Pasaran global nanti usahawan Bumiputera
Oleh Kamal Ahmad
2010/11/02
Rebut pasaran China, India di samping tidak abaikan peluang di negara ASEAN
DI MANA syarikat Melayu, Bumiputera dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dalam era kebangkitan pasaran Asia serta era baru ekonomi global?
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapha Mohamed, dalam menjawab persoalan itu berkata pasaran kini semakin liberal dan landskap baru itu menyebabkan syarikat Bumiputera tidak boleh lagi bergantung pada permintaan dalam negeri.
Sebaliknya, pasaran lebih besar di Asia serta global menyediakan peluang baru dan peluang eksport lebih besar bagi usahawan serta syarikat Bumiputera yang berkebolehan.
Justeru, mereka digalakkan berintegrasi dengan GLC mengambil kesempatan daripada trend penggunaan perkhidmatan syarikat penyumberan luar (outsourcing) di kalangan syarikat besar khususnya dalam aktiviti nilai ditambah tinggi untuk meningkatkan kelebihan persaingan mereka.
“Usahawan Melayu dan syarikat Bumiputera perlu bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai melalui rasionalisasi dan pengkhususan dengan memberi tumpuan terhadap pembinaan dan peningkatan kecekapan utama mereka, untuk bersaing pada peringkat serantau dan global,” katanya.
Mustapha berkata, kerajaan amat yakin syarikat Bumiputera sudah memainkan peranan dalam merebut peluang di mana saja.
Usahawan Bumiputera sekarang sudah berani mencari peluang pasaran di luar negara untuk memasarkan produk mereka melalui kerjasama persatuan, Dewan Perniagaan Melayu serta agensi kerajaan bertanggungjawab. Ia dilakukan melalui misi perdagangan serta pameran yang diadakan. Malah mereka sudah menjalinkan kerjasama (business to business) masing-masing.
Bagi GLC, memang ada yang sudah mengembangkan perniagaan di luar negara dengan mengadakan rakan kongsi strategik. Antaranya PETRONAS, FELDA, Telekom Malaysia, UEM dan PROTON. Pasaran dalam negara yang terhad menyebabkan GLC mahupun usahawan Bumiputera ketika ini terpaksa mencari ruang pasaran luar negara.
Dalam usaha menolong usahawan Bumiputera menembusi pasaran global, Program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan (Program Groom Big) cuba membantu mereka mengeluarkan produk yang mematuhi kehendak dan piawaian antarabangsa dengan harga lebih kompetitif.
Program Groom Big adalah inisiatif dan kesungguhan kerajaan untuk menggalak, memupuk dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia bertujuan supaya usahawan Bumiputera berwawasan tinggi untuk menjadi entiti besar, berdaya saing, maju dan tahan pada peringkat domestik mahupun global. Program itu adalah bagi tempoh Januari 2006 hingga Oktober lalu, sejumlah 1,336 syarikat Bumiputera sudah dibangunkan membabitkan 1,628 produk.
Oleh itu, dalam menghadapi persaingan pada peringkat global, pihak persatuan industri dan perdagangan Bumiputera perlu memainkan peranan lebih proaktif serta inovatif untuk membantu memasarkan produk dan perkhidmatan di luar negara.
Pasaran China dan India sedang berkembang pesat. Justeru, usahawan Bumiputera seharusnya perlu mendominasi peluang yang ada di kedua-dua negara itu selain tidak mengabaikan peluang lebih dekat yang wujud dalam kalangan negara ASEAN.
Mustapha berkata, MITI melalui Bahagian Pembangunan Keusahawanan juga menyediakan platform kepada usahawan dengan menganjur serta menyertai pameran perdagangan di luar negara melalui penajaan penyertaan usahawan yang sudah bersedia untuk mengeksport.
“Antara aktiviti yang dijalankan di bawah program ini ialah pameran, pemadanan perniagaan, rundingan perniagaan, demonstrasi produk dan lawatan ke industri serta pihak berkuasa perdagangan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, satu lagi program bagi memberi peluang usahawan memasarkan produk mereka ke pasaran tempatan dan juga antarabangsa ialah Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU).
Program dikenali sebagai trading house itu berperanan mengumpul produk usahawan seterusnya memasarkan produk berkenaan. Pusat itu mempunyai elemen pengumpulan, pemasaran dan perkhidmatan tambah nilai. Ia dilaksanakan dengan kerjasama syarikat pengedaran yang mempunyai kepakaran dalam menjalankan aktiviti pemasaran.
“Melalui program ini juga, usahawan Malaysia dapat memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa dengan kos lebih murah menerusi operator 4PU/Trading House. Dalam hal ini, MITI menyediakan insentif dan bantuan untuk pembangunan 4PU/Trading House seperti tajaan penghantaran sampel produk dan penyertaan dalam pameran perdagangan di luar negara,” katanya.
Antara peranan operator 4PU/Trading House ialah mengumpul dan memasarkan produk serta perkhidmatan usahawan ke luar negara. Ia juga menemukan usahawan Malaysia dengan pembeli berpotensi, pengedar dan pelabur luar negara menerusi sesi pemadanan perniagaan.
“Mereka turut menjalankan risikan pasaran bagi mengenal pasti produk dan trend untuk keperluan pasaran serta mencadang dan melaksanakan aktiviti promosi produk usahawan. Ia juga bertindak sebagai penasihat teknikal terhadap spesifikasi produk, polisi untuk eksport ke sesebuah negara, syarat atau standard yang perlu ada terhadap sesebuah produk yang hendak dipasarkan.
“MITI juga membangunkan portal perdagangan interaktif yang memberikan maklumat komprehensif risikan pasaran luar negara yang boleh dimanfaatkan usahawan Bumiputera,” katanya.
Kampung contoh
Oleh Azidan Nahar
azidan@bharian.com.my
2010/10/24
Kerjasama erat, aktiviti ekonomi, padang golf dan mini Kuala Lumpur tarikan Permatang Duku, Benut, Johor
DENGAR saja nama Kampung Permatang Duku, Benut di Johor, sukar membayangkan apakah keistimewaannya sehinggalah menjejakkan kaki di sana.
Tidak keterlaluan andai dikatakan perkampungan ini ibarat dalam dunianya tersendiri berikutan pelbagai elemen yang menjadikannya unik - daripada kesepakatan dan semangat ukhuwah penduduknya, kegiatan ekonomi, persekitarannya yang bersih sehinggalah kelainan fizikal yang ditonjolkannya.
Ini termasuk kewujudan mini Kuala Lumpur - replika Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur selain ada rumah penduduknya yang dilengkapi padang mini golf dan sukan itu menjadi antara yang popular di kalangan penduduknya.
Keunikan lain - blok rumah yang dinamakan mengikut Perdana Menteri Malaysia, plak Piagam Pelanggan JKKK, Sajak Desa Kampung Permatang Duku, lirik lagu perkampungan itu dan laman web sendiri (www.permatangduku.com) selain hamparan landskap kebun herba di kediaman.
Tidak ketinggalan - slogan ‘Sergep’ bermaksud pantas yang menjadi pegangan penduduk kampung itu.
Berpaksikan keistimewaan ini, tidak hairanlah Kampung Permatang Duku ini dinobatkan juara Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2010 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.
Semua ini dicetuskan persaingan di kalangan penduduknya yang menawarkan hadiah serba sederhana, termasuk wang tunai RM100. Bukan ganjaran jadi ukuran, sebaliknya impak persaingan sihat yang dipaparkan dan seterusnya membawa berkat kepada mereka.
Kampung berkeluasan kira-kira 10 kilometer itu dibahagikan kepada tujuh blok dengan setiap blok akan bersaing sesama sendiri membentuk sebuah komuniti lengkap yang ditunjukkan menerusi landskap menarik, perusahaan kecil, aktiviti kebudayaan, persekitaran bersih dan penduduknya yang sentiasa bermuafakat serta ramah.
Ketua Kampung itu, Abd Samad Sikun, berkata persaingan sihat di kalangan penduduk itu menyaksikan mereka berlumba-lumba mengindahkan laman dan kediaman sendiri serta sekitar kampung.
“Ada yang membina padang golf mini, replika Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur serta taman herba di depan rumah dengan setiap seorang daripada mereka mahu menampilkan kelainan antara satu sama lain.
“Kami akan adakan pertandingan landskap dan keceriaan dua atau tiga kali setahun, hadiah pula sekadar wang tunai RM100 atau hamper tetapi penyertaan diterima amat menggalakkan," katanya.
Beliau berkata, apabila ada pertandingan yang pada kebiasaannya dikategorikan kepada blok dan individu, juri pertandingan tidak menang tangan melawat setiap 181 rumah sedangkan pada kebiasaannya mereka hanya boleh melawat kira-kira 15 rumah sehari.
Abd Samad berkata, ia dapat memupuk semangat permuafakatan apabila seluruh kampung berlumba-lumba menjadi yang terbaik.
Selain landskap menarik, setiap blok memiliki perusahaan sendiri seperti rempeyek, tempe, bahulu, inap desa dan ternakan ikan dengan peluang pekerjaan diberikan kepada golongan ibu tunggal bagi meneruskan kehidupan.
“Kami bahagikan kampung ini kepada tujuh blok yang mana enam daripadanya dinamakan sempena Perdana Menteri. Di sini, ada jawatankuasa sendiri yang membangunkan kawasan masing-masing mengikut kesesuaian kawasan.
“Kita juga menerima bantuan daripada setiap jabatan kerajaan tetapi untuk maju kita kena bergerak dan bukannya hanya memohon bantuan dan itulah yang dilakukan penduduk,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan dikecapi kampung berkenaan bukanlah datang secara segera kerana sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu, mereka sentiasa berusaha untuk bermuafakat menerusi slogan ‘Sergep’ yang berusaha mencapai kejayaan seberapa segera.
Hasilnya, mereka menerima anugerah johan Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) pada 2002, Anugerah Pencahayaan dan Keceriaan Kampung pada 2006 selain Desa Cemerlang 2010 yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM225,000!
Keceriaan selaku kampung terbaik turut dikongsi Wakiman Raji, 60, yang memiliki idea menarik menghias halaman rumahnya hingga menjadi padang golf mini yang diserikan dengan taman herba.
Bekas pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu menggunakan pengalaman dimilikinya untuk mengubah kawasan rumahnya yang dipenuhi pokok buah-buahan kepada padang hijau dalam tempoh 20 tahun yang dianggapnya berbaloi kerana berupaya menjadi padang golf walaupun hanya selubang.
“Dulu saya bekerja sebagai ‘caddy’ dengan askar British sebelum bekerja dengan MARDI, apabila sudah bersara saya secara perlahan-lahan membentuk landskap rumah ini.
“Sekarang penduduk di sini boleh bermain golf secara percuma di sini dan saya juga menyediakan tiga set permainan ini bagi digunakan mereka yang berminat,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, rumah Wakiman turut dihias dengan indah seperti inap desa dan keluarganya turut membuat kraftangan daripada bahan terbuang yang mampu dipasarkan ke daerah berhampiran bagi mendatangkan pendapatan sampingan.
INFO
Kampung Permatang Duku, Benut
· Namanya diilhamkan Abdul Karim yang merantau dari Pulau Kerimun, Indonesia pada tahun 1902, selepas beliau dan rakan-rakan meneroka kawasan itu dan sebatang pokok duku hutan.
· Kawasan ini berkeluasan 10 kilometer
· Mempunyai 181 rumah
· Kemudahan termasuk sekolah rendah, sekolah agama, stesen minyak, balai raya, taman rekreasi
· Antara anugerah diterima termasuk Johan Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) pada 2002, Anugerah Pencahayaan dan Keceriaan Kampung pada 2006 selain Desa Cemerlang 2010.
48,327 semua A
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2010/11/12
PASANGAN kembar yang juga pelajar OKU, Ahmad Rosli yang mendapat 2A,3B (kiri) bersama adiknya, Muhammad Rosli yang mendapat 4A,1B selepas mengambil slip keputusan UPSR di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 (2) Shah Alam, semalam.
