Wednesday, December 22, 2010

a 2
Oleh Zainal Rashid Ahmad

2010/10/02

NESCAYA kami terkejut benar, sebaik sada mendapat tahu, sejarah kecurian atau laporan kehilangan pelbagai benda dan barangan dalam rumah ini – bukanlah sesuatu perkara baru!

Tujuh tahun pula, bukanlah satu tempoh masa yang panjang pun – meskipun senarai kehilangan pemilikan dalam rumah ini sangat panjang dan banyaklah pula akan jumlahnya. Barangan pertama yang dicatat akan jenisnya dan dicartakan pula lokasi duduknya serta diwartakan pula akan nilai pasarannya – mula disahkan hilang pada waktu tengah hari – ditempatkan di ruang tamu utama – bernilai sekitar RM1.75 juta ringgit.

“Ya ... candelier,” kata Sang Penyiasat yang diupah untuk menyediakan laporan menyeluruh mengenai kes ini.

Tentulah kami terkejut, kerana dua perkara utama yang dimaklumkan berikutan kes kehilangan pertama itu. Yang mengejutkan adalah nilai sejarah yang dimaklumkan dalam laporan siasatan:

Candelier ini dilaporkan hilang buat pertama kali pada 1899 ... milik Sir Hugh Clifford – dicuri dari kediaman mewahnya sebagai Residen Britisih di Pahang.

Buatan klasik dari dari Nantes. Perancis – dipercayai dibeli oleh seorang saudagar Inggeris dalam satu majlis pelelongan gelap di London pada 1851 – dan setelah melalui pelbagai tangan pemilik barangan antik, akhirnya pada 1884, sampai ke tangan sang saudagar Sir Vic Maclarren, lalu dihadiahkan kepada Hugh Clifford sebagai tanda mata persahabatan, sebelum Residen itu berangkat ke Tanah Melayu.

“Ketika bangkit pemberontakan menentang Residen itu,” kata Sang Penyiasat: “Seorang babu keturunan India yang bekerja di rumah itu, telah menyeludup candelier itu keluar dari rumah Residen, lalu diberikan seorang Cikgu Wan Saadon – dan kemudian dijual secara pasar gelap oleh seorang ejen Cina yang bersimpati kepada perjuangan anti-British.”
Nescaya terkejutlah kami – kerana susur-galur sejarah candelier ini bukan sembarangan juga kisahnya. Perjalanan barangan antik yang menempuh pelbagai tempoh waktu – meniti dari tangan ke tangan – berada dari satu tempat ke satu tempat, dan akhirnya lenyap pula.

“Sang peniaga Cina, membawa candelier ini ke Bangkok, lalu dijual kepada seorang hartawan Siam dengan nilai pertukaran 25 pucuk senapang,” kata Sang Penyiasat lagi.

Dingdong-dingdong – dan begitu panjangnya penceritaan sang penyiasat perihal perjalanan candelier antik ini, bermula pula dari tahun kehilangan di rumah Residen Pahang pada 1905 – hingga dijual di Bangkok pada 1907 - sebelum dibeli semula pada 1974, dalam lelongan terbuka di Singapura – terasa jeranlah pula kami mendengarnya.

Jadi bertambah berserabutlah kepala yang sekangkang ingatan ini, tatkala Sang Penyiasat menceritakan pula:

“Ketika High Clifford kembali ke Tanah Melayu sebagai Pesuruhjaya Tinggi British pada 1927, dia menubuhkan satu unit perisikan untuk menjejak semula candelier ini ... tetapi sampai tahun terakhir perkhidmatannya ... 1930 – misinya gagal.”

Tak terdayalah kepala dan otak nan sekangkang ini untuk mengingati semua perincian maklumat Sang Perisik – kecuali keterangan maklumat penghujungnya; yakni, pada 1974 – candelier yang bersalut 1000 karat emas dan bertatah 444 berlian Afrika ini, disahkan berada di banglo mewah sebagai barangan antik yang dibeli secara sah melalui lelongan yang sahlah juga.

Dibeli dan dimiliknegarakan melalui satu petisyen khas berhubung kepentingannya terhadap sejarah perjuangan bangsa – era menentang penjajahan British.

2
PENYIASAT kami orangnya tinggi lampai dan agak tegap – berusia awal 40-an – berkulit cerah – dan dalam penilaian kami dapatlah disimpulkan sebagai – sangat kacak dan berwibawa akan perilaku dan tutur katanya.

Pernah membentangkan kertas kerja dan analisisnya – mengenai fenomena kecurian dan transmisi barangan berharga, hingga ke forum dan seminar berkelas antarabangsa. Malah kata satu sumber, dia pernah cuba dipinang oleh 10 Down Street, untuk membantu MI 5 British bagi tugasan menjejak pergerakan asal-usul uranium yang dibawa masuk Iran, serta salasilah ilmu yang diperoleh Tehran dalam menghasilkan pengayaan bahan senjata itu.

“Cuma ... tiada siapa pun yang dapat mengesahkan, sama ada dia pernah menerima atau melaksanakan misi itu,” kata orang yang kami utus khas untuk membawa penyiasat itu ke banglo kami, bagi menyelesaikan misteri kehilangan candelier ini.

3
MUKADIMAH paling sesuai untuk memperkenalkan banglo kami, barangkali beginilah adanya: tempat tinggal sekumpulan manusia yang hidup dengan tanggungjawab melindungi apa jua nama, apa jua benda dan apa jua nilai yang bersangkut-paut dengannya.

