Tumpu perhatian pada mengajar, belajar
Oleh Ruhaiza Rusmin
PUSAT ILMU...sekolah adalah pusat pengembangan ilmu, jangan cemari ia dengan permainan politik.
ISU sama ada warga pendidik di sekolah dan mahasiswa di kampus dibenarkan berpolitik masih tergantung tanpa jawapan menyebabkan ramai tertanya-tanya, apakah kesudahannya.
Tanpa penerangan jelas dan kebenaran hitam putih, pendidik serta mahasiswa seperti tidak diberi kebebasan mutlak membabitkan diri dalam senario politik tanah air sehingga mewujudkan pelbagai prasangka. Meskipun penyertaan dalam politik mampu mewujud dan memperluaskan amalan demokrasi, sekatan berkenaan umpama 'membunuh' masa depan barisan cerdik pandai.
Persoalannya, apakah ditakutkan pihak tertentu hingga warga pendidik dan mahasiswa menjadi mangsa keadaan? Ketua Jabatan Sains Politik, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tuanku Mohar Tuanku Mohd Mokhtar, berkata larangan berpolitik tidak terhad kepada kumpulan tertentu malah boleh membabitkan diri dengan syarat tidak melampaui batas.
SUNYI...sudut pidato boleh dijadikan tempat untuk meluahkan pendapat namun kurang mendapat sokongan kerana mahasiswa takut dikenakan tindakan.
JANGAN JADI BEGINI...terlalu mengikut perasaan boleh mengundang padah sekali gus mencetuskan insiden tidak diingini.
PILIHAN...pilihan raya kampus wadah yang memberi kebenaran mahasiswa untuk berpolitik pada batas ditetapkan.
Beliau berkata, politik hak mutlak warganegara dalam menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan, justeru tidak timbul isu ada golongan dipinggirkan atau tidak.
"Isunya ialah tanggungjawab sebagai warganegara yang berhak berpolitik dan memilih sesiapa dikehendaki sebagai pemimpin.
"Mungkin segelintir dikenakan sekatan tertentu kerana takut mendatangkan masalah, namun itu tidak bermakna mereka disekat daripada mengambil tahu atau terbabit dalam politik.
"Penting caranya, jangan terlalu ekstrem hingga menakutkan orang lain. Inilah yang menyebabkan politik dipandang serong hingga mengakibatkan ada pihak tidak dibenar terbabit," katanya.
Kekangan terhadap guru dan mahasiswa daripada terbabit dalam politik bukan isu baru yang melanda sektor pendidikan negara hingga menimbulkan pertelingkahan dan perbezaan pendapat ramai pihak.
Mahasiswa terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU ) sementara guru hanya berjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 ke atas saja dibenarkan terbabit dengan alasan profesionalisme.
Beliau berkata, masyarakat perlu melihatnya dalam konteks luas kerana politik bersifat universal, mempunyai perbezaan pengertian serta boleh mencetuskan perubahan ketara dalam organisasi.
Kebenaran serta larangan, katanya, mempunyai signifikasi tertentu kepada golongan sasaran selain boleh mempengaruhi corak keputusan atau menimbulkan reaksi berbeza, justeru perlu dilaksanakan mengikut piawaian munasabah bagi kebaikan bersama.
Politik juga medium penyebaran ilmu yang perlu digembleng secara bijaksana agar tidak menggugat keamanan masyarakat.
"Meskipun politik sifatnya universal, pelbagai kemungkinan boleh berlaku hingga mampu menjejaskan kestabilan, keselamatan atau keharmonian. Oleh itu, kekangan tertentu perlu ada.
"Pihak pentadbir sudah tentu mempunyai alasan tersendiri, masyarakat perlu akur. Malangnya ada suka bersikap 'tunjuk pandai', sering protes dan mempersoalkannya dengan tanggapan ia mengongkong hak bersuara.
"Saya percaya, setiap dilakukan ada alasan munasabah. Kadangkala kita perlu berlapang dada selain percaya apa dilakukan mempunyai kebaikannya sendiri. Janganlah asyik membangkang atau mengungkit," katanya.
"Sebagai guru, amanah mendidik anak bangsa sangat besar manakala mahasiswa pula sebagai penerus kesinambungan negara pada masa depan.
Lebih baik fokus pada tanggungjawab itu daripada terus 'berjuang' untuk politik.
"Tapi ini bukan bermakna tidak peduli mengenai perkembangan politik tanah air kerana itu akan menyebabkan ketinggalan. Biarlah bersederhana dan tidak mengenepikan tanggungjawab sebenar," katanya.
Menyifatkan senario sedia ada memerlukan kajian lebih mendalam, beliau berkata secara asasnya, seseorang yang berkelayakan wajar diberi peluang asalkan tidak membawa kemudaratan.
"Cuma pastikan keadaan terkawal selain mengekalkan fungsi menara gading dan sekolah sebagai pusat pengembangan ilmu, jangan sampai merencatkan sistem pendidikan atau membenarkan orang lain mengambil kesempatan," katanya.
>INFO:
Kebanyakan negara maju dunia menetapkan usia 18 tahun ke atas sebagai syarat bergelar pengundi manakala di negara ini 21 tahun. Manakala ada cadangan di United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk menurunkan had umur mengundi pada 16 tahun dan Jepun dari 20 ke 18 tahun.
Siswa selami isu komuniti
Oleh Samsudin Awang
BAGI memanfaatkan kemahiran dan proses penjanaan ilmu, mahasiswa periklanan, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan program Community Survey di Pulau Tioman, Rompin, Pahang, baru-baru ini.
Program lima hari itu mendapat kerjasama Lembaga Pembangunan Tioman, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pahang, Tourism Malaysia dan Damai Tioman Resort.
Ia menyingkap pelbagai isu komuniti di kalangan penduduk mengenai masalah masyarakat seperti kemudahan asas, infrastruktur komuniti, peranan pemimpin masyarakat dan industri pelancongan.
Pelajar berpeluang mempraktikkan ilmu komunikasi massa dipelajari meliputi asas perhubungan awam, periklanan dan kemahiran melaporkan berita dalam bidang kewartawanan.
Mereka turut menemubual penduduk di tiga kampung iaitu Salang, Tekek dan Genting bagi mengenal pasti masalah kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, rawatan kumbahan dan pelupusan sisa pepejal.
Dalam aspek kemudahan komuniti, pandangan dan tahap kepuasan penduduk dinilai dari aspek kemudahan seperti sekolah, feri, pusat kesihatan, jalan raya, balai polis serta prasarana pelancongan yang menjadi penjana ekonomi utama penduduk pulau itu.
Segala penemuan daripada tinjauan komuniti itu disumbangkan kepada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pahang untuk dijadikan panduan dalam merangka pembangunan sosial dan pelancongan di pulau yang dilabelkan sebagai 10 tercantik di dunia.
Sebagai penghargaan kepada usaha akademik dan komuniti yang dilaksanakan 10 pelajar Periklanan FKPM UiTM itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin mewakili kerajaan negeri menyampaikan sijil penghargaan di majlis penutup di Salang Pusaka Resort.
Beliau berkata, maklumat yang dikumpulkan sepanjang program tinjauan komuniti itu dapat dimanfaatkan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk pulau itu.
"Kerajaan negeri amat mengalukan sumbangan keilmuan daripada pelbagai pihak terutama golongan universiti.
"Program ini dapat memberi pendedahan sebenar kepada mahasiswa sebagai seorang aktivis komunikasi massa selepas menamatkan pengajian kelak," katanya.
Ketua projek, Ahmad Shahir Ramlan, berkata Pulau Tioman dipilih sebagai lokasi program itu memandangkan penjenamaannya di peringkat global sebagai 10 pulau tercantik di dunia selain mempunyai pelbagai keunikan sosial dan ekonomi.
"Peserta meninjau persepsi pelancong antarabangsa terhadap penjenamaan Pulau Tioman di samping tahap kepuasan penduduk tempatan mengenai taraf hidup mereka.
"Pulau itu mempunyai 3,000 penduduk dan kebanyakan mereka menghargai usaha akademik bagi memberi motivasi kepada generasi muda gigih belajar," katanya.
SUARA MPP: Usah manjakan diri dalam zon selesa
MAHASISWA perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk memajukan diri supaya mampu bersaing dengan orang lain sekali gus mencipta kejayaan di menara gading.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM), Ahmad Wafi Sahedan, berkata sikap suka bersaing dalam aspek positif boleh membantu mahasiswa berjaya dengan cemerlang.
Malangnya, segelintir mereka mahu bersaing dalam perkara negatif hingga memudaratkan diri sendiri dan merosakkan masa depan.
Menurutnya, mahasiswa perlu menanam sikap suka bersaing dalam diri supaya kemahuan untuk berjaya mampu dicapai.
"Namun, menyedihkan apabila kebanyakannya suka menunjukkan persaingan dalam bidang tidak sihat, ini satu kerugian kerana membabitkan masa depan, keluarga dan negara.
"Sebagai mahasiswa, gunakan peluang di menara gading untuk mencipta kejayaan.
"Pada usia masih muda, inilah masanya meraih apa saja peluang yang boleh memberi manfaat pada diri dan masa depan," katanya.
MPPUSM turut menasihatkan mahasiswa jangan leka dan sentiasa mencari peluang membaiki pencapaian akademik dan diri.
Dengan segala kemudahan disediakan, tiada alasan mahasiswa tercicir dalam proses penyampaian ilmu.
"Sikap bertangguh, suka mencipta alasan dan mengambil mudah adalah gejala yang sentiasa membelenggu diri mahasiswa sekali gus menjadi faktor kegagalan.
"Jangan mudah manjakan diri dalam zon selesa dinikmati kini.
"Sebaliknya gunakan kesempatan ini untuk membaiki kelemahan diri dan kekurangan ilmu, justeru gunakan peluang ia demi manfaat masa depan.
"Tidak rugi berhempas pulas sekarang kerana hasilnya pasti berbaloi apabila menamatkan pengajian," katanya
Tindakan afirmatif sari utama jati diri kebangsaan
2010/11/17
PEMBINAAN negara dalam sebuah masyarakat pelbagai etnik adalah proses yang tidak mudah. Ia menjadi lebih rumit jika kepelbagaian itu amat beraneka sifatnya, lebih-lebih lagi dalam pembentukan jati diri kebangsaan untuk mencari sari utamanya.
Malaysia, dalam satu pengkategorian kepelbagaian etnik dalam kalangan masyarakat majmuk moden di seluruh dunia, digolongkan bersama-sama dengan United Kingdom, Australia, Nigeria dan Argentina, sebagai masyarakat yang memperlihatkan kepelbagaian etnik yang sederhana. Amerika Syarikat, Kanada, Russia dan India diklasifikasikan sebagai masyarakat yang kepelbagaian etniknya adalah tinggi. Sweden, Mesir, Jepun dan Columbia pula diletakkan dalam kelompok masyarakat yang kepelbagaian etniknya adalah rendah.
Beberapa entiti digunakan untuk mengikat rakyat dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi yang terdiri daripada pelbagai etnik, dalam konteks 1Negara 1Bangsa. Antaranya adalah bahasa, agama dan bangsa itu sendiri, yakni sama ada dalam pengertian sebagai komuniti nasional atau politik selaku warga negara terbabit. Untuk Malaysia, gagasan atau teori untuk mengikat semua etnik secara realistik selain bahasa dan bangsa ialah nasionalisme.
Nasionalisme ialah keinginan sekelompok manusia yang berkongsi aspirasi nasional yang sama untuk membentuk sebuah negara berdaulat selain maju. Ia juga dikaitkan perasaan bangga, kasih dan setia kepada negara sendiri dari aspek patriotisme yang bersifat nasionalistik. Semua perasaan ini boleh menyebabkan mereka menganggap negara mereka lebih baik daripada yang lain-lain.
Bangsa Malaysia yang ingin dibentuk secara serius dalam Gagasan 1Malaysia, selain menjadi lapangan unggul untuk memupuk nasionalisme Malaysia, tidak dapat dinafikan, adalah elemen penting dalam pembentukan jati diri kebangsaan. Konsep Bangsa Malaysia ini, baik daripada kalangan Melayu mahupun bukan Melayu, juga boleh memberi dimensi yang lebih jelas kepada sari jati diri kebangsaan itu.
Etnik Melayu, sejak dulu sehingga kini tidak menghadapi masalah pemilikan lebih daripada satu nasionalisme. Mereka adalah watan kepada negara dan wilayah Nusantara ini hanya memiliki kesetiaan politik yang sifatnya lokal. Hal ini tidak sama dengan etnik Cina dan India yang tidak dilahirkan di negara ini. Mereka ini didapati memiliki lebih daripada satu nasionalisme, termasuklah kesetiaan politik kepada tanah asal selain kepada negara ini.
Kini semua orang Cina dan India dilahirkan di negara ini. Mereka adalah hasil proses akulturasi tempatan sepenuhnya. Mereka juga melalui proses politik Malaysia secara total. Sehubungan ini, sikap mereka yakni dalam bentuk perasaan, tingkah laku dan pemikiran bersifat Malaysia sepenuhnya. Dengan kata lain, mereka tidak mengenali nasionalisme lain, selain hanya nasionalisme Malaysia.
Justeru, orang Cina dan India di negara ini tidak lagi berdepan masalah pemilihan nasionalisme atau memiliki nasionalisme yang bertindih iaitu antara yang lokal dengan yang asing. Identifikasi mereka dengan rakyat China dan India kini adalah semata-mata budaya, yakni hanya berkongsi warisan budaya yang sama.
Orang Melayu selalunya kaum dominan di Malaysia. Kehadiran mereka sejak dulu sehingga kini di tanah watan mereka, sama ada dalam bentuk sebenar atau simbolik, melalui institusi raja, politik, bahasa, agama dan lain-lain, mendominasi landskap politik dan budaya negara. Sehubungan itu, karakter etnik Melayu adalah penentu dominan dalam mencorakkan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, termasuklah menjadi sari utama jati diri kebangsaan.
Antara elemen sari ini yang penting ialah tindakan afirmatif, yang turut ditegaskan dalam Gagasan 1Malaysia. Impaknya dalam membentuk jati diri kebangsaan yang sama dalam kalangan semua kaum, tidak boleh dipandang remeh. Walaupun ia ditanggap sebagai dasar semasa yang mendiskriminasi sektor penduduk tertentu, ia sebenarnya wajar dilaksanakan untuk memperbaiki diskriminasi yang berlaku pada sektor penduduk tertentu pada masa lalu,
Dasar Ekonomi Baru dan versi kemudiannya iaitu Dasar Pembangunan Negara adalah antara tindakan afirmatif yang dimaksudkan. Ia akan terus menjadi dasar awam utama di Malaysia untuk menstrukturkan semula masyarakat. Ia sebenarnya bukan semata-mata program etnik Melayu, tetapi program nasional untuk mencapai matlamat kebangsaan. Matlamat kebangsaan yang utama adalah untuk mengurangkan ketidaksamaan ekonomi antara kaum Melayu dengan bukan Melayu.
Apabila jurang ekonomi dapat dirapatkan pada kadar dipersetujui, yakni pencapaian ekuiti 30 peratus saja, antaranya dalam kekayaan korporat negara, tindakan afirmatif ini akan ditamatkan. Ini janji kaum Melayu kepada yang bukan Melayu. Sehubungan ini, adalah tidak kena sama sekali untuk mana-mana pihak mendesak jangka waktu tertentu untuk menamatkan tindakan afirmatif ini. Begitu juga dengan angka peratusan 30 peratus itu. Ini adalah kerana tuntutan sedemikian adalah pelanggaran perjanjian etnik atau kontrak sosial ketika mencapai kemerdekaan pada 1957.
Sebenarnya tindakan afirmatif ini dalam bentuk kedudukan istimewa untuk orang Melayu, pertama kalinya diiktirafkan pada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Ia dilakukan penjajah British untuk mengembalikan jati diri Melayu selepas menyedari negara ini perlu dipulihkan semula statusnya sebagai negara Melayu, dengan kemasukan kaum bukan Melayu yang begitu ramai. Ini perlu dilakukan segera kerana walaupun etnik Melayu adalah kaum dominan, mereka tidak menjadi kaum majoriti dalam erti yang sebenarnya.
Walaupun British amat memerlukan tenaga kaum Cina dan India untuk kepentingan ekonomi mereka, pada masa sama mereka berasa terpanggil untuk melindungi kaum Melayu/Bumiputera. Oleh itu, mereka menggubal dasar yang mengiktiraf dan melindungi hak istimewa orang Melayu, dan tidak membenarkan kaum bukan Melayu membabitkan diri dalam ehwal politik negara ini.
Sehubungan ini, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengiktirafkan kedudukan istimewa orang Melayu, khususnya dengan memastikan kuota pekerjaan bagi orang Melayu dalam perkhidmatan awam, dan juga dengan memberi biasiswa pendidikan dan peluang latihan kepada mereka.
Apabila kita merdeka pada 1957, Perlembagaan Persekutuan yang ikut menggunakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, terus mempertahan peruntukan ini, di samping memberi pengiktirafan kepada keperluan melindungi kepentingan absah kaum bukan Melayu. Pengiktirafan ini terhadap kaum bukan Melayu, bersama-sama dengan pemberian kewarganegaraan secara besar-besaran kepada mereka, sebenarnya membuka lembaran baru dalam pemikiran politik di negara ini.
Dengan ini, politik negara banyak berkisar pada usaha dan tindakan untuk mentakrif serta mengimbangi antara kedudukan istimewa orang Melayu dengan kepentingan absah kaum bukan Melayu. Ini ikut menjadi sari kepada jati diri kebangsaan kita, selain tindakan afirmatif dan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Kursus ijazah tak diiktiraf
2010/11/17
ANAK saya baru-baru ini memaklumkan mengenai ijazah sarjana muda perguruan yang diambilnya ada masalah kerana program yang ditawarkan di Institusi Perguruan Tunku Bainun tidak mendapat kelayakan akreditasi.
Pihak institusi perguruan memaklumkan pelajar tidak dapat diberi penempatan sehingga masalah selesai. Saya difahamkan masa yang diambil bagi memperoleh kelayakan itu boleh berlanjutan daripada enam bulan sehingga setahun. Dalam proses mendapatkan kelayakan itu, pelajar diminta membuat kerja kursus tambahan bagi membantu pihak institusi mendapatkan kelayakan bagi program ditawarkan.
Sebelum ini, pelajar ijazah perguruan terbabit juga menerima elaun tertangguh sehingga dua bulan. Kesannya, ada pelajar yang terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk perbelanjaan.
Saya mengharapkan setiap program perlu mendapat kelulusan pihak berwajib sebelum ditawarkan pada peringkat institusi.
Bukan setakat anak kami saja yang resah, tetapi sebagai seorang bapa saya juga tidak tidur malam memikirkan masalah yang menimpa anak saya ini.
No comments:
Post a Comment