Wednesday, December 8, 2010

beritaagama

Gadai ketuanan Melayu demi politik berbahaya
Oleh Shamrahayu A Aziz

2010/12/07

Perlembagaan mengiktiraf kedudukan bangsa, raja-raja

SESUNGGUHNYA kenyataan pemimpin pembangkang berbangsa Melayu yang mempertikai dan mengusulkan penghapusan ketuanan Melayu bukan semata-mata membabitkan ketuanan Melayu. Ia sebenarnya mempertikaikan ketinggian atau keluhuran Perlembagaan. Ketuanan Melayu wujud di dalam Perlembagaan.

Kenyataan itu juga, hakikatnya mempertikaikan perjanjian sosial di negara ini. Ia memberi implikasi negatif yang amat besar ke atas sejarah, hubungan antara kaum, sistem pentadbiran dan juga Perlembagaan negara.

Jika seseorang itu benar-benar jujur dan ikhlas mendokong dan menghormati prinsip ketinggian Perlembagaan, dia tidak harus mempersoal dan mempertikai sesuatu yang sudah sekian lama diamal dan diiktiraf Perlembagaan seumpama ketuanan Melayu ini.

Mungkin ada pembaca yang mencari, tetapi tidak menemui istilah ‘ketuanan Melayu’ (yang diterjemahkan oleh sesetengah pihak ke dalam bahasa Inggeris sebagai Malay Supremacy) di dalam Perlembagaan secara jelas. Ini memang benar. Memang benar istilah ketuanan Melayu atau Malay Supremacy tidak disebut secara harfiah dalam Perlembagaan.

Ketiadaan istilah ini, walau bagaimanapun tidak bermakna ketuanan Melayu tidak diperakui oleh Perlembagaan. Semangat ketuanan Melayu wujud dalam banyak peruntukan Perlembagaan.

Kata asal ‘ketuanan’ ialah ‘tuan’. ‘Tuan’ bermakna, antara lain, pemilik atau orang yang seorang lain menghambakan diri. Merujuk kepada makna literal ini, ada yang berhujah bahawa istilah ketuanan Melayu tidak tepat kerana ia akan menjadikan Melayu sebagai tuan, dan bangsa lain adalah tetamu atau hamba. Pemahaman sebegini adalah pemahaman yang simplistik.
Ini bukan maksud istilah ketuanan Melayu. Walaupun perkataan ‘ketuanan’ berasal daripada perkataan ‘tuan’ ia tidak semata-mata menggambarkan maksud bukan Melayu sebagai tetamu atau hamba kepada Melayu.

‘Ketuanan’ bermakna ‘kedaulatan’ yang berasal daripada perkataan ‘daulat’. ‘Daulat’ bermaksud, antara lain, ‘kuasa’ yang dikhususkan kepada Raja dan ‘kedaulatan’ bermakna, kekuasaan yang tinggi. (Pembaca boleh merujuk Kamus Dewan). Istilah ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan Melayu yang membawa maksud keutamaan dan ketinggian Raja-Raja Melayu.

Ketinggian Raja-Raja Melayu amat jelas kedudukannya dalam Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara (Perkara 32), manakala Raja atau Sultan pula adalah Ketua Utama bagi negeri masing-masing.

Pindaan Perlembagaan berkaitan kedudukan dan kuasa Raja, seperti membolehkan tindakan perundangan peribadi ke atas Raja dan kuasa berkaitan perkenan Raja ke atas Rang Undang-Undang (Perkara 32 dan 66), tidak bermaksud menidakkan ketinggian Raja sebagai Ketua Utama Negara. Pindaan terbabit menjadikan sistem beraja yang kita amalkan lebih relevan dalam amalan demokrasi.

Kuasa Raja mengenai beberapa perkara penting yang lain kekal termaktub di dalam Perlembagaan (lihat Perkara 159(5)). Perlembagaan dengan jelas meletakkan Raja-Raja sebagai Ketua Utama Negara (lihat Perkara 32. Pembaca juga boleh merujuk Perkara 63(5)). Ini menunjukkan bahawa semangat tradisi dan warisan sistem beraja sebagaimana dipersetujui ketika merdeka kekal mendapat mandat Perlembagaan.

Bila saya sebut mengenai kedudukan tertinggi Raja-Raja, saya tidak bermaksud untuk mengetepikan ketinggian Perlembagaan. Kedudukan tertinggi Raja hendaklah dibaca bersama-sama dengan ketinggian Perlembagaan.

Seperti dimaklumi semua, kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Oleh itu, menurut prinsip keluhuran Perlembagaan, Raja-Raja tertakluk kepada Perlembagaan. Perlembagaan memperuntukkan, dalam kebanyakan hal Raja-Raja tidak mempunyai kuasa mutlak, kecuali dalam perkara-perkara tertentu (lihat Perkara 38(6), 40(2)).

Selain daripada kedudukan tertinggi Raja-Raja Melayu, Perlembagaan bagi setiap (9) negeri Melayu juga meletakkan syarat bahawa menteri besar hendaklah seorang Melayu yang beragama Islam. Peruntukan ini memperjelaskan lagi bahawa bangsa Melayu yang beragama Islam diberikan pengiktirafan sebagai ketua bagi kerajaan di negeri-negeri Melayu.

Dari sudut lain, adakah salah sekiranya istilah ketuanan Melayu digunakan kerana sejarah sudah membuktikan bahawa Melayu adalah pemilik tanah ini? Adakah istilah ketuanan Melayu memberi kesan yang mendalam ke atas hubungan kaum di Malaysia sekiranya semua pihak menghormati Perlembagaan?

Atau, adakah istilah sebegini cuma gimik politik? Adakah kita membuang masa bertelagah dan berdebat mengenai sesuatu yang sebenarnya tidak memberi manfaat, tetapi membawa mudarat?

Tidak ada sesiapa yang dapat menyanggah bahawa Melayu adalah pemilik asal tanah ini. Tiada sesiapapun yang dapat menafikan bahawa atas dasar ini Perlembagaan mengiktiraf kedudukan Melayu dan Raja-Raja Melayu. Sesiapa juga tidak dapat menolak hakikat bahawa kedudukan ini adalah hasil muafakat semua kaum.

Oleh itu, tidak salah sekiranya istilah ketuanan Melayu ini terus digunakan. Ia hanya mengekalkan apa yang sudah ada dan bukannya mencipta sesuatu yang baru dan bertentangan dengan Perlembagaan. Memperakui pemilikan dan ketuanan Melayu tidak bermakna Melayu boleh bertindak sesuka hati. Melayu sendiri sudah memperakui sistem Perlembagaan yang dimaktubkan.

Melayu juga sedar bahawa di dalam sistem ini tiada suatu apa pun yang mutlak, kecuali ia diiktiraf oleh Perlembagaan. Kedudukan dan kuasa (sesiapa saja) sentiasa disertai dengan sekatan tertentu. Oleh yang demikian, ketuanan dan kuasa Melayu tidak perlu dikhuatiri kerana Perlembagaan sentiasa mengawal selia kuasa berkenaan.

Dalam sistem Perlembagaan yang ada, ketuanan Melayu tidak mengancam kedudukan bangsa lain. Perlembagaan seperti sifatnya, mempertahankan hak semua warga negara (bahkan juga – dalam keadaan tertentu, hak-hak bukan warga negara).

Mengetengahkan perkara seumpama ketuanan Melayu dalam memenuhi agenda politik amat tidak adil untuk negara dan rakyat. Ia mendatangkan lebih banyak mudarat daripada manfaat. Ia mengundang lebih banyak implikasi negatif daripada positif. Ini amat tidak wajar dilakukan walau sesiapa pun demi kedaulatan negara ini.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:

Post a Comment