Pencapaian UPSR 10.02 peratus terbaik dalam sejarah
PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini adalah yang terbaik dalam sejarah peperiksaan itu, pertama kali melebihi 10 peratus apabila 48,327 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, berkata calon memperoleh keputusan cemerlang semua A meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.
“Alhamdulillah, peratusan calon di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) juga berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus tahun ini,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR 2010, di sini, semalam.
Katanya, pencapaian calon luar bandar yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran juga amat memuaskan, meningkat 0.8 peratus daripada tahun lalu.
Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 21 September hingga 23 September lalu.
Abdul Ghafar berkata, peningkatan itu merapatkan lagi jurang pencapaian calon cemerlang (gred A) antara bandar dan luar bandar daripada 0.20 mata (mengikut GPN) kepada 0.04 mata.
Mengenai calon golongan istimewa, beliau berkata, mereka yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran meningkat 1.97 peratus, menjadikan GPN bagi pencapaian keseluruhan calon istimewa meningkat 0.02 mata.
Katanya, Ujian Aptitud yang dijalankan tahun ini menunjukkan peningkatan dalam bidang sosial, budaya dan sukan, manakala bidang akademik, teknik, vokasional dan seni menunjukkan penurunan ketara antara 5.4 peratus hingga 26.6 peratus.
Bagaimanapun, katanya, kecenderungan itu bukanlah satu ukuran pencapaian kerana ia boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber.
"Tahun ini adalah kali kedua Ujian Aptitud atau potensi diri dilaksanakan bertujuan mengumpul maklumat mengenai minat, potensi dan kecenderungan murid pada akhir tahun sekolah rendah yang akan digunakan untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan berkualiti," katanya.
Mengenai prestasi mata pelajaran, bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon mendapat gred A bagi mata pelajaran matematik meningkat 1.9 peratus manakala mata pelajaran Sains meningkat 1.7 peratus berbanding 2009.
Abdul Ghafar berkata, ada peningkatan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK yang memperoleh Gred A iaitu 4.5 peratus manakala prestasi Bahasa Melayu Penulisan menurun 8.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SK dan SJK dibuat berasingan kerana waktu pembelajarannya dan cakupan kandungannya adalah berbeza.
Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK dan SJK pula menunjukkan peningkatan pada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu masing-masing sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini (2.79 tahun lalu) dan 2.69 peratus (2.80 tahun lalu).
GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata pelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.
Terengganu catat prestasi terbaik
2010/11/12
KUALA LUMPUR: Terengganu terus mengungguli keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk tahun ke-10 apabila muncul negeri terbaik dalam peperiksaan itu tahun ini apabila seramai 3,560 atau 15.4 peratus daripada 23,147 murid mendapat 5A dan 7A.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Terengganu, Razali Daud berkata,
walaupun jumlah calon berkurangan tahun ini, berbanding 23,944 calon tahun lalu, murid mendapat A dalam semua mata pelajaran meningkat 0.1 peratus berbanding 15.3 peratus tahun lalu manakala calon yang mendapat keputusan 4A/6A+1B pula seramai 2,138 atau 9.2 peratus. Katanya, seramai 11,542 calon pula memperoleh keputusan A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman) meningkat 3.9 peratus, manakala mereka yang mendapat keputusan minimum C meningkat sebanyak 1.5 peratus.
“Pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan) dan Bahasa Inggeris pula menunjukkan penurunan sebanyak 6.9 peratus dan 1.5 peratus,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, seramai 2,548 daripada 23,305 calon memperoleh keputusan cemerlang atau semua A dan daripada jumlah itu, 1,841 calon dari sekolah kebangsaan (SK), 682 sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan 25 SJK Tamil.
Di IPOH, seramai 4,201 murid atau kira-kira 10 peratus daripada 42,057 calon UPSR memperoleh keputusan cemerlang 5A, meningkat 1.21 peratus berbanding 8.78 peratus tahun lalu.
Timbalan Pengarah JPN Perak, Mohd Idris Ramli, berkata seramai 26,610 calon atau 63.27 peratus mencapai tahap penguasaan minimum iaitu memperoleh gred A, B dan C dalam mata pelajaran diambil iaitu peningkatan 1.5 peratus berbanding pencapaian 61.77 peratus tahun lalu.
Di GEORGETOWN, seramai 2,839 calon memperoleh 5A/7A dengan seramai 16,065 calon atau 66.74 peratus lulus semua mata pelajaran.
Timbalan Pengarah JPN, Ahmad Tarmizi Kamaruddin, berkata tiga sekolah yang terbaik ialah SK Bertam, Perai; SJKC Kwang Hwa, Sungai Nibong dan SJKT Mak Mandin.
Di SEREMBAN, seramai 2,324 murid atau 12.4 peratus daripada 18,790 murid di negeri itu berjaya memperoleh 5A dan 7A dengan peningkatan murid cemerlang sebanyak 0.03 peratus.
Timbalan Pengarah JPN Sembilan, Jamali Salam, berkata gred purata negeri juga meningkat kepada 2.19 berbanding 2.20 pada 2009, manakala pencapaian sekolah luar bandar turut memberi sumbangan besar apabila 1,243 murid memperoleh 5A dan 7A , berbanding 1,081 dari sekolah bandar.
Di KUANTAN, seramai 3,359 atau 12.88 peratus daripada 26,074 murid SK dan SJK di Pahang mendapat keputusan cemerlang 5A dan 7A dan jumlah itu meningkat sebanyak 1.09 peratus berbanding 11.79 peratus tahun lalu.
Pengarah JPN Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latif, berkata seramai 17,997 daripada 26,074 calon atau 69.02 peratus menguasai semua mata pelajaran memperoleh gred A, B dan C berbanding 68.39 peratus tahun lalu.
Di KOTA KINABALU, seramai 1,190 daripada 43,886 calon UPSR di Sabah memperoleh gred A dalam semua lima atau tujuh subjek yang diambil.
Pengarah JPN Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin, berkata daripada jumlah itu, 995 calon dari SK memperoleh 5A manakala 195 calon dari SJKC mendapat 7A dan jumlah itu meningkat 277 calon atau 0.73 peratus berbanding 911 calon tahun lalu, membabitkan 248 calon dari SK dan 31 calon SJKC.
Di MELAKA, Pengarah JPN, Datuk Isa Abu, berkata seramai 1,505 atau 10.4 peratus daripada 14,473 calon yang menduduki UPSR berjaya memperoleh 5A atau 7A.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 126 adalah calon bukan Melayu yang belajar di SK, manakala dua calon bukan Cina dari SJKC pula iaitu Syakirin Al-Husna Mohd Kamil dari Masjid Tanah dan Sakhti Shanti Sathamai Selvanathan (SJKC Ping Ming) memperoleh 7A.
Di KOTA BHARU, seramai 5,127 atau 14.49 peratus daripada 37,861 calon UPSR di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang 5A dan 7A.
Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang, berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 0.18 peratus berbanding tahun lalu selain menyifatkannya sebagai pencapaian terbaik dalam tempoh tujuh tahun.
Di KANGAR, Pengarah JPN Perlis, Mansor Lat, berkata seramai 414 pelajar atau 9.4 peratus daripada 4,402 calon di Perlis memperoleh 5A atau 7A.
Di JOHOR BAHRU, seramai 6,172 daripada 58,197 calon di negeri itu memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Di ALOR SETAR, Pengarah JPN Kedah, Abdullah Saad, berkata seramai 3,866 daripada 39,781 calon memperoleh keputusan semua A, meningkat daripada 9.36 peratus tahun lalu kepada 10 peratus tahun ini
Sakit kulit kronik tak jadi penghalang
2010/11/12
NUR ZAHARATULNAIM diraikan kedua ibu bapanya di Sekolah Kebangsaan Jitra 3, semalam.
JITRA: Penyakit kulit kronik yang dihidapi bukanlah penghalang bagi Nur Zaharatulnaim Hasbollah, 12, untuk mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumum semalam.
Murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Jitra 3, itu, berkata dia tidak percaya mampu memperoleh 5A dalam semua subjek kerana terpaksa menduduki peperiksaan itu di Hospital Besar Jitra di sini, berikutan masalah penyakit kulit dihidapinya.
Katanya, berikutan kesukaran untuk berjalan kerana ketegangan urat kaki akibat penyakit itu, dia terpaksa didukung bapanya ke hospital bagi menjawab kertas peperiksaan UPSR, September lalu.
“Walaupun ketika itu saya menderita akibat penyakit kulit, hati saya tetap berkeras untuk melakukan yang terbaik, apatah lagi ketika itu saya tidak dapat menulis dengan baik.
“Kejayaan ini adalah hadiah kepada ibu bapa yang terlalu banyak berkorban menjaga saya ketika sakit,” katanyaSakit kulit kronik tak jadi penghalang
2010/11/12
NUR ZAHARATULNAIM diraikan kedua ibu bapanya di Sekolah Kebangsaan Jitra 3, semalam.
JITRA: Penyakit kulit kronik yang dihidapi bukanlah penghalang bagi Nur Zaharatulnaim Hasbollah, 12, untuk mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumum semalam.
Murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Jitra 3, itu, berkata dia tidak percaya mampu memperoleh 5A dalam semua subjek kerana terpaksa menduduki peperiksaan itu di Hospital Besar Jitra di sini, berikutan masalah penyakit kulit dihidapinya.
Katanya, berikutan kesukaran untuk berjalan kerana ketegangan urat kaki akibat penyakit itu, dia terpaksa didukung bapanya ke hospital bagi menjawab kertas peperiksaan UPSR, September lalu.
“Walaupun ketika itu saya menderita akibat penyakit kulit, hati saya tetap berkeras untuk melakukan yang terbaik, apatah lagi ketika itu saya tidak dapat menulis dengan baik.
“Kejayaan ini adalah hadiah kepada ibu bapa yang terlalu banyak berkorban menjaga saya ketika sakit,” katanya
Kematian ayah tidak patahkan semangat
2010/11/12
Nurul Ilmiah Abdul Rahim
SEREMBAN: Kematian ayah akibat sakit jantung beberapa bulan sebelum menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak mematahkan semangat Nurul Ilmiah Abdul Rahim, 12, untuk mendapat 5A, sekali gus memenuhi harapan arwah ayahnya.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri di sini, mengakui sedih dengan pemergian ayahnya, Abdul Rahim Ahmad, 58, Jun lalu, tetapi menguatkan azam untuk cemerlang dalam UPSR dengan belajar bersungguh-sungguh.
Anak sulung dua beradik itu turut mengikuti kelas tambahan dan belajar berkumpulan bersama teman rapat untuk mengurangkan perasaan sedih.
“Walaupun belajar begitu kadang-kadang membuatkan hilang tumpuan kerana lebih banyak berbual, saya terhibur dengan cara itu.
“Lebih menggembirakan, semua rakan dalam kumpulan itu mendapat 5A dan ini membuktikan belajar secara kumpulan masih berkesan,” katanya ketika ditemui di SK Puteri di sini, semalam.
Nurul Ilmiah yang bercita-cita menjadi peguam berkata, keputusan cemerlang itu juga adalah hadiah kepada ibunya, Ramlah bachik, 49.
Pasangan kembar di sekolah sama, Patricia Wong Ke Ying, 12, dan Felecia Wong Ke Seen,12, yang masing-masing memperoleh 5A dan 4A 1B, gembira memperoleh keputusan itu.
Walaupun Felecia sebagai kakak pada mulanya menangis kerana gagal mendapat 5A, dia tetap gembira kerana adiknya mendapat 5A.
Dia yang bercita-cita menjadi akauntan berkata, dia akan terus berusaha bersama kembarnya untuk mencapai kejayaan di peringkat sekolah menengah.
Patricia pula berkata, mereka tidak mempunyai petua belajar tertentu dan hanya belajar bersama setiap hari dan mengikuti kelas tambahan.
Hulu Terengganu daerah terbaik UPSR
Oleh Azman Mahmood dan Faizul Azlan Razak
bhkt@bharian.com.my
2010/11/12
MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, Ahmad Syamil Othman, menerima ucapan tahniah daripada Guru Besarnya, Seri Dewi selepas seramai 87 orang murid sekolah itu mendapat 5A.
WAJAH cemerlang 18 pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Randok, Ajil Hulu Terengganu yang mendapat 5A dalam UPSR, semalam.
TIGA murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya 1, Presint 8, Putrajaya, Siti Ameera Liana Ahmad Kamal (hadapan), Nur Ameera Shazana Shefrizal 12, (kiri) serta Wan Nur Shamimi Wan Mohd Yusof 12, menghubungi keluarga selepas mendapat keputusan cemerlang UPSR 2010.
SITI Nurhikmah Razlan, 12, yang cacat penglihatan dipeluk ibunya Diana Hussin, 34, selepas mendapat keputusan 4A1B dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Kuantan, semalam.
Empat sekolah mendapat lulus 100 peratus
KUALA TERENGGANU: Daerah Hulu Terengganu buat pertama kali muncul sebagai daerah terbaik di Terengganu dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.
Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, berkata lebih membanggakan apabila Pencapaian Gred Purata bagi sekolah di daerah itu ialah 2.11 mengatasi pencapaian negeri iaitu 2.25.
Katanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Randok di daerah itu berada dalam kedudukan lima sekolah terbaik negeri apabila 18 muridnya atau 46.15 peratus mendapat 5A dalam semua mata pelajaran.
“Empat sekolah mendapat keputusan 100 peratus kelulusan minimum C iaitu SK Dusun, SK Kemat, SK Bukit Tadok dan SK Teris. Ini membuktikan sekolah pedalaman boleh cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha guru yang sangat komited, patuh dan bersemangat untuk membuktikan sekolah di pedalaman boleh muncul sebagai sekolah terbaik," katanya kepada Berita Harian, semalamHulu Terengganu daerah terbaik UPSR
Oleh Azman Mahmood dan Faizul Azlan Razak
bhkt@bharian.com.my
2010/11/12
MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, Ahmad Syamil Othman, menerima ucapan tahniah daripada Guru Besarnya, Seri Dewi selepas seramai 87 orang murid sekolah itu mendapat 5A.
WAJAH cemerlang 18 pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Randok, Ajil Hulu Terengganu yang mendapat 5A dalam UPSR, semalam.
TIGA murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya 1, Presint 8, Putrajaya, Siti Ameera Liana Ahmad Kamal (hadapan), Nur Ameera Shazana Shefrizal 12, (kiri) serta Wan Nur Shamimi Wan Mohd Yusof 12, menghubungi keluarga selepas mendapat keputusan cemerlang UPSR 2010.
SITI Nurhikmah Razlan, 12, yang cacat penglihatan dipeluk ibunya Diana Hussin, 34, selepas mendapat keputusan 4A1B dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Kuantan, semalam.
Empat sekolah mendapat lulus 100 peratus
KUALA TERENGGANU: Daerah Hulu Terengganu buat pertama kali muncul sebagai daerah terbaik di Terengganu dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.
Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, berkata lebih membanggakan apabila Pencapaian Gred Purata bagi sekolah di daerah itu ialah 2.11 mengatasi pencapaian negeri iaitu 2.25.
Katanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Randok di daerah itu berada dalam kedudukan lima sekolah terbaik negeri apabila 18 muridnya atau 46.15 peratus mendapat 5A dalam semua mata pelajaran.
“Empat sekolah mendapat keputusan 100 peratus kelulusan minimum C iaitu SK Dusun, SK Kemat, SK Bukit Tadok dan SK Teris. Ini membuktikan sekolah pedalaman boleh cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha guru yang sangat komited, patuh dan bersemangat untuk membuktikan sekolah di pedalaman boleh muncul sebagai sekolah terbaik," katanya kepada Berita Harian, semalam
Lingkaran musibah
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/31
Bekas tapak perkampungan di Mentawai selepas dilanda tsunami Isnin lalu.
Gempa bumi, tsunami dan letusan Merapi melanda Indonesia hampir serentak
ANDAI mahu diukur dari segi kedudukan, kestabilan muka bumi dan kekerapan ditimpa bencana alam, Indonesia mungkin paling layak berada di tempat teratas senarai negara paling tidak selamat untuk diduduki. Jika diteliti, sukar rasanya untuk republik itu melepasi tempoh setahun tanpa ada satu pun bencana mencelah.
Namun apa yang dihadapi negara jiran itu kali ini sesuatu yang jauh berbeza daripada kebiasaan kerana tiga musibah datang hampir serentak. Semuanya kerana kedudukan republik berkenaan dalam Lingkaran Api Pasifik.
Isnin lalu, Indonesia dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di Sumatera, sekali gus mencetuskan tsunami dan keesokannya pula, Gunung Merapi di Balerante, Jawa Tengah menyemburkan awan panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius.
Setakat Khamis lalu, bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dan mencipta ombak besar setinggi tiga meter dilapor melenyapkan beberapa kampung dan mengorbankan hampir 300 nyawa manakala angka korban angkara gunung berapi Merapi mencecah puluhan orang.
Pakar gunung berapi berkata, ketika mereka tidak boleh menidakkan letusan lebih ganas, ia mungkin berterusan sebagai siri letupan kecil seperti yang berlaku Selasa lalu.
“Jika keadaan berterusan seperti ini untuk beberapa waktu, kita akan melihat letusan yang perlahan dan panjang,” kata penyelidik gunung berapi, Gede Suantika.
Seperti Kepulauan Aleutian di Alaska yang bertaburan dengan gunung berapi, kepulauan Indonesia juga terletak di sempadan bawah laut antara dua plat paling besar dalam kerak bumi.
Dalam kes Indonesia, kerak plat Australia terletak di bawah kerak plat Eurasia yang membentuk kubu Sunda. Pergeseran kedua-dua plat memanaskan batu ke tahap cair, membekalkan magma yang membesar untuk membentuk gunung berapi serta mencetuskan gempa bumi.
Zon sama mengeliling Pasifik, mewujudkan rangkaian gunung berapi yang memanjang dari Andes sehingga Pasifik Barat, lalu membentuk Lingkaran Api.
Risiko keseluruhan rantau itu membuatkan sebahagian pakar gempa bumi berjaga sepanjang malam kerana ia juga mengandungi sebahagian zon yang membentuk ketegangan selama lebih 200 tahun. Jika ia dibebaskan dalam satu keadaan, gempa boleh mencecah 8.5 pada skala Richter yang boleh mencetuskan gempa bumi amat kuat.
Bahagian itu berpusat di bawah Pulau Siberut di Padang. Pada September 2009, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda persisiran pantai Padang.
Sekali pandang, ia menepati corak gempa bumi pada ukuran sama yang berlaku sepanjang bahagian lain di pantai itu sejak 2004 apabila gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter menggegarkan utara Sumatera, menyebabkan anggaran 231,000 kematian secara langsung atau tidak langsung kerana tsunami yang merebak ke seluruh Lautan Hindi.
Sebahagian penyelidik berkata, mereka mengesyaki siri apa yang dikatakan gempa bumi lemah yang mewakili zon berkenaan sekadar menyesuaikan diri untuk berubah dalam corak tekanan yang disebabkan gegaran pada 2004.
Bagaimanapun, menurut sepasukan pakar gempa bumi yang berada di situ, gegaran pada 2009 tidak memberi kesan dalam mengurangkan ketegangan yang sudah terbina selama 200 tahun.
Menulis dalam jurnal Nature Geoscience, Januari lalu, pasukan berkenaan memberi amaran bahaya gempa bumi berukuran lebih 8.5 pada skala Richter masih ada di sepanjang segmen di Padang.
Sebarang harapan gempa bumi Isnin lalu mungkin mengurangkan ketegangan, nyata tersasar. Berdasarkan maklumat awal mengenai lokasi dan kedalaman pecahan, gempa itu berlaku amat jauh daripada ketegangan yang tercetus berhampiran Padang.
Indonesia dikelilingi pulau yang dianggarkan berjumlah 17,504 buah dan dengan kedudukan geografi yang meletakkan republik itu di titik pertembungan tiga plat yang mempunyai pergerakan tersendiri dengan arah bertentangan, lalu menyebabkan kumpulan tenaga tidak boleh dibendung, sekali gus mencetuskan gempa bumi.
INFO: Tragedi bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Indonesia
· Gempa bumi Toba di Sumatera Utara
Gempa bumi gunung berapi yang dianggap terbesar dalam sejarah dunia berlaku kira-kira 450,000 tahun lalu. Ia disebabkan aktiviti magma yang selalunya berlaku sebelum letusan gunung berapi. Aktiviti yang semakin memuncak akan menyebabkan letupan yang juga mengakibatkan gempa bumi. Kesan gempa bumi itu membentuk Danau Toba yang kini terkenal sebagai destinasi pelancongan.
· Gempa bumi di Jawa
Juga gempa bumi gunung berapi yang berlaku di pergunungan Jawa Timur dengan ukuran 6 hingga 6.8 pada skala Richter, kira-kira 1,770 tahun lalu. Gegaran menyebabkan letusan Gunung Sumeru dan tragedi ini meragut 6,000 nyawa serta menghasilkan hujan debu selama empat hari di seluruh kawasan tengah hingga Jawa Timur. Gunung Sumeru dianggap gunung berapi paling aktif sehingga sekarang.
· Gempa bumi 25 November 1833
Ia menyebabkan wujudnya segmen Kubu Sumatera di sepanjang 1,000 kilometer di tenggara. Perkara sama berlaku dalam gempa bumi pada 26 Disember 2004. Ia mencetuskan tsunami yang melanda pantai barat Sumatera, kawasan paling hampir dengan pusat gegaran ialah Pariaman hingga Bengkulu.
· Letusan gunung berapi Krakatoa
Apabila Krakatoa meletup pada Ogos 1883, ia menyamai kuasa bom atom. Letusan dapat didengar sehingga beribu kilometer, menggegarkan seluruh Lautan Pasifik, menyebabkan seluruh ‘pulau Krakatau’ tenggelam dan turut membawa bersama 100 pulau sekitarnya. Bencana itu membunuh 36,000 orang, kebanyakannya disebabkan tsunami. Debu letusan sampai hingga ke New York, menyebabkan penurunan suhu seluruh dunia untuk tempoh hingga setahun
Malaysia tak perlu bimbang
2010/10/31
BENCANA alam yang melanda Indonesia turut menghadirkan cemas kepada rakyat Malaysia kerana kedudukan negara kita yang terletak berhampiran republik itu. Rasa cemas itu tidak menghairankan kerana kesan gempa bumi di Indonesia pada 2004 turut menyebabkan tsunami sehingga ke pantai barat negara kita.
Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Rosaidi Che Abas, berkata sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Meteorologi sudah memasang tiga pelampung tsunami yang berfungsi mengesan ombak besar lebih awal sebelum sampai ke perairan negara.
Pelampung tsunami setakat ini sudah dipasang di Pulau Rondo, Indonesia untuk mengawasi Laut Andaman dan kawasan perairan di utara Sumatera, di Pulau Layang-Layang bagi mengawasi Laut China Selatan dan Pulau Sipadan, Sabah untuk mengawasi Laut Sulawesi.
Mengenai kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kesan jerebu akibat debu letusan gunung Merapi, Dr Mohd Rosaidi berkata, perkara itu mungkin tidak berlaku berdasarkan jarak negara kita dengan lokasi kejadian yang dianggarkan 1,300 kilometer.
“Arah tiupan angin ketika ini menghala ke barat dan selatan, jadi debu itu dijangka tidak menghampiri Malaysia,s sekali gus kita tidak perlu bimbang mengenai kesan sampingannya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ada dua sumber gempa bumi di Sumatera, Indonesia yang boleh memberi gegaran kepada Semenanjung Malaysia iaitu gempa kuat berpusat di sepanjang kawasan pertembungan plat tektonik di barat Sumatera.
“Kedua ialah gempa bumi sederhana dan kuat yang berpusat di sepanjang kawasan Gelinciran Sumatera (Sumatran Fault). Kekuatan gegaran yang dirasai di Semenanjung bergantung kepada magnitud gempa bumi dan lokasi pusat gempa,” katanya.
Katanya, Semenanjung Malaysia akan merasai gegaran lebih kuat jika berlaku gempa bumi bermagnitud besar di Indonesia pada jarak yang lebih dekat.
“Gempa bumi kuat di republik itu, Isnin lalu sebenarnya tiada kaitan dengan gempa bumi 26 Disember 2004 kerana ia berlaku pada zon yang berlainan walaupun berada pada plat tektonik sama,” katanya.
Namun, beliau menjangka gempa bumi terus berlaku di kawasan pertembungan plat tektonik termasuk di barat Sumatera dan gempa kuat akan berulang di kawasan yang sama selang puluhan tahun atau lebih.
“Ini bermakna, gempa bumi kuat seterusnya akan berlaku di zon sepanjang kawasan pertembungan plat tektonik yang sudah puluhan tahun tidak mengalami bencana itu. Satu daripada kawasan berkenaan ialah Siberut berhampiran Padang, Indonesia,” katanya
Gambaran nikmat di syurga
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sheikh al-Maraghi berkata: "Semua ini menunjukkan bahawa makanan ahli neraka adalah sesuatu yang sesuai dengan keadaan di akhirat.
"Hal ini digambarkan dengan benda-benda yang ada di dunia adalah bermaksud untuk menggambarkan kepada kita betapa buruknya jenis makanan itu, agar kita menjauhi dan menghindari malapetaka tersebut, sehingga kita terjauh daripada perbuatan rosak dan merugikan."
Firman Allah SWT: (sebaliknya) Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.
Ibn Kathir berkata: Mereka mendapat kurniaan nikmat kerana usaha mereka di dunia.
Firman Allah SWT: Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia).
Al-Hasan berkata: Dia akan reda dengan usahanya. Benarlah kata al-Maraghi: Mereka berasa puas kerana mereka dahulu beramal semata-mata kerana Allah SWT dan mereka diberi balasan baik.
Hal ini umpama seorang yang berbuat baik lalu mendapat hasil atau balasan baik dan pujian yang menyenangkan, maka tercetuslah ucapan: Alangkah baiknya amalku dahulu. Sesungguhnya amalku itu sesuai dengan kebenaran.
Firman Allah SWT: (Mereka tinggal menetap) di dalam syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya).
Dalam hal ini al-Mawardi menyebut dua wajah bahawa syurga lebih tinggi dari neraka kedudukannya. Dengan sebab itu dinyatakan ketinggiannya seperti kata al-Dahak. Sedangkan pendapat kedua dengan maksud di syurga-syurga yang tinggi dan bilik-biliknya.
Atas asas inilah ketinggian mereka dalam dua bentuk, iaitu supaya mereka berlazat dengan kedudukan dan keduanya supaya mereka menyaksikan apa yang Allah SWT sediakan kenikmatan untuk mereka.
Firman Allah SWT: Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.
Ulama telah khilaf berkenaan dengan tafsiran lagha di sini, di mana al-Farra' dan al-Ahfash berpendapat ahli syurga tidak mendengar walaupun sepatah kalimah lagha.
Berkenaan dengan lagha ada tujuh pendapat:
* Dusta. Seperti pendapat Ibn Abbas.
* Dosa. Seperti pendapat Qatadah.
* Mencela. Seperti pendapat Mujahid.
* Kebatilan. Seperti pendapat Yahya bin Salam.
* Maksiat. Seperti pendapat al-Hasan.
* Sumpah. Seperti pendapat al-Qalbi.
* Ahli syurga tidak mendengar dalam ucapan mereka kalimah lagha. Seperti pendapat al-Farra'.
Firman Allah SWT: di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir.
Al-Maraghi berkata: Dalam syurga itu terdapat mata air yang selalu mengalir airnya. Air yang jernih menggembirakan hati dan mententeramkan mata yang memandangnya.
Firman Allah SWT: Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya).
Kedudukan tinggi ini ada tiga wajah:
* Kerana sebahagiannya berada lebih tinggi daripada yang lain.
* Kerana tempatnya berada di puncak.
* Tempat yang tinggi kerana kedudukannya dan martabatnya yang tinggi.
Ibn Syajarah berkata: Supaya mereka berlazat dengan kedudukannya.
Firman Allah SWT: dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka).
Sayid Qutub berkata: Gelas-gelas itu siap diatur dan siap disajikan untuk diminum tanpa perlu diminta dan disediakan.
Firman Allah SWT: dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar).
Al-Maraghi berkata: Dalam syurga terdapat juga bantal-bantal yang tersusun rapi. Mereka boleh mendudukinya, bersandar padanya atau berteleku di atasnya apabila dikehendaki.
Firman Allah SWT: serta hamparan-hamparan yang terbentang.
Al-Maraghi berkata: Ketika permaidani (hamparan) terhampar di tempat duduk, maka setiap tempat duduk dapat dilihat hamparan permaidani seperti yang terdapat di rumah-rumah kaum bangsawan lagi hartawan di dunia ini.
Sayid Qutub berkata: "Semuanya itu merupakan nikmat-nikmat kesenangan yang dapat dilihat manusia contoh-contoh seumpamanya di bumi."
Nikmat-nikmat itu disebut sedemikian rupa untuk mendekatkan kepada kefahaman manusia di bumi, sedangkan hakikat yang sebenar terpulanglah kepada selera di sana yang dikurniakan Allah SWT kepada golongan manusia yang berbahagia.
Di antara usaha yang sia-sia ialah membuat perbandingan dan penyelidikan yang halus mengenai bentuk dan sifat nikmat atau azab di akhirat kerana penduduk bumi berfikir dengan fikiran yang terikat dengan keadaan yang wujud di bumi ini.
Andainya mereka berada di akhirat, maka segala hijab dan dinding akan terhapus, segala roh dan fikiran terlepas bebas, segala makna akan berubah mengikut perubahan selera manusia di sana.
Ini kerana segala yang berlaku di akhirat di luar kemampuan kita untuk mengetahuinya.
Sifat-sifat nikmat yang dijelaskan oleh Allah SWT hanya berguna untuk menolong kita memahami dan menggambarkan kemuncak kelazatan, kemanisan dan kenikmatan hidup yang kita tidak mampu mencapainya selama kita berada di sini.
Ketika di akhirat barulah kita mengetahui dan mengenal hakikatnya apabila Allah SWT memuliakan dengan limpah kurnia dan keredaan-Nya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita syurga Firdaus sebagai nikmat-Nya. Amin
Cara Nabi SAW bergaul dengan bukan Islam
Soalan:
SAYA selalu mengalami masalah dalam pergaulan dengan rakan-rakan yang bukan Islam. Mohon penjelasan ustaz pendekatan terbaik yang disyorkan Islam seperti yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita.
Jawapan:
Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik dalam hal ini. Baginda bergaul dengan semua penduduk Mekah tidak kira yang miskin atau kaya, berpangkat atau tidak.
Lebih-lebih lagi dalam menggauli golongan yang bukan beragama Islam. Baginda sentiasa bergaul baik dengan golongan yang bukan beragama Islam.
Nabi SAW melihat setiap mereka sebagai aset agama, baginda juga melihat mereka sebagai anak Adam yang perlukan bimbingan dan tunjuk ajar ke arah agama Islam.
Sebelum diutus menjadi Rasul baginda telah dinobatkan dengan gelaran al-Amin, orang sangat dipercayai dan tidak pernah berdusta. Tidak ada yang berkecil hati dengan Rasulullah SAW.
Baginda tidak meninggikan suara di hadapan mad'u (golongan sasaran). Tidak ada dalam lipatan sejarah bahawa nabi SAW menyakiti hati orang bukan Islam, melainkan dalam urusan mempertahankan maruah agama dan kedaulatan Islam.
Sebab itulah Allah SWT berpesan kepada Rasulullah agar tidak bersikap keras atau keras ke atas golongan bukan Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepada-Nya. (ali-'Imran: 159).
Sekiranya kita ada kawan dari kalangan yang bukan ajaklah dia berbincang mengenai keindahan agama, biar wujud kesefaham dalam beragama di antara kita dan kawan kita.
Sekali gus, dialog memahami agama sudah ada. Ustaz yakin dengan demikian kita akan lebih faham kawan kita dan agamanya. Mungkin dengan cara itu kita dapat elakkan salah faham atau tersalah anggap.
Menelusuri cara Rasulullah SAW melayan orang bukan Islam, kita akan terpegun dan percaya bahawa sikap ini yang menjadikan ramai manusia yang jatuh hati kepada agama Islam.
Antaranya riwayat daripada Anas bin Malik r.a, bahawa seorang budak lelaki yahudi yang berkhidmat (khadam) untuk Rasulullah tiba-tiba jatuh sakit, lalu baginda SAW menziarahi budak yahudi itu.
Ketika baginda duduk di sisi kepala budak tersebut, baginda berkata: Islamlah (masuklah Islam), lalu budak itu melihat ke arah ayahnya, lantas ayahnya berkata kepada anaknya: taatlah engkau kepada Abu al-Qasim (Nabi SAW dengan menganut Islam), tanpa berlengah budak itu menganut Islam.
Setelah baginda keluar dari rumah budak itu, baginda berkata: Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya dari neraka. (riwayat al-Bukhari)
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata, telah dikatakan kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah! Doalah supaya orang musyrikin diturunkan musibah. Baginda membalas: sesungguhnya aku tidak diutus untuk melaknat (meminta suatu yang buruk), akan tetapi aku diutus sebagai pembawa rahmat. (riwayat Muslim)
Soalan 2:
Apa hukumnya mengucapkan Selamat Deepavali kepada mereka yang beragama hindu dan menghadiri jemputan rumah terbuka mereka?
Jawapan:
Di sini ustaz menterjemahkan satu kenyataan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi dari laman web Islam-0nline tentang memberi ucapan pada hari-hari kebesaran orang bukan Islam, Maksudnya: Dan dia (al-Qaradawi) berkata tentang mengucap tahniah kepada perayaan Yahudi dan Kristian: "Ini (ucap tahniah) termasuk daripada hak-hak bersama. Jika seorang ahli kitab datang dan mengucapkan tahniah kepada kamu dengan perayaan kamu, dan dia berkongsi kedukaan dan musibah kamu, dan dia mengucapkan takziah kepada kamu dengan kedukaan dan musibah tersebut.
"Maka apakah pula yang melarang kamu memberi tahniah dengan perayaannya dan dalam kegembiraannya dan kamu ucap takziah dalam musibah yang menimpanya.
Allah berfirman: Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa. (al-Nisa': 86 )
Ini tidaklah bermakna kita menyambut perayaan mereka bersama mereka. Sebaliknya kita hanya mengucapkan tahniah sahaja. Inilah daripada kebaikan dan keadilan yang datang bersama agama ini (Islam)".
Jelas, bahawa mengucapkan selamat deepavali kepada kenalan dan kawan-kawan kita yang beragama hindu tidak dihalang dalam Islam.
Apa yang mustahak dalam hal ini ialah tujuan kita mengucapkannya bukan untuk menyambutnya bersama. Malah yang demikian adalah demi menghormati budaya dan adat orang lain.
Saya juga yakin dengan menghormati hari-hari kebesaran orang bukan Islam sedikit sebanyak dapat memecahkan tembok salah faham Islam.
Dengan demikian agama Islam akan menambat hati-hati mereka kerana keindahan ajarannya yang sarat dengan ihsan dan kebijaksanaan sekali gus menjadikan Islam agama yang dihormati.
Ada juga suara-suara yang agak lantang dalam hal ini, sehingga menghalang kita mengucapkan apa-apa ucapan, kononnya dengan mengucap selamat deepavali, selamat krismas atau apa-apa ucapan hari kebesaran orang bukan Islam semacam kita mengiktiraf dan menyambutnya.
Alasan ini sangat tidak patut, ini kerana kalau musim deepavali tidak ucap happy deepavali nak ucap apa untuk kenalan dan jiran tetangga?
Bukannya ada ucapan lain yang boleh menggantikan happy deepavali. Kalau ada bolehlah kita mengucap dengannya.
Setahu ustaz, itulah ucapan yang ada untuk kita ucapkan kepada masyarakat india yang beragama hindu.
Teringat saya pada pesanan seorang guru saya, katanya: "Buatlah baik pada manusia wahai Farid nescaya kamu dapat memperhambakan hatinya".
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment