Wednesday, December 22, 2010

Cerpen: Sebatang Pen
Oleh A Rahman CM

2010/10/16

SESIAPA sahaja yang berhajat hendak menunaikan fardu haji, mesti membersihkan dirinya terlebih dulu. Maksud membersihkan diri itu merangkumi beberapa perkara yang membabitkan dirinya dengan Allah juga yang membabitkan dirinya dengan manusia lain.

Napi mengingati frasa itu di meja kerjanya. Frasa itu lahir dari mulut Ustaz Zuki di masjid tempat selalu Napi solat berjemaah lima waktu. Di hadapan Napi sebatang pen yang sudah berusia tiga puluh tahun lebih. Tetapi pen itu sudah tidak digunakan lagi. Alat mengepam dakwatnya sudah rosak. Lalu pen itu hanya terbaring di atas meja kerja di rumahnya. Pen itu kadang-kadang mengusik jiwanya. Pen itu kadang-kadang menyentuh kalbunya.

Perkara yang membabitkan diri seseorang dengan Allah ialah melangsaikan segala arahan dan suruhan Allah. Napi faham maksudnya, iaitu kalau melakukan dosa, baik besar mahupun kecil hendaklah bertaubat. Istighfar banyak-banyak dengan menanam azam tidak akan melakukan dosa itu lagi. Wang yang hendak dibawa ke Makkah mestilah bersih. Maksudnya ialah, wang itu mesti diperoleh dari sumber yang halal. Kalau belum bayar zakat, tunaikan zakat dulu.

Napi ingat pula tentang yang membabitkan orang lain. Membabitkan hubungan sesama manusia. Ia banyak perkara. Ia menyebabkan Napi termenng panjang.

Berkelahi membabitkan manusia lain.

Bertengkar membabitkan manusia lain.

Mengutuk orang membabitkan manusia lain.
Mengumpat orang membabitkan manusia lain.

Mencuri barang orang membabitkan manusia lain.

Semuanya membabitkan dosa sesama manusia lain yang mesti dibersihkan.
Napi ingat.

Dia tidak pernah berkelahi.

Dia tidak pernah bertengkar.

Dia tidak pernah membuat kutukan.

Dia tidak pernah melakukan umpatan.

Tiba-tiba Napi nampak pen di atas meja yang sudah berusia lebih tiga puluh tahun itu. Pen itu banyak berjasa padanya. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah rendah. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah menengah. Dan dengan pen itu juga dia mencatat apa saja nota semasa dia di universiti dan seterusnya menduduki peperiksaan yang membolehkannya menggenggam ijazah pertama, Sarjan Muda Dengan Kepujian. Kemudian dia bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di sebuah kementerian. Akhirnya dia dilantik sebagai Pegawai Daerah (DO) di negerinya.

Lama Napi merenung pen sebatang itu.

Lama Napi menilik pen sebatang itu.

Lama Napi pandang pen itu.

Lama Napi tengok pen itu.

Napi nampak dirinya dalam kedai Pak Abu di kampungnya. Ketika itu dia dalam darjah lima sekolah rendah. Dia nampak dirinya mencapai pen di dalam almari kaca di kedai Pak Abu ketika Pak Abu ke belakang mengambil gula. Napi nampak dia memasukkan pen itu ke dalam saku seluarnya kemudian membayar harga gula lalu pulang ke rumahnya.

Sebelum mendapatkan pen itu, dia berkali-kali meminta ibunya membelikannya sebatang pen. Tetapi ibunya menjawab tidak ada duit. Dia terus meminta. Tetapi ibunya mendiamkan diri. Berkali-kali dia minta dibelikan pen. Ibunya tidak indahkan juga.

Lalu apabila dia berjaya mencuri pen di kedai Pak Abu itu, Napi tidak lagi merungut kepada ibunya hendakkan pen. Dia terus belajar. Napi terus ke sekolah dengan berjalan kaki. Dia terus membawa bekal nasi goreng dengan sebotol air kosong ke sekolah hari-hari kerana ibunya tidak memberinya wang saku.

Dalam berjalan ke sekolah, Napi nampak wajah ibunya yang uzur. Ayahnya entah ke mana. Dia tahu ayahnya sudah bertahun-tahun tidak pulang. Lalu ibunya yang uzur itu menyara hidup dan dirinya dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Napi menjaga pen itu seperti menjaga emas. Dia gunakannya dengan cermat. Kalau pen itu basah dia lapkan dengan sapu tangan. Apabila pulang ke rumah pen itu diletakkan di tengah-tengah meja. Napi bimbang pen itu jatuh ke lantai.

Napi terus ke sekolah menengah berasrama penuh setelah mendapat lima A dalam peperiksaan penilaian darjah lima. Napi mendapat biasiswa penuh setelah siasatan terhadap keluarganya dijalankan. Lalu dia belajar dengan tekun. Napi berjimat dengan wang. Kalau ada wang lebih belanja, dia kirimkan kepada ibunya. Napi bawa bersama pen curiannya. Dia sudah lupa sama sekali bahawa pen itu adalah pen curi.

Apabila Napi memasuki universiti, pen itu dibawanya lagi. Hingga beberapa tahun dia bekerja pun, pen itu masih menemaninya hinggalah pen itu rosak pamnya dan tidak ada pam penggantinya. Lalu pen itu Napi simpan di atas mejanya.

Derap kaki menghampiri mejanya mengejutkan Napi. Dia menoleh. Dia nampak isterinya, Zizah.

“Milah telefon, dia nakkan komputer,” kata Zizah.

“Okey.” jawab Napi.

“Abang okey saja dengan kehendak Milah.”

Napi mendongak pada wajah isterinya Zizah.

“Nanti manja budak tu.”

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kenapa dengan abang?”

“Zah tak tahu susahnya abang belajar dulu.”

Zizah diam.

“Abang tak pernah dapat walaupun sebatang pen daripada mak abang untuk belajar dulu.”

Zizah menarik sebuah kerusi lalu duduk di sebelah Napi. Wajahnya pada wajah suaminya itu yang kelihatan seperti mengimbau kenangan zaman silam. Dia menunggu.

“Itu, itu, pen yang terbaring di atas meja itu,” kata Napi.

Zizah memandang pen itu. Dia tahu pen itu sudah lama di situ. Dia ingat juga bahawa dia tidak boleh mengalihkan pen itu ke tempat lain. Suaminya melarang dia menyentuh pen itu. Batangnya sudah berkarat. Dia hairan juga. Tetapi dia tidak ambil kisah kerana ia cuma sebatang pen, bukan perempuan yang harus dia cemburu.