Kami tidak pernah mengira jumlah isi nyawa penghuninya – tapi kami maklum, banglo berkeluasan 60 x 70 meter persegi ini dibangunkan di kawasan seluar 0.8 hektar – berias taman dan tasik, namun tidak berpagar.

“Kenapa?” Pernah kami ditanya Sang Penyiasat yang agak janggal dengan isu ketiadaan pagar ini.

Kami menjawabnya dengan terang dan mudah: “Demi ketelusan, tuan.”

Sang Penyiasat menganggukkan kepada, tetapi matanya sedikit berpinau; sesekali berkedip-kedip tanpa cahaya.

Maka dek keraguan itu, kami menerangkan lagi: “Kami melaksanakan amanah bangsa dalam menjaga segala pusaka terlihat, segala harta tersurat dan segala nilai yang tersirat ... maka adalah wajar kami tidak menembukkan banglo ini, hingga timbul persangkaan dan persyakkan umum ....”

4
777 kes kehilangan barangan dilaporkan dalam tempoh tujuh tahun. Itulah wabak permasalahan besar yang mengedukan kami semua, kerana bukan saja nilai barang dan taksiran harta menggambarkan kerugian yang dialami; tetapi pada hemat kami, jauh lebih berharga dari itu, ialah angka kes yang besar telah meranapkan maruah kami, sebagai penjaga amanah itu.

“Pada saya, apa yang terjadi sangat memalukan,” kata Sang Penyiasat.

Kami terkedu lagi, tetapi tanpa mempedulikan perasaan kami, Sang Penyiasat berhujah lagi: “Tujuh tahun ....” katanya, “dan 777 kes kehilangan, membuktikan, anda semua tidak layak langsung ... untuk dipercayai dan diberikan amanah ini!”

Wah ... malunya kami!

5
SETEMPAYAN emas berisi syiling purba hasilan perak – almari mahagoni abad ke-11, tempat tersimpannya tujuh kalung emas, juga tujuh tiara dengan tatahan tujuh rantaian zamrud di kelilingnya serta tujuh bilah keris purba warisan tujuh pahlawan bangsa dari tujuh Kerajaan Melayu lama serta tujuh kitab salasilah bangsa yang dikarang tujuh ulama perantau yang datang dari tujuh kerajaan asing dan bermastautin pula di bawah daulat tujuh Raja Melayu antara khazanah yang turut dilaporkan hilang.

Hilangnya tujuh bilah keris lama – serta lenyapnya tujuh kitab salasilah bangsa, sesuatu yang amat menghinakan diri. Bagi kami, walaupun harga pasaran kedua-kedua jenis barangan ini jauh lebih rendah daripada nilai barangan kemasan, tetapi nilai maruah dan sejarah bangsa, yang tersela dan disisip rapi di sebalik corak ukiran pamor demi pamor, dan ceritera demi ceritera al-kitab – sangat besar ertinya pada ketertiban sahsiah bangsa.

“Keris Tulang Orang Derhaka dibawa balik dari Belanda, keris Kala Senja Laksamana Mengamuk ditemui orang di China ... manakala Anak Sula Pantang Berundur, dibeli oleh seorang tokoh perniagaan Melayu setelah menemui keris itu dalam majlis lelongan di London,” kata Sang Penyiasat.

Kami sedia maklum akan periwayatan tujuh bilah keris itu, malah termasuk sejarah pemiliknya, sejarah tempurnya – malah juga sejarah bagaimana keris-keris milik tujuh pahlawan Melayu pernah terlepas dari genggaman milik bangsa.

“Mujur ada wira-wira bangsa kita yang sanggup menjejaknya,” kata Sang Penyiasat, tetapi diakhirinya cakapnya itu dengan ulasan yang menyindir:

“Tetapi anda semua menghilangkannya dengan cara yang cukup memalukan!”
Aduh! Kami berasa sangat terhiris, malah terhina amat.

“Kalaulah saya orang yang dititah untuk melantik anda semua, pasti dari awal lagi saya syaratkan – sebarang kecuaian terhadap penjagaan warisan ini, akan dihukum sebagai penderhaka bangsa!” kata Sang Penyiasat sambil memandang kami dengan lintang mata yang tajam.

Nescaya saat itu, maka terhempuk jatuhlah maruah kami ke lantai; pecah berburai, bagai kaca berderai ... hancur berkecai.

6
“MEMALUKAN!” Jerit Si Penjaga Pintu.

Di ruang tamu banglo kami – ruang yang dulunya sarat-barat dengan segala macam jenis barangan – termasuk almari mahagoni abad ke-17, yang pernah menjadi antara hiasan kamar tidur utama di Kota Larangan serta di ruang tamu ini juga – kami sering terpana melihat hiasan tujuh tiara bertatah berlian Afrika, serta segala macam koleksi tanduk, tapak kaki dan kepala serta kulit binatang buruan yang terkumpul dari seantero dunia; menjadi tempat kami melepaskan amarah, akibat rasa terhina, dek sindiran Sang Penyiasat.

“Kita harus segera mencari, siapa pencuri segala khazanah jagaan kita ini,” kata Penjaga Pintu – wajahnya nampak gusar dan gelisah, sepanjang hari itu.
Si Penjaga Bilik Utama pula, duduk di lantai – dek tiada lagi bangku maupun kerusi – semuanya sudah dikebas pergi. Si tua yang dulunya pernah menjadi bentara penjaga peti kewangan negeri itu, terlihat melunjurkan kaki dan bersandar di tiang seri, jari-jarinya mengeletak di muka lantai yang mulai berdanur, tanda lama benar tidak dibersihkan.

