Wednesday, December 22, 2010

Terowong di bawah sungai

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI



RASA gerun menyelubungi tatkala kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang dikemudi jurutera muda Ng Hau Wei memasuki salah satu daripada dua muka terowong di Bukit Berapit, Padang Rengas, Perak itu.

Terowong yang berbentuk seperti ladam kuda dengan diameter sembilan meter lebar dan sembilan meter tinggi itu berjaya ditebuk sepenuhnya 1 November lalu.

Bagai memasuki sebuah gua, pemandangan di depan hanyalah suasana kelam yang seolah-olah tidak berpenghujung.

Usai 30 meter pertama, perasaan cuak mulai lenyap dan digantikan keterujaan melihat struktur dinding dan siling terowong.

Biarpun permukaannya sedikit kasar dan sekadar dilitupi semburan konkrit, namun hasil penggalian terowong yang dimulakan sejak April 2009 lalu itu telah menampakkan kehebatannya.

100 meter di hadapan, kelihatan sekumpulan petugas berkemahiran tinggi tangkas melaksanakan kerja-kerja mereka.

Ditemani cahaya lampu limpah yang terpahat kukuh di tepian laluan terowong itu, petugas terbabit langsung tidak mempedulikan kehadiran wartawan Jurnal dan jurugambar Mohd. Najib Mohd. Nor yang pantas merakam momen foto terbaik suasana mereka sedang bekerja.

Tidak jauh dari situ, air menitis lebat dari siling terowong.

“Air ini adalah aliran Sungai Batu Pengasah dan kita baru sahaja melalui di bawahnya,” ujar Hau Wei, 31.

Itulah sebahagian gambaran terkini Terowong Bukit Berapit (TBB) iaitu mercu tanda Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar.

Selain faktor jarak 3.3 kilometer yang bakal melayakkannya berstatus terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara, TBB hakikatnya mempunyai banyak keistimewaan.


KERJA-KERJA pemasangan rel kereta api sedang rancak dijalankan di dalam terowong.


Air

Apabila siap kelak, ia membolehkan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencapai kelajuan sehingga 120 km sejam semasa melalui terowong itu.

Selain itu, TBB dilengkapi spesifikasi standard keselamatan antarabangsa. Terdapat sembilan laluan penghubung di setiap 350 meter di dalam terowong itu.

Terowong berkembar ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran tempatan. Projek ini sudah pun 70 peratus siap.

Bakinya pula melibatkan 15 peratus kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan 15 peratus pemasangan sistem di dalam terowong.

Bagi Hau Wei, perkembangan tersebut merupakan satu kejayaan membanggakan lebih-lebih lagi beliau sendiri bergelar Pengurus Terowong bagi projek berkenaan.

Menurut graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor ini, projek tersebut jelas memperlihatkan bahawa tiada yang mustahil untuk dilakukan.

“Inilah pertama kali kita membina terowong menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya.

“Saya menganggapnya sebagai satu cabaran memandangkan ahli-ahli pasukan terowong saya merupakan jurutera baru lepasan universiti,” katanya.

Beliau yang berpengalaman sebagai salah seorang jurutera yang terlibat dalam projek pembinaan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) di ibu negara sebelum ini berkata, cabaran terbesar sepanjang proses pembinaan TBB adalah penggerudian bagi 100 meter pertama.

“Jarak tersebut merupakan fasa paling penting dalam keseluruhan pembinaan. Kami menghadapi kesukaran yang melampau memandangkan keadaan tanah yang berbatu.

“Perkembangannya terlalu perlahan, tidak sampai satu meter sehari malah mengambil masa setengah tahun untuk jarak berkenaan.

“Bahkan pada waktu itu, kami terpaksa mengubah reka bentuk memandangkan pembinaannya dilakukan di bawah laluan air,” katanya.

PEMANDANGAN dari depan terowong berkembar di Bukit Berapit, Perak.



Terkawal

Berbanding pembinaan Terowong Smart yang mengguna pakai khidmat dua mesin penggerudi terowong (TBM), Tuah dan Gemilang, TBB sebaliknya menggunakan teknik gerudi dan letupan terkawal bagi kawasan di bawah Bukit Berapit.

“Menggunakan TBM seumpama menguruskan sebuah kilang. Pengendali mesti memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Namun, di Bukit Berapit ini, kaedah gerudi dan letupan terkawal lebih mendekatkan kita dengan alam semula jadi.

“Selepas setiap sesi letupan dan penggerudian, kami melihat dengan mata sendiri tanah serta batu yang dikeluarkan. Begitu juga dengan kesan yang tinggal pada struktur terowong,” kata Hau Wei.

TBB turut bersambung dengan dua lagi terowong berasingan yang dibina menggunakan kaedah potong dan tutup di kawasan terbuka dan kerja-kerja mengorek di bawah Lebuhraya Utara-Selatan.

Kata Hau Wei, kerja-kerja tersebut dibuat secara cermat sehingga pengguna lebuh raya tersebut tidak merasai gegaran letupan dan gerudi.

Semasa proses gerudi dan letupan, terdapat empat pasukan penggalian terowong menjalankan tugas serentak iaitu melalui empat muka terowong berasingan.

“Proses membina terowong sangat rumit bahkan kita terdedah kepada pelbagai risiko.

“Meskipun pakar geologi telah membuat kajian mengenai kandungan tanah di kawasan yang hendak digerudi dan diletupkan, kami tidak boleh menjangka apakah sebenarnya risiko 100 meter di depan,” cerita beliau.

Tidak mahu mendabik dada dengan kejayaan yang diraih, Hau Wei bersyukur kerana beliau diberi peluang mengetuai pembinaan sebuah projek berstatus mega tersebut.

“Terdapat kira-kira 30 kakitangan di bawah saya yang terdiri daripada jurutera, pakar geologi dan penyelia.

HAU WEI (kanan) bersama sebahagian daripada 240 pekerja yang terlibat dalam pembinaan terowong.



“Saya bertuah kerana mereka telah memberi kerjasama yang baik meskipun ada di kalangan mereka lebih berpengalaman daripada saya,” katanya.

Ujar anak kelahiran Kulai Besar, Johor ini, tarikh 1 November lalu merupakan detik istimewa kepada lebih 240 petugas yang terlibat secara langsung dalam pembinaan terowong tersebut.

Pada hari berkenaan, penggalian terowong dari arah Padang Rengas dan Taiping yang dimulakan sedikit lewat iaitu pada Mac 2010, berakhir secara rasmi.

“Melihat terowong yang digali berjaya ditembusi adalah matlamat dan impian utama mereka.

“Secara peribadi, itulah detik yang dinanti-nantikan bahkan ketika itu saya sendiri seperti mahu mengalirkan air mata kegembiraan.

“Saya seperti nampak ada cahaya dari alam lain menerobos masuk,” ujarnya.

Dengan semangat berpasukan dan komitmen bersungguh-sungguh yang diperlihatkan anak-anak buahnya, Hau Wei yakin TBB tersebut mampu disiapkan sepenuhnya menjelang November 2011 seperti dijadualkan.

Sarang burung sumber kekayaan

Teks dan gambar Kusyi Hirdan

SARANG burung dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi dan menjadi makanan tambahan pilihan utama bagi masyarakat Cina di seluruh dunia sejak 1,500 tahun lalu.

Ia dikatakan baik untuk kulit, sistem pernafasan, menguatkan paru-paru, melancarkan peredaran darah, memperbaiki saluran pencernaan, mengurangkan kahak dan menyembuhkan batuk. Sarang burung juga baik untuk wanita hamil dan mempercepatkan proses penyembuhan selepas bersalin. "Sebenarnya, sarang burung bukanlah daripada air liur burung walet. Burung itu menggunakan kelenjarnya bagi menjalin sarang," kata Liew Sun Sun yang mempunyai pusat latihan pembersihan sarang burung di Kajang, Golden Sunshine Enterprise. Katanya, sarang burung mempunyai gred tersendiri. Contohnya gred D, ia lebih tebal kerana lama dan dibuat oleh dua generasi burung walit. Sementara itu jelasnya, gred C pula dibuat di sudut menjadikan bentuknya tiga segi manakala gred A di tengah-tengah dinding. Harga jualan adalah mengikut gred dan ukuran. Ada yang berharga RM15 satu gram. Begitu juga jenamanya, turut memainkan peranan. "Burung walit bukan haiwan pemangsa kerana makan serangga dan minumannya pula embun. Sarang hasilan rumah burung tentu sahaja lebih bersih daripada di gua.


"Untuk menghasilkan sarang, perlu kedua-dua burung jantan dan betina kerana ia dibuat ketika proses mengawan. Burung jantan lebih banyak bekerja daripada betina kerana si betina ketika itu sedang bunting. Burung walit menghasilkan sarang tiga kali setahun dan mengambil masa 30 hari untuk membuat sebuah sarang. Jangka hayat burung adalah antara 15 hingga 20 tahun.

"Rembesan dari kelenjar di bawah lidah burung ini hanya ada ketika proses mengawan kerana setelah 45 hari anak burung membesar, kelenjar itu mengecut semula," katanya.


Rembesan kelenjar itu wujud untuk menyediakan sarang bagi anak yang bakal lahir. Burung walit sangat setia sifatnya. Sekiranya dia sudah mula membuat sarang di sesuatu tempat, dia akan datang kembali ke tempat yang sama untuk anak yang seterusnya. Begitu juga dengan pasangan kerana burung walit setia dengan satu pasangan sepanjang hayatnya.


Menurut Liew lagi, langkah pembersihan dimulakan dengan sarang burung direndam untuk melembutkannya.

Katanya, membuang kekotoran dilakukan dengan terperinci di bawah lampu terang. Bulu burung yang melekat dikeluarkan menggunakan pencungkil yang halus.


Semuanya menggunakan tangan kerana mesin akan menghancurkan sarang. Bentuk asal sarang perlu dijaga. Sarang dibasuh sekali lagi kemudian dikeringkan dan dimasukkan ke dalam acuan khas sehingga kering. Faktor kebersihan sangat dijaga dalam proses ini yang mana habuk, bulu dan pasir mesti dibersihkan keseluruhannya. "Air yang digunakan pun mesti paling bersih iaitu air tapisan sahaja.

"Ada kilang yang mahu kami membuat proses pembersihan awal sebelum mereka meneruskan proses seterusnya seperti pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran. "Di Malaysia memang jarang penipuan mengenai sarang burung tetapi sekiranya di China memang banyak. Mereka gunakan tepung seperti bihun untuk dijadikan sarang burung," katanya.


Menurut Liew, pengunjung ke pusat latihannya selalunya hendak tahu mengenai proses pembersihan sarang burung, cara menjaga kualiti dan bentuk kerana berminat menceburi perniagaan di bidang sama.


Permintaan sangat tinggi terhadap sarang burung terutama dari China membuatkan ramai yang sanggup melabur besar bagi membina rumah burung walit. Katanjya, burung walit hanya terdapat di Asia Tenggara dengan yang paling tinggi sekali di Indonesia, Thailand dan Malaysia. Banyak sekali manfaat sarang burung tetapi bagi insan berotak bisnes, permintaan tinggi terhadap produk ini menjanjikan keuntungan dan kekayaan. "Sama ada memakan sarang burung atau menceburi bidang perniagaan ini, perkara biasa bagi bangsa lain terutama kaum Cina tetapi bagi orang Melayu, ramai yang takut atau ragu-ragu dengan makanan berkhasiat ini," kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Swiftlet Eco Park, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan.


Swiftlet Eco Park ialah syarikat yang beroperasi aktif mengkomersilkan penternakan sarang burung walit. Menurut Abdullah Fadzil, orang Melayu patut mengambil kesempatan menceburi bidang perniagaan sarang burung kerana pulangannya sangat lumayan. "Sekiranya hendak membina rumah sarang burung sendiri, harganya amat mahal dan mungkin mencecah RM500,000. Untuk membina sendiri sebuah rumah burung walit, seseorang itu memerlukan modal yang tinggi, kemahiran, masa dan menerima risiko.


"Namun ada cara yang lebih mudah iaitu melabur di rumah burung yang disediakan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Swiftlet Eco Park, CH Tan yang turut ditemui penulis bersama Fadzil. Fadzil pula menjelaskan salah faham mengenai pelaburan rumah burung yang ada mengaitkan pelaburan ini dengan sistem pelbagai peringkat tetapi ia adalah pelaburan yang sah di sisi undang-undang.


Begitu juga salah tanggapan yang hasil pelaburan akan termasuk jualan baja najis burung, menurutnya, hasil yang didapati kelak hanya daripada penjualan sarang burung sahaja.


"Banyak sekali kelebihan sarang burung ini, saya sendiri memakannya dan merasakan kesan pada tubuh badan. Selain memakan sarang burung, ia boleh juga dijadikan punca pendapatan yang amat lumayan," kata Fadzil.


Durinah Othman, 39, yang pernah bekerja sebagai pembersih sarang burung selama tujuh tahun mengatakan setelah terbabit di dalam proses pembersihan baharu dia tahu tahap kebersihan sarang burung dan tidak ragu-ragu memakannya. "Kini saya mengambil sarang burung secara tetap dan ketika memakan tatkala mengandung, kesihatan amat baik dan hasilnya juga dapat dilihat pada bayi yang dilahirkan. Bayi saya berkulit cantik dan bersih. Ramai yang tertanya-tanya," katanya.


Kini menjadi suri rumah sepenuh masa, jawatan terakhir Durinah ialah sebagai penyelia di kilang proses sarang burung di mana dia terbabit mengajar pekerja bawahan mencabut bulu burung di sarang dengan cepat dan bersih juga mengajar teknik yang betul supaya sarang itu tidak rosak. "Setelah saya tahu asal usul sarang ini dan latar belakang proses pembersihan, saya tidak lagi curiga untuk memakannya," katanya.

Status waspada

SELEPAS Gunung Merapi di Jawa Tengah meletup baru-baru ini, status 19 gunung berapi di seluruh Indonesia turut meningkat hingga mendorong pakar menasihati penduduk yang tinggal di sekitar gunung berkenaan supaya berwaspada.

Catatan terbaru Pusat Vulkonologi dan Mitigasi Bencana Geologi menunjukkan status gunung itu yang terletak di seluruh Indonesia berdepan aktiviti luar biasa.

Gunung Merapi yang mula meletup hujung Oktober lalu dan meragut 194 nyawa setakat ini, masih memuntahkan asap dan debu panas setinggi 1,000 meter.

Berikut ialah 19 gunung berapi yang diletakkan dalam status waspada oleh pihak berkuasa Indonesia.

1. Gunung Seulawah Agam

Gunung Seulawah Agam yang terletak di Aceh Darussalam dilaporkan semakin aktif sejak 1 September lalu, walaupun secara visual ia tidak menampakkan peningkatan signifikan. Penduduk sekitar Seulawah dan pengunjung baru-baru ini dilarang mendekati kawasan tiga kilometer dari kawahnya.

Letupan terkhir Seulawah Agam ialah pada 12 Januari 1839. Kajian menunjukkan tempoh istirehat gunung ini ialah 136 tahun dan paling lama 239 tahun.


2. Gunung Sinabung

Gunung Sinabung terletak di Dataran Tinggi Karo, Sumatera Utara, Indonesia. Dengan ketinggian 2,460 meter, ia puncak tertinggi di Sumatera Utara dan tidak pernah meletup sejak 1600.

Bagaimanapun, pada 27 Ogos lalu ia mengeluarkan asap dan debu sebelum memuntahkan lahar dua hari kemudian, sekali gus menyebabkan statusnya dinaikkan kepada tahap berjaga-jaga dan memaksa 12,000 penduduk yang mendiami sekitarnya berpindah.

Ia meletup dua kali pada 3 September lalu sebelum letupan besar empat hari kemudian, tetapi tidak menyebabkan kematian.


3. Gunung Talang

Gunung Talang atau nama lainnya Salasi atau Sulasi terletak di Solok, Sumatera Barat, 40 kilometer ke timur Padang.

Gunung dengan ketinggian 2,597 meter ini pernah meletup pada 1833 dan yang terbaru pada 11 April 2005. Gegaran dan kekuatan letupan itu menyebabkan Talang memuntahkan debu hingga kawasan sekitar lima kilometer, sekali gus memaksa pemindahan 27,000 penduduk sekitar.


4. Gunung Kaba

Gunung Kaba di Rejang Lebong, Bengkulu diletakkan dalam status berjaga-jaga sejak September 2009. Sejak itu ratusan gegaran dicatatkan berlaku di gunung itu setiap bulan, dengan paling banyak pada Disember 2009 iaitu 2,044 kali.

Namun, sejak Ogos lalu gegarannya semakin berkurangan dan sepanjang September hanya berlaku 148 kali. Belum ada cadangan untuk menarik balik status berjaga-jaga itu kerana gegaran itu bersifat turun naik.

Bagaimanapun, menurut pakar, kemungkinan gunung ini meletup sangat tipis tetapi ia masih boleh berlaku seperti Gunung Sinabung.


5. Gunung Kerinci

Gunung Kerinci yang juga dikenali sebagai Gunung Gadang, Berapi Kurinci, Kerinchi, Korinci atau Puncak Indrapura adalah gunung tertinggi di Sumatera dan puncak tertinggi di Indonesia di luar Papua.

Gunung Kerinci terletak di Pergunungan Bukit Barisan, dekat pantai barat, dan terletak sekitar 130 kilometer ke sebelah selatan Padang. Ia masih aktif dan kali terakhir meletup pada 2009.

Catatan menunjukkan Kerinci bergegar antara empat hingga enam kali setiap hari sepanjang Oktober lalu.


6. Gunung Anak Krakatau

Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, antara pulau Jawa dan Sumatera, mencatat 101 gegaran pada 6 November lalu, seiring dengan letupan Gunung Merapi, seakan-akan ia memberi tindak balas terhadap Merapi.

Gunung Anak Krakatau terbentuk daripada sisa letupan maha dahsyat Gunung Krakatau pada Ogos 1883. Setiap tahun ketinggian gunung ini meningkat kira-kira enam meter dan 13 meter lebar kerana bahan volkanik yang keluar dari perut gunung itu.

Ketika ini ketinggian Anak Krakatau ialah 230 meter di atas permukaan laut, sementara Gunung Krakatau sebelumnya setinggi 813 meter.

Pakar berkata, jika Anak Krakatau meletup sekarang sekalipun, ia mungkin tidak mendatangkan bahaya besar. Namun, pihak berkuasa tetap menasihati orang ramai supaya tidak mendekatinya buat sementara waktu.


7. Gunung Papandayan

Gunung Papandayan setinggi 2,665 meter terletak di Kabupaten Garut, Jawa Barat, kira-kira 70 kilometer ke tenggara Kota Bandung.

Pada gunung ini ada beberapa kawah terkenal seperti Kawah Mas, Kawah Baru, Kawah Nangklak dan Kawah Manuk.

Papandayan meletup beberapa kali dengan yang terbaru pada 2003. Letupan besar pada 1772 memusnahkan 40 kampung dan mengorbankan 2,951 penduduk.

Sejak April 2006, status Papandayan ditingkatkan menjadi waspada setelah terjadi peningkatan aktiviti seismik.


8. Gunung Slamet

Gunung Slamet setinggi 3, 432 meter yang terletak di sempadan daerah Brebes, Banyumas, Purbalingga, Tegal dan Pemalang adalah gunung tertinggi di Jawa Tengah dan yang kedua tertinggi di Pulau Jawa. Ada empat kawah di puncaknya yang semuanya aktif sejak kebelakangan ini.

9. Gunung Bromo

Gunung Bromo yang mempunyai ketinggian 2.392 meter di atas permukaan laut berada dalam empat daerah iaitu Probolinggo, Pasuruan, Lumajang dan Malang di Jawa Timur serta terkenal di kalangan pelancong.

Sepanjang 100 tahun lalu, Bromo meletup tiga kali, dengan selang waktu yang teratur, iaitu 30 tahun. Letupan terbesar berlaku pada 1974 dan letupan terakhir pada 2004.


10. Gunung Semeru

Gunung Semeru atau Sumeru di Malang adalah gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa, dengan puncaknya, Mahameru, setinggi 3.676 meter dari paras laut.

Kawah di puncaknya dikenali dengan nama Jonggring Saloko. Pada 5 November lalu, aktiviti Semeru meningkat dan ia menyemburkan asap panas setinggi empat kilometer.

Namun, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana jarak kampung terdekat ialah kira-kira 11 kilometer.


11. Gunung Batur

Gunung Batur di Kintamani, Bangli di Bali, Indonesia pernah meletup beberapa kali. Mengikut catatan sejarah, kali pertama ia meletup pada 1804 dan terakhir pada 2000 dengan paling dahsyat berlaku pada 2 Ogos hingga 21 September 1926.


12. Gunung Rinjani

Gunung Rinjani yang terletak di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat adalah gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dengan ketinggian 3,726 meter. Ia menjadi gunung kegemaran pendaki kerana keindahan panorama dari puncaknya.

Sejak Februari hingga April 2010, jumlah gegaran Rinjani menunjukkan penurunan tetapi ia masih mengeluarkan debu hingga ke saat ini.


13. Gunung Rokatenda

Gunung Rokatenda adalah gunung berapi yang terletak di Pulau Palu’e, utara Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur, Indonesia. Gunung setinggi 875 meter ini pernah mengalami letupan paling dahsyat pada 25 September 1928 hingga meragut 266 nyawa.

Ia berlaku selepas tsunami yang menyusuli gempa bumi di sekitar kawasan berkenaan.

Letupan terakhir pula ialah pada 23 Mac 1985 tetapi tidak ada kemalangan jiwa. Ia kembali aktif pada Januari 2005 dan minggu lalu Rokatenda mengeluarkan asap putih tipis.


14. Gunung Sangeang Api

Gunung berapi ini terletak di Pulau Sangeang, kira-kira tujuh kilometer ke timur laut Pulau Sumbawa di Nusa Tenggara Barat.

Sangeang Api setinggi 1,981 meter pernah meletup pada 1949 dan kembali aktif sejak Jun tahun lalu. Kali terakhjir ia meletup pada 1997 dan 1999.

Ketika letupan pada 1985, seluruh penduduk di sekitar gunung berkenaan terpaksa dipindahkan selepas ia turut memuntahkan asap panas, debu dan lahar.


15. Gunung Egon

Gunung setinggi 1.703 meter ini terletak di Sikka, Pulau Flores, di Nusa Tenggara Timur, Indonesia. Berdasarkan catatan sejarah, letupan paling buruk Egon ialah pada 1925. Ia kembali aktif pada 2006 dan meletup pada 16 April 2008 tetapi tidak mengorbankan jiwa.

Awal November lalu, kawah Egon dilitupi kabus sehingga mencetuskan rasa cemas di kalangan penduduk sekitar.


16. Gunung Soputan

Soputan ialah gunung berapi yang terletak di Sulawesi Utara, Indonesia. Berdasarkan rekod, gunung ini meletup puluhan kali sejak 1785 hingga 2008 tetapi tidak menyebabkan kemalangan jwa besar-besaran.

Apabila pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan berjaga-jaga di sekitar gunung, penduduknya berkata, situasi yang berlaku pada Soputan, termasuk memuntahkan asap, adalah perkara biasa.

Bagaimanapun, berikutan letupan Gunung Merapi, pihak berkuasa membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan Soputan turut meletup, termasuk meminta kerajaan membaiki laluan bagi penduduk kampung menyelamatkan diri.


17. Gunung Lokon

Kali pertama Gunung Lokon yang terletak di Tomohon, Sulawesi Utara dikatakan meletup ialah pada 1829 dan sering bergegar sepanjang 1991 hingga 2001.

Pada 2002, terjadi beberapa letupan kecil yang tidak membahayakan. Pada 2008, statusnya dinaikkan pada tahap waspada apabila ia menyemburkan batu volkanik hingga menyebabkan keadaan suhu di kawasan sekitarnya panas.

Pada Oktober lalu, kekerapan gegarannya ialah kira-kira 140 kali sehari, menyebabkan pihak berkuasa melarang pendakian gunung itu.


18. Gunung Gamalama

Gunung Gamalama setinggi 1,715 meter terletak di Ternate, Maluku, Indonesia. Sejurus selepas letupan Gunung Merapi kegiatan vollkanik Gamalama menunjukkan peningkatan, menyebabkan pihak berkuasa menguatkuasakan zon larangan sekitar 2 kilometer dari puncaknya.

Pada 2 November lalu, ia memuntahkan asap putih sehingga 10 meter dan asap tebal setinggi 150 meter sehari kemudian.


19. Gunung Dukono

Gunung Dukono yang terletak di utara Pulau Halmahera membabitkan beberapa kawah berapi dengan aktiviti tinggi.

Ketika meletup pada 1550, lahar dimuntahkannya memenuhi selat yang memisahkan Pulau Halmahera dan lereng utara Gunung Mamuya.

Beberapa letupan turut terjadi selang puluhan tahun dan sejak 1933 Dukono hanya mengalami letupan kecil hingga saat ini.

Namun, dua minggu lalu hujan debu tebal melanda kawasan sekitar Dukono hingga memaksa penduduk menggunakan topeng apabila keluar rumah.

Udara segar, panorama indah

RINDU rasanya kerana sudah lama tidak pulang ke kampung. Justeru, peluang menikmati kicauan burung, air terjun, udara segar dan persekitaran tenang di Merang Suria Resort di Kampung Rhu Tapai, Setiu, Terengganu mengubat kedukaan.

Resort yang diuruskan Suria Resorts Management Sdn Bhd adalah milik 100 peratus Bumiputera. Ia turut memiliki resort di Johor Bahru, Cherating dan London. Sekalipun lokasinya agak tersorok, itulah keistimewaan kawasan ini berbanding tempat lain. Apabila bangun awal pagi, cuaca sejuk menyegarkan badan dengan kabus seperti awan tebal meliputi kawasan dikelilingi hutan hijau itu. Justeru, hiruplah udara bersih sepuas hati sambil menikmati dendangan unggas dan kicauan burung. Pengarah Eksekutif Suria Resorts Management Sdn Bhd, Nor Dalina Khalil, berkata kawasan itu anugerah Ilahi kepada manusia terutama mereka yang cintakan alam semula jadi, keindahan, suasana sunyi dan mendamaikan. Beliau berkata, sejak dibuka pada 2005, pihaknya menerima banyak tempahan termasuk pelancongan dari Singapura yang gemar suasana alam semula jadi. "Ada juga yang menginap di resort ini sebelum ke Redang untuk menikmati panorama laut dan pasir pantai," katanya. Sempena cuti sekolah rebut peluang promosi istimewa penginapan dua hari satu malam berharga dari RM128. Anda boleh menikmati promosi stimbot pada hari minggu berharga RM25 (minimum dua orang) dan potongan 50 peratus untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun. Di resort itu, anda boleh melakukan aktiviti meneroka hutan, 'flying fox', berkayak dan berakit di Mengabang yang menyediakan kawasan lagun air masin dan payau. "Selain kolam mandi dan pantai, kami menyediakan pakej lawatan ke Pulau Redang dan Pulau Kapas untuk aktiviti snorkeling, menyelam dan memancing. "Jika berminat menunggang kuda, kami boleh menyediakan kemudahan itu dengan harga istimewa," katanya. Jika ada masa lapang, anda boleh menjelajah kampung berhampiran untuk mencuba hidangan istimewa penduduk tempatan, antaranya ikan dan sotong celup tepung.


Cuba sekali, anda pasti teringin datang lagi. Selepas penat meninjau di kawasan perkampungan, singgah sebentar di gerai menjual keropok lekor dan cendol di Mengabang yang cukup menyelerakan. Malah, di di antara Merang dan Mengabang, banyak gerai menjual keropok lekor, keropok kering dan makanan laut.

No comments:

Post a Comment