Wednesday, December 22, 2010

Cerpen: Adapun Adany

Cerpen: Jihad
Oleh Fudzail

2010/08/14

(1)

KUNTAY bersuara tinggi. Kedengaran memaki-maki. Kelihatan mimik mukanya merah padam. Saya membiarkan sahaja dia melepaskan kegeramannya. Tidak dapat memahami sepenuhnya kerana bercakap dalam bahasa Turki dengan laju. Bahasa Turki, seperti bahasa Melayu. Mempunyai banyak bahasa Arab, sesuatu yang sedikit memudahkan saya mengagak butiran percakapan.

Kebetulan kami tiba di stesen petrol berhampiran Shahama, penempatan warga Emirati di luar kota raya Abu Dhabi, di lebuh raya menuju ke Dubai. Setiap keluarga Emirati yang ditempatkan di Shahama diberi ‘rumah rakyat’ yang bernilai RM1 juta. Ribuan rumah rakyat dengan 12 bilik memenuhi Shahama. Begitu bertuah menjadi warga marhaen Emiriyah Arab Bersatu. Boleh dikatakan setiap warga adalah jutawan, ditatang sepenuhnya daripada kekayaan hasil negara. “Kiat berhenti, saya mahu solat dahulu!”


Saya memberhentikan kereta di depan surau. Kuntay mengangguk. Meneruskan percakapan bernada keras. Saya tersenyum dan keluar dari kereta. Sepanjang seminggu bersama Kuntay, saya sememangnya sudah tahu reaksi daripada Kuntay.

Tetapi terus sahaja mengajak setiap kali mahu bersolat, setiap kali itu juga, Kuntay sekadar mengangguk. Kuntay dihantar oleh sebuah syarikat berpangkalan di Istanbul untuk meneroka pasaran UAE dan saya dilantik sebagai konsultan.
Setelah selesai solat jamak dan qasar, saya kembali ke kereta. Kuntay terus menekan paparan kekunci iPhonenya dengan wajah serius. Seserius setiap kali dia menatap KRA dan KPI untuk dirinya.

“Kenapa?” Tanya saya untuk mengetahui apa yang sebenarnya telah terjadi.
“Saya kekadang hairan. Ramai yang bersolat setiap waktu tanpa ponteng, tidak seperti saya, kekadang solat, kekadang tidak, tetapi yang solat tunggang terbalik itu jugalah yang banyak terlibat dengan rasuah!”

Saya mengangguk. Bersetuju kerana memang sebegitu.

“Apakah perempuan Turki yang bekerja dengan syarikat konsultan itu minta wang?”

“Itulah yang buat saya sakit hati. Dia warga Turki, kami syarikat Turki, di bumi Emiriyah ini sepatutnya saling membantu. Rupa-rupanya ada udang sebalik batu apabila menawarkan kontrak terus, mahu komisen, persen tertentu, bayar dahulu. Melampau, kami boleh sahaja rugi kerana harga tawaran tidak termasuk memberi duit rasuah!”

“Apa kata kamu kepadanya, dengar seperti memaki!”

“Saya beritahu dia, kalau dia mahu duit komisen, duit rasuah, saya boleh bagi dalam kain kapan dia. Langkah mayat saya dulu. Sebab kalau saya beri apa yang dia minta, saya kena bunuh oleh bos!”

Saya ketawa. Fenomena rasuah memang berleluasa di tanah Emiriyah, walau tidak ketara di permukaan. Terutama di kalangan ekspatriat yang menjadi penggerak ekonomi dan majoriti pekerja. Semua datang untuk buat duit. Ramai yang tidak kisah sama ada haram atau halal. Selagi ‘masyuk’, peduli apa. Walau pendapatan jauh tinggi, tetap tamak dan bernafsu syaitan, tidak kira beragama Islam atau tidak. Duit menjadikan mereka hilang kewarasan, harga diri dan nilai-nilai mulia.

“Bagaimana dengan gejala rasuah di Turki sendiri?”

“Tidak begitu berleluasa. Pasaran begitu kompetitif kerana semua mahu kurangkan kos. Bukan tidak ada, tetapi dengan memfokuskan kepada kos, rasuah amat kurang. Rasuah menyebabkan kos menjadi tinggi, yang membayar kos itu adalah rakyat.
Bagaimana pula dengan rasuah di negara kamu Malaysia?”

Pertanyaan itu membuatkan saya tersentak. Tergamam sambil mata memfokus kepada lebuh raya lapan lorong yang tarnya padat dan kuat, tidak perlu penyelenggaraan atau turapan semula setiap tahun. Tidak seperti lebuh raya di tanah air. Itu sahaja boleh menjadi ukuran tentang rasuah dan penyelewengan.

Saya tidak pasti untuk memberi jawapan. Pastinya indeks rasuah dunia boleh menjadi penunjuk.

“Rasanya, orang Islam di Malaysia lebih alim dari kami di Turki, lebih patuh bersolat!”

Kata-kata itu sungguh menusuk. Dalam hati pun menambah, Melayu itu juga Islam dalam perlembagaan!

(2)

BERITA penangkapan ramai peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Emiriah Dubai menggemparkan. Begitu sensasi. Apalagi mereka adalah CEO dan pengarah syarikat daripada kalangan warga Emirati sendiri yang bergaji jutaan Dirham setahun.

Saya terkedu mendengar berita dari radio kereta.

“Adel Shirawi?”

Mengulang nama seorang kawan lama yang sama disebut telah ditangkap kerana memberi bonus kepada diri sendiri sebanyak 200 juta dirham.

“Kamu kenal dia?” Tanya Kuntay.

“Kami sama-sama di jabatan IT sebuah GLC, dia seorang anak Emirati yang hebat, dedikasi, komited, alim, selalu menjadi imam solat di pejabat. Oleh kerana dia hebat, cepat sekali naik pangkat kerana itu Sheikh Mohamed, Emir Dubai memberi dia peluang untuk terajui sebuah GLC dalam industri kewangan Islam!”
Kuntay ketawa.

“Kamu kata dia selalu menjadi imam solat?”

“Ya! Kami agak rapat dan secara peribadi, saya tidak percaya yang beliau melakukan penyelewengan sedemikian. Dia orang baik-baik, keluarga baik-baik. Dua tahun kami bersama dan saya cukup kenal siapa Adel!”

Kuntay terus ketawa. Menyakitkan hati pula. Gelak si anak Turki yang boleh berbahasa Itali, Perancis dan Sepanyol kerana belajar dan bekerja di Eropah.

“Kalau ada kuasa dan peluang di depan mata untuk menyelewengkan dana syarikat, orang boleh berubah!”

“Tidak mungkin. Kami selalu berbincang mengenai inti pati al-Quran dan hadis Nabi. Banyak yang saya belajar daripada beliau. Mungkin ada konspirasi untuk menjatuhkan orang yang hebat seperti Adel!”

Terasa nostalgik sekali mengenangkan tahun-tahun awal kebangkitan Dubai. Kami bekerja keras untuk memenuhi impian seorang Sheikh. Puas apabila projek menjadi realiti dan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat Dubai sebelum krisis ekonomi hampir menenggelamkan semuanya.

Dalam berfikir, terdengar ulasan daripada pemanggil di siaran radio yang memperkatakan isu panas tersebut.

“Secara amnya, semua yang ditangkap dan dipenjarakan golongan muda dan terpelajar. Mereka ini menjadi pemimpin masa depan, nampaknya kecundang bersama kejayaan yang dicipta.”

Ketawa Kuntay semakin kuat mendengar komen yang datang daripada seorang ekspatriat India.

“Saya tidak solat lima waktu seperti kamu atau Adel, tetapi saya benci rasuah. Benci penyelewengan. Negara akan muflis kerana rasuah, bangsa akan terhina kerana rasuah, terjual warisan kerana rasuah. Apakah orang yang rasuah, menyeleweng, tetapi terus solat tahu yang solat mereka sekadar sia-sia? Solat tidak membaiki mereka dan mereka merosakkan solat!”

Pertanyaan Kuntay mengisi perjalanan pagi ke Abu Dhabi dan saya berhenti di sebuah surau stesen petrol untuk solat sunat Dhuha. Sesuatu yang saya amalkan sejak krisis ekonomi melanda.

Kali ini, Kuntay sama ke surau.

Bukan untuk solat sunat Dhuha, tetapi solat qada’ Subuh. Memandangkan sudah bulan Syaaban, bermakna bulan Ramadan bakal tiba. Kuntay berniat untuk cukup sebulan berpuasa di bumi Arab, bumi yang pernah berada di bawah naungan empayar Othmaniah Turki.

“Konsistensi kamu dalam menjaga ibadah solat membuatkan saya termalu sendiri.”
Perlahan Kuntay bercakap sebaik memberi salam.

“Dan saya harap, dengan bersolat, tidak pula mengubah kebencian saya terhadap rasuah, malah jihad saya menentang rasuah, menentang para perasuah adalah jitu!”
Saya tersenyum. Kuntay mahu bersolat sudah cukup menggembirakan. Jihad saya secara diam agar dia bersolat mencapai hasil.

“Ingat, akan ada ujian sebab kalau kita dapat projek besar di Abu Dhabi, kamu ditugaskan untuk memberi subkontrak. Para subkontraktor akan kejar kamu dan menawarkan pelbagai umpan. Waktu itu, seperti kata kamu, dengan ada kuasa dan peluang di depan mata, kamu boleh berubah dan jihad yang lebih besar ialah jihad menentang nafsu sendiri!”

(3)

TIBA-TIBA kereta sewa kami dilanggar dari belakang. Agak kuat hentakan. Kuntay segera memberhentikan kereta di tepi lebuh raya. Kami keluar untuk melihat kesan hentakan, manakala kereta yang melanggar kami juga berhenti.

Pemandunya seorang wanita Emirati. Keluar dengan wajah garang. Sama memeriksa kereta mewahnya yang tidak ada apa-apa kesan seperti kereta kami yang sedikit kemek di bahagian belakang.

“Ini boleh menjadi masalah. Yang melanggar adalah seorang wanita Emirati!” Aku berbisik perlahan. Bersedia untuk berjihad melawan ketidakadilan.

“Kenapa?” Kuntay bertanya dengan wajah berkerut.

“Mereka boleh menukar laporan polis mengikut alasan warga Emirati, kita hanya penumpang di negara ini, kekadang tidak ada suara, apalagi kalau tidak tahu berbahasa Arab!”

Wanita itu seperti dijangka bercakap dalam bahasa Arab. Satu taktik biasa untuk mengelakkan kesalahan, walau tahu berbahasa Inggeris. Seolah-olah juga mempamerkan ketuanan, siapa tuan di tanah Emirati.

“Kami akan panggil polis, ini kereta sewa, kami perlukan laporan polis untuk tuntutan insuran.”

Kataku dalam bahasa Arab pasar.

Wanita itu menggeleng.

“Tidak perlu, kereta saya tidak ada kemek apa-apa. Saya bayar kerosakan kereta kamu!”

“Terima kasih tawaran itu. Kami tetap akan panggil polis. Itu adalah undang-undang!”

Wanita itu terus membuat panggilan. Juga satu taktik biasa. Helah dan strategi untuk yang pertama menghubungi polis, seolah-olah tidak bersalah, kononnya berani kerana benar.

“Kamu menghubungi polis?”

Wanita itu mengangguk. Polis mesti datang ke tempat kejadian untuk memeriksa dan membuat laporan.

Untuk memastikan dia bercakap benar, saya sama menelefon polis. Sudah kenal perangai ramai Emirati, bukan semua boleh dipercayai.

Seperti biasa, trafik mula bergerak perlahan di kedua arah apabila melihat kereta kami parkir di tepi jalan. Menyebabkan pula kesesakan kerana ramai yang menyibuk untuk ambil tahu apa yang berlaku. Cuma tiada siapa ambil nombor untuk empat nombor ekor.

Tidak berapa lama, muncul kenderaan peronda polis.

Wanita itu terus menerpa kepada polis yang kebanyakan berpangkat rendah dan bukan warga asal Emiriah. Dari negara Arab lain, menjadi warga Emirati kerana menjadi polis. Dikatakan taraf atau kasta mereka lebih rendah dari Emiriah asal, sebab itu ramai anggota polis di UAE takut dengan warga Emiriah asal atau Bumiputera.

Dari percakapan yang saya dengar, wanita itu mempertahankan diri dengan menyalahkan kami, kononnya kami memandu secara berbahaya, cilok sana, cilok sini sehingga dia ‘terlanggar’ kami dalam keadaan cuba mengelak.

“Itu tidak betul!”

Terkejut wanita dan polis itu apabila saya bersuara tinggi.

“Dia melanggar kami dari belakang kerana memandu terlalu laju sambil menelefon. Tidak dapat mengawal kenderaan dan tidak sempat membrek. Kami memandu di lorong perlahan, bukan lorong laju!”

Tiba-tiba wanita itu menjadi garang. Pertengkaran meletus. Memang pembohong wanita ber’abaya’ hitam. Beriya-iya menegakkan benang basah. Bersungguh-sungguh menyatakan kami sebagai pendatang memang banyak membawa masalah kepada negara dan penduduk UAE. Walhal kami memang diperlukan kerana kepakaran dan pengalaman kami.

Polis itu menenangkan kami. Meminta lesen kedua-dua kami dan mengeluarkan surat laporan. Kertas salinan warna merah untuk saya.

Saya segera membantah.

“Kenapa saya salah? Bukankah dia melanggar saya dari belakang?”

“Kamu memandu berbahaya!”

Jawab polis tidak menghiraukan bantahan.

Saya terdiam. Wanita itu tersenyum.

“Tuan polis!” Saya meninggikan suara.

Polis itu berpaling.

“Kamu sepatutnya bersikap adil dan saksama sebagai polis yang berkuasa. Bukan mendengar cerita bohong dan percaya hanya kerana dia seorang Emirati. Kalau kamu melaporkan yang saya bersalah, ingatlah di hari akhirat nanti, saya akan menuntut di depan Allah dan kamu boleh sahaja masuk neraka!”

Polis itu terhenti dan terdiam. Memandang saya. Tangannya mula menggeletar.

“Ya! Ingatlah hari akhirat, kamu solat lima waktu, tetapi tidak adil dalam membuat keputusan!”

Polis itu menarik saya, agak jauh dari Kuntay dan wanita yang sama terkasima. Jihad di tepi lebuh raya dengan seorang polis dan seorang wanita Emirati yang menggunakan undang-undang untuk menyalahkan orang yang tidak bersalah.

“Kamu tahu yang wanita itu adalah Emirati, ada pertalian dengan Sheikh. Saya boleh dibuang kerja, harap kamu faham kenapa saya terpaksa melakukan sebegini!”

“Itu kamu jawablah di depan Allah nanti!”

Berpeluh wajah polis yang memandang ke arah wanita itu.

Dari reaksi polis berpangkat rendah itu, saya tahu yang dia mempunyai keimanan yang tinggi kerana menggigil apabila diperingatkan tentang akhirat.

Timbul rasa kasihan, tetapi saya tidak mahu kehilangan point trafik yang boleh menyebabkan lesen memandu ditarik balik. Saya tidak bersalah dan tidak mahu mengaku bersalah hanya kerana kasihankan seorang polis yang sepatutnya membuat keputusan adil.

Perlahan polis itu berjalan ke arah wanita Emirati yang belum apa-apa, terus sahaja kecoh dengan makian apabila kertas salinan merah diserahkan kepadanya. Polis itu sedang berjihad dengan suasana yang sudah menjadi budaya tidak tertulis, orang Emirati sebagai tuan dan sentiasa betul dalam apa sahaja keadaan.

Saya memandang Kuntay, berbisik perlahan, “Alhamdulillah, solat polis ini menguatkan imannya, takutkan hari pengadilan di padang mahsyar, tidak takut hadapi risiko walau boleh dibuang kerja kerana melakukan keadilan!”

(4)

KAMI teruja menyambut berita kejayaan terpilih sebagai kontraktor pemasangan sistem sekuriti di sebuah projek besar Abu Dhabi. Bersama kesyukuran.
Berpelukan. Kuntay mengesat air mata, kontrak pertama setelah tiga bulan berhempas pulas untuk mencari justifikasi kenapa dia perlu ada di UAE.
Bertambah manis pada bulan Ramadan walau akan terpaksa bekerja lebih kuat lagi.

Memang cukup manis sekali. Tidak perlu merasuah sesiapa. Tidak perlu kerana produk yang kami tawarkan memang menepati keperluan dan lebih canggih dari produk lain. Terbukti dengan rekod hebat pemasangan di seluruh Turki.

Lebih dari itu, bagi kami, kejayaan kami kerana gabungan kepakaran Turki dan Malaysia. Sebagai dua buah negara Islam yang dianggap maju dan berwibawa. Produk Turki dengan pengurusan teknikal projek Malaysia. Kombinasi dan kolaborasi hebat bertaraf antarabangsa.

“Kamu mesti berterima kasih kepada Erdogan kerana berani melawan Israel dan menjadi hero baru dunia Islam!”

Marwan, ketua pegawai operasi syarikat konsultan, di bawah pemaju sebuah GLC, yang memberi projek bernilai 5 juta dirham itu bercakap dengan mesra. Dengan serban corak kotak hitam putih kecil Palestin di bahu. Dia menandatangani surat tawaran dan menyerahkan dengan penuh klimaks.

“Kami orang Palestin terhutang budi dengan orang Turki dan Malaysia yang lebih hebat daripada orang Arab dalam membantu dan menyokong pembebasan Palestin. Berdiri teguh bersama kami walau pemimpin kami pun saling bertelagah. Bantuan kemanusiaan kalian memang sentiasa kami kenang.”

Saya dan Kuntay berpandangan. Ternyata, kami tersalah sangka. Urusan bisnes boleh sahaja berhasil sebab-sebab lain. Termasuk sebab-sebab kemanusiaan dan keprihatinan. Bisnes juga salah satu jihad. Islam telah turut berkembang kerana perdagangan dan ekonomi.

Lebih dari itu, rezeki daripada Allah datang dalam pelbagai cara. Berusaha dengan tawakal dan sentiasa yakin dengan keadilan. Tidak sia-sia berjihad melawan rasuah. Walau penuh kesukaran dan ganjil untuk melakukan sesuatu yang baik, Tuhan pasti memberi ruang.

Marwan adalah antara warga Palestin yang diaspora, berpasport Amerika walau katanya sentiasa pasti untuk kembali ke tanah air sendiri. Bila-bila masa sahaja.

Marwan pun memeluk kami dengan penuh mesra.

“Sebab itu pembidaan kamu diberi pilihan utama walau lebih mahal daripada yang lain. Ini juga satu jihad!”

PROFIL

FUDZAIL berkelulusan sains komputer dan matematik dari New Zealand, pernah menjadi pengurus IT di TV3 dan kini ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Eemiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini menjadi pakar runding kepada syarikat dari China, Turki, Hungary dan Perancis di UAE. Pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Antologi puisi Waikato diterbitkan oleh DBP pada 2001 dan antologi cerpen Dotkomania (DBP - 2009). Trilogi Aotearoa diterbitkan pada Julai 2010 oleh Oasisbuku. Pada Ramadan ini, beliau menyertai misi kemanusiaan di Gaza. Beliau boleh dihubungi melalui emel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com

Cerpen: Aroma Arabica di Alhambra
Oleh Ranofla Dianti Irwan

2010/07/31

LAPAN ratus tahun bukannya jangka waktu yang singkat. Berabad lamanya. Berkurun lamanya. Adakah kita akan menangisi kekhilafan pemimpin lampau waima kekhilafan diri sendiri kerana ia bisa menghancurkan keagungan sebuah empayar. Hannah termenung pilu. Memerhatikan perilaku kenalannya, Wira yang galak mengambil gambar dari pelbagai sudut pandangan lensa kamera Nixon milik jejaka itu. Panorama nan cukup panoramik istana Alhamra yang berada di hadapan matanya yang bundar itu tidak sedikit pun membuatkan dirinya teruja dengan gelagat Wira.

Gadis mungil itu memerhatikan keluasan Alhamra. Kubu yang dahulunya begitu gagah dan ditakuti seteru kini begitu hambar buat dirinya. Kubu yang dahulunya begitu ditakuti lawan kini begitu sepi dirasainya. Alhamra begitu agung di puncak kegemilangan sebuah empayar akhirnya tersembam parah di muka bumi sebuah tamadun kala Bani al-Ahmar tidak bisa lagi memperjuangkan kegagahannya.

Alhamra tidak lagi warna merah yang menyala garang. Alhamra tidak lagi gagah bagaikan singa mengaum. Alhamra bertukar wajah dari merah yang membahang kepada warna merah titisan darah. Merah Alhamra di akhir kegemilangannya adalah merah titisan darah para kesatria. Seni bina bangsa Moor ini umpama disimbah darah yang pekat dan likat kala ia terus berjuang mempertahankan keagungannya.

Wira memandang Hannah sepintas lalu. Pemuda itu sedar gadis mungil itu sedang berada di dalam alam yang diciptakannya. Dia hanya membiarkan Hannah terus meneroka alam di antara batas realiti dan fantasi yang kini mendominasi mindanya. Kanvas imaginasi Hannah bagaikan suatu magis kerana dia terus berhalusinasi di sekitar Alhamra.

Hannah menyentuh lembut binaan Alhamra. Dia terpaku dengan tembok serta batu-batu yang masih berwarna merah yang digunakan untuk membina Alhamra. Dia memandang ke angkasa. Kirmizi yang membiru membuatkan Hannah terus tersenyum ke arahnya. Awan stratatus seakan membentuk kerosang berfigura lavender memberikan satu impak realiti yang membataskan Hannah untuk terus berfantasi di alam magis yang direkanya.

Tiga belas buah jumlahnya, menara yang dibina di dalam kawasan yang memagari Alhamra. Dinding itu begitu kukuh. Dari risalah yang dibaca oleh gadis mungil itu, dinding Alhamra ini melingkungi kawasan seluas 14 hektar dan ia merupakan sebuah istana yang cukup indah. Alhamra yang dikelilingi pelbagai spesis flora yang berwarna-warni begitu indah dirasainya.

“Benarkah ia sebuah taman seakan syurgaloka?” bisik hatinya.
“Dan Alhamra juga adalah kubu terakhir bangsa Moor dalam penentangan mereka terhadap kemaraan tentera Kristian di Eropah.” Wira bersuara berkongsi info dengannya.

“Lihat ... Court of the Lions. Air pancutnya begitu masyhur.” Wira ingin menawan keintelektualannya untuk berdiskusi dengan Hannah.

“Lima singa yang gagah. Lima singa yang garang. Mungkin dalam bahasa muda-mudi kini juga disebut gempak. Ya ... Lima ekor singa yang gempak.” Mereka tertawa girang.

Hannah tertawa manja dengan gurauan Wira. Lantas dia menyentuh kelima-lima singa yang gagah, garang dan gempak itu. Ukiran plaster berbentuk daun yang menghiasi dinding dan siling Alhambra memukau taakulan retina matanya.

Hebat ... hebat .... hebat. Hannah berbisik dalam hati kecilnya. Juga binaan lima singa itu masih utuh walaupun telah dimamah usia.

“Ya ...Terlalu hebat. Puncak Gunung Sierra Nevada sedang memerhatikan seorang gadis yang sedang berfantasi”. Wira seakan menyindir Hannah.

“Wahai gadis adakah kau percaya bahawa dahulunya air pancut yang keluar dari kelima-lima mulut singa ini mempunyai konotasinya yang tersendiri tentang keutuhan serta lambang keagungan sebuah agama.”

“Maksudmu?” Hannah terpinga-pinga menantikan ulasan yang seterusnya. Wira menakung air dari salah satu Court of the Lions dari telapak tangan kanannya.

Pemuda itu inginkan suasana yang senggang dan santai antara dirinya dan gadis mungil itu. Dia tidak mahu melihat Hannah terlalu tertekan untuk menginginkan satu jawapan yang tepat lagi tepat untuk mencari satu formula menyelesaikan satu resolusi. Dirembeskan air yang ditakungnya itu. Mereka tertawa dan Hannah cuba menyelamatkan dirinya daripada terkena titisan air yang dirembeskan oleh Wira. Dia berlari di sekeliling Court of the Lions untuk menyelamatkan dirinya.

Hannah berhenti selepas dia menemui satu jawapan dari sudut pandangan vertikal Court of the Lions. Salah satu wajah singa itu seakan merenung wajahnya. Kehijauan puncak Gunung Sierra Nevada menghadirkan satu ceritera di antara dirinya dengan salah seekor singa itu.

“Mengapa”? Wira bertanya kehairanan.

“Aku merasai satu dejavu.” Ringkas jawapan dari ulas bibirnya.

Court of the Lions adalah penentu waktu dan jangkamasa penanda solat. Dari sudut pembacaanku, mereka mengatakan bahawa bila tiba waktu Isyak, Subuh, Lohor atau Zohor, Asar dan seterusnya Maghrib, air pancut itu akan mengalir dari mulut Court of the Lions. Mungkin juga salah satu singa ini mewakili setiap waktu dan kala waktu solat itu tiba, air itu akan memancut keluar dengan tenang. Dingin dan patuh bila azan bergema dan berkumandang. Dan mungkin juga inilah caranya Court of the Lions ini berzikir tanda keagungan terhadap Ilahi dengan mengalirkan air yang suci dan bersih bila tiba waktu solat dan para jemaah bisa berwuduk dari air yang mengalir ini. Bukankah ini satu teknologi yang maha hebat yang diilhamkan oleh Yang Maha Kuasa kepada pencipta Court of the Lions ini. Dan penciptanya ialah bangsa yang mengagungkan kebesaran Ilahi yakni satu bangsa yang beragama Islam.

Tetapi apabila soldadu Kristian yang diketuai oleh Raja Kristian Sepanyol iaitu Ferdinand dan Ratu Isabella menawan Alhamra, mereka menghapuskan segala yang punya identiti yang bernama Islam. Court of the Lions telah diuji kaji dan menjadi bahan eksperimen untuk mencari satu resolusi dan akhirnya air pancut itu tidak dapat lagi mengalir kala tiba waktu bersolat. Dan ia terus mengalir tanpa henti sehingga kini. Betapa dahsyatnya mereka menghakis sebuah ketamadunan yang unggul. Mungkin juga air pancut yang terus mengalir ini tanda kedukaan Court of the Lions kerana bangsa Moor tidak dapat menumpaskan kemaraan Ferdinand dan Isabella dan sehingga kini lima ekor singa itu terus menangis dan menangis.

Ya ... menangisi keruntuhan sebuah empayar Islam yang unggul selama 800 tahun di Alhamra. Malah, lima ekor singa ini juga meratapi pelbagai jenis kezaliman yang tercipta setelah terhakisnya tiang sebuah puncak ketamadunan Islam yang begitu unggul di bumi Eropah ini. Begitu sadisnya pengakhiran era sebuah empayar daripada puak Bani al-Ahmar yakni Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897 Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella.

“Aku pernah membaca sebuah artikel yang mengatakan bahawa untuk memusnahkan sebuah peradaban, kita harus menghakis identiti bangsa itu menerusi bahasanya”. Benarkah begitu. Hannah memandang tepat ke arah wajah Wira tanpa sebarang kerlipan.

Wira menganggukan kepalanya tanda memanterai satu persetujuan. Tiba-tiba pemuda itu juga telah dibawa oleh Hannah untuk meneroka realiti sebuah dunia fantasi menerusi taakualan mindanya. Dia cuba mengingati sebuah fakta dari akhbar yag pernah dibacanya. Ya ... Bekas Canselor Universiti Chicago yang bernama Robert M Hutchins dalam mukadimah The Great Books of Western World pernah mengatakan bahawa: Seseorang itu tidak dikatakan terpelajar melainkan dia cukup mesra dengan karya agung tradisi bangsanya.

Sangat menarik untuk dibicarakan. Bagi pemuda ini kenyataan tokoh ini nampaknya begitu mudah, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Malah ia adalah satu beban yang maha dahsyat untuk dilaksanakan dalam sistem pendirikan hari ini.

Mengapa ya ...? Mungkin kealphaan untuk mengisi ruang pengajaran dan pembelajaran yang terus mendominasikan teknologi maklumat seiring dengan pemodenan sebuah bangsa dan negara, mereka terus melupakan bahasa dan sastera bangsa mereka. Tidak sekelumit pun rasa bersalah bertakhta di sanubari mereka kala mereka mengatakan bahasa dan sastera itu tidak relevan untuk diguna pakai dalam pemodenan menuju ke arah globalisasi sebuah bangsa. Mereka terus mengagungkan bahasa dan budaya bangsa asing. Ya ...bangsa yang pernah menjajah mereka. Mereka masih lagi dijajah dan laungan merdeka yang disambut saban tahun hanya laungan sia-sia sahaja kerana isme kolonialisme masih tersemat utuh dalam jiwa mereka. Bertamadunkah mereka jika mereka tidak menghargai bahasa, sastera dan budaya bangsa mereka sendiri?

“Tetapi tidak modenkah sebuah bangsa dan negara itu jika mereka menyintai karya agung mereka yaksi bahasa dan sastera. Terlalu kolotkah jika ia menjadi tunjang utama dalam sistem pengajian rendah dan menengah mahupun pengajian tinggi pada zaman melenium ini.” Hannah menyuarakan ketidakpuasaan hatinya terhadap beberapa sistem yang dicipta oleh manusia yang kadangkala tidak masuk akal dan inilah langkah permulaan untuk menghakis identiti sebuah bangsa itu.

Wira hanya terdiam. Wajah Alhamra yang tidak lagi pekat simbahan cat merahnya seakan tersenyum ke arahnya. Rimbunan bunga-bungaan yang mekar di sebuah sudut Court of the Lions begitu mendamaikan. Tetapi warna violet lavender itu direnungnya penuh keasyikan. Momentum apakah yang dirasainya kini? Hannah seorang kenalan yang banyak mempersoalkan sesuatu persoalan terhadap dirinya di hadapan Alhamra ini mencetuskan satu misteri buat dirinya. Mekar indah lavender yang disukai oleh Hannah, kini disukai juga oleh seorang jejaka yang macho seperti dirinya. Adakah dirinya kini mempunyai kesempurnaan iman kerana punya sifat belas lantas kasih pada diri gadis mungil itu? Atau ini satu perasaan yang indah dan sukar ditafsir seperti yang dicipta oleh Ilahi terhadap kewujudan Adam dan Hawa?

Aroma Arabica dari pinggir Alhamra menghentikan perjalanan fantasi Wira dalam dunia realiti ini. Dengan menghirup secawan Arabica mungkin dapat merehatkan ruang fantasi seakan filem The Matriks yang mendominasi ruang fikirnya. Arabica yang tumbuh segar dan melata di negara Semenanjung Arab ini terutamanya di Yemen dan Sudan berabad lamanya dan telah melangkaui usia 1000 tahun bagaikan sebuah teka-teki . Aromanya yang unik serta rasa pekat biji kopi yang dipanggang secara tradisional mungkin dapat memulihkan kadar pH di dalam badan.

Dan kebuntuan mencari serta merungkai pelbagai persoalan teori dan resolusi dapat diselesaikan sesudah menghirup secawan Arabica.

Warna hitam pekat serta aroma yang harum dari secawan Arabica di sebuah kafe di pinggir Alhamra begitu nikmat dan mendamaikan. Nikmat itu tidak dapat diperkatakan dengan rantaian kata-kata. Hebat zat abstrak nikmat sebuah rasa yang diberikan oleh Ilahi terhadap manusia. Apakah metafora yang sesuai untuk diperkatakan kala menghirup secawan kopi Arabica di pinggir Alhamra ini?

Gelagat Hannah yang tekun memerhatikan gelagat remaja lelaki dan perempuan yang berhadapan meja mereka kala menghirup Arabica membuatkan Wira tersenyum. Dari gaya mereka yang terdiri dari dua lelaki dan tiga perempuan itu menunjukkan bahawa mereka adalah sekumpulan siswa dan siswa dan tidak diketahui pula dari Universiti mana. Kelihatan mereka seperti berbangsa Tionghua. Tetapi gaya perbualan mereka yang lebih senang menggunakan bahasa Indonesia yang lancar tanpa ada pelat dan cacat-celanya membuatkan Wira juga tergamam kala memandang mereka.

“Saya bangga dengan keupayaan mereka berbicara menggunakan bahasa Indonesia kala berbicara. Saya juga bangga punya talian darah Indonesia dari Umi yang mewakili saya. Situasi ini juga pernah saya saksikan di kafe-kafe sekitar kawasan Sunway Pyramid dan Pavillion. Mereka adalah bangsa Indonesia walaupun berketurunan Tionghua. Tetapi saya hairan. Jika mereka yang bukan bangsa Melayu ini bisa berbicara menggunakan bahasa Indonesia dengan fasih, mengapa bangsa Melayu yang kononnya mempunyai gaya hidup yang moden lagi urban sukar untuk saya saksikan mereka berbicara menggunakan bahasa Melayu yang sempurna seperti mereka yang punya warganegara Indonesia ini, tetapi berketurunan Tionghua”. Hannah menyatakan sudut kehairanannya dalam satu autopsi sebuah jati diri bangsa terhadap bahasa.

“Kadang-kadang kepingin untuk melihat warganegara Malaysia yang berbangsa Tionghua ini kala mengisi ruang senggang mereka di kafe-kafe seperti di Mid-Valley atau di KLCC berbicara sesama mereka menggunakan bahasa Melayu seperti anak-anak Tionghua yang punya warganegara Indonesia itu. Terlalu sukarkah untuk merealisasikannya?” Hannah menyoal Wira bagaikan seorang ejen FBI yang inginkan segala maklumat dalam satu masa. Begitu tegas dan kadang-kala seakan ejen Mossat pula. Wira tersenyum sendirian.

“Tapi Melayu baharu dan urban itu juga lebih bergaya berbicara menggunakan bahasa Inggeris yang bercampur-aduk dengan pelbagai bahasa dan bahasa itu tidak tahu dinamakan sebagai apa ya. Tidak bahasa creol mahupun bahasa pijin. Lebih baik saya makan rojak daripada menggunakan bahasa rojak.” Hannah berlawak manja sambil menghirup nikmat Arabica dengan ditemani suasana yang dingin hasil dari tiupan puput bayu dari pinggir Alhamra.

“Kadangkala penciptaan sistem oleh manusia itu membuatkan sistem yang sedia ada lebih kucar-kacir daripada memantapkan sistem tersebut.”

“Saya cukup bersetuju.” Celah Hannah sambil menghirup Arabica entah kali ke berapa.

Wajarlah di benua Amerika Selatan majoriti masyarakatnya menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi. Hebat gaya koloniolisme dan imperialisme bangsa Sepanyol memartabatkan bahasanya hingga ke benua Amerika Selatan sehingga kini. Tetapi amat menyedihkan kerana ada segelintir manusia yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya dan segala peradaban itu terlupus dan hancur bersama bahasa yang mengindahkan sebuah peradaban.

Kilauan Alhambra yang diserikan dengan sinar mentari jingga dari pinggir kafe itu seakan ingin bersuara. Terlalu banyak rahsia yang perlu dirungkai dan diketahui oleh gadis mungil itu di sebalik warna merah pudar Alhambra yang kadang-kala mengundang ceritera gothik yang tidak mungkin melenyapkan rasa ingin tahunya terhadap keunggulan sebuah peradaban yang telah sirna.

Profil

Ranofla Dianti Irwan, mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 1999. Pendidikan awal dari Akademi Seni Kebangsaan, kini dikenali sebagai ASWARA dalam bidang Penulisan Kreatif. Seterusnya Sarjana Muda BA (Linguistik) dan Sarjana MA (Pendidikan). Pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa 1999, Hadiah Sastera Utusan Public-Bank 2000 dan 2001 kategori cerpen. Bertugas sebagai Guru Bahasa Melayu di Nexus International School, Putrajaya untuk program IGCSE dan IB.

Status ijazah KPM-OUM


2010/11/18

SAYA memohon Kementerian Pelajaran Malaysia menjelaskan status pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran KPM-OUM 2009.

Adakah benar ijazah ini tidak diiktiraf? Apabila diajukepada Universiti Terbuka Malaysia, mereka mengatakan sudah mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia tetapi apabila guru-guru memohon DG41 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, mereka mengatakan ijazah kami tidak diiktiraf Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Penangan puisi di Istana Budaya
Oleh Nurul Farina Nazlan

2010/11/16

Malam Puisi Riong meriah dalam dakapan Laman Beringin

HUJAN tidak menentu yang sedang melanda ibu negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan suratan takdir kesesakan lalu lintas yang teruk lewat senja 12 November lalu, tidak membawa berita duka kepada kepada Malam Puisi Riong Berita Harian (BH), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Istana Budaya (IB).

Nyata malam 12 November lalu, hujan mengerti lalu malu menjenguk diri dan kesesakan lalu lintas suatu rahmat kepada penganjur apabila puluhan meja dengan empat kerusi setiap satu di Laman Beringin, IB, penuh berisi sebelum jam 8.30 malam, khalayak sabar menanti persembahan sambil menikmati juadah yang dibeli di gerai yang beroperasi malam itu.

Menikmati juadah dalam suasana santai sambil mendengar persembahan kumpulan muzik tradisional IB sementara menunggu acara bermula, membuka peluang khalayak Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB menghayati suasana santai sambil berbual isu disenangi dalam dakapan cuaca indah malam itu.

Personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya selaku pengacara majlis bertema Menelusuri Ilmu, Menyemarak Kreativiti itu memulakan pentas acara dengan deklamasi puisi, Hancur, sambil diiringi persembahan berlagu jejaka tampan, Di Ilham Ismail dari Hospital Selayang, personaliti baru dalam dunia perpuisian tanah air.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, memulakan persembahan puisi t0koh penyair malam terbabit dengan Taman Terluka dan disusuli Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2005, Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi.

Agi yang menarik perhatian lebih 500 khalayak malam terbabit dengan suara garau dan mengajak mereka mengulangi bait sarat patriotisme ketika tampil di pentas puisi dengan Berikan Daku Malaysia Untukku, atas semangat perpaduan kaum yang kental.

Malaysia tajam
Malaysia pantas
Malaysia tak mati direjam
Malaysia bebas
berikan daku Malaysia untukku
dirikan sebuah orkestra perpaduan
yang mengeluarkan lagu-lagu
tanah air tercinta.

Persembahan malam itu turut diserikan dengan suara lantang penyanyi muda, Taheera Rosheena Mohamed yang memilih bait puisi karya Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said, Rindu Ibu dan Khazanah untuk dikongsi dengan khalayak.

Pentas puisi dihangatkan lagi dengan deklamasi puisi oleh Penerima Anugerah Penulisan Sea 1989, Dr Siti Zainon Ismail yang mendeklamasikan puisinya, Bait Tiga Hingga Enam, dipetik dari Bait Senandung Malam, dengan iringan gesekan biola oleh kaki tangan IB.

Majlis bertambah meriah dengan persembahan bersahaja pendakwah dan motivator terkenal tanah air, Mohd Zawawi Yusoh yang julung kalinya terbabit dalam acara puisi, juga memilih karya SN A Samad, Hayat Indah, sambil berseloroh gementarnya selama dua hari berkesudahan dengan mimpi bertemu ‘bidadari’ yang pandai berpuisi.

Di sisi tiang berukir
atas renda sejadah
kudus tulus doa
fakir yang amat gundah
khusyuknya utama
mengharap restu abadi
surah-surah suci
demi hidup dan mati.


Editor Majalah Pentas IB, Rahimidin Zahari, pula meneruskan acara dengan puisi, Kenangkanlah, sebelum pentas acara dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada kumpulan Tilu dengan tiga lagu rancak, Diam-Diam dan Ku Bukan Aku.

Satu-satunya penyair bukan Melayu pada malam itu, Prof Madya Dr Lim Swee Tin yang juga Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), turut memukau penonton dengan getaran suaranya lewat puisi, Di Anjung Pujangga, sambil diiringi syair Pegawai Perancangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Nur Hasmanalinda Mustafa.

SN Datuk Dr Anwar Ridhwan yang bergegas dari Langkawi, berkongsi rasa dengan khalayak Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB lewat karyanya, Peduli Ibu yang mengajak anak muda hari ini agar menjadi manusia berguna , di samping mengkritik ibu bapa yang gagal menjalankan tugas keibubapaan, tetapi meletakkan kesilapan di tangan anak sepenuhnya.

Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiron, mempamerkan bakatnya dalam penciptaan puisi apabila tampil beraksi di pentas acara dengan puisinya, Sesetia Kasih Tuah yang digarap khusus untuk acara terbabit dan hanya selesai dinukil beberapa jam sebelum acara berlangsung.

Dan
kita sering terpesona
dengan ceritera cintanya.

Teja sedia dibawa lari
tapi
mana Tuah
dengan dua belas bahasa yang dikuasai
mana Tuah
setia mempertahankan
raja dan kerajaannya.


Suasana semakin santai apabila penonton ‘digeletek’ dengan bacaan puisi Pengarang Kumpulan, Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid lewat Tanya 1 iaitu dialog di antara penulis dengan seorang YB dan Tanya 2 yang didakwa beliau dan memang ternyata pendek kerana hanya dua baris ayat.

Di mana YB beli baju ini
dia jawab, dah lama
jawapannya tidak ada kena mengena
soalannya di mana, bukan bila?
beginilah cara ahli politik
menangkis soalan pemberita
dia bertanya kepadaku pula
di mana you beli baju ini
aku jawab
dah lama.


Pendatang baru dunia nyanyian tanah air yang setiap kali tampil di pentas sama ada berbaju kurung atau kebaya, Ana Raffali, berkongsi rasa dengan dua lagu ciptaannya, Ketika Kecil dan Sayangi Aku sebelum berduet dengan penyanyi veteran, Sohaimi Meor Hassan dan Altimate dengan lagu popular mereka, Kalau Berpacaran.

Sohaimi yang mencipta nama dalam dunia lagu puisi tanah air pada 1980-an dan jarang menyanyikan lagu rancak nampaknya serasi dengan Ana Raffali sehingga persembahan mereka dengan Altimate ketika melagukan Kalau Berpacaran. mendapat tepukan gemuruh.

Penyanyi bersuara garau itu, menutup tirai majlis dengan lagu popularnya, Misteri Cinta dan khalayak seakan-akan terpaku seolah-olah acara baru saja bermula dan enggan meninggalkan Laman Beringin yang tenang menanti kedatangan mereka.

Turut hadir pada Malam Puisi Riong BH-ITNM- IB ialah mantan Pengerusi ITNM, Dr Wan Hashim Wan Teh; Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani dan Peneliti Sastera Melayu dari Perancis, Dr Moniqur Zaini Lajoubert.

Malam Puisi Riong membuka tirai jerayawara pertamanya tahun ini di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 3 Februari lalu, sebelum disusuli di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 17 Mac; Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, (27 Mac); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh (7 April); Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam (30 April); DBP, Kuala Lumpur (26 Jun); Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, (2 Ogos); UTM, Skudai (26 September) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), pada 2 November lalu.

PENGGIAT SENI TRADISIONAL

- BERNAMA


Penggiat seni tradisional masih ada, namun ia semakin berkurangan.- Gambar hiasan


PADA masa kini, seni yang "dikacukkan budaya barat" bukan sahaja memberi implikasi negatif terhadap budaya muzik tanah air bahkan impaknya begitu dirasai aktiviti kebudayaan dan kesenian tradisional seperti mak yong dan bangsawan.

Ini menyebabkan penggiat seni tradisional seperti mak yong dan mek mulung, hanya tinggal segelintir sahaja dan kebanyakan mereka ini bukanlah dari generasi muda tetapi golongan berumur.

Mungkinkah ini memberi erti jelas bahawa penggiat seni budaya tradisional sudah semakin pupus berikutan kurangnya pembabitan generasi muda dalam bidang ini?

Menyangkal dakwaan itu, Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa berpandangan penggiat seni aktiviti tradisional masih ada, namun ia sudah semakin berkurangan.

Menyifatkan penggiat seni sebagai "tebing sungai" yang setiap hari mengalami kehakisan, Dr. Mohamed Najib berkata tidak ramai golongan muda berminat membabitkan diri dalam aktiviti sedemikian.

"Kita tidak boleh kata penggiat seni aktiviti tradisional ini sudah pupus kerana ia masih ada lagi cuma berkurangan saja. Hakisan aktiviti tradisional ini bukan bermula sekarang, tetapi ia sudah bermula sejak dari dulu lagi," katanya ketika ditemubual Bernama baru-baru ini.

Merujuk kepada pelbagai faktor yang boleh menyebabkan terhakisnya aktiviti tradisional itu, Dr. Mohamed Najib menekankan, budaya kehidupan masyarakat masa kini merupakan punca utama penggiat seni generasi muda semakin berkurangan.

Ungkapan 'rumpun Melayu' bukanlah asing malah ia sudah sinonim bagi masyarakat negara ini. Namun, apakah kaitannya dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian tradisional?

Dr. Mohamed Najib berkata kehidupan masyarakat negara ini yang terlalu membanggakan status individualistik akhirnya memberi kesan kepada 'rumpun Melayu', sekali gus mengakibatkan kurangnya pembabitan generasi muda dalam aktiviti tradisional.

"Kalau tinggal di kampung, jiran sebelah-menyebelah akan gunakan perkataan 'kita' dalam apa juga urusan sesama mereka seperti "anak kita macam mana", maksudnya anak kamu macam mana. Jadi istilah 'kita' banyak digunakan di kampung dan pelbagai perkara boleh dikongsi bersama.

"Berbanding tinggal di bandar, perkataan 'kita' jarang digunakan kerana sikap individualistik menyebabkan hilangnya 'rumpun Melayu' kerana rumpun itu dimaksudkan sebagai satu himpunan dan apabila orang Melayu sudah tidak berkumpul sesama mereka, akhirnya aktiviti kebudayaan dan kesenian tradisional itu semakin hari semakin hilang," katanya.

Beliau berkata aktiviti tradisional memerlukan pembabitan dari satu kumpulan besar dan bukanlah pembabitan individu, maka ini sekali gus memberi implikasi besar kepada usaha penambahan penggiat seni dalam kalangan generasi muda.

Apabila revolusi masa menyaksikan kehendak manusia yang inginkan semua perkara berlaku dengan cepat termasuk makanan, ini sedikit sebanyak menyumbang kepada terhakisnya aktiviti tradisional dalam kalangan generasi muda, katanya.

"Sebagai contoh, tarian tradisional hendaklah bermula dengan permulaan hinggalah penutup persembahan ada urutan-urutannya, tetapi dalam kehidupan masyarakat moden semuanya nak cepat jadi banyak urutan dalam tarian sudah dipotong .

"Kehidupan orang Melayu sama ada dalam tarian ataupun hubungan mereka sesama manusia, semuanya ada kaitan dalam menghidupkan aktiviti tradisional ini dan apabila kita hendak cepat dalam semua perkara kerana ingin menyesuaikan kehidupan moden, ini yang menyebabkan aktiviti tradisional terhakis sedikit demi sedikit," katanya.

Tambahnya, apabila aktiviti tradisional ini semakin hari semakin berkurangan, maka pembabitan generasi muda pun akan turut berkurangan.

Benarlah Kata Angin Itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan

SAUDARA, petiakanlah rumah kayu ini. Ia datang dari lamanya masa. Ia dibangun di atas tapak yang menumbuhkan rasa cinta, sering menjelmakan tunas muda yang seperti menjanjikan banyak kebahagiaan, keindahan dan rasa syukur buat sesiapa sahaja yang berhasrat untuk mendekatinya. Saudara, saya bercakap dari sini, ya penjuru yang dilewati angin yang masuk dari pintu pagar yang antara jaraknya dapat mengutip barang setempurung melor, bersama mawar desa dan kenanga. Sebelumnya, angin itu tiba di bawah para-para kayu yang dibelit si cantik kesidang, menghala ke tangga batu rumah ini. Ya, bayangkan sahaja angin yang selalu singgah di penjuru dan kemudian bertandang ke seluruh ruang hadapan. Harumnya bukan kepalang. Ia tidak memabukkan, sebaliknya sangat mengamankan. Jarang sekali ia menggesa, sebaliknya ia umpama menebarkan jala cinta. Dan begitulah dari angin itu, ia selalu datang dengan berita. Angin itu sering membenarkan apa sahaja yang dibawanya.

Dia seperti pagi semalam dan kelmarin dan ratusan pagi lalu, akan duduk di penjuru ini, dengan secawan susu panas. Ada rehal berukiran sederhana, sedia memangku al Quran yang sangat dicintai di atas sebuah meja bulat beralas kain putih bersulam tepi. Saya sangat tahu perasaannya apabila setiap kali mata kelabu yang jernih, dengan lingkaran kebiruan, seakan mahu mengucapkan rasa seribu cinta terhadap Tuhan.

Apatah lagi saat Dia membaca perlahan surah suci dari kitab mukjizat yang dimiliki sejak zaman mudanya. Kali ini, benar, ada angin yang datang dari pintu pagar, melewati kesidang yang bergayut di para-para, singgah sebentar di serambi, langsung tiba di sini. Dia membaca lagi surah suci an-Nisa' 78, antaranya menggemakan, di mana jua kamu berada, maut pasti akan menjemput iaitu bila sampai ajal, sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…. Ya, ketenangan pecah sudah. Dia membaca lagi dan teresak.

Saya sangat pasti, Dia sedang diperangkap kesedihan yang cukup dalam. Dia menyeka air mata daripada jatuh buat sekian kali. Bukankah Dia juga pernah menekuni surah suci az Zumar 42 yang pernah mencengkam dadanya, Allah memegang jiwa ketika matinya dan memegang jiwa yang belum mati di waktu tidurnya; lalu Allah menahan roh orang yang telah ditetapkan kematiannya dan melepaskan roh orang yang dalam tidur hingga waktu yang ditentukan.

"Dik, masanya sudah semakin hampir. Kakak mahu kau hidup bahagia selepas ini. Jangan sendiri lagi. Mak sudah lama pergi dan sekarang tiba ketikanya buat kakak pula."

Begitulah antara kata-kata saudaranya di talian telefon. Dia nekad. Dia tidak mahu menziarahi satu-satunya saudara yang tinggal menuju hari-hari terakhirnya itu. Dia tidak mahu ada ziarah terakhir. Dia tidak mahu lagi ada angin dari pintu pagar yang tiba di penjuru dengan segala harum yang dikutip di sepanjang jalan masuk ke rumah bertangga batu ini. Angin yang akhirnya bertemu dengan penjuru, lalu membenarkan berita yang dibawa dan, "saya meneruskan perjalanan," lelaki itu akan mengucapkan ayat yang sama. Ya, angin yang membawa berita yang intinya sengsara penuh jelaga. Ya, berita pemergian, kehilangan dan kerinduan.

Saudara, izinkan saya bercerita tentang Dia, barang sepatah dua.

Dia anak lelaki bongsu yang tinggal dalam keluarga yang semakin pupus ini. Dia ternyata sangat menyayangi saudaranya yang bertiga - abang sulung yang pergi kerana mempertahankan tanah air lama dulu, kakak pertama yang mati merana rindukan suami yang lebih awal meninggalkannya dan kini tinggal kakak kedua yang terbaring menanggung sakit tua. Sementara ibu dan ayahnya sudah sekian lama pergi, namun seperti selalu Dia menerima pesan rindu.

Saya adalah penjuru rumah pusaka ini sejak ia didirikan, menjadi saksi setiap apa yang berlaku. Rumah yang diam cantik di sebuah kampung dan kampung ini menyimpan banyak orang tua seperti Dia. Orang tua yang hanya menunggu saat dipanggil bagi meneruskan perjalanan pulang. Orang tua yang hanya menunggu berita, dibawa angin datang dari pintu pagar. Sementara diri sayalah tempat banyak cerita berkumpul termasuk narasi beberapa kematian. Betapa saya menemaninya setiap kali Dia pulang daripada menziarahi saudara atau taulan yang menanggung saat berhadapan dengan hari-hari terakhir mereka. Sewaktu ibunya, tuan punya rumah cantik ini masih ada, kepada dialah akan ditumpahkan segala cerita penderitaan dan resahnya setiap kali pulang daripada berziarah.

Ya, satu petaka yang bersarang dalam dada lelaki melepasi separuh usia mudanya yang terus sendiri ini. Begitulah Dia berbahagi kesengsaraan yang membungkus hampir seluruh hidup hingga kini. Saya ingat beginilah antara percakapannya sekembali daripada salah satu ziarah.

"Saat mengusap lengan nipis dan lemah itu, saya berdoa sungguh-sungguh dalam hati. O Tuhan, janganlah dia pergi saat saya menziarahi, ketika ini. Atau saya masih keliru dan rasa bersalah. Sudah sekian banyak kehidupan berakhir di hadapan mata saya. Almarhum datuk, ibu saudara, abang, kakak, beberapa sahabat dan tetangga. Dan kali ini sahabat saya yang keadaannya lemah sekali. Saya berdoa lagi. Berilah kekuatan untuknya terus bernafas. Janganlah lagi ada yang pergi seusai ziarah ini."

Dia terus mengingati bagaimana dirinya dihempap ketakutan di puncak rasa sangat bersalah saat Dia berada di sisi Mak di katil hospital kerana kesulitan bernafas, ketika itulah almarhum meneruskan perjalanan pulang kepada Penciptanya. Dia terus bertanya-tanya mengapa saat saudara lain yang menziarah atau menemani Mak, perjalanan pulang itu tidak terjadi. Dia terus bertanya-tanya mengapa hanya saat Dia mengusap rambut putih halus Mak, yang disangka dalam tidur yang nyenyak, saat itulah sebenarnya perjalanan itu sudah bermula. Dia bertanya-tanya juga mengapa saat diseka titis peluh di dahi Mak, tatkala itulah Mak meneruskan perjalanannya. Betapa sepanjang minggu dan bulan, sesal dan takut berada di pundak dan kepalanya. Ah, Dia tak akan lupa seluruh kulit tangan tua mak bergaris halus yang diciumnya. Tangan perempuan mulia yang sentiasa Dia rindu!

Pada masa yang sama saya percaya Dia sangat sedar dengan surah-surah suci yang pernah ditekuni. Namun begitulah resam ziarahnya. Ia akan menjadi pertemuan terakhir. Paling tidak keesokan harinya, angin dari pintu pagar akan mengirim berita yang kadangkala saya dapati seperti bau setanggi, menanggalkan harum semua bunga yang beratur di sepanjang laluan masuk ke rumah. Dia menghuni rumah gadang ini secara tetap semenjak meninggalkan alam pekerjaan di kota hampir sedekad lalu.

Dia meninggalkan hampir seluruh kehidupannya di sana. Bersama lapis-lapis cerita Dia meninggalkan hati seorang perempuan yang terpinga-pinga saat Dia sempat menitip pesan, "saya tidak mahu ada angin yang membawa berita bersama wangi bunga dan kenangan dari pintu pagar nanti tentang dirimu. Saya akan menanggung kesal seluruh hidup jika angin itu membenarkannya dan begitulah saya harus meneruskan perjalanan seorang diri." O, perempuan yang mendatangkan cinta dalam dada saat batang usianya menggalah tinggi; sedang sebelumnya Dia begitu menghukum semua cinta yang singgah dengan kesibukan pekerjaan dan kesengsaraan menerima setiap khabar kematian. Dia menolak hampir semua pesanan kalbu.

"Mimpi tidak jarang menjadi lembaran surat atau ia menjadi penawar bila sebenarnya kita merindui seseorang tanpa kita sendiri tahu. Rindu itu mengalir membelok masuk ke daerah bawah sedar dan kita bertemu dia yang sudah lama bermukim dalam kenangan. Tapi kemudian bagaimana pula mimpi dan surat itu bertukar menjadi satu nama lain yang menggunting-gunting ketenangan." Dan mimpi atau inti surat itu dilapisi pantun seperti mahu kembali dikirim kepada perempuan dari kota,

Belayar berbelok-belok Sauh

dibongkar di tempat tenang

Yang tinggal hati tak elok

Yang pergi hati tak tenang

Sebenarnya saya pernah cuba untuk menyelinap masuk ke penjuru jiwa lelaki ini. Ya, pengalaman yang menarik sekali. Saya adalah sebuah penjuru rumah pusaka dan mahu pula memasuki penjuru lain. Penjuru jiwa lelaki ini! Ya, saya mencubanya menerusi mimpi. Begitulah pada suatu malam yang larut menjelang dinihari, saya memasuki ruang mimpinya. Begitu saya bersuara dan lelaki itu kelihatannya dalam ketakutan seperti sebongkah gunung mahu menimpa kehidupannya yang sendiri. Bagaimana pula saya, penjuru yang selama ini menemani Dia, saat gembira dalam dakapan ibu, saat Dia juga dikepung kesakitan acapkali yang diziarah itu bertemu kematian, saya menjadi sebuah ketakutan pula? Oh, rupa-rupanya lelaki ini, ternyata belum pernah tahu bahawa saya adalah sebuah penjuru yang boleh bersuara dan bercakap-cakap dengan penghuni rumah tua ini. Sebelum Dia bangkit dari tidur yang pulas dengan terjahan mimpi, saya sempat membisikkan sesuatu, kau sebenarnya bukan hanya dikirim angin dari pintu pagar yang membenarkan berita setiap ziarah, kau juga sebenarnya dapat merasakan getar berita yang mengandung sengsara. Dan itulah yang menjadi sejuta tikaman ketakutan!

Dia mengunci rapat kehidupannya selepas itu.

Maka seringlah saya rasakan setiap ziarah, Dia seperti datangnya Izrail memanggil kembali roh manusia. Dia datang dengan tangan gergasi yang mahu menarik nyawa. Atau Dia sangat dapat melihat kekecewaan seperti tidak terhitung di matanya. Betapa Dia sedar orang perkasa dapat dipatahkan lehernya dengan kematian. Tulang temulang ketua dan orang ternama dapat dihancurkan dengan kematian. Angan dan harapan orang haloba dapat dipadamkan dengan kematian. Kebodohan ketua agama dapat dilumatkan dengan kematian. Pejuang bangsa yang dapat dipijak kepura-puraan mereka dengan kematian. Jeleknya suara penyanyi, tukang lawak dan penyair yang melalaikan akhirnya disumbat lemas dengan kematian. Ah, betapa berkuasanya sebuah kematian!

Saudara, pagi ini, seperti pagi semalam dan kelmarin dan ratusan pagi lalu, Dia duduk di penjuru ini, masih bersama kitab suci agama yang dicintainya, masih juga bersama susu panas. Penderitaan ternyata tidak memilih masa. Pagi ini sekali lagi angin dari pintu pagar yang tidaklah begitu menghadang pandangan orang di luar melihat serambi atau melihat jendela yang sering mengibarkan langsir putih tipis, membawa berita. Seperti selalu juga, dipetik sama harum melor, mawar dan kenanga yang paling akhir kesidang, sebelum tiba di kaki tangga.

Angin dengan segala bunga kadangkala bunyinya seperti sehelai surat cinta yang datang dari gunung, itu juga antara perumpamaan yang direka lelaki ini. Cinta. Ah, Dia menolak segala yang datang hanya kerana mahu memelihara hari-hari terakhir seorang lagi saudaranya yang tinggal terbaring di sebuah kota. Ya, hanya satu yang tidak pernah dapat ditolaknya iaitu angin yang membenarkan segala berita yang dibawa dari pintu pagar. Angin yang masih memungut sama harum pelbagai bunga bermula dari pintu pagar yang jarang terbuka. Dan angin itu tidak pernah berdusta. Angin yang selalu jujur dengan apa yang dikendong. Angin yang berintikan sengsara!

Semalaman Dia menghadap al Quran yang sekian tahun menjadi sahabatnya. Kali ini Dia duduk di kerusi empuk di kamar peribadi. Dan saya, si penjuru yang pernah masuk ke dalam mimpinya, menjenguk di lawang yang separuh terbuka. Berkali-kali Dia berkalih tempat. Saya tahu dalam sunyi malam menjelang dinihari, ingatannya tidak putus merayap membelah hutan belukar, menempuh lebuh raya, memasuki lorong dan jalan menghampiri rumah kakak keduanya yang sedang terbaring. Dalam gelap yang mengurung rumah pusaka ini, rindunya sudah berjaya melepaskan diri menuju ke pembaringan saudaranya itu.

Walau ketakutan yang merantai, Dia masih terus membaca dan membaca surah mukjizat agung yang memujuk segala yang meresahkan sekian masa ini. Antara jaga dan membaca, akhirnya lelaki ini dibangunkan dari lena yang pendek oleh dengung serangga dari hutan seberang yang singgah. Sesekali saya juga seperti mahu memberitahu, Dia harus bangun membersihkan diri dan kembali bercakap-cakap dengan Tuhan tentang kisahnya untuk meneruskan perjalanan saat angin datang.

Maka pagi ini, angin seperti mahu mengeluarkan dari sebuah negeri rasa bersalah, lelaki yang saya kenali sejak rumah tua ini menerima kelahirannya. Angin itu mahu memberitahu bahawa bukan dengan ziarahnya, mereka meneruskan perjalanan pulang. Bukan. Angin wangi itu membenarkan surah Yunus 49 bahawa tiap-tiap umat mempunyai ajal, apabila telah datang ajal mereka maka mereka tidak dapat mengundurkan barang sesaat pun dan tidak pula dapat mendahulukannya. Kedatangan angin kali ini bagai berdenting-denting pula, seperti menjeritkan nama-nama bunga yang dibawa sama di muka lawang rumah lama. Apabila sekalian serambi dan hampir seluruh rumah ditakluki wangi angin, ketahuilah Dia bahawa satu-satu saudara yang tinggal itu juga, sudah meneruskan perjalanan pulangnya. Benarlah kata angin itu!

No comments:

Post a Comment