“Pen itu pen curi Zah. Masa abang darjah lima dulu orang lain dalam darjah abang semua pakai pen, tapi abang masih gunakan pensil. Abang malu kerana selalu diperli. Laku abang curi pen itu di kedai Pak Abu. “

“Ah! Cuma sebatang pen, bang.”

“Benar. Apalah sangat sebatang pen. Tapi bagi abang yang miskin ini, terasa.”

“Jadi sebab itu sebarang apa saja kehendak Milah untuk belajar abang penuhi?”
Napi mengangguk.

Zizah menarik nafas payah.

“Abang mau dia belajar dengan suka.”

“Tapi Zah bimbang.”

“Bimbang apa?”

“Bukan abang tak tahu zaman moden ini. SMS melalui telefon bimbit. Hal-hal negatif melalui internet.”

“Abang yakin pada Milah. Telefon bimbitnya untuk senang dia hubungi kita. Komputer yang dimintanya itu untuk dia belajar. Banyak pelajaran akan diperolehnya nanti melalui internet.”

“Macam mana abang boleh yakin?”

“Dengan kita selalu hubunginya. Dengan selalu kita bertanya khabarnya. Dan apabila dia balik, kita boleh periksa telefonnya, komputernya.”
Zizah diam.

Napi balik memandang pada pen yang terbaring di atas mejanya.

“Habis, yang Zah tengok abang kadang-kadang runsing semacam tu kenapa?”

“Pen itu mengganggu emosi abang.”

“Kenapa?”

Mata Napi bulat pada wajah isterinya Zizah.

“Kenapa bang?”

“Tadi kan abang beritahu Zah, bahawa pen itu pen curi?”

“Ah! Ia cuma sebatang pen, bang.”

“Tapi ia tetap barang curi. Dosa abang mencuri pen itu masih ada.”

“Lalu?”

“Kita nak ke Makkah lepas puasa nanti kan,” Napi memandang wajah isterinya.

Zizah sadin.

“Abang kena bersihkan diri abang. Zah juga. Kalau tak, haji kita nanti tergantung,” kata Napi.

Zizah tunduk.

Napi memandang kepala Zizah yang tunduk. Dia kemudian mencapai terjemahan al-Quran. Dia membuka pada surah Az-Zalzalah. Dia membaca. Dan penumpuan Napi terus pada ayat tujuh, ‘Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).’ Napi terus kepada ayat lapan, ‘Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya’).

Nabi membaca pula nota kaki di bawah, ‘Dua ayat itu menerangkan bahawa masing-masing akan menerima balasan amalnya sama ada yang baik atau yang buruk, walau yang sebesar debu sekalipun. ‘ ( Rujukan: Tafsir Ar-Rahman terbitan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri m/s 1714.)

Napi ingat ayat itu sudah berkali-kali didengarinya dari mulut Ustaz Zuki. Dia sendiri juga sudah berkali-kali membaca ayat itu. Lalu Napi balik memandang pen di atas meja yang amat berjasa padanya.

Napi ingat benar bahawa pen itu, pen curi. Dengan demikian dia telah melakukan satu dosa yang membabitkan dirinya dengan manusia lain. Dan manusia lain dalam kes pen itu ialah Pak Abu.

Berkali-kali pula mulut Napi kemudian membisikkan nama Pak Abu. Kedai Pak Abu sudah tidak ada. Pak Abu sekarang sudah tua. Sekali-sekali dia jumpa Pak Abu pada hari Jumaat di masjid dengan kerusi. Pak Abu hanya ke masjid pada hari Jumaat. Dia sudah terlalu uzur. Pak Abu sembahyang dengan duduk di atas kerusi.

Napi ingat jasa pen itu. Dia lulus dalam semua peperiksaan. Pen itu juga membawanya ke meja kerjanya sebagai PTD. Jasa pen itu membolehkannya menerima gaji ribuan ringgit tiap-tiap bulan. Jasa pen itu yang membolehkan mengumpulkan wang hingga mampu menghantarkan ibunya ke tanah suci Makkah dan ibunya meninggal ketika wukuf di Arafah.

Sekarang dia pula hendak ke Makkah.

Wangnya mesti dari sumber yang halal.

Napi ingat sangat itu.

Napi ingat dia menghadap Ustaz Zuki. Dia tidak malu menceritakan bahawa dia mencuri sebatang pen dari kedai Pak Abu. Napi terangkan jasa pen itu.

Dia nampak wajah Ustaz Zuki senyum lembut padanya.

Tuan kena bersihkan. Napi ingat kata Ustaz Zuki.

Napi ingat dia mendongak pada wajah Ustaz Zuki.

Kalau tuan tak malu ceritakan pada saya, kenapa tuan harus malu nak jumpa Pak Abu? Jumpalah dia. Mohon ampun, mohon halalkan pen itu. Kalau boleh tuan belikan sebatang pen berikan kepada Pak Abu.

Wajah Napi masih pada wajah Ustaz Zuki.

Itu saja caranya membersihkan diri tuan dengan Pak Abu itu.

Napi ingat dia mengangguk.

Dan Napi ingat dia menanam azam untuk menemui Pak Abu. Lalu dia membeli sebatang pen Parker siap dengan kotaknya sekali. Napi membuka laci mejanya. Dia capai kotak pen Parker. Dia genggam kotak itu.

“Abang ingatkan apa dengan pen itu?”

Napi menoleh pada Zizah isterinya di sebelah.

“Abang nak jumpa Pak Abu. Dia sudah uzur.”

“Abang nak mengaku yang abang curi pennya dulu?”

Napi mengangguk.

“Tak malu ke abang?”

Napi diam.

“Bekas DO mengaku mencuri pen?”

“Abang malu pada Allah,” desis Napi.

Zizah meluaskan matanya pada wajah suaminya Napi.

“Pak Abu hanya manusia biasa. Abang tahu. Tapi abang tetap sebagai pencuri sebatang pen dari kedainya. DO pangkat abang itu masa bekerja. Tapi Zah kena ingat pangkat itu abang peroleh adalah jasa dari pen sebatang yang abang curi itu. “

Zizah berdiri lalu keluar dari bilik kerja Napi.

Petang itu selepas sembahyang Asar di masjid, Napi ke rumah Pak Abu yang tidak jauh dari masjid. Di tangannya kotak pen Parker. Setelah memberi salam, Napi dijemput masuk ke ruang tamu rumah Pak Abu.

Agak sejurus Pak Abu keluar dengan bertongkat lalu lambat-lambat duduk di kerusi sebelah Napi.

“Allah Tuan,” kata Pak Abu apabila tangannya dicapai oleh Napi lalu menciumnya lembut.

Mata Napi pada wajah Pak Abu.

“Apa hajat tuan ke mari,” tanya Pak Abu.

Napi segera menyerahkan kotak pen Parker itu kepada Pak Abu.

“Apa ini tuan,” Pak Abu membuka kotak itu. Dia nampak sebatang pen Parker. Lalu matanya pada wajah Napi bekas pegawai daerah yang pernah ditemui dan selalu memanggilnya tuan itu. Lama matanya pada wajah Napi.

Napi menahan perasaan. Dia mengawal gelodak rasa terharu dalam kalbunya.
“Kenapa tuan?”

“Pak Abu ingat tak mak saya?”

“Ingat. Mek Som. Dia meninggal di Makkah kan?”

“ Pak Abu ingat tak kami miskin masa itu?”

“Saya ingat. Tapi tuan tidak pernah berhutang di kedai saya. Walau secupak beras, tuan bayar tunai,” kata Pak Abu.

Napi tidak dapat mengawal dirinya lagi mendengar kalimat itu. Dia memandang wajah Pak Abu dengan mata berkaca. Tidak lama kaca-kaca dalam matanya itu kemudian bertukar air mata lalu ia mengalir laju.

“Kenapa tuan? Ada saya tersalah cakap?” Wajah Pak Abu kehairanan.

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya.

Pak Abu masih memandang wajah Napi.

Napi kemudian duduk lalu memegang lutut Pak Abu.

“Kenapa tuan?”

“Saya minta maaf dengan Pak Abu,” wajah Napi pada kedua lutut Pak Abu.

“Saya tak faham tuan. Kenapa begini? Tak baik dilihat orang,” tangan Pak Abu mencapai lengan Napi dan berusaha untuk mengangkatnya.

Napi mendongak.

“Pak Abu memang tak sedar. Pak Abu memang tak ingat.”

“Apa dia tuan?”

“Saya curi sebatang pen di kedai Pak Abu dulu.”

Pak Abu senyum.

Napi balik duduk pada mejanya.

“Saya minta maaf dan minta dihalalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi pula.

“Ah! Masa itu tuan budak. Cuma nakal, bukan jahat.”

“Tapi saya tetap mencuri pen Pak Abu. Maafkan saya Pa Abu.”

“Jadi ini, sebagai ganti pen itu?” Pak Abu angkat kotak pen Parker.

Napi mengangguk.

“Ini mahal tuan. Pen yang tuan curi dulu murah saja.”

“Pen seperti itu sudah tak ada sekarang.”

“Terima kasihlah tuan,” Pak Abu menghulurkan tangannya ke hadapan Napi.
Napi menyambut tangan Pak Abu. “Maafkan saya, halalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi.

“Saya rasa syukur, kerana pen itu tuan boleh belajar dengan baik. Tuan mengaku curi pen itu. Saya hargai ikhlas tuan. Saya halalkan pen itu untuk tuan. Saya maafkan kalau itu dikira dosa tuan terhadap saya. Dunia akhirat. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” kata Pak Abu.

Napi lalu mendakap badan Pak Abu. Mereka berpelukan.

“Terima kasih Pak Abu, “ desis Napi. Lalu badan mereka berpisah.

“Tapi pen ini? Saya tak menulis lagi sekarang. Tangan dah menggigil.” kata Pak Abu.

“Pak Abu kena terima. Ikhlas daripada saya. Tanda sesal saya pada Pak Abu.”
Pak Abu mengangguk. Dia lalu memegang pen Parker itu kemas-kemas.

Dengan ucapan memohon maaf sekali lagi kepada Pak Abu, Napi lalu memohon diri untuk pulang. Kepalanya terasa ringan. Dadanya rasa lapang.

INFO Penulis

NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen

Cerpen: Adapun Adanya 2
Oleh Zainal Rashid Ahmad

2010/10/02

NESCAYA kami terkejut benar, sebaik sada mendapat tahu, sejarah kecurian atau laporan kehilangan pelbagai benda dan barangan dalam rumah ini – bukanlah sesuatu perkara baru!

Tujuh tahun pula, bukanlah satu tempoh masa yang panjang pun – meskipun senarai kehilangan pemilikan dalam rumah ini sangat panjang dan banyaklah pula akan jumlahnya. Barangan pertama yang dicatat akan jenisnya dan dicartakan pula lokasi duduknya serta diwartakan pula akan nilai pasarannya – mula disahkan hilang pada waktu tengah hari – ditempatkan di ruang tamu utama – bernilai sekitar RM1.75 juta ringgit.

“Ya ... candelier,” kata Sang Penyiasat yang diupah untuk menyediakan laporan menyeluruh mengenai kes ini.

Tentulah kami terkejut, kerana dua perkara utama yang dimaklumkan berikutan kes kehilangan pertama itu. Yang mengejutkan adalah nilai sejarah yang dimaklumkan dalam laporan siasatan:

Candelier ini dilaporkan hilang buat pertama kali pada 1899 ... milik Sir Hugh Clifford – dicuri dari kediaman mewahnya sebagai Residen Britisih di Pahang.

Buatan klasik dari dari Nantes. Perancis – dipercayai dibeli oleh seorang saudagar Inggeris dalam satu majlis pelelongan gelap di London pada 1851 – dan setelah melalui pelbagai tangan pemilik barangan antik, akhirnya pada 1884, sampai ke tangan sang saudagar Sir Vic Maclarren, lalu dihadiahkan kepada Hugh Clifford sebagai tanda mata persahabatan, sebelum Residen itu berangkat ke Tanah Melayu.

“Ketika bangkit pemberontakan menentang Residen itu,” kata Sang Penyiasat: “Seorang babu keturunan India yang bekerja di rumah itu, telah menyeludup candelier itu keluar dari rumah Residen, lalu diberikan seorang Cikgu Wan Saadon – dan kemudian dijual secara pasar gelap oleh seorang ejen Cina yang bersimpati kepada perjuangan anti-British.”
Nescaya terkejutlah kami – kerana susur-galur sejarah candelier ini bukan sembarangan juga kisahnya. Perjalanan barangan antik yang menempuh pelbagai tempoh waktu – meniti dari tangan ke tangan – berada dari satu tempat ke satu tempat, dan akhirnya lenyap pula.

“Sang peniaga Cina, membawa candelier ini ke Bangkok, lalu dijual kepada seorang hartawan Siam dengan nilai pertukaran 25 pucuk senapang,” kata Sang Penyiasat lagi.

Dingdong-dingdong – dan begitu panjangnya penceritaan sang penyiasat perihal perjalanan candelier antik ini, bermula pula dari tahun kehilangan di rumah Residen Pahang pada 1905 – hingga dijual di Bangkok pada 1907 - sebelum dibeli semula pada 1974, dalam lelongan terbuka di Singapura – terasa jeranlah pula kami mendengarnya.

Jadi bertambah berserabutlah kepala yang sekangkang ingatan ini, tatkala Sang Penyiasat menceritakan pula:

“Ketika High Clifford kembali ke Tanah Melayu sebagai Pesuruhjaya Tinggi British pada 1927, dia menubuhkan satu unit perisikan untuk menjejak semula candelier ini ... tetapi sampai tahun terakhir perkhidmatannya ... 1930 – misinya gagal.”

Tak terdayalah kepala dan otak nan sekangkang ini untuk mengingati semua perincian maklumat Sang Perisik – kecuali keterangan maklumat penghujungnya; yakni, pada 1974 – candelier yang bersalut 1000 karat emas dan bertatah 444 berlian Afrika ini, disahkan berada di banglo mewah sebagai barangan antik yang dibeli secara sah melalui lelongan yang sahlah juga.

Dibeli dan dimiliknegarakan melalui satu petisyen khas berhubung kepentingannya terhadap sejarah perjuangan bangsa – era menentang penjajahan British.

2
PENYIASAT kami orangnya tinggi lampai dan agak tegap – berusia awal 40-an – berkulit cerah – dan dalam penilaian kami dapatlah disimpulkan sebagai – sangat kacak dan berwibawa akan perilaku dan tutur katanya.

Pernah membentangkan kertas kerja dan analisisnya – mengenai fenomena kecurian dan transmisi barangan berharga, hingga ke forum dan seminar berkelas antarabangsa. Malah kata satu sumber, dia pernah cuba dipinang oleh 10 Down Street, untuk membantu MI 5 British bagi tugasan menjejak pergerakan asal-usul uranium yang dibawa masuk Iran, serta salasilah ilmu yang diperoleh Tehran dalam menghasilkan pengayaan bahan senjata itu.

“Cuma ... tiada siapa pun yang dapat mengesahkan, sama ada dia pernah menerima atau melaksanakan misi itu,” kata orang yang kami utus khas untuk membawa penyiasat itu ke banglo kami, bagi menyelesaikan misteri kehilangan candelier ini.

3
MUKADIMAH paling sesuai untuk memperkenalkan banglo kami, barangkali beginilah adanya: tempat tinggal sekumpulan manusia yang hidup dengan tanggungjawab melindungi apa jua nama, apa jua benda dan apa jua nilai yang bersangkut-paut dengannya.

Kami tidak pernah mengira jumlah isi nyawa penghuninya – tapi kami maklum, banglo berkeluasan 60 x 70 meter persegi ini dibangunkan di kawasan seluar 0.8 hektar – berias taman dan tasik, namun tidak berpagar.

“Kenapa?” Pernah kami ditanya Sang Penyiasat yang agak janggal dengan isu ketiadaan pagar ini.

Kami menjawabnya dengan terang dan mudah: “Demi ketelusan, tuan.”

Sang Penyiasat menganggukkan kepada, tetapi matanya sedikit berpinau; sesekali berkedip-kedip tanpa cahaya.

Maka dek keraguan itu, kami menerangkan lagi: “Kami melaksanakan amanah bangsa dalam menjaga segala pusaka terlihat, segala harta tersurat dan segala nilai yang tersirat ... maka adalah wajar kami tidak menembukkan banglo ini, hingga timbul persangkaan dan persyakkan umum ....”

4
777 kes kehilangan barangan dilaporkan dalam tempoh tujuh tahun. Itulah wabak permasalahan besar yang mengedukan kami semua, kerana bukan saja nilai barang dan taksiran harta menggambarkan kerugian yang dialami; tetapi pada hemat kami, jauh lebih berharga dari itu, ialah angka kes yang besar telah meranapkan maruah kami, sebagai penjaga amanah itu.

“Pada saya, apa yang terjadi sangat memalukan,” kata Sang Penyiasat.

Kami terkedu lagi, tetapi tanpa mempedulikan perasaan kami, Sang Penyiasat berhujah lagi: “Tujuh tahun ....” katanya, “dan 777 kes kehilangan, membuktikan, anda semua tidak layak langsung ... untuk dipercayai dan diberikan amanah ini!”

Wah ... malunya kami!

5
SETEMPAYAN emas berisi syiling purba hasilan perak – almari mahagoni abad ke-11, tempat tersimpannya tujuh kalung emas, juga tujuh tiara dengan tatahan tujuh rantaian zamrud di kelilingnya serta tujuh bilah keris purba warisan tujuh pahlawan bangsa dari tujuh Kerajaan Melayu lama serta tujuh kitab salasilah bangsa yang dikarang tujuh ulama perantau yang datang dari tujuh kerajaan asing dan bermastautin pula di bawah daulat tujuh Raja Melayu antara khazanah yang turut dilaporkan hilang.

Hilangnya tujuh bilah keris lama – serta lenyapnya tujuh kitab salasilah bangsa, sesuatu yang amat menghinakan diri. Bagi kami, walaupun harga pasaran kedua-kedua jenis barangan ini jauh lebih rendah daripada nilai barangan kemasan, tetapi nilai maruah dan sejarah bangsa, yang tersela dan disisip rapi di sebalik corak ukiran pamor demi pamor, dan ceritera demi ceritera al-kitab – sangat besar ertinya pada ketertiban sahsiah bangsa.

“Keris Tulang Orang Derhaka dibawa balik dari Belanda, keris Kala Senja Laksamana Mengamuk ditemui orang di China ... manakala Anak Sula Pantang Berundur, dibeli oleh seorang tokoh perniagaan Melayu setelah menemui keris itu dalam majlis lelongan di London,” kata Sang Penyiasat.

Kami sedia maklum akan periwayatan tujuh bilah keris itu, malah termasuk sejarah pemiliknya, sejarah tempurnya – malah juga sejarah bagaimana keris-keris milik tujuh pahlawan Melayu pernah terlepas dari genggaman milik bangsa.

“Mujur ada wira-wira bangsa kita yang sanggup menjejaknya,” kata Sang Penyiasat, tetapi diakhirinya cakapnya itu dengan ulasan yang menyindir:

“Tetapi anda semua menghilangkannya dengan cara yang cukup memalukan!”
Aduh! Kami berasa sangat terhiris, malah terhina amat.

“Kalaulah saya orang yang dititah untuk melantik anda semua, pasti dari awal lagi saya syaratkan – sebarang kecuaian terhadap penjagaan warisan ini, akan dihukum sebagai penderhaka bangsa!” kata Sang Penyiasat sambil memandang kami dengan lintang mata yang tajam.

Nescaya saat itu, maka terhempuk jatuhlah maruah kami ke lantai; pecah berburai, bagai kaca berderai ... hancur berkecai.

6
“MEMALUKAN!” Jerit Si Penjaga Pintu.

Di ruang tamu banglo kami – ruang yang dulunya sarat-barat dengan segala macam jenis barangan – termasuk almari mahagoni abad ke-17, yang pernah menjadi antara hiasan kamar tidur utama di Kota Larangan serta di ruang tamu ini juga – kami sering terpana melihat hiasan tujuh tiara bertatah berlian Afrika, serta segala macam koleksi tanduk, tapak kaki dan kepala serta kulit binatang buruan yang terkumpul dari seantero dunia; menjadi tempat kami melepaskan amarah, akibat rasa terhina, dek sindiran Sang Penyiasat.

“Kita harus segera mencari, siapa pencuri segala khazanah jagaan kita ini,” kata Penjaga Pintu – wajahnya nampak gusar dan gelisah, sepanjang hari itu.
Si Penjaga Bilik Utama pula, duduk di lantai – dek tiada lagi bangku maupun kerusi – semuanya sudah dikebas pergi. Si tua yang dulunya pernah menjadi bentara penjaga peti kewangan negeri itu, terlihat melunjurkan kaki dan bersandar di tiang seri, jari-jarinya mengeletak di muka lantai yang mulai berdanur, tanda lama benar tidak dibersihkan.

“Pencuri yang menyangak semua khazanah ini ... tentulah sudah kaya-raya. Kita hamba papa kedana inilah juga, yang kena menanggung beban najis malunya,” rungut Si Penjaga Stor, sambil menghela nafas panjang.

Si Penjaga Balkoni pula menyampuk: “Pencuri tempayan emas, akan sama kaya dengan pencuri kandiliar... aku baru saja menjeguk laman web koleksi antik, harga pasaran gelap tempayan emas dan wang perak itu kini mencecah RM2 juta.”

Seusai sahaja dia bersuara, maka bertunda-tundalah setiap seorang menyebut barang demi barang yang hilang serta harga demi harga bagi pasaran gelapnya. Sebahagian antara kami berasa lega – kerana waktu berghairah begitu, Sang Penyiasat sudah lama pergi meninggalkan banglo ini.

7
Sang Penyiasat pergi tanpa pernah kembali lagi. Ada di antara kami berasa sangat sedih, kerana si pintar itu enggan membantu; malah membiarkan kami meratap akan kehilangan segala macam barangan yang kami cintai.

Namun, sebahagian besar penghuni banglo ini – nampak sangat gembira, dengan lesapnya Sang Penyiasat itu.

“Bongkak!” Kata Si Penjaga Pintu. “Macamlah dia tahu semua – sengaja mencela-cela kita sesuka hatinya!”

Si Penjaga Bilik Istiadat sambil tersenyum berkata: “Dia ingat dia cerdik – konon dapat menjejak ke mana lesapnya segala harta yang hilang, akhirnya habuk pun tak ada ... kita membayarnya untuk upah menceceh saja.”

Tetapi bagi kami yang menyimpan harapan untuk memiliki semua semua khazanah bangsa yang amat bernilai itu, kemunculan Sang Penyiasat amat kami nantikan.

“Manalah tahu ... satu hari nanti, dia datang lagi – membongkar semua kecelaruan di sini!” Entah siapa pula yang bersuara itu.

PROFIL

Zainal Rashid Ahmad dilahirkan di Alor Setar pada 30 Jun 1967. Mula menulis pada 1990 dan lebih 200 cerpen tersiar dipelbagai penerbitan. Memenangi lebih daripada 30 hadiah sastera anjuran pelbagai pihak termasuk 13 hadiah sastera Kumpulan Utusan Kategori Cerpen. Pada 1994, memulakan kerjaya sebagai wartawan dan mengembara dalam tugasan ke Israel, Palestin, Afghanistan, Ethopia, Lebanon dan Kosovo. Kebanyakan liputan berkaitan krisis peperangan dan kemanusiaan. Pernah memenangi hadiah Majalah TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa (Tragedi Tak Bai 2004), Dokumentari Terbaik PPF (Kembara Palestin 2007), Anugerah Media Pertahanan (Lubnan Darah Di Bumi Merdeka 2007). Kini bertugas sebagai Pengurus Besar Penerbitan di TV Al-Hijrah.


· PENGARANG kreatif dipelawa menghantar cerpen bermutu dan bermoral untuk halaman Kreatif, Sabtu, Berita Harian serta dihantar melalui e-mel: bhsastera@nstp.com.my. Pengirim cerpen wajib menyertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar yang jelas berukuran 2 megabait menggunakan sistem JPEG. Karya tidak boleh melebihi 150 baris ditaip di atas kertas A4, langkau dua baris. Karya yang tidak terpilih tidak akan dikembalikan. Nombor akaun Maybank atau CIMB perlu disertakan bagi urusan pembayaran honororium jika karya tersiar

Keropok Lekor

Apabila Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa subjek Sejarah akan dijadikan subjek teras serta wajib lulus, maka ramailah yang memberi komen menyokong saranan berkenaan. Komen tidak menyokong tentunya tidak akan disiarkan di media kerajaan. Rakyat hanya mampu mendengar dari sebelah pihak sahaja. Tentunya penilaian yang lebih adil tentang isu berkenaan tidak dapat dibuat.

Ada penyokong yang menyatakan saranan ini akan menyebabkan pelajar lebih memberikan penumpuan kepada subjek berkenaan. Ada yang mengaitkan subjek ini dengan kontrak sosial serta tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan susur galur perkembangan Malaysia dan Kesultanan Melaka.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, tentunya kita tidak akan menolak perkara ini bulat-bulat. Kita sangat memahami kepentingan sejarah sebagai landasan untuk kita bergerak maju ke hadapan.

Alangkah baiknya jika berita yang diterima, wajib lulus subjek Pendidikan Islam SPM 2010. Bagi yang bukan Islam, mereka wajib lulus subjek keagamaan dan moral yang mereka ambil. Lebih molek lagi, wajib mendapat kepujian sebagai syarat memperolehi Sijil SPM.

Sebagai orang biasa, tentunya kita dapat membezakan antara kesan tidak menguasai sejarah negara dengan kesan tidak menguasai agama, yang mana lebih buruk ? Walaupun kita memperjuangkan sejarah, jangan pula kita mendiamkan kepentingan beragama.

Jika subjek agama betul-betul dihayati tentunya isu kontrak sosial akan selesai kerana panduan yang disediakan oleh Islam adalah cukup lengkap. Banyak masalah-masalah moral peringkat nasional seperti rogol, bunuh, curi, rasuah boleh dikurangkan. Adakah isu keruntuhan moral kurang penting berbanding isu kontrak sosial.

Mungkin kerajaan beranggapan sudah memadai dengan pembinaan sekolah-sekolah agama rakyat, masjid dan surau yang merata-rata, kelas fardu ain, majlis Khatam Quran Mega, Majlis Musabaqah Peringkat Antarabangsa, Anugerah Tokoh Maal Hijrah dan lain-lain lagi yang telah dianjurkan.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa wajib lulus subjek Agama tidaklah penting berbanding subjek Sejarah. Adakah kita tidak bimbang dengan mengetahui Sejarah, anak-anak kita akan mengetahui bahawa Melaka itu ditempa bersama Islam, Terengganu, Kelantan memang tidak asing lagi dengan peranan ulama silamnya juga Pengaruh Islam di Kedah serta negeri-negeri lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tidakkah kita bimbang, nanti anak-anak kita akan tahu bahawa seluruh Nusantara terpahat sejarahnya bersama kedatangan Islam.

Mungkin juga isu subjek Sejarah ini hanya ditimbulkan bagi menyelamatkan survival politik kumpulan tertentu sahaja. Perubahan ini sebenarnya lebih diperlukan untuk subjek lain seperti Pendidikan Islam berbanding Sejarah. Jangan pula kita memahat satu lagi sejarah yang merapu pada tahun 2013 nanti.

Keropok Lekor,

Khairul Izwan

Kita sering menuding jari kepada Amerika dengan menyatakan bahawa AS adalah kepala pengganas dunia. AS berlagak sebagai polis dunia dalam misi untuk mengamankan dunia. Pemimpin- pemimpin negara Malaysia juga tidak terkecuali merujuk AS sebagai polis dunia. Kini polis dunia itu telah berusaha membersihkan imej Islam dengan mengikis islamophobia.

Usaha itu telah di sahut oleh perdana menteri sendiri. Perdana menteri berusaha mengikis Islamophobia ini. Antara langkah awal perdana menteri mengikis islamophobia ini ialah, menghantar Rosmah Mansor menuntut ilmu bagi memulihkan gejala sosial buang bayi ke Belgium.

Ini menunjukkan keterbukaan kerajaan Malaysia merujuk Negara bukan Islam sebagai rujukan utama. Padahal semua ummat Islam sedia maklum bahawa Al-quran dan As-sunnah sebagai rujukan utama.

Sabda nabi “ aku telah tinggalkan dua perkara kepada kamu, kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitabullah dan sunnaturrasul”. Tetapi mengapa gejala sosial sering berlaku dalam Negara kita.

Kenapa gejala Islamophobia itu wujud? Kerana kerajaan sendiri tidak merujuk Al-quran dan As-sunnah. Mereka merujuk barat. Mereka merujuk Negara lain. Sepatutnya mereka merujuk Al-Quran terlebih dahulu. Adakah mereka tidak yakin Al-Quran itu sebagai penyelesai masalah? Adakah mereka menolak Al-Quran? Kitab mukjizat nabi Muhammad.

Jawapanya, mustahil mereka dapat merujuk Al-Quran sekiranya dasar parti mereka bercanggah dengan Islam. Beginikah pemimpin yang kita mahukan? Islamnya pada luaran, tapi perlaksanaan mengikut jahiliyyah.

Kini, Najib dan Rosmah Mansor lebih terbuka fikiran mereka. Rakyat berterima kasih banyak kerana telah membuka mata rakyat bahawa fesyen show Islam itu lebih terbuka dan lebih terdedah. Sangat hairan bagaimana seorang yang tidak berfesyen seperti garis- garis Islam dapat menganjurkan sebuah program diberi nama “ Islamic Fashion Show ”.

Sangat menarik dan sangat hebat. Rupa- rupanya, program tersebut menggayakan pelbagai fesyen. Fesyen yang menepati cita rasa penganjur seperti Rosmah Mansor. Hal ini ibarat menempah tiket ke neraka.

Terima kasih buat penganjur kerana membuka mata rakyat bahawa pemimpin Negara sekarang adalah jelmaan Mustafa Kamal Attarturk. Program tersebut telah menghina nama dan imej islam. Inilah petanda- petanda bahawa kejahilan agama berleluasa. Kalau dia jahil sendiri tak apa tapi, sekarang ini, dia nak bagi semua orang jahil sama macam dia. Sesat orang-orang macam ini. Sama taraf macam ayah pin. Bahkan lebih teruk dari binatang ternakan.

Ramai- ramai kita bantah tindakan melampau menhina dan memfitnah Islam ini. Di mana golongan dan penasihat agama kepada perdana menteri. Adakah mulut mereka di bisukan. Kenapa dibiarkan program menghina Islam berjalan. Kenapa? Persoalan yang sering di putarkan. Jika mereka masuk ke tangki najis, pasti najis tersebut akan terpalit. Pasti badan juga akan busuk. Bantahan tetap bantahan. Kita tukar kerajaan dalam PRU-13 nanti sebagai bantahan kepada penghina Islam. Semoga Islam terus gemilang dan tetap tinggi menjulang.

Bentuk semangat patriotisme

KULAIJAYA - Kelab Rakan Muda Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim dengan kerjasama Way Out Adventures menganjurkan ekspedisi merentas Banjaran Titiwangsa dari Cameron Highlands menuju ke Ipoh dikenali sebagai Ekspedisi Trans Titiwangsa 1 Malaysia.

Ekspedisi yang disertai tujuh pelajar sekolah tersebut yang terdiri daripada pelbagai kaum serta dua guru itu diibaratkan satu peluang keemasan yang jarang berlaku seumur hidup.

Matlamat utama program adalah untuk membentuk semangat patriotisme serta membina perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.

Guru pengiring, Ooi Jok Tek berkata, para peserta akan melalui kawasan hutan khatulistiwa di Banjaran Titiwangsa yang bermula dari Cameroon Highlands dan seterusnya tamat di Ipoh.

“Banjaran Titiwangsa menjadi tulang belakang negara kita dan kaya dengan flora dan fauna yang tercantik di dunia dan oleh sebab itu, ia menjadi idaman bagi setiap peserta untuk melihat dan menaklukinya,” katanya.

Menurutnya, melalui semangat 1 Malaysia, peserta didedahkan dengan pelbagai kemahiran tertentu seperti cara melaksanakan dan menguruskan sesuatu aktiviti.

Selain itu, ekspedisi tersebut dapat memupuk nilai-nilai kepimpinan agar ia dapat diaplikasikan dalam kehidupan pelajar sejajar dengan tanggungjawab sebagai warganegara yang berdedikasi, berdisiplin dan berwawasan.

Pelajar juga berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi serta menjadikan ia sebagai sumber inspirasi dalam kehidupan seharian.

Salah seorang peserta, Muhammad Riduwan Herman, 16 berkata, pengalamannya dalam ekspedisi tersebut cukup mencabar lebih-lebih lagi ketika mendaki puncak Gunung Gayong yang ketinggiannya lebih kurang 2000 meter.

“Ketinggian gunung serta keadaan cuaca yang berubah-ubah juga kekurangan bekalan air menyebabkan keadaaan menjadi tegang dan mencabar, namun kami tetap meneruskan pendakian dengan matlamat puncak gunung mampu kami tawan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pihak sekolah mengharapkan agar program yang dijalankan dapat memperkukuh keharmonian hubungan antara pelajar pelbagai kaum serta meningkatkan motivasi, inovasi, kreativiti dan juga aspirasi terhadap diri sendiri serta mendalami semangat cintakan alam semula jadi dan tanah air.

Kolokium Hak Cipta Penulis
Oleh Nazmi Yaakub

2010/11/16

Harapan awal selesai royalti pengarang yang buku teks KOMSAS

KOLOKIUM Hak Cipta Penulis tidak hanya mendedahkan selok-belok hak cipta dan membuka peluang kepada pengarang untuk mengemukakan masalah membabitkan pelanggaran hak cipta, bahkan merintis jalan penyelesaian awal terhadap isu hak cipta dalam Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).

Ini kerana kolokium anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) itu, mendedahkan kekeliruan yang dihadapi pengarang yang karya mereka dipilih sebagai teks KOMSAS apabila kontrak perjanjian yang mengandungi isu royalti hanya membabitkan Kementerian Pelajaran dengan penerbit buku.

Selain kekeliruan dalam pembahagian royalti dalam teks KOMSAS, kolokium yang turut mendapat kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu, turut menjadi medan untuk pengarang melontarkan pelanggaran hak cipta yang dihadapi mereka.

Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman, berkata 25 karya eceran dalam antologi cerpen dan puisi KOMSAS dipilih daripada karya pelbagai pengarang yang diterbitkan dalam buku antologi dan kumpulan yang berlainan.

“Bagaimanapun, masalah timbul apabila penulis tidak tahu mekanisme pembahagian royalti kerana kontrak perjanjian hanya menyebut pembayaran royalti lapan peratus kepada penerbit, manakala urusan pembayaran royalti kepada penulis diserahkan kepada penerbit.

“Hal ini menimbulkan tanda tanya kepada pengarang mengenai jumlah royalti yang sepatutnya diterima kerana setiap penerbit mempunyai mekanisme tersendiri dalam pembayaran itu,” katanya pada kolokium yang dipengerusikan oleh Setiausaha PPJ, Mohd Rosli Bakir di Kolej Komuniti Pagoh, Pagoh, baru-baru ini.

Syed Mohd Zakir berkata, kekeliruan itu diambil kesempatan oleh sebahagian penerbit khususnya penerbit kecil yang seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi sehingga ada yang membayar royalti terbabit secara pukal atau mengguna pakai pembahagian royalti 10 peratus daripada jumlah yang diterima.
“Katakan sebuah buku yang mengandungi 25 karya eceran berharga RM10 dengan royalti diterima lapan peratus atau 80 sen dan diterbitkan sebanyak 500,000 naskhah, maka jumlah royalti yang bakal diterima ialah RM400,000 atau RM16,000 untuk sebuah karya.

“Sekiranya penerbit mengguna mekanisme asal mereka, iaitu 10 peratus, maka penulis menerima RM1,600, iaitu tidak sampai satu peratus pun daripada royalti keseluruhan,” katanya pada kolokium yang dirasmikan oleh Pengerusi ITNM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan dihadiri Pengarah DBPWS, Nor Hashimah Ali; Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kolokium Hak Cipta Penulis, Mohd Taufek Mahamud.

Melalui pendekatan terbabit, penerbit memperoleh keuntungan bersih lebih RM14,000 tanpa perlu mengeluarkan sebarang modal kerana penerbitan dan pemasaran buku untuk teks KOMSAS itu sebenarnya diuruskan oleh Kementerian Pelajaran.

“Malah ada sesetengah penerbit mendapat sehingga sembilan karya dan sekiranya mereka membuat bayaran secara sekali gus, sudah tentu mereka tidak lagi membayar royalti untuk tahun yang berikutnya. Penerbit seperti ini sebenarnya mengambil peluang daripada kelompongan perjanjian itu,” katanya.

Bagaimanapun, pendedahan Syed Mohd Zakir yang asalnya bertujuan untuk berkongsi isu soal hak cipta itu mendapat perhatian daripada Pegawai Penyelaras Khas Timbalan Perdana Menteri, Mohd Salihudin Rasul yang berjanji untuk mempertemukan wakil persatuan penulis dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan isu terbabit.

Mohd Salihudin berkata, pandangan dalam kolokium itu bakal dikemukakan kepada Muhyiddin kerana beliau sebelum ini juga diarahkan untuk mengemukakan sebarang cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum 15 November lalu.

Terdahulu daripada itu, Penolong Pengarah Bahagian Hak Cipta, Perbadanan Hak Cipta, Siti Salwa Ghazali, berkata pengarang dan penulis perlu mempertahankan hak cipta pada karya mereka dengan mengumpulkan bukti apabila ada pihak yang melanggar hak berkenaan.

“Antara pembuktian yang boleh dibuat adalah melalui akuan bersumpah, surat berdaftar yang mengandungi karya dengan beralamat sendiri, kertas kerja atau proses penghasilan karya dan ISBN yang diperoleh daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM),” katanya.

Pengarang yang juga bekas pengamal undang-undang, Nisah Haron berkata, pengarang boleh mengesan kesalahan ciplak terhadap karya mereka dengan membuat perbandingan teks asal yang ditulisnya dengan teks yang disyaki ciplak.

“Bagaimanapun, setakat ini tidak ada had berapa peratus persamaan antara karya asal dengan karya tiruan itu kerana belum ada sebarang kes berkenaan yang dibawa ke mahkamah.

“Oleh itu, pengarang wajar untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah supaya nanti barulah ada keputusan yang boleh dijadikan rujukan dalam isu seperti ini,” katanya ketika menjawab persoalan pelanggaran hak cipta yang dihadapi oleh novelis Johor, A Hamid Jemain.

Penganjuran Kolokium Hak Cipta itu boleh disifatkan sebagai langkah tepat DBPWS dan PPJ kerana ia menjadi medan terbuka kepada pengarang dan penulis untuk mengetahui hak mereka dan menyuarakan masalah yang dihadapi.

Ini menunjukkan ramai penulis dan pengarang yang berada di negeri masih belum terdedah kepada isu hak cipta kerana ada di kalangan mereka memendam masalah yang dihadapi selama 10 tahun, sekali gus memerlukan persatuan penulis negeri untuk mengadakan landasan seperti Kolokium Hak Cipta.

Mewah Bahasa: Burung terbang dipipiskan lada


2010/11/16

Nenek: Buat apa tu Min? Bukan main tekun lagi dari tengahari tadi ....

Min: Ni haa .... Nek! Buat lukisan ni ... buat poster!!

Nenek: Lukisan? Kerja sekolah ke? Kan ke sekolah dah nak cuti ni??

Min: Nek nak handphone tak?

Nenek: Henpon? Kan dah ada ni.

Min: Itu handphone pesen lama, orang dah tak pakai lagi dah! Sekarang ni ada iPhone ... iPhone Four yang terbaru! Nek nak tak?

Nenek: Tak maulah! Yang ada ni pun jarang-jarang pakai ... tunggu orang panggil je!
Min: Yang ni special Nek! Boleh internet lagi. Ni, Min nak bagi Nek satu ni ... hendak tak?

Nenek:Nak bagi? Kalau Min nak bagi .... Nek nak le ... kalau setakat nak pakai tu, boleh belajo kan?! Mana henponnye? Bak le sini ....

Min: Tak ada le lagi ... tunggulah Min menang ni dulu!

Nenek: Tak ada lagi?! Tadi kata nak bagi ....

Min: Yalah ... bila menang pertandingan poster ni nanti, Min belikan Nek satu iPhone! Jangan risau, Min ingat janji ni.

Nenek: Pertandingan poster?

Min: Ha’ a ... pertandingan poster Dewan Bandaraya ni, hadiah pertama dua puluh ribu. Dapat dua puluh ribu tu nanti, Min belikanlah Nenek iPhone ... jangan risaulah!!

Nenek: Kih! Kih! Kih! ....

Min: Kenapa Nek ketawa pulak?

Nenek: Kelako ... kelako, pandai cucu Nenek yang sorang ni buat lawak!! Boleh masuk Raja lawak ni! He he he ... sakit perut Nenek ni! He he he he ....

Min: Apa pulak yang lucunya? Min serius ni!

Nenek: Kelako! Kelako! Kelako! Apa orang dulu-dulu kata? ... Burung terbang dipipiskan lada ... he he he he ....

Min: Ni bukan pertandingan lukis gambar burung, tapi poster kempen antidenggi!

Nenek: Bukan lukis burung! Tapi peribahasa, tau tak? Peribahasa?

Min: Peribahasa? Peribahasa apa pulak tu? Min bukan masuk pertandingan peribahasa ....

Nenek: He he he ... betullah tu! Min bukan masuk pertandingan peribahasa, Min masuk pertandingan melukis poster ... kan?!

Min: Ha! La ... lukis poster!

Nenek: Min boleh menang ke?

Min: Mestilah! Itulah sebabnya Min nak belikan Nek iPhone!!

Nenek: Hah! Tang situlah yang kenanya peribahasa tu ... Burung terbang dipipiskan lada!!

Min: Kenapa pulak? Nenek nak burung ke? Tak mau iPhone?

Nenek: Bukan tak mau ... tapi keyakinan Min nak menang tu macam peribahasa tadi tu. Min baru nak buat poster tu, dan selama hari ni Nenek tak pernah pun tengok Min melukis. Betul ke Min pandai melukis??

Min: Memanglah Min tak pandai melukis ...dan sesekali je melukis kat sekolah!! Tapi Min nak duit hadiah nombor satu tu, tu pasal Min cubalah juga buat poster ni!

Nenek: Ha! Tu lah dianya! Benda yang belum tentu kita dapat, tapi kita dah angan-angan nak gunakan benda tu. Biasalah orang bersikap seperti itu, tu sebabnya ada peribahasa ni!!

Min: Apa sangkut pautnya burung terbang dengan dipipiskan lada? Nenek: Ini peribahasa orang dulu-dulu ... masa dulu burung kira sebahagian dari makanan ... lauk! Orang dulu pandai tangkap burung, pasang getah, memikat, mendekut, menyimbat dan macam-macam cara lagi orang tangkap.

Min: Sekarang pun kita makan burung juga!

Nenek: Itu burung puyuh ... puyuh ternak!! Bukan tangkap yang liar.

Min: Eh! Nek, sebenarnya Min tak faham pun apa makna dipipiskan tu, tak pernah dengar pun orang guna.

Nenek: Dipipiskan tu maksudnya dilumatkan! Dilumatkan pakai batu giling. Memang orang sekarang tak guna perkataan ni sebab sekarang kita pakai blender untuk lumatkan lada ... atau sekarang ni dah ramai yang beli aje lada yang dah siap lumat kat pasar! Lada dilumatkan pakai batu giling untuk dimasak dengan burung, sedangkan burungnya masih terbang ... belum tangkap pun lagi!! Tak tentu pun dapat idaknya burung tu lagi, tapi kita dah lumatkan lada, kira dah buat ramuan untuk memasak. Macam Min ni la ... belum tentu menang, dah angan-angan nak belikan Nenek henpon!!

Min: Ooo ... betul juga tu ek? Belum tentu boleh menang lagi, lukis pun belum siap lagi ni!! Silap-silap tak hantar pun ... angan-angan je yang lebih!!

Nenek: Eh! Janganlah lemah semangat pulak ... siapkanlah lukisan tu!! Nenek nak merasa juga pakai iPhone tu, he! he! he! he! ....

Min: Nenek!!!!!

Glosari

  • Burung terbang dipipiskan lada - sesuatu yang belum tentu dapat tetapi telah dicadang-cadangkan hendak menggunakannya
  • pipis - melumat/menghancurkan sesuatu seperti lada menggunakan alat seperti batu dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment