Wednesday, December 22, 2010

Guru penentu pendidikan berkualiti

KUALA LUMPUR - Matlamat :menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia kerana pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketerampilan dan berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan serta mencipta kekayaan baru bagi negara.

“Usaha ini adalah sejajar hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, semalam.

Perhimpunan bertema ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’ itu dihadiri kira-kira 14,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru mempunyai tanggungjawab besar dalam memupuk bibit perpaduan anak bangsa sejak berada di bangku sekolah.

“Tema perhimpunan ini iaitu ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’ amat tepat dengan peranan guru yang menjadi perantara paling dekat dengan masyarakat.

“Saya menaruh harapan penuh keyakinan bahawa guru mampu memainkan peranan menyatukan jiwa anak bangsa dengan menyemai dan memupuk perpaduan di kalangan murid pelbagai kaum,” katanya.

Menurutnya, guru berperanan dalam usaha mentransformasikan negara ke arah mencapai negara maju sesuai dengan MBE yang diperkenalkan. – Bernama

iada bonus untuk penjawat awam

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa kerajaan tidak dapat memberikan sebulan bonus kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam dalam Bajet 2011 kerana ia membabitkan perbelanjaan besar, iaitu RM3.1 bilion.

Oleh itu, katanya, pemberian bantuan khas kewangan RM500 setiap seorang adalah wajar.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, memang banyak pihak yang melobi supaya kerajaan dapat mengisytiharkan bonus sebulan kepada 1.2 juta penjawat awam.

“Tapi saya nak kongsi dengan tuan-tuan dan puan. Bonus satu bulan membabitkan belanja RM3.1 bilion pada kerajaan. Kalau ikut hati memang saya nak beri bonus tapi sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab saya tidak boleh belanja lebih daripada pendapatan negara.

“Sebab itu yang saya dapat lakukan ialah beri RM500 sebagai bayaran khas kepada penjawat awam,” katanya berucap pada majlis Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam.

Najib berkata, bantuan khas kewangan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa untuk persiapan persekolahan anak-anak pada hujung tahun.

“Wang RM500 ini sangat-sangat berguna sekali dan kerajaan akan bayar bantuan khas itu pada Disember ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan bermurah hati turut memanjangkan bantuan ini kepada pesara-pesara kerajaan, walaupun mungkin ada yang tiada lagi perlu menanggung anak-anak bersekolah.

Beliau berkata, walaupun tiada pemberian bonus, kerajaan memberikan ganjaran lain yang memberi faedah kepada penjawat awam seperti cuti bersalin tidak melebihi 90 hari.

Najib berkata, ini turut memberi faedah kepada guru wanita yang merupakan hampir 70 peratus daripada 400,000 guru di seluruh negara.

“Cuti bersalin ini hadiah untuk kaum wanita. Tapi kalau tak nak ambil 90 hari pun boleh juga. Itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memberi faedah tambahan dari segi pinjaman perumahan di mana had maksimum pinjaman perumahan dinaikkan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, agar penjawat awam lebih mampu membeli rumah lebih berharga.

Mengenai pelbagai memorandum yang disampaikan kepada beliau untuk melakukan penambahbaikan skim perkhidmatan perguruan, Najib berkata, beliau perlu sedikit masa menelitinya kerana melibatkan implikasi kewangan dan kumpulan guru yang besar.

“Sebab itu saya perlu teliti bersama JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Kewangan. Banyak cadangan dikemukakan, sekiranya kerajaan mampu, saya akan bincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran), boleh buat pengumuman bila sampai pada masanya,” katanya. – Bernama

Beradu tarik tali

SERI ISKANDAR - Penganjuran pertama pertandingan tarik tali antara sekolah anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Perak Tengah dengan kerjasama Majlis Sukan Daerah Perak Tengah mendapat sambutan daripada guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat setempat.

Pertandingan yang diadakan di stadium mini Majlis Daerah Perak Tengah itu disertai oleh 14 sekolah menengah dan rendah seluruh daerah Perak Tengah.

Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah Mokhtar Mat Dris berkata, tujuan penganjuran pertandingan itu ialah mahu menyatukan guru dan PIBG supaya hubungan lebih erat.

Menurutnya, pertandingan itu melibatkan dua parlimen iaitu Pasir Salak dan Parlimen Parit.

“Kita mahu menyatukan guru dan PIBG dalam satu majlis seumpama ini supaya mereka boleh beramah mesra antara satu dengan lain.

“Ini adalah penganjuran pertama kali dan kita lihat masing-masing memberikan komitmen serta sokongan yang baik,” katanya ketika ditemui semasa penganjuran sukan berkenaan baru-baru ini.

Mokhtar berkata, apabila melihat sokongan yang diberikan itu mereka mengambil keputusan untuk meneruskan acara itu untuk tahun seterusnya.

“Kita bercadang untuk menjadikan pertandingan tarik tali ini sebagai acara tahunan kerana sambutan yang diberikan menggalakkan.

“Cadangan kita juga untuk memperluaskan pertandingan ini ke peringkat lebih tinggi lagi termasuklah antara daerah, jabatan dan tidak mustahil juga negeri,” katanya.

Tempat pertama pertandingan itu dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga dan membawa pulang wang tunai RM1,000, tempat kedua Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri membawa pulang wang tunai RM750, ketiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil membawa pulang wang tunai RM500 dan keempat Sekolah Kebangsaan Datuk Sagor membawa pulang RM300.

apat kemudahan peti pos

SKUDAI – Penduduk Taman Nesa di sini akhirnya menerima peti pos baru selepas pihak Pos Malaysia Johor Bahru meluluskan permohonan dalam masa empat hari untuk tujuan kemudahan tersebut.

Surirumah, R Sujatha berkata, kemudahan peti pos yang disediakan di kawasan yang strategik itu memudahkan penduduk perumahan berkenaan mengepos kiriman mel mereka dengan mudah tanpa perlu ke pejabat pos.

“Saya berpendapat lebih ramai lagi penduduk yang akan menggunakan perkhidmatan kiriman surat yang disediakan oleh pihak Pos Malaysia selepas peti pos berkenaan diletakkan di kawasan perumahan ini,” katanya.

Katanya, tradisi mengirimkan kad ucapan sempena perayaan Deepavali masih lagi diteruskan walaupun penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) menjadi trend masa kini dalam memberi ucapan perayaan.

“Kami tidak menyangka permohonan untuk mendapatkan peti pos ini diluluskan pihak bertanggungjawab kira-kira empat hari sahaja dan saya berharap ke semua penduduk akan memanfaatkan perkhidmatan ini sepenuhnya,” katanya.

Sujatha menjadi penduduk pertama dari kawasan perumahan berkenaan yang menggunakan peti pos itu untuk mengirim surat selepas wakil daripada Pos Malaysia memasangnya dan menganggap lokasi pemasangan itu strategik dan memudahkan penggunanya.

“Memandangkan terdapat kedai yang menjual setem di kawasan ini, saya percaya kiriman surat di kalangan penduduk juga akan meningkat kerana tidak perlu lagi ke pejabat pos semata-mata untuk mengeposkan surat,” katanya sambil berterima kasih atas kelulusan berkenaan.

Katanya, Deepavali pada tahun ini lebih bermakna apabila kemudahan pos yang disediakan di kawasan ini seperti yang diharapkan penduduk sebelum ini menjadi kenyataan.

Sementara itu wakil pos Malaysia Johor Bahru memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa kelulusan bagi permohonan berkenaan juga bergantung kepada lokasi dan jumlah penduduk di sesuatu kawasan itu selain jaraknya dengan pejabat pos yang berhampiran.



Pupuk peringkat awal

SAGIL – Amalan budaya membaca sepatutnya dipupuk bermula pada peringkat kanak-kanak lagi malah ia harus bermula sejak bayi berada dalam kandungan ibunya dengan ibu hamil digalakkan membudayakan amalan berkenaan.

Justeru, Program Galakan Membaca Pusat Sumber anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melihat salah satu usaha menjayakan misi negara dalam memerangi buta huruf dalam kalangan rakyat Malaysia terutama masyarakat luar bandar.

Penyelia Kemas Daerah Ledang, Hasliza Jabid berkata, program berkenan bertujuan menerangkan tatacara atau kaedah perlaksanaan program galakan membaca terhadap golongan sasar iaitu kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan penduduk kampung.

“Acara ini dilakukan secara tahunan bagi mempromosikan keahlian serta mendapatkan ahli baru tidak kira daripada peringkat umur, bangsa dan status bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat membaca.

“Selain itu, ia juga bagi mendedahkan fungsi pusat sumber Kemas Daerah Ledang dan pusat sumber lain kepada masyarakat dan faedah yang akan mereka peroleh daripada kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Hasliza berkata, usaha ini dapat mengurangkan jurang literasi masyarakat buta huruf yang kebanyakannya wujud di kawasan luar bandar dan pastinya pihaknya ingin merealisasikan amalan membaca pada kumpulan sasar berkenaan.

“Pusat sumber penting bagi menyokong proses pembelajaran dan pengajaran sesebuah institusi pengajian pendidikan yang mana ilmu yang dianggap ‘cahaya’ menjadi keutamaan serta mampu mengubah kehidupan individu sama ada mereka yang tinggal di luar bandar.

“Kempen ini perlu diteruskan kepada seluruh daerah dalam negeri dan negara dan ia harus dilakukan sehingga ke peringkat lebih tinggi bersesuaian dengan nilai serta sifat kemuliaan sesebuah ilmu yang perlu dipelajari,” katanya.

Guru penentu pendidikan berkualiti

KUALA LUMPUR - Matlamat :menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 amat bergantung kepada keupayaan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia kerana pembentukan insan secara holistik hanya dapat dicapai melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Dengan ini, kita akan dapat menghasilkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, berketerampilan dan berupaya memacu ekonomi berteraskan pengetahuan serta mencipta kekayaan baru bagi negara.

“Usaha ini adalah sejajar hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) dan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, semalam.

Perhimpunan bertema ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’ itu dihadiri kira-kira 14,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru mempunyai tanggungjawab besar dalam memupuk bibit perpaduan anak bangsa sejak berada di bangku sekolah.

“Tema perhimpunan ini iaitu ‘Guru Pemangkin 1Malaysia’ amat tepat dengan peranan guru yang menjadi perantara paling dekat dengan masyarakat.

“Saya menaruh harapan penuh keyakinan bahawa guru mampu memainkan peranan menyatukan jiwa anak bangsa dengan menyemai dan memupuk perpaduan di kalangan murid pelbagai kaum,” katanya.

Menurutnya, guru berperanan dalam usaha mentransformasikan negara ke arah mencapai negara maju sesuai dengan MBE yang diperkenalkan. – Bernama

Video pendek tema kemerdekaan

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my



“VIDEO pendek yang saya hasilkan ini mengisahkan kepayahan hidup seorang datuk dan cucunya sebelum negara merdeka. “Bagaimanapun, datuk tersebut tidak menjadikan kesusahan itu sebagai penghalang untuk cucunya menyaksikan Hari Kemerdekaan,” kata pengarah video The Call of Freedom, Woo Mun Kit ketika ditemui Kosmo! selepas majlis pertandingan Anugerah Video Merdeka (MAViC) 2010 di UPM.

Menurut Mun Kit, 23, video pendek itu memerlukan masa selama sembilan hari untuk disiapkan sepenuhnya dengan hasil jerih-payah sembilan tenaga kerja.

Ujarnya mengenai cerita arahannya itu, watak datuk tersebut telah melakukan pelbagai pekerjaan semata-mata untuk mencari duit agar mereka berdua dapat menyaksikan detik bersejarah negara ini.

Malangnya, kata Mun Kit, duit yang dikumpul hanya mencukupi untuk melepaskan cucunya menyaksikan detik bersejarah tersebut, tetapi bukan dirinya sendiri.

“Bagaimanapun, si datuk meminta jirannya untuk menemani cucunya. Cucu itu diharapkannya menjadi manusia berguna apabila meningkat dewasa.

“Saya membikin video pendek berkenaan untuk menyampaikan mesej kepada mereka yang lahir selepas merdeka tentang kepentingan menghayati makna kemerdekaan negara,” katanya.

Menyimpan impian menjadi pengarah terkenal suatu hari nanti, Mun Kit turut diumum sebagai Pengarah Terbaik. Hasil karyanya menerima anugerah Konsep dan Skrip Terbaik serta Anugerah Khas Juri untuk Poster Terbaik.

Menyedari kepentingan generasi pelapis dalam bidang perfileman tanah air, Sekretariat Anugerah Merdeka dan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan pertandingan Anugerah Video Merdeka (MAViC) sempena semangat sambutan ulang tahun kemerdekaan negara baru-baru ini.

Karya terbaik

MAViC 2010 yang bertemakan Aku dan Merdeka turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Astro. Ia diadakan khas untuk mencari 10 karya terbaik pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini meluahkan erti kemerdekaan dalam bentuk visual.


SYAFIKA hampir menitiskan air mata apabila karyanya mendapat tempat naib juara.


Kerja-kerja penggambaran mereka telah pun dimulakan sejak bulan Mei, hinggalah hasilnya dinilai dan diakhiri pada malam anugerah MAViC 2010 yang berlangsung di UPM akhir September lalu.

Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) telah mendominasi kemenangan apabila karya hasil kreativiti pelajar institusi pengajian swasta tersebut membolot lima daripada 11 anugerah dipertandingkan.

UTAR menjadi juara bagi kategori Video Pendek Terbaik menerusi karya bertajuk The Call of Freedom, manakala karya universiti itu yang bertajuk One pula dinobatkan sebagai Pengumuman Khidmat Awam (PSA) Terbaik.

Bagi pengarah juara PSA pula, K. Sarannya, 22, dia sangat gembira dengan kemenangan yang dicapai dalam pertandingan berkenaan.

“Kejayaan yang dicapai akan menjadi pemangkin kepada saya untuk menempa nama dalam industri ini,” katanya.

Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Datuk Dr. Abu Bakar Salleh, Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd. dan Pengerusi MAViC 2010, Dr. Megat Al-Imran Yasin.

Diminta mengulas mengenai pertandingan tersebut, Khalid berkata, beliau berpeluang menonton karya-karya yang dihasilkan dan berpuas hati dengan hasilnya.

“Memandangkan ini merupakan kali pertama pertandingan seperti ini dianjurkan, adalah tidak adil jika memperkatakan soal mutu. Saya yakin mutu karya akan meningkat.

“Saya berharap MAViC dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memberi peluang kepada mereka bergelar karyawan muda,” katanya.

BARISAN tenaga produksi The Call of Freedom dari UTAR meraikan kemenangan besar mereka.



Sementara itu, hasil arahan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Syafika Mohd Ghazi, 20 berjudul Titis-Titis Kealpaan diumumkan sebagai naib juara dalam kategori video pendek manakala Cermin Mata Atuk hasil karya Mohd. Rahhiemie Alias, 24 dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam merangkul naib juara PSA.

Ilham pengarahan

Syafika berkata, dia mendapat ilham untuk membikin video berkenaan apabila ternampak keratan akhbar yang melaporkan statistik pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak kembali ke tanah air.

“Saya cuba mengambil idea tersebut dengan menghasilkan sebuah karya mengenai seorang pelajar Malaysia yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Namun, dia tidak menepati janji untuk pulang semula selepas tamat pengajian. Lebih menghibakan, dia terlupa pada permata berharga di tanah air iaitu ibunya yang telah membesarkan agar dia menjadi insan berguna,” katanya.

Lebih menyayat hati, Syafika menambah, apabila pelajar itu pulang ke tanah air segala-galanya sudah terlewat kerana ibunya telah meninggal dunia.

Syafika turut menerima anugerah Bunyi dan Kesan Khas Terbaik serta Suntingan Terbaik untuk video pendek berkenaan.

Selain Titis-Titis Kealpaan, UPM turut menerima Anugerah Khas Juri untuk kategori Mesej Terbaik menerusi video yang bertajuk Lain-Lain.

Sementara itu, Mohd. Rahhiemie mengakui bahawa dia perlu berdepan dengan cabaran membantu pelakon menjiwai watak yang dikehendaki dalam PSA berkenaan.

“Boleh dikatakan pelakon-pelakon yang melakonkan watak dalam PSA ini tidak pernah muncul di kaca televisyen.


ANTARA adegan dalam video pendek Titis-titis Kealpaan.


“Saya perlu membuat kelas lakonan melatih mereka menjiwai watak yang dipegang untuk memastikan keberkesan lakonan mereka,” katanya yang turut memenangi anugerah Sinematografi Terbaik.

Juara dan Naib Juara setiap kategori menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM3,000 beserta trofi serta sijil penghargaan.

Bagi Anugerah Cipta iaitu Pengarah Terbaik, Konsep dan Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Bunyi dan Kesan Khas Terbaik, Suntingan Terbaik dan dua Anugerah Khas Juri masing-masing menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.

Pertandingan tersebut menerima sebanyak 177 penyertaan daripada institusi pengajian tinggi di seluruh negara dan ia merupakan satu bilangan yang memberangsangkan kerana melebihi sasaran awal 100 penyertaan.

Kesemua filem yang menang akan ditayangkan di saluran Astro Prima pada 13 Oktober bermula pukul 9 malam.

Remy-Tiz mula pegang-pegang

KELIBAT Remy dan Tiz berpegang-pegang dilihat umum ketika mereka sama-sama menyaksikan acara Moto GP yang diadakan di Sepang pada 10 Oktober lalu. Berkasihankah mereka?



BERGANDINGAN di televisyen sudah, di filem pun sudah. Nampak keserasian dan jelas ikatan kimia itu sudah terjalin dengan baik. Tapi ini bukan hal bergandingan dalam naskhah drama Nur Kasih atau produksi lain, ada sumber yang mendakwa terserempak Remy Ishak dan Tiz Zaqyah bergandingan tangan ketika menyaksikan acara MotoGP pada tanggal 10.10.10 baru-baru ini.

Sudah adat mata melihat pastilah ingin menyaksikan pemandangan yang indah. Menurut sumber Diva, sedang dia asyik memerhatikan awek-awek yang menarik di sekitar acara Moto GP, dia terpandangkan seorang gadis putih gebu berpegangan tangan dengan seorang lelaki perkasa. Bila ditilik-tilik, rupanya dia kenal benar dengan dua jasad yang berada di depannya.

Terus dia terimbaskan kembali ikatan kasih sayang Remy Ishak dan Tiz Zaqyah dalam kisah Nur Kasih. Tidaklah dapat dipastikan sama ada mereka berdua ini sudah mendapat nur untuk membina perhubungan cinta. Tetapi kata sumber Diva, aksi berpegangan tangan mereka sudah jelas menunjukkan mereka seperti berada dalam sebuah perhubungan yang suci.

Setahu Diva, Tiz dan Remy memang sudah bersahabat baik sejak sama-sama menjadi tunjang drama berkenaan, lantas persahabatan itu terbawa hinggalah ke luar lokasi dan selalulah mereka bertanyakan khabar jika jarang bertemu.

Mata Diva masih lagi nampak mereka sebagai teman baik. Tetapi apabila diberitakan tentang acara berpegangan tangan di bawah sinaran cuaca matahari yang terik Ahad lalu, tak mustahil juga, itu kata hati Diva. Tak salah pun kalau mereka ini mahu berkasihan kerana masing-masing tidak ada komitmen. Tetapi nasihat Diva, kalau benar mereka bercinta janganlah berahsia. Takut pelbagai cerita keluar nanti.

Sebelum ini Remy pernah dikaitkan dengan beberapa wanita dan Tiz pula pernah menempa kontroversi dengan kekasih orang, jadi Diva tidak mahu nama mereka kembali keruh.

Diva: Tahniah buat Remy kerana dilantik duta produk Dashing

isi ghaib jadi nyata



"AKU tahu perbuatan ini dosa besar. Tapi aku tak kisah nak santau dia sampai mati pun. Aku sanggup tanggung segala dosa!"

Demikian ungkapan kesumat seorang wanita Melayu yang nekad mensantau bekas teman lelakinya seperti yang diceritakan rakan penulis, Suhaila.

Suhaila mengimbas kata-kata yang pernah berdesing di cuping telinganya itu sekitar empat tahun lalu.

"Aku dengar-dengar, lelaki itu sudah pun mati," cerita Suhaila.

Sihir atau ilmu hitam bukan perkara baru. Menurut sejarahwan, amalan melakukan sesuatu menerusi bantuan makhluk halus seperti jin dan syaitan telah berakar umbi sejak sekitar 5,000 tahun Sebelum Masihi.

Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir begitu kuat dan mereka yang mahir dalam bidang ini digelar asipu.

Dalam tamadun Rom dan Yunani, ahli-ahli sihir mereka mampu melumpuhkan seseorang dengan bacaan mantera manakala dalam tamadun Mesir, ahli-ahli sihir yang hebat digaji menjadi pengawal peribadi.

Di Malaysia kini, cabang-cabang sihir didapati pada amalan santau, pukau, tuju-tuju, ubat guna-guna dan sebagainya.

Seorang lelaki dari Pulau Pinang, Salman (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun menderita penyakit misteri selama setahun.

Berat badannya susut secara mendadak daripada 80 kilogram (kg) menjadi 40 kg dalam tempoh yang agak singkat.

Setiap kali menjelang Maghrib, dia tidak boleh mengangkat kakinya untuk berjalan sehingga perlu berpaut pada tembok dinding di rumah.

Dia mendakwa doktor tidak mempunyai penjelasan tentang penyakitnya.

"Setelah doktor sendiri hairan dengan penyakit saya, saya berjumpa bomoh. Bomoh menyuruh saya membasuh muka kemudian dia memberikan saya cermin.

"Saya lihat ada benang, duri, serpihan kaca dan sekam menempel pada muka saya.

"Saya menyentuhnya dan memang terasa ia ada di situ.

PERBUATAN menyihir hingga menyebabkan mangsa menderita bahkan menemui ajal perlu dianggap satu jenayah. - Gambar hiasan



Santau

"Bomoh itu memberitahu, saya telah disantau. Katanya, mujur saya berjumpanya cepat kerana jika tidak, dalam tempoh sebulan lagi, saya mungkin akan menemui ajal," kata Salman kepada Jurnal.

Ceritanya, daripada gambaran rupa yang diberikan bomoh itu, orang yang berniat menyantaunya ialah seorang kawannya. Salman kini sudah pulih.

Mangsa santau tidak mengenal usia. Seorang remaja berusia 14 tahun turut terkena santau. Abangnya, Mohd. Sharul Nizam Sharuddin, 29, berkongsi cerita.

"Sangat menyayat hati melihat keadaan adik saya pada masa itu. Dah macam mayat hidup.

"Dah jumpa doktor dan lakukan imbasan sinar X, doktor kata ada tompok-tompok hitam mungkin tibi. Tapi keadaan adik masih tidak baik.

"Kami akhirnya jumpa seorang bomoh di Perak. Selepas dirawat, adik saya muntahkan serpihan kaca, dawai besi dan rambut.

"Bomoh beritahu, adik saya telah disantau. Tetapi siapa yang santau kami sendiri tidak pasti," katanya.

Namun, jauh di sudut hati Sharul Nizam, dia bersyukur kerana adiknya dapat disembuhkan, tidak seperti seorang rakannya yang mati kerana santau.

"Kawan saya itu disantau dengan teruk sampai segala organ dalam badannya hampir hilang.

"Dikatakan ia penangan santau Orang Asli. Difahamkan, dia disantau oleh kawan baiknya yang sukakan isterinya," katanya.

Justeru, apa yang membezakan perbuatan sihir ini dengan perbuatan mencederakan atau membunuh mangsa menggunakan pisau atau senjata lain?

Sebenarnya, jika dihalusi kedua-duanya adalah perbuatan jenayah iaitu membunuh atau mendatangkan kecederaan.

Cuma, sihir senjatanya ialah makhluk halus dan kerana itu 'penjenayah' sering terlepas. Mahkamah lazimnya tidak mengambil kira hal-hal berbaur metafizik dan di luar logik akal.

SIHIR biasanya bermatlamatkan negatif seperti melampiaskan rasa dengki dan cemburu.



Jenayah

Namun, keadaan ini mungkin akan berubah. Baru-baru ini, seorang pensyarah universiti mengusulkan supaya kerajaan mewujdkan Akta Jenayah Sihir bagi mengekang amalan itu daripada terus berleluasa dan membawa penjenayah sihir ke muka pengadilan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail menggambarkan jenayah sihir adalah sesuatu yang bersifat realistik dan bukan retorik.

Beliau cuba mengetengahkan satu formula yang mampu membawa persamaan antara jenayah sihir dan jenayah biasa.

"Banyak perkara jenayah di negara ini yang turut dikaitkan dengan perbuatan sihir.

"Jenayah membabitkan sihir boleh berlaku dalam kes bunuh, mendatangkan kecederaan, rogol, penipuan, kecurian, kes orang hilang, kes cerai dan poligami.

"Daripada kajian saya juga terdapat 13 kes di mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang membabitkan jenayah ini termasuk kes Mona Fandey.

"Maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hanya 55 peratus kes orang hilang diketahui puncanya sedangkan bakinya tidak diketahui.

"Terdapat juga kekerapan mangsa santau yang kembali mendapat santau selepas beberapa bulan dirawat.

"Semua ini mendorong kita untuk segera membanteras masalah ini," katanya yang turut mempunyai pengalaman merawat gangguan makhluk halus.

Mahyuddin menjelaskan undang-undang berkenaan sihir juga bukan perkara baru. Ia pernah wujud di England dan Australia.

Ia juga masih wujud di negara-negara Afrika, India, China dan Arab Saudi.

Namun, kebanyakannya hanya bertumpu pada aspek tertentu misalnya, di China, peruntukan undang-undang jenayah yang diluluskan pada tahun 1979 berkisar tentang mendapatkan wang dengan helah sihir.

Di Arab Saudi pula penjenayah sihir dikenakan hukuman pancung. April lalu, seorang lelaki Lebanon dijatuhi hukuman pancung di Arab Saudi atas dakwaan mengamalkan ilmu sihir.

Cedera atau kecederaan parah yang terjadi akibat sihir juga tidak bercanggah dengan maksud cedera yang terdapat dalam Seksyen 319, Kanun Keseksaan.

Ini bermakna sihir yang menyebabkan kecederaan atau kesakitan termasuk lumpuh, tuli, buta, bisu dan sebagainya dianggap satu jenayah.

Bagaimana hendak membuktikan perkara yang dianggap ghaib ini?

Mahyuddin menjelaskan, walaupun dianggap perkara ghaib namun hal-hal sihir biasanya hanya akan berlaku menerusi peralatan dan alat-alat itu boleh menjadi bahan bukti di mahkamah.

"Sihir berlaku kerana perjanjian antara manusia dengan makhluk halus dan perjanjian itu biasanya menghendaki manusia melakukan pemujaan dan menyediakan bahan-bahan sihir.

"Secara asasnya terdapat dua kategori bahan iaitu bahan luaran (bahan yang bukan berasal dari tubuh mangsa atau orang yang menyihirnya) atau bahan dalaman (bahan yang berasal dari diri mangsa dan penyihirnya).

Bukti

"Antara contoh bahan luaran yang biasa digunakan ialah darah, najis, tengkorak, abu mayat, simpulan kain, air lipan bara, katak puru bertanduk, hati kura-kura, kaca, paku, ranting bunga kertas, benang, tanduk kerbau, tanah liat, lilin atau jerami yang dibentuk menjadi patung.

"Bahan dalaman pula seperti apa-apa yang menjadi identiti mangsa atau orang yang hendak melakukan sihir seperti pakaian, pakaian dalam, kuku, rambut, bulu roma dan tuala," katanya.


SIHIR boleh menyebabkan sakit pada anggota badan tertentu.


Elemen penting dalam penentuan terdapat jenayah atau tidak seperti mens rea (niat) dan actus rea (tindakan) juga boleh dikenal pasti.

"Tukang sihir juga boleh dianggap sebagai pembunuh upahan atau penceroboh seperti dalam kes jenayah biasa.

"Pengamal sihir akan didakwa bersama-sama kerana bersubahat dalam jenayah.

"Bahan bukti juga boleh menyatakan niat mereka yang menyantau sama ada untuk membunuh atau sekadar mencederakan.

"Misalnya, jika jarum dicucuk pada otak atau jantung patung itu menandakan tujuan bunuh dan jika dicucuk pada anggota lain seperti tangan dan kaki, ia mungkin sekadar mahu mencederakan," ujarnya.

Jelasnya, dalam hal penyiasatan, satu badan perlu diwujudkan, misalnya menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir.

Siasatan turut dilakukan dengan kerjasama antara pakar forensik dan pakar rawatan sihir yang terbukti kredibilitinya dan boleh dipercayai.

"Akta Jenayah Sihir perlu ada. Selama ini orang mungkin memilih kaedah sihir untuk membunuh atau mencederakan kerana fikir ia tidak meninggalkan bahan bukti lalu mereka terlepas.

"Mereka hanya menyerahkan kepada makhluk halus untuk 'mengerjakan' mangsa.

"Sedangkan apa yang dilakukan juga jenayah dan patut dibawa ke muka pengadilan," ujarnya sambil memetik kata-kata sarjana Barat, Emmet V. Mittlebeeler:

"Kalau undang-undang jenayah itu digubal bertujuan menjaga kepentingan awam, maka jenayah sihir ialah jenayah paling utama yang perlu dibanteras."

Bicara bunuh bermula


JUTAWAN kosmetik. Kematian Sosilawati perlu dibela dan diberi keadilan.


KES pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya memasuki babak baru minggu ini. Selepas genap sebulan ditahan bagi membantu siasatan, suspek, peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerjanya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Selangor bagi menghadapi tuduhan membunuh jutawan kosmetik itu dan tiga rakannya pada bulan Ramadan lalu.

Tiga lagi tertuduh yang didakwa bersama N. Pathmanabhan, 41, ialah pekerja ladang milik peguam berkenaan iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.

Kesemua tertuduh didakwa dengan empat tuduhan yang dibacakan berasingan iaitu membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos lalu iaitu pada hari ke-20 Ramadan.

Mereka berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Kisah Sosilawati bermula apabila beliau dilaporkan hilang selepas keluar dari pejabatnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Kes ini menjadi sensasi kerana Sosilawati dilaporkan mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya untuk urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang diuruskan oleh peguam yang berpejabat di Banting itu.

SURESH (kiri) dan Sarawanan dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati Jumaat lalu.



Suspek

Misteri kehilangan pemilik lebih 300 cawangan NV di seluruh negara dan beberapa negara jiran ini mula menunjukkan petanda dengan penemuan kereta mewah milik Sosilawati dan Ahmad Kamil masing-masing di Subang Jaya pada 9 September.

Berdasarkan laporan polis, kenderaan mewah jenis BMW X5 milik Sosilawati dengan nombor pendaftaran WTL 11 dijumpai di Flat Angsana USJ1 Subang Jaya. Kereta BMW M5 milik Ahmad Kamil turut dijumpai di depan Hotel Dorsett, kira-kira lima kilometer dari situ.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin pada 12 September lalu mengesahkan kesemua mereka telah dibunuh.

Susulan itu, Pathmanabhan dan tujuh lagi suspek ditahan di antara 9 September dan 12 September.

Siasatan kes pembunuhan itu turut dikaitkan dengan beberapa kes orang hilang dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat, termasuk pembunuhan ahli perniagaan dari Chennai, India, Allal Kantan Muthu Raja yang tiba di sini pada 18 Januari lalu.

Selepas pembunuhan Sosilawati berjaya dibongkar, pelbagai cerita mengenainya dilaporkan akhbar termasuk wanita itu dirogol dan disembelih - khabar angin yang dinafikan pihak polis.

Bakri berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada enam pekerja itu, mereka menyatakan mangsa-mangsa telah diikat, dipukul, ditikam dan dibakar sebelum abu kesemua mayat itu di buang ke dalam Sungai Panchau.

LADANG Gadong di Tanjung Sepat, Banting menjadi tempat Sosilawati dan rakan-rakannya dibunuh.



Sehingga ke hari suspek didakwa di mahkamah, polis percaya mereka memiliki bukti-bukti kukuh untuk mensabitkan penjenayah terbabit.

Ini termasuk penemuan beberapa serpihan tulang manusia dipercayai milik empat mangsa itu di Sungai Panchau.

Selain tulang, pasukan penyelam polis turut menemui beberapa senjata seperti pisau berbentuk kerambit, batang besi sepanjang 30 sentimeter dan sebatang kayu dengan kesan terbakar di Sungai Kanchong Laut.

Pengakuan

Barangan peribadi mangsa iaitu dua utas jam tangan turut ditemui di sungai itu.

Di dalam Sungai Gelanggang Buaya, Kampung Kelanang pula polis menjumpai enam keping zink yang dipercayai dijadikan pelapik untuk membakar mayat Sosilawati.

Sungai itu terletak kira-kira 20 kilometer dari Ladang Gadong yang menjadi lokasi pembunuhan kejam keempat-empat mangsa. Kepingan zink itu dipercayai dibuang di lokasi yang jauh dari tempat pembunuhan dipercayai bagi menghapuskan bukti.

Persoalannya, adakah semua bukti yang dikumpul memadai untuk mensabitkan jenayah yang dilakukan oleh semua suspek terbabit? Bagaimana jika nanti semua suspek itu dibebaskan berikutan terdapat keraguan pada bukti yang dikemukakan?

Menurut Bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan, sains forensik moden kini mampu mengaitkan seseorang suspek kepada mangsa atau kejadian jenayah melalui hubungan persekitaran tempat jenayah itu dilakukan.

Bukan sekadar cap jari, malahan kesan gigitan atau bulu haiwan, sisa tumbuhan, serangga, cecair dan bahan kimia, dadah, mineral, fabrik mahupun kesan cuaca ke atas mangsa, suspek ataupun bahan bukti lain boleh menentukan suspek disabit kesalahan atau dibebaskan.

"Jadi, anggota forensik yang memberi keterangan di mahkamah biasanya terdiri daripada mereka mahir menjawab pelbagai persoalan sains forensik yang mungkin timbul berkaitan bahan bukti atau perkara berkaitan kes tersebut," katanya.

ZINK yang dijadikan pelapik untuk membakar mangsa turut dijadikan bahan bukti.



Bagaimanapun, pengakuan bersalah oleh dua lelaki di Mahkamah Majistret Telok Datok Jumaat lalu mungkin memberi kelegaan kepada pasukan pendakwaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat Sosilawati dan tiga yang lain.

Sarawanan, seorang bekas mekanik, dituduh membakar mayat mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos lepas antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam.

Suresh yang tiada pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat keempat-empat mangsa itu ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos lalu di antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan daripada diambil tindakan undang-undang.

Sebenarnya, pendakwaan Pathmanaban dan tiga pekerja Rabu lalu hanyalah permulaan kepada proses mencari keadilan bagi Sosilawati dan rakan-rakannya yang dibunuh kejam. Terpulanglah kepada pihak berkuasa untuk membuktikannya.

Mencari penderma kaum Melayu

Oleh ZAMRI RAMBLI
zamri.rambli@kosmo.com.my



"HELLO Encik Jamal, you nak buah pinggang tak, ada orang nak derma." Demikian bunyi suara seorang lelaki di hujung corong telefon yang mendakwa doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Panggilan telefon itu menyebabkan Jamal Jamlus, 45, terfikir lelaki itu seolah-olah membuat tawaran jualan barangan murah, tetapi pada masa yang sama hatinya berdebar dan fikiran berkecamuk.

Menurut Jamal, oleh kerana sudah terbiasa menjalani rawatan dialisis, dia merasakan mungkin lebih baik hidupnya terus begitu. Dia juga tertanya-tanya adakah dia dapat hidup seperti biasa selepas mendapat organ baru.

"Sejak didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang pada tahun 1997, bayangkan selama 10 tahun saya menjalani dialisis tiga kali seminggu.

"Bahkan, selama tempoh itu jugalah saya menunggu penderma buah pinggang sehingga hampir pernah berputus asa," ujar Jamal yang bekerja sebagai Koordinator Projek di Berjaya Roasters, Kuala Lumpur itu ketika ditemui baru-baru ini.

Namun, ketika perasaannya berbelah bahagi, Jamal menguatkan semangat bergegas ke Pusat Sumber Pemindahan Organ Kebangsaan HKL pada malam dia menerima panggilan telefon itu.

Keesokan hari, seawal pukul 6 pagi, Jamal sudah menjalani pemeriksaan kesihatan. Dia masuk ke bilik bedah tiga jam kemudian.

Pembedahan transplan perlu dilakukan seberapa segera untuk mengelakkan buah pinggang penderma kadaverik (penderma meninggal dunia) itu rosak.

Melihat air kencing

"Selepas tujuh jam menjalani pembedahan, saya tidak tahu sama ada saya sudah dapat buah pinggang baru atau tidak, sebab saya tidak rasa apa-apa perbezaan. Ketika itu cuma saya terasa sakit kerana kesan luka pembedahan.

"Sehinggalah apabila tiba-tiba saya terasa hendak terkencing. Selama 10 tahun, saya tidak pernah melihat air kencing saya sehinggalah pada hari itu. Ketika itulah saya percaya di dalam badan saya sudah ada buah pinggang baru," ujar Jamal yang tidak pernah mengenali penderma kadaverik itu kecuali sedikit latar belakangnya.

Berkongsi kisah selepas empat tahun hidup dengan buah pinggang baru, akui Jamal, banyak perubahan yang berlaku dalam hidupnya.

Dahulu, pusat dialisis menjadi rumah keduanya. Hari ini dia tidak perlu lagi menjadi pengunjung setia pusat tersebut. Sebelum ini, atas ihsan syarikat, dia menerima gaji mengikut jam dia bekerja kerana kerap sakit, sebaliknya pada masa kini dia boleh bekerja sepenuh masa.

Dahulu, dia sukar berjalan jauh kerana kesukaran menjalani rawatan dialisis, hari ini Jamal sudah pergi bercuti di dalam dan luar negara.

"Hidup saya lebih bebas dan tidak perlu terikat atau tergesa-gesa untuk menjalani dialisis. Cuma saya perlu mengambil sejenis ubat immunosuppressant sebanyak 14 biji sehari supaya tubuh saya boleh menerima organ baru ini," ujarnya yang kini menetap di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.

Bakal memasuki tahun kelima menerima jantung baru pada bulan Disember ini, Muhammad Fikri Nor Azmi, 20, sememangnya satu nama yang cukup dikenali dalam catatan sejarah transplan negara.

Pesakit jantung pertama di Asia yang menerima jantung mekanikal itu sebelum ini hanya memikirkan kematian kerana penyakit yang dihidapnya membolehkan dia bertahan kurang daripada 15 tahun. Fikri menghidap radang jantung atau miokarditis ketika umurnya 7 tahun. Lima tahun kemudian, keadaan jantungnya menjadi lebih teruk apabila jantungnya mengalami bengkak yang teruk dan gagal mengepam darah atau lebih dikenali dilated cardimyopathy.

"Setiap hari saya terfikir adakah hari ini aku akan dapat jantung baru? Tetapi apabila lebih setahun setengah menunggu dan keadaan saya semakin kritikal saya tidak menaruh harapan," luah Muhammad Fikri yang hanya ke sekolah sebanyak lima hari pada tahun 2005.


JAMAL mendapat peluang kedua untuk hidup apabila seorang penderma berketurunan Cina mendermakan ginjalnya.


Dalam tempoh kritikal itu, doktor memaklumkan bahawa Muhammad Fikri atau lebih mesra dengan panggilan Fikri bakal mendapat jantung baru.

Boleh berdikari

"Ketika dimaklum dan disahkan oleh doktor mengenai pembedahan transplan yang akan dilakukan hanya satu yang terlintas di fikiran saya, Apakah yang berlaku kepada saya selepas ini?' tutur Fikri mengimbau kenangan lama menghabiskan lebih banyak masa di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur berbanding di rumah sendiri.

Lima tahun berlalu dan persoalan yang bermain di fikiran Fikri sudah pun terjawab. Jika dahulu Fikri tidak meletakkan harapan tinggi dalam akademik, tetapi baru-baru ini dia baru sahaja menamatkan pengajian A-Level di Kolej Brickfields Asia. Dia dalam perancangan melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.

Menurut Fikri, sebelum mendapat jantung baru, dia tidak boleh keluar bersendirian kerana mudah penat dan risiko pengsan. Selepas mendapat jantung baru, hari ini dia lebih berdikari dan menaiki komuter atau LRT seorang diri.

Ketika usianya 15 tahun dia dibayangi kemungkinan berdepan dengan kematian jika jantungnya berhenti berdegup.

"Selepas pembedahan, saya dapat memaksimumkan fungsi tubuh. Antaranya, saya boleh ke sekolah, berjalan seorang diri tanpa ditemani sesiapa dan bersukan seperti bermain bola keranjang tanpa masalah biarpun selama sejam setengah di gelanggang.

"Malah, jika dulu saya hanya mendengar mengenai kemeriahan membeli-belah di Jalan Masjid India, hari ini saya berpeluang menjejakkan kaki ke sana. Di situ orang sangat ramai, saya rasa lebih penat dan letih membeli-belah berbanding bermain bola keranjang," seloroh Fikri dalam pertemuan bersama Kosmo! di The Loaf, Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tiada penderma Melayu

Baik Jamal atau Fikri mereka berkongsi satu persamaan. Kedua-duanya menerima organ daripada penderma bukan Melayu. Jamal menerima ginjal daripada seorang belia Cina, manakala Fikri pula daripada seorang belia India.

Walaupun menjadi kelompok masyarakat majoriti, bahkan antara kaum yang paling ramai dalam senarai pesakit menunggu menerima organ, tetapi kebanyakan penderma kadaverik di Malaysia bukanlah terdiri daripada golongan Melayu.

Bayangkan tahun ini sahaja, sehingga September lalu tidak ada seorang pun penderma kadaverik (penderma yang meninggal dunia) berketurunan Melayu tampil untuk menderma. Ternyata ia satu senario yang sangat menyedihkan sehingga akhirnya menjadikan orang Melayu sendiri bagikan 'menagih' organ daripada orang bukan Islam di negara ini.

Di sebalik jawapan stereotaip seperti takut menderma, kekangan agama dan tidak tahu prosedur pendermaan organ antara sebab ramai yang enggan mendaftar sebagai penderma organ. Tetapi apabila pesakit tersebut adalah salah seorang daripada keluarga anda, perasaan takut itu akan hilang.

FATIMAH Osman (kanan) sentiasa di sisi anaknya, Fikri semasa anak keduanya itu masih dirawat di IJN lima tahun lalu.



Kemudian anda berusaha mendalami ilmu pendermaan organ dan akhirnya anda tidak kisah jika ahli keluarga anda menerima organ daripada sesiapa pun walaupun pernah memandang skeptikal untuk menderma organ kepada pesakit berbeza kaum.

Menyentuh mengenai isu agama, Pegawai Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Abu Bakar Yang menjelaskan, fatwa mengenai hukum menderma organ dibuat sejak tahun 1970.

Bagaimanapun, kegagalan orang Melayu menyahut seruan membantu insan lain katanya, disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk kurang pendedahan, suka memendam hasrat dan kekangan waris.

Tidak menyeksa si mati

"Ramai yang kurang terdedah dengan pendermaan organ sehingga akhirnya wujud pelbagai persepsi. Ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang tidak suka meluahkan hasratnya walaupun untuk kebaikan. Apabila mereka meninggal dunia, keinginan menderma organ tidak dapat ditunaikan.

"Apabila hasrat itu tidak dibincang dengan keluarga, mereka tidak membenarkan organ si mati didermakan kepada orang lain," kongsi Abu Bakar yang mewakili IKIM dalam Jawatankuasa Kempen Kesedaran Menderma Organ.

Apakah hukum menderma organ kepada orang bukan Islam? Terang Abu Bakar, tidak ada istilah organ Islam atau organ bukan Islam. Agama bukan terletak kepada organ tetapi pegangan akidah.

"Analoginya begini, jika seseorang itu menjual pisau, niatnya hanya untuk berniaga. Tetapi apabila pisau itu digunakan untuk melakukan jenayah, tanggungjawab itu bukan dijatuhkan kepadanya. Begitulah juga dengan menderma organ, tanggungjawab kita selesai apabila kita menderma organ dengan niat ikhlas tanpa melanggar syarat seperti tidak ada unsur jual beli," katanya.

Tambah Abu Bakar yang bertugas di Pusat Kajian Teknologi dan Alam Sekitar IKIM, kepercayaan bahawa menderma organ si mati sebagai menyeksa mereka adalah tidak tepat.

"Kita dibangunkan nanti di Padang Mahsyar bukanlah berdasarkan kesempurnaan tubuh badan tetapi yang dihitung adalah amalan kita di dunia," katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment