dan udang yang berenang bebas. Di sepanjang sungai ada tumbuh-tumbuhan yang subur dan membentuk hutan tebal. Bukan sahaja tumbuh-tumbuhan menjadikan buah-buahan yang boleh dijadikan makanan, hutan itu sendiri yang terdiri dari balak adalah kurnia alam yang begitu mewah. Tidak cukup sekadar sungai dan kawasan tebing sungai, kiranya bahagian bawah tanah digali, banyak pula bahan galian yang terpendam dan tersembunyi. Semua kurnia alam itu menjamin kehidupan yang bahagia untuk penduduk kampung.
Orang tua-tua yang dikatakan pandai meramal pernah berkata, “Dengan kurnia alam, kita boleh terus hidup di sini sepuluh generasi lagi tanpa sebarang masalah. Kita boleh melipat gandakan bilangan penduduk kampung tanpa sebarang kebimbangan.”
Orang tua-tua kampung memang dihormati. Ramalan mereka dikatakan tepat dan dipercayai secara bulat-bulat. Maka penduduk kampung pun menerusi kehidupan tanpa berfikir panjang. Mereka tidak memikirkan sebarang kemungkinan. Mereka hanya hidup mengikut kitaran musim. Mereka menerima musim hujan dan musim kemarau dengan senang hati. Mereka meniti kehidupan mereka dengan tenang dan bersahaja. Mereka langsung tidak terfikir adanya kemungkinan berita buruk. Tentunya mereka tidak tahu, di luar kawasan kampung mereka ada kuasa-kuasa baru sedang bangkit dan suatu hari nanti akan melanggar kawasan kampung mereka. Mereka juga tidak pernah terfikir, suatu hari nanti, kehidupan lama mereka akan berubah dan untuk pulang ke cara hidup lama adalah usaha yang hampir mustahil.
Penduduk kampung hidup dalam dunianya yang serba tertutup. Tidak banyak interaksi mereka dengan dunia luar. Kiranya ada keperluan, hanya sedikit garam untuk menambahkan nikmat makanan. Garam itu biasanya dibawa masuk penduduk-penduduk dari kampung lain. Mereka yang memikul garam ke situ, biasanya menukar garam dengan hasil kampung. Setelah rundingan yang sekejap, garam terus ditukar dengan hasil kampung dan tidak timbul sebarang perselisihan faham atau pertelingkahan.
Keadaan hidup begitu berkekalan agak lama. Rentak kampung begitu seperti akan terus kekal buat selama-lamanya. Tetapi, peta hidup begitu berubah juga. Peta hidup itu berubah dengan kedatangan Iris dan orang-orangnya. Tidak adil kiranya menuduh Iris dan orang-orangnya tidak datang dengan niat baik. Mereka juga manusia baik. Hanya latar belakang, kepercayaan dan nilai mereka berbeza. Mereka tidak kenal kampung itu. Mereka tidak tahu menahu tentang sungai itu. Kiranya mereka tahu sekalipun, sekadar dari jarak yang amat jauh dan secara kasar. Lagipun Iris dan orang-orangnya dipaksa ke situ kerana tanah kelahiran mereka sedang menghadapi pelbagai masalah. Tanah kelahiran Iris bukan sahaja menghadapi masalah pertumbuhan penduduk secara mendadak, tapi keupayaan tanah itu untuk menampung kehidupan penduduk-penduduknya sudah menjadi suatu tanda tanya. Iris dan orang-orangnya yang kalah dalam persaingan merebut tempat di tanah asal mereka, terpaksalah merantau. Dan entah kampung itu tidak bernasib baik, atau Iris dan orang-orangnya bernasib baik, pada suatu hari Iris dan orang-orangnya sudah tiba di kampung itu.
Pada mulanya Iris juga cuba menyesuaikan dirinya dengan cara hidup orang kampung. Ketika orang kampung enggan menerima emas atau perak sebaliknya mahukan garam untuk menukar barangan keluaran kampung, Iris begitu gembira sekali. Iris gembira kerana garam kurang bernilai dalam dunia Iris berbanding dengan emas dan perak. Supaya melicinkan proses urus niaga di antara dia dengan penduduk-penduduk kampung, Iris merangka sistem sukatan baru. Iris dengan orang-orangnya kembali menyelaraskan nilai harga dan kadar pertukaran barang-barang. Kesemuanya berjalan dengan licin. Mereka bergaul dalam keadaan yang harmoni. Kedatangan Iris dan orang-orangnya, seperti tidak menukar dan tidak mungkin menukar peta kehidupan orang-orang kampung yang sudah diamalkan berabad-abad lamanya.
Orang kanan Iris, Ogos yang mula sekali menyuarakan rasa kurang senang. Katanya, “Penduduk di sini menggunakan suatu bahasa yang cukup susah untuk berkomunikasi. Cara mereka bercakap tidak difahami dunia luar. Kiranya dibiarkan mereka terus begini, mereka pasti dilupakan arus kemajuan dunia.”
Ogos tidak menyuarakan sebab sebenar rasa terganggunya. Ogos tidak memberitahu Iris, dia merasa kurang senang kerana dia tidak mengerti apa yang dicakapkan penduduk kampung. Setiap kali mereka bergaul, Ogos merasakan dirinya seperti diketepikan.
Iris hanya mendengarkan leteran Ogos tanpa berbuat apa-apa. Iris juga mengongsi rasa sebenar Ogos, tapi dia tidak tahu cara terbaik untuk menghilangkan rasa kurang senangnya. Mungkin kerana tidak nampak Iris bertindak, selang tidak lama selepas itu, orang yang sama mendakwa lagi. Kali ini dia menimbulkan topik yang lebih penting dan besar – sistem. Dia mempertikaikan sistem kampung yang kurang sempurna dan banyak kelemahannya.
Iris yang pada mulanya hanya datang kerana ingin membeli kayu-kayan yang tumbuh di sepanjang sungai dan ikan-ikan yang hidup di dalam sungai, terdiam sejenak mendengarkan kata-kata Ogos. Memang niat awal kedatangan mereka ke situ sekadar untuk berdagang. Tetapi, tanpa sistem yang matang, kepentingan perniagaan mereka pastinya tidak terjamin. Iris tidak boleh menuduh kampung ini tiada sistem. Kampung ini memang sudah lama mempunyai sistem. Sistem yang dimaksudkan, misalannya bangun untuk mencari nafkah ketika ayam mula berkokok dan pulang bila matahari menghilangkan diri ke sebalik bukit di bahagian barat sungai itu. Penduduk kampung tidak merasa kurang senang dengan sistem yang sudah lama digunakan di situ. Penduduk-penduduk kampung tidak merasa janggal dengan cara hidup yang sekian lama dipraktikkan. Yang merasa kurang selesa dan senang ialah Iris dan orang-orangnya.
“Bagaimana aku mahu menukar tabiat lama penduduk di sini?” Iris mengajukan soalan kepada orang-orangnya. “Sudah sekian lama mereka kekal dengan cara mereka. Kalau kita memperkenalkan cara baru, pastinya ditentang secara habis-habisan.”
Iris menyangka orang-orangnya mempunyai cadangan dan rancangan yang lebih bagus. Iris tidak menyangka, mulut yang melontarkan cadangan juga membisu seribu bahasa.
Setelah terdiam agak lama, seorang pengikut Iris berkata, “Kita tawan saja mereka. Kemudian kita paksa mereka menggunakan sistem kita.”
Seorang lagi menyokong, “Ya. Kita terpaksa menggunakan kekerasan.”
Berdasarkan sistem yang dipraktikkan tempat asal Iris – semua tindakan berdasarkan golongan majoriti, maka suatu rancangan diatur untuk menawan kampung itu. Ketua kampung dilucutkan kuasanya. Anak ketua kampung yang ditangkap, kemudiannya dihantar ke tempat asal Iris untuk dididik dengan sistem negara Iris.
Rancangan Iris memang mendatangkan hasil yang cukup menggalakkan. Setelah ditawan dan dijajah, generasi baru penduduk kampung semuanya dihantar ke negara Iris untuk menerima pendidikan. Mereka yang dibesarkan dalam suasana serba baru itu, akhirnya sudah melupakan asal usul mereka. Semua ingatan mereka sekadar berdasarkan pendidikan yang diterima mereka. Kiranya diperkatakan secara positif, mereka adalah manusia generasi baru. Dari akar umbi penduduk pinggir sungai, sekarang mereka dibawa ke suatu pentas yang lebih luas.
Pemerintahan Iris dan orang-orangnya tidak berkekalan. Mungkin kerana kebangkitan beberapa kuasa baru, mungkin juga kerana ideologi-ideologi baru yang berleluasa, cengkaman orang Iris terhadap kampung yang ditawan mereka semakin lemah. Orang Iris pernah menikmati harta kekayaan kampung seperti kampung di pinggir sungai. Tetapi, jangkamasa mereka menikmati kekayaan itu sudah berakhir. Akhirnya dengan kebangkitan semangat tidak mahu diperintah, orang-orang Iris diusir keluar. Mereka dipaksa meninggalkan kampung yang pernah mereka tawan. Perbezaannya, hanyalah ada kampung yang mereka tinggalkan secara aman, ada pula kampung yang mereka tinggalkan setelah kejadian tumpah darah.
Kampung yang pernah ditawan dan dijajah, kini bertukar pentadbir. Semuanya seperti masih serupa, kecuali bertukar pentadbir. Tetapi, dengan berlalunya masa, jelas masyarakat kampung yang dulunya hanya sepuluh keluarga, sekarang sudah berlipat ganda, bahkan meningkat menjadi berpuluh ribu keluarga. Dengan berlipat gandanya bilangan penduduk, di antara mereka ada pula orang yang datang dari kampung lain, keadaannya pasti menjadi lebih kompleks dan rumit. Mereka sekarang menghadapi masalah budaya, bahasa dan sistem.
Masa berlalu dan keadaan sudah berubah, bolehkah mereka kembali kepada sistem sebelum kedatangan Iris dan orangnya? Kiranya mereka kekalkan sistem yang digunakan zaman Iris dan orangnya, di manakah identiti mereka? Kiranya sistem yang sedia ada perlu digubal, apa yang patut ditukar dan dibuang? Apa pula yang perlu dikekalkan? Semua itu didebat dengan hangat di setiap perhimpunan.
Soal sistem bukan soal yang kritikal. Soal yang lebih membimbangkan adalah masalah budaya dan bahasa. Campuran bahasa dan budaya bukannya suatu proses mudah. Yang paling membimbangkan adalah generasi baru penduduk kampung yang cuba menegakkan budaya dan bahasa kaum Iris. Mereka ini sudah lama dididik, dilatih dan terpengaruh dengan budaya dan bahasa kaum Iris. Mereka sudah terlupa asal usul mereka. Kiranya mereka ingat sekalipun, hanya tinggal ingatan yang tidak sempurna dan lemah.
Bagaimana pun, pertukaran pucuk pemimpin atau golongan pentadbir tidak boleh ditangguhkan. Pada tarikh dan masa yang dipersetujui, orang-orang Iris pun meninggalkan pentas pentadbiran kampung itu. Kiranya ada golongan mereka yang masih kekal tinggal di kampung itu, peranan mereka sudah berubah. Mereka sekarang hanya menjadi pedagang, tukang atau memegang jawatan mengikut bakat masing-masing, mereka tidak lagi bergiat aktif dalam soal pentadbiran.
Ketika mengambil alih pucuk pimpinan, pentadbir baru memang mempunyai niat yang mulia dan suci. Mereka mahu kembali membangunkan tamadun dan budaya yang pernah hilang. Mereka mahu mengembalikan kegemilangan masa silam. Niat begitu memang sedap didengar. Kerana laungan slogan yang cukup meyakinkan itulah, penduduk kampung melantik dan memilih mereka untuk menjadi pemimpin. Kiranya bukan kerana termakan janji manis dan tunduk di bawah naungan orang itu, masakan penduduk kampung yang lain sanggup mengangkat mereka menjadi wakil pentadbiran!
Penduduk kampung memang naive. Mereka menyangka dengan memilih pemimpin, semua mimpi mereka pasti tercapai dan semua masalah terbabit pasti diselesaikan dengan baik. Mereka terlalu mempercayai kebolehan pemimpin. Mereka tidak tahu, pemimpin juga manusia seperti mereka. Bahkan, ada pemimpin yang dididik dan dilatih dengan budaya dan bahasa luar. Mereka ini lebih senang menggunakan lidah orang untuk meluahkan kemahuan diri. Mungkin kerana pernah ditawan dan dijajah, generasi pemimpin ini merasakan bahasa dan budaya orang lain lebih canggih dan hebat daripada darah yang diwarisi mereka dan warisan di tubuh mereka.
Pada mulanya, semua orang mempercayai, dengan berlalunya masa, semua kesan penawanan dan penjajahan menjadi semakin luput dan pupus. Kes itu akan menjadi seperti kes kebudayaan dan bahasa mereka yang pernah semakin lemah dan tidak bertenaga ketika mereka ditadbir dan diperintah pihak luar. Dengan berlalunya masa, keadaan itu masih tidak berubah. Sekalipun ada pihak yang melaung-laung untuk menghidupkan semula budaya dan bahasa asal, usaha itu tidak menampakkan hasil yang menggalakkan. Setelah mengambil alih pucuk pimpinan dan menjadi pentadbir, masih kekal begitu, pasti bukan tanggungjawab kaum pendatang lagi. Sesekali ketika Soo Ler dan Am yang sudah lanjut usia bertemu, mereka sering saling menyoal.
“Kiranya dikatakan zaman dulu kita tidak boleh mendaulatkan budaya dan bahasa kita kerana golongan pentadbir bukan orang kita. Sekarang setelah mengambil alih pucuk pemerintah, kita masih seperti waktu itu, apa pula alasan kita?” Tanya Am.
“Kenapa dikatakan bahasa dan budaya kita tidak serasi dengan perkembangan zaman? Kenapa dikatakan bahasa kita bukan bahasa teknologi dan bahasa sains?” Am bertanya lagi. “Apa itu sebenarnya teknologi dan sains itu?”
Soo Ler menjawab dengan suara yang kurang yakin, “Entahlah .... Mungkin dalam proses ditawan dan dijajah itu, kita sudah kehilangan lidah kita ....”
BIODATA Penulis
LEE Keok Chih dilahirkan di Selising, Kelantan, pada 28 April 1962 .Membabitkan dirinya dalam dunia kesusasteraan sejak di sekolah rendah dan sajak pertamanya mendapat tempat dalam Medan Pelajar, manakala sajaknya, Tiga Kali Terima Kasih, disiarkan dalam majalah Dewan Sastera ketika berada di Tingkatan Empat.
Penerima biasiswa Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Marin dan jawatan jurutera perkapalan yang disandangnya, membawanya mengembara ke serata dunia. Lulusan Kejuruteraan Marin Kelas Pertama dan pemegang Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat ini banyak menghasilkan puisi dan cerpen. Karyanya mendapat tempat dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Bacaria, Watan, Mingguan Wanita, Utusan Pengguna, Utusan Zaman, Mastika, Jelita, Dewan Siswa, Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat. Novelnya, Cinta dan Dendam, menggunakan nama pena Ardi Amin diterbitkan Karangkraf (M) Sdn Bhd. Pernah memenangi Hadiah Sastera Sin Chew Jit Poh, Hadiah Sastera Utusan - Public Bank dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kini bertugas di sebuah syarikat perundingan yang berpusat di China. Antara kumpulan puisinya, Di Pinggir Semenanjung dan Sepi Seorang Pelaut diterbitkan pada 2002 manakala kumpulan cerpennya, Insomnia
No comments:
Post a Comment