“Pencuri yang menyangak semua khazanah ini ... tentulah sudah kaya-raya. Kita hamba papa kedana inilah juga, yang kena menanggung beban najis malunya,” rungut Si Penjaga Stor, sambil menghela nafas panjang.

Si Penjaga Balkoni pula menyampuk: “Pencuri tempayan emas, akan sama kaya dengan pencuri kandiliar... aku baru saja menjeguk laman web koleksi antik, harga pasaran gelap tempayan emas dan wang perak itu kini mencecah RM2 juta.”

Seusai sahaja dia bersuara, maka bertunda-tundalah setiap seorang menyebut barang demi barang yang hilang serta harga demi harga bagi pasaran gelapnya. Sebahagian antara kami berasa lega – kerana waktu berghairah begitu, Sang Penyiasat sudah lama pergi meninggalkan banglo ini.

7
Sang Penyiasat pergi tanpa pernah kembali lagi. Ada di antara kami berasa sangat sedih, kerana si pintar itu enggan membantu; malah membiarkan kami meratap akan kehilangan segala macam barangan yang kami cintai.

Namun, sebahagian besar penghuni banglo ini – nampak sangat gembira, dengan lesapnya Sang Penyiasat itu.

“Bongkak!” Kata Si Penjaga Pintu. “Macamlah dia tahu semua – sengaja mencela-cela kita sesuka hatinya!”

Si Penjaga Bilik Istiadat sambil tersenyum berkata: “Dia ingat dia cerdik – konon dapat menjejak ke mana lesapnya segala harta yang hilang, akhirnya habuk pun tak ada ... kita membayarnya untuk upah menceceh saja.”

Tetapi bagi kami yang menyimpan harapan untuk memiliki semua semua khazanah bangsa yang amat bernilai itu, kemunculan Sang Penyiasat amat kami nantikan.

“Manalah tahu ... satu hari nanti, dia datang lagi – membongkar semua kecelaruan di sini!” Entah siapa pula yang bersuara itu.

PROFIL

Zainal Rashid Ahmad dilahirkan di Alor Setar pada 30 Jun 1967. Mula menulis pada 1990 dan lebih 200 cerpen tersiar dipelbagai penerbitan. Memenangi lebih daripada 30 hadiah sastera anjuran pelbagai pihak termasuk 13 hadiah sastera Kumpulan Utusan Kategori Cerpen. Pada 1994, memulakan kerjaya sebagai wartawan dan mengembara dalam tugasan ke Israel, Palestin, Afghanistan, Ethopia, Lebanon dan Kosovo. Kebanyakan liputan berkaitan krisis peperangan dan kemanusiaan. Pernah memenangi hadiah Majalah TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa (Tragedi Tak Bai 2004), Dokumentari Terbaik PPF (Kembara Palestin 2007), Anugerah Media Pertahanan (Lubnan Darah Di Bumi Merdeka 2007). Kini bertugas sebagai Pengurus Besar Penerbitan di TV Al-Hijrah.


· PENGARANG kreatif dipelawa menghantar cerpen bermutu dan bermoral untuk halaman Kreatif, Sabtu, Berita Harian serta dihantar melalui e-mel: bhsastera@nstp.com.my. Pengirim cerpen wajib menyertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar yang jelas berukuran 2 megabait menggunakan sistem JPEG. Karya tidak boleh melebihi 150 baris ditaip di atas kertas A4, langkau dua baris. Karya yang tidak terpilih tidak akan dikembalikan. Nombor akaun Maybank atau CIMB perlu disertakan bagi urusan pembayaran honororium jika karya tersiar

Cerpen: Pulangnya Sang Putera
Oleh Peter Augustine Goh

2010/09/25

DIA terkejut seperti musang yang terkena jerat pelanduk. Sakit dan pedih bisa. Sakit, kerana orang yang disayanginya tidak lagi tinggal di rumah tiga bilik yang belum habis dibayar itu. Sudah didiami keluarga lain. Rumah yang banyak meninggalkan kenangan manis. Dan tidak kurang pahit. Pedih bisa, kerana orang yang dikasihinya itu juga tidak lagi merupakan wanita yang bernama ibu seperti dulu-dulu. Sudah jauh berbeza. Seperti langit dengan bumi.

Sebaik saja berita itu terhambur, dia rasa hatinya hancur. Terasa kunci pintu keterharuan terbuka. Gerimis kesepian tertempias ke hatinya yang sebak. Perlahan-lahan gerimis itu kian garang dan menjadi hujan kepiluan yang lebat. Basah dengan air hiba yang mencurah-mencurah.

Tidak lama selepas itu, dia menjadi macam kucing hendak beranak. Ke arah lif tidak kena, ke arah tangga dari tingkat lima juga tidak kena.

Ibuuu!

Jelas jeritan itu hanya bersipongang dalam diri. Bersahut-sahutan dari satu relung ke satu relung dalam hatinya yang robek. Dia akhirnya memutuskan untuk turun melalui tangga dengan amat payah. Terasa kakinya menggeletar. Lemah satu macam. Sesampai saja di tingkat tiga, dia terduduk kebodoh-bodohan di salah satu anak tangga. Dia membiarkan saja angin dua petang yang berhembus tajam dan berhaba panas menyapu-nyapu mukanya yang bujur sirih dan mengusap-ngusap rambutnya yang jarang.

Mak Eton menggeleng-geleng, tanda amat mengerti akan keadaannya yang meninggalkan koridor tadi dengan wajah yang mencerminkan semacam kemuraman. Ada percikan simpati berbunga di mata hati bekas jiran keluarganya suatu masa dahulu.

Dia masih terduduk kebodoh-bodohan. Bahunya terenjut-enjut galak. Air mata menjujuh terus. Di anak tangga dekat dinding itu, dia bagaikan ternampak kota Los Angeles atau LA menaruh kesayuan di ruang kecil yang berjeriji. Di Kota Singa ketika dia di LA pula melagukan irama menyayat hati. Manakan tidak? Kerana irama belasungkawa rupa-rupanya terisi di rumah tiga bilik enam tahun yang lalu.
Ayahhh!

Kalau aku tak merengkuk di LA dulu, aku tak akan jadi macam ini, bisik hatinya. Ibu tak jadi macam ini juga! Ayah sempat aku lihat dan selamat dikebumikan.
Mata: Apa gunanya melimpahkan air jernih? Apakah mahu menunjukkan kepada satu dunia yang kau kaya dengan air mata? Ah, menjengkelkan.

Hati: Tahukah kau sesal memang tak berguna lagi?

Kaki: Kaulah yang membuat aku terobek kalbu kini. Kalau kau tak nakal dan gatal hendak meninggalkan tanah air kerana patah hati dek seorang perempuan semata-mata, aku sudah boleh menjaga ibu sekarang. Biar penat, biar lelah. Demi ibu, aku rela! Tapi apa gunanya kesal kini.

Hati:Mengapa pedih sampai tak terkata?

Kaki: Kenapa masih lemah dan menggeletar terus?

“Razali, ayah kau telah berpulang enam tahun yang lalu. Sejak itu, ibu kau amat kesepian. Dia macam patah sayap. Menantikan kau pulang siang dan malam.”
Kata-kata Mak Eton yang menghambat hati tadi terngiang-ngiang jelas, seolah-olah lebih mengejeknya daripada menjala simpati. Dia dapat merasakan Mak Eton melaknatinya. Pada tahap itu, dia ingin menjelaskan bahawa dia bukannya anak lelaki tunggal yang seperti kacang lupakan kulit. Tidak sesekali. Memang dia telah senyap-senyap ke LA setelah mendapat tahu Asmah berkahwin dengan Harun, lelaki pilihan keluarganya. Dia mahu berhijrah ke bumi Amerika. Di sana kata kawannya, Murad, dia boleh mendapat banyak wang walaupun bekerja sebagai penyembelih daging. Dia boleh merekomenkannya kerana dia sudah menjadi rakyat tetap dan isterinya rakyat tempatan di sana. Apa gunanya memberitahu Mak Eton yang dia mahu menaburkan wang di mata keluarga Asmah betapa dia juga boleh sekaya Harun. Nanti Mak Eton akan mengecap dia cuba memancing simpati. Lebih buruk lagi cuba menegakkan benang basah. Lebih buruk lahi (JANGAN TUKAR MAKSUDNYA LALAI), kerana seorang perempuan, dia habis!

Bodoh!

Tiada gunanya!

Iya, apa gunanya memberitahu kebodohannya kalau hanya meremukkan lagi hatinya kini yang sudah terobek dan berdarah. Mak Eton, bisik hati kecilnya. Di LA aku rasakan aku rajin bekerja. Kumpul banyak duit. Bila sudah berada, boleh buka mata Asmah dan keluarganya. Anak pemandu teksi juga boleh berjaya.

Hati: Bersabarlah. Aku tahu tangkai kau macam hendak terputus bila memikirkan tak berapa lama bekerja sebagai penyembelih daging, tuan kau ini bagaikan ‘disembelih’ nasib yang malang.

Iya, aku telah berada di tempat dan pada masa yang salah. Tidak, memang tidak salah aku berada di luar pub, tapi ada seorang pelacur dibunuh orang dan aku disalahkan. Aku tersalah masa. Ketika itu, aku sedang berjalan pulang, mabuk-mabuk ke apartmen yang aku sewa. Aku tak sedarkan diri. Kepalaku dihantuk kuat dari belakang dengan sesuatu yang bulat dan keras. Bila terjaga, ada pisau di tangan kananku. Di sebelahku, ada seorang pelacur dengan mata terbeliak. Kata orang mati begitu tandanya mati yang tidak puas.

Apakah mangsa itu tahu aku bukan penyembelih nyawanya? Aku dikhianati. Aku dianiayai. Darah di pangkal susunya yang subur itu padan dengan darah di pisau dan tanganku. Aku benar-benar kehilangan punca dan tidak dapat nafikan ujian DNA pengesah bicara pada malam selasa di pinggir kota LA sekali gus menutup kes hasil para penyiasat yang bijaksana. Inikah LA yang kononnya boleh menjadikan aku kaya raya?

Murad!

Di mana kau bila aku tersepit?

Inikah yang dikatakan kawan?

Aku tersasar. Indah khabar daripada rupa. Atau inikah balasan membelakangi ibu bapa?

Tangan: Kalau kau boleh berkata-kata, alangkah indahnya nasibku. Tak akan aku terpaksa mengaku pada dakwaan atau pertuduhan cuba membunuh tanpa niat ke atas pelacur kulit putih berambut perang muda. Aku tahu aku tak berwang untuk mendapatkan guaman yang cekap lagi hebat dan cara mudah ialah mengaku saja pada pertuduhan itu. Mudah untuk semua pihak.

Iya, biarlah aku merengkuk sepuluh tahun daripada dipenjara seumur hidup atau diragut nyawa terus.

Hati: Kau tahu ketika di ruang berjeriji aku mahu cepat-cepat pulang. Mahu bertaubat. Mahu meminta maaf kepada ayah dan ibu. Dari satu Hari Raya ke satu Hari Raya, dari satu musim ke satu musim, kau pedih tak keruan. Dan kali ini bila ada peluang berhari raya bersama, kau berdarah maha hebat. Terusik dahsyat.

Ibuuu!

Ayahhh!

Tapi arwah ayah dan ibunya tidak dapat mendengar jeritan dalam dirinya. Tidak tahu dia di perantauan dan telah disembelih keadaan yang kejam. Masyarakat banyak yang buruk sangka. Menuduh dia tak kenang jasa orang tua. Ikut emosi dan hati saja. Kerana seorang perempuan memang dia habis semua.

“Razali, tak lama selepas ayah kau kembali ke Rahmatullah, percakapan ibu kau tak lagi lancar. Nasibnya baik, kerana dia sembuh daripada angin ahmar, walaupun percakapannya masih terjejas sedikit. Dia mendapat bantuan badan kebajikan sebanyak $200/- sebulan. Dapat makan tiga kali sehari. Tapi ....”

“Tapi apa mak cik?”

“Tapi dia kesepian. Dia mungkin cukup makan minum tapi dia laparkan kemesraan dan dahagakan kasih sayang kau! Dia menantikan kau siang malam di muka pintu. Ibu kau sebelum kena demensia, dia kerap ke kedai kopi di bawah sana tu. Dia berharap ada kawan yang lalu dan berbual-bual mengisi masa untuk menghalau kesepian itu. Tapi bila dia pulang, dia akan tunggu kau di situ,” tingkah Mak Eton panjang lebar sambil menunjukkan ke daun pintu rumah sebelah, semakin ke hujung semakin bergetar panjang. Satu tanda dia benar-benar turut terharu.

Tanpa ditanya lagi, Mak Eton terus menyambung bila melihat Razali menekur lantai kebodoh-bodohan, “Ibu kau bela kucing. Lihat tu, kucingnya di atas sofa dekat TV. Bila mak kau kena demensia dan dijaga oleh rumah penjagaan untuk pesakit-pesakit demensia, mak cik ambil dan membelanya. Tahukah kau kucing yang mak kau kutip di longkang dulu itu, pandai mengiau, memanggil mak kau ‘mama’?”

Ya Allah. Pada tahap itu Razali merasakan Mak Eton seperti mentertawakannya penuh serius. Manakan tidak? Kerana kucing jalanan berwarna kelabu lebih berguna mengusir kesepian seorang ibu tua daripada anak dari darah daging sendiri yang hanya pandai merengkuk di penjara LA selama 10 tahun.

Huhhh!

Razali mengeluh panjang. Sepuluh tahun bukan satu tempoh waktu yang singkat. Dalam 10 tahun banyak perkara yang baik-baik dan mulus-mulus boleh dilakukan. Lebih-lebih lagi menabur budi dan bakti kepada orang tua sendiri.

Kini Razali seperti mendapat tenaga baru. Dia menyeka air matanya yang laju membasahi pipi. Jauh di dasar hatinya yang amat terusik, dia bertekad bulat, “Aku akan menemui ibu di rumah kebajikan itu. Akan aku dekatinya sepanjang masa. Walaupun ibu tak lagi kenal aku kerana demensia, aku akan sujud di kakinya. Meminta ampun. Akan kukucupnya. Akan aku dakapnya sepuas-puasnya.”
Razali sudah melewati tangga-tangga dan kolong flat. Pantas berjalan ke arah pinggir jalan. Menahan teksi untuk membawa dia ke rumah kebajikan yang dimaksudkan Mak Eton.

Dalam teksi, Razali dapat melihat bangunan-bangunan pencakar langit yang tersergam indah dan gah serta pokok-pokok yang menghiasi jalan seperti berlari-lari ke belakang. Sekali gus mengingatkan dia untuk berlari juga meninggalkan kisah silam yang pahit.

Ibuuu!

Saya datang!

Anak ibu sudah pulang!

Kini, ibunya bagaikan datang merapat ke ruang matanya dalam teksi yang dipandu lelaki Cina. Ibunya pernah berpesan, “Razali, ibu dan ayah sudah tua. Entah bila akan dipanggil Allah. Ibu cuma ada satu pesan. Biar sesat jalan, jangan hilang. Kalau sesat, boleh kembali ke pangkal jalan. Sesat boleh berubah menjadi baik. Sesat boleh insaf dan bertaubat. Tanyalah mereka yang sesat jalan. Sesat akidah. Tapi kalau dah hilang sesuatu yag berharga dan bermakna, sukar hendak ditemui. Atau dipulih. Sukakah kau kalau hilang kuasa? Hilang arah? Hilang iman? Hilang ingatan?”

Bercakap tentang hilang ingatan, Razali kembali gundah. Ibunya yang menghidapi demensia sukar untuk dipulihkan dan dia menjadi semakin pilu.

Kepiluan itu bagaikan sampai di puncak apabila sampai saja di katil di mana ibunya sedang bangun duduk, Razali seperti mahu menjerit keterharuan. Lupa sekejap untuk melutut dan bersujud di kaki ibunya yang kelihatan lebih tua daripada usianya yang mencecah 75 tahun. Rambutnya kusut dan wajahnya yang layu dan kering berkedut. Matanya terperosok ke dalam. Mulutnya ternganga luas menampakkan gusi yang bergigi tak seberapa. Pipinya yang cengkung dan tubuhnya yang kurus benar-benar memancing simpati. Lupa sekejap meminta maaf. Lupa sekejap untuk mengucup dahi ibu dan lupa sekejap untuk mendakap erat-erat melepas rindu.

“Beginilah dia selalu, Encik Razali,” ujar pekerja wanita 30 tahun, 25 tahun lebih muda daripada Razali. “Ibu encik suka bermain-main dengan anak patung. Dia amat sayang dan rindukan anak patung itu.”

Razali terasa terpukul, seolah-olah kini giliran pekerja wanita itu pula untuk mentertawakannya penuh sinis. Perlahan-lahan dia mendekati ibunya. Ibunya tak mengendahkannya. Tak kenal dia siapa. Dia hanya kenal si anak patung dan terus didakapnya erat-erat. Dalam hati Razali, dia merasakan anak patung itu adalah dia sendiri. Dia memanggil ibunya. Tapi ibunya memandang kosong kepadanya, seolah-olah memberitahunya dia tidak kenal langsung. Pada tahap itu, dia memang seberani angan-angan ketika dalam teksi tadi. Dia bersujud di kaki ibu dan pekerja wanita menyaksikan bahunya terenjut-enjut hebat. Hebat sekali. Dan wanita gebu bangsa India itu turut sekaki. Tanda dia amat mengerti, walaupun si ibu tua tidak mengerti apa-apa, ada seorang puteranya bergelar anak bersujud dan mengucup kakinya.

INFO Penulis

PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanakkanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanakkanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenanginya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.

Cerpen: Detik Sakratulmaut Dek ‘Kemerdekaan Maya’
Oleh Dr Adnan Abd Rashid

2010/09/04

Nazak

SEJAK petang lagi hujan turun renyai-renyai menyiram pokok-pokok di Taman Fairuz yang kelayuan dan kekeringan sejak seminggu yang lalu. Meskipun berita di beberapa negara di dunia mengalami banjir dan taufan seperti di China, di Vietnam dan di sana-sini hujan lebat yang tak terhingga, tapi Taman Fairuz hanya menerima hujan renyai-renyai yang menakungi airnya di hujung dedaun pokok bagaikan embun di hujung rumput yang menanti saat dan ketika untuk menitis ke bumi. Fenomena ini seolah-alah satu simbolik akan perginya seorang insan menemui Tuhannya dengan rohnya akan menitis di lembaran malaikat maut. Bendera jalur gemilang yang dipasang oleh penduduk di Taman Fairuz sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51 menerima titisan hujan dengan lemah longlai terkibar-kibar pada kesuraman senja yang mulai melabuh tirai. Taman Fairuz inilah terletaknya kediaman Mak Zu selama ini dan berkemungkinan meninggalkannya buat selama-lamanya dunia yang fana ini. Laungan kemerdekaan dan nyanyian jalur gemilang dari televisyen rumah jiran Mak Zu sayup-sayup kedengaran sekali-sekala yang mencetus keheningan dan kemerahan senja. Pada saat itu, Mak Zu terkumat-kamit menyebut sesuatu bagi menghadapi saat getir kehidupannya sebagai manusia yang tertipu dengan ‘kemerdekaan mayanya’ selama ini dan beberapa detik lagi berkemungkinan bertemu dengan Ilahi serta berpisah dengan dunia yang fana ini buat selama-lamanya. Bagi Mak Zu, pada usia mudanya dunia inilah memberikan kepuasan nafsu serakah dan ‘kemerdekaan maya’ kepada dirinya.

Ustaz Hj Non dan jemaah surau baru selesai membaca surah Yasin bagi memudahkan perjalanan roh Mak Zu ke alam barzakh (alam kubur) iaitu alam yang pasti ditempuhi oleh setiap insan sama ada husnul khatimah (sebaik-baik kematian) atau suul-khatimah (seburuk-buruk kematian). “Kul nafsin za iqatul maut,” tiap-tiap yang hidup (bernyawa) pasti akan mati,” kata Ustaz Hj Non semasa mengajar pada kuliah Magribnya di surau Taman Fairuz. Tegasnya lagi semasa mengajar kitab ‘Tanbihul Ghafilin’, “syaitan akan mengambil kesempatan untuk memesongkan akidah dan keimanan anak-anak Adam pada saat sakratul maut, barang siapa yang membuat persiapan rapi dengan mematuhi dan mentaati Allah semasa hidupnya insya-Allah terselamat daripada fitnah itu.” Justru itu pesan Ustaz Hj Non,” janganlah kita lalai dengan kehidupan di dunia ini, dunia jangan dikejar biar dunia mengejar kita.” Jemaah surau selalu mengangguk tanda kefahaman di dalam kuliah Maghrib Ustaz Non macam nak minum kopi angguk. “angguk ! angguk! kopi angguk! tanda kefahaman dan amalan dalam kehidupan belum tentu lagi. Mentalqinkan Mak Zu


USTAZ Hj Non dan Pak Imam Hj Hashim masih di rumah Mak Zu dalam usaha mentalqinkan lagi Mak Zu yang masih nyawa-nyawa ikan. Kata Ustaz Hj.Non “ini adalah sunnah Rasullullah SAW iaitu seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Hendaklah kamu mentalqinkan orang yang sedang menghadapi maut,” bukan talqin atas kubur! seperti yang lazim diamalkan sesetengah orang masa ini, nak ajar orang dah mati … nak buat apa? tegasnya yang nak jawab dalam kubur tu malam si mati tu …, bila dah mati harta, keluarga sudah tidak berguna lagi melainkan amalan dan doa anak yang soleh. Kata-kata inilah selalu diungkapkan oleh Ustaz Hj Non ketika membicarakan tajuk kematian di dalam kuliahnya kerana masa ini banyak sangat amalan bidaah berlaku ketika kematian termasuk kenduri arwah yang mengikut bilangan hari tertentu. Justeru itu tegas Ustaz Hj Non lagi, “kita yang sepatutnya beri makan kepada keluarga simati tapi sebaliknya berlaku, sesungguhnya bersedekah kepada keluarga simati bagi meredakan kesedihan mereka.” Memakan jamuan di rumah simati adalah memakan harta anak yatim, sekiranya itulah peninggalan arwah suami kepada isteri dan anak-anaknya, jelas Ustaz Hj Non di dalam kuliahnya.
Pada saat senja melabuh tirainya, Ustaz Hj Non tidak berputus asa bersama-sama Imam Hj Hashim untuk mentalqinkan Mak Zu yang tidak mampu melafaz dan mengucap kalimah syahadah, sedangkan kalimah ini adalah pasport ke Syurga. Namun keanehan berlaku pada Mak Zu bila ditalqinkan dengan kalimah “Lailahaillallah” ia tidak mampu mengikut kalimah syahadah itu, sebaliknya Mak Zu yang dalam suara kelemahan dan keampuhan nyawa ikan itu masih bertenaga untuk berkata “aku tak boleh bercakap”. Ustaz Hj Non kehairanan dan bertanya Pak Imam surau Taman Fairuz, Hj Hashim: “yang dia dok bercakap tu apa?” Imam Hj Hashim menggeleng-geleng kepala tanda tidak dapat memberikan jawapan kepada Ustaz Hj Non. Ahli jemaah surau yang hadir juga kehairanan dengan kelakuan aneh Mak Zu. Tiap-tiap kali ditalqinkan Lailahaillah, Mak Zu tetap berkata: “aku tak boleh bercakap.” Waktu senja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53 serta kemerahan senjanya yang semakin pudar di ufuk langit menandakan waktu Maghrib bakal berlabuh dengan waktu Isyak, seakan-akan sangsi dengan suasana ketika itu. Detik-detik itu sangsi dengan hamba Allah yang bakal melintasi sempadan kehidupan dengan kematian tanpa pasport iman yang asli. Seperti juga masa kini banyak kesangsian demi kesangsian dan korupsi demi korupsi dalam banyak sektor di dalam negara. Tengok sajalah … kad pengenalan disangsikan kerana kepalsuannya, lesen memandu disangsikan dengan kepalsuannya, duit disangsikan dengan kepalsuannya, alat solek disangsikan dengan kepalsuannya, ubat-ubatan pun palsu, makan minum dan macam-macam lagi di dalam kesangsian kepalsuannya. Sama juga masyarakat manusia kini juga dalam kesangsian diri sendiri, budaya, agama dan iman lebih-lebih lagi pada era dunia globalisasi tanpa batasan ini yang penuh dengan kepalsuan hidup seperti yang pernah dilalui dan dialami oleh usia muda Mak Zu dengan ‘kemerdekaan mayanya’ suatu ketika dulu. Mak Zu telah mengejar ‘kemerdekaan maya’ yang kini tidak memberi apa-apa makna kepada dirinya. Ke mana pergi ‘auranya’ yang tersohor suatu ketika dulu? kini tidak dapat membantu. Sama juga dengan remaja-remaja masa kini hilang jati diri, mahukan kebebasan dan ‘kemerdekaan maya’ seperti Mak Zu, jadi mat rempit atau minah rempit, kupu-kupu malam, tukang urut epal, urut sentuhan batin dan macam-macam lagi istilah yang berakhir dengan penyesalan tiada berkesudahan kerana maruah sudah tergadai. Tiada lagi ihsan diri, anak luar nikah dicampak di dalam tong sampah, dalam longkang dan di sana sini tanpa belas kasihan. Zina dan rogol bunuh berlaku saban hari, Apa nak jadi? Jahiliah? Iblis? Teguran Ustaz Hj Non dalam kuliah maghribnya di surau Taman Fairuz dalam mengulas fenomena membuang bayi masa kini.

Malaikat Maut Menghampiri Jasad

KEGELAPAN malam mengamit-gamit suasana hening yang memenuhi ruang tamu rumah teres Mak Zu bagaikan kegelapan bakal ditempuhi roh Mak Zu pada saat itu. Suasana ruang tamu rumah teres yang dibeli oleh Mak Zu dua puluh tahun yang lalu semakin hening bagaikan Malaikat Maut sedang menghampiri jasad Mak Zu yang semakin kaku dan kesejukan bagi batang pisang yang baru di tebang. Matanya kuyu separa celik merenung jauh bagaikan teringat pengalaman dan nostalgianya yang lalu … tapi sebenarnya tidak, renungan Mak Zu berhadapan saat getir kesudahan hidupnya yang palsu daripada ‘kemerdekan mayanya’. Macam juga cinta palsu anak muda masa kini hingga sanggup meninggalkan dan mengenepikan ibu bapa serta sanak saudara. Ada yang lari mengikut lelaki ke seberang, ke Lombok akhirnya menyesal tiada kesudahan. Ini semua gara-gara ‘kemerdekaan maya’ yang dikejar. Ada yang mengejar ‘kemerdekaan maya’ dengan menelan pil kuda, menghisap ganja, pil ecstacy, menghidu gam, menghidu tahi lembu dan lain-lain. Aduh! Apa nak jadi anak muda masa kini, macam Mak Zu ...!?. mengejar ‘kemerdekaan maya’ tanpa kesudahan dan hujung pangkal. Sanak-saudara Mak Zu dan kaum ibu yang bertudung nipis yang juga kawan-kawan Mak Zu suatu ketika dulu bercakap perlahan-perlahan sesama mereka tentang Mak Zu. Mereka tak baca Yasin atau ayat-ayat suci al-Quran mungkin tak tahu agaknya. Macam zaman sekarang ni, ramai di kalangan anak-anak muda dan sesetengah orang dewasa pun tidak pandai membaca al-Quran, tapi bila bab majlis khatam Quran merekalah yang paling sibuk. Kalau saudara terdekat meninggal, maka kelam kabut mencari Pak Imam, Pak Bilal dan jemaah surau untuk membaca al-Quran dan membaca surah Yasin. Itulah padahnya jika tidak mau mengaji al-Quran. Ada yang membayar upah mengaji empat puluh hari berturut-turut di atas kubur mencecah ribuan ringgit. Sesetengahnya pula berkata, apa nak dirisaukan sangat sekiranya berlaku kematian, telefon saja ‘wafat consultant’ iaitu pakej pengurusan jenazah A hingga Z dan siap duit semuanya beres. Apalah jahil sangat masyarakat masa kini bukan jahil tak tahu membaca al-Quran saja. tapi juga jahil dalam ilmu dan hal-ehwal agama. “Yang dok baca Quran atas kubur tu buat apa? Awat tak boleh baca kat rumah … pahala tak sampai ke?” ‘Tengok la ni mati pakai ‘wafat consultant’ keluh Ustaz Non ketika mengajar bab Aqidah di surau di Taman Fairuz.
‘Kemerdekaan maya’ Yang Palsu

“Lailahaillallah” Ustaz Hj Non terus mentalqinkan Mak Zu yang semakin hampir ajalnya. Mak Zu dengan nada yang lemah dan terkedu-kedu tetap dengan cetusan dari mulutnya, “ aku tak boleh bercakap” Ustaz HjNon menggeleng-geleng kehairanan dengan suasana dan keadaan di depan matanya sendiri. Ustaz Hj Non bingkas bangun dan mencari warisnya yang terdekat ingin bertanya sesuatu. Pak Dali sepupu Mak Zu tampil menghampiri Ustaz Hj Non dan mengajaknya ke ruang yang lain untuk berbicara. Ustaz Hj Non bertanya sesuatu kepada Pak Dali mengenai kisah-kisah silam Mak Zu sehingga susah baginya untuk melafazkan kalimah “lailahaillallah” walaupun beberapa kali diajar. “Mak Zu nama sebenarnya ialah Zuhaidah .…” Pak Dali memulakan ceritanya. “Ia seorang cantik dan rupawan pada usia remajanya dan pandai dalam masakan kampung, masak kari rempah giling, masak ikan darat dengan ubi kemili, masak kurma, masak nasi daging, maka ayam merah semuanya boleh serta berbakat pula dalam kesenian tambah pula suaranya merdu bagaikan buluh perindu. Bila ia melagukan bacaan Quran dalam majlis agama di kampungnya ramai orang kampung terpegun dengan kefasihan dan rentak lagu taranum bacaannya, yang memang tiada tandingan. Kalau ada Akademi al-Quran ketika itu sudah tentu dia memenangi anugerahnya. Ramai anak-anak muda kampung tergilakannya kerana segala-gala ada padanya. Ibu dan bapa Mak Zu begitu suka sekali di atas kebolehan dan anugerah rupa parasnya daripada Allah kepada anak mereka. Disebabkan pada usia remaja Mak Zu yang sebegitu dan dikagumi ramai menyebabkan ia suka kepada glamor dan publisiti. Ia mula berjinak-jinak dengan majalah sensasi, hiburan dan terdetik di hatinya menjadi seorang model dan penyanyi terkenal. Habis majalah-majalah hiburan dan sensasi menjadi tatapan Mak Zu ketika itu, meskipun perbuatan tidak disukai oleh arwah ayahnya, dan ibunya yang kini masih tinggal di kampung dalam usia yang menjangkau lapan puluhan tanpa diambil peduli oleh Mak Zu. Ibunya tersisih di kampung seorang diri bagaikan tiada waris. Macam juga hari ini sesetengah ibu disisihkan oleh anak-anak mereka di rumah kebajikan. Ibunya pernah beberapa kali menegur dan menasihatinya supaya lupakan saja glamor dan cita-cita keseniannya tetapi tak diendahkannya. Mak Zu juga telah melibatkan diri dengan kumpulan Ghazal Parti Zenkulana alunan irama Hindustan dan padang pasir, di kampungnya sebagai penyanyi utama. Alangkah seronok Mak Zu ketika itu kerana namanya semakin tersohor di kampung sekitarnya sebagai penyanyi pujaan ramai. Masa tu tidak ada AF3 dan AF4, kalau ada sudah tentu dia mendapat undian SMS tertinggi. Semasa menyanyi di pentas di rumah kenduri suara merdu Mak Zu memukau penonton kecil, tua dan muda di tambah pula dengan gelekan Man Jebong sebagai penari iringan. Dengan itu Ghazal Parti Zenkulana semakin tersohor dan Mak Zu semakin liar mengejar kegilaannya untuk mencari glamor selama ini. Hati Haji Zul ayah Mak Zu menjadi semakin sempit dengan dengan kelincahan Mak Zu yang melampaui batas. Berbuih mulutnya memberi kata-kata nasihat, tetapi tidak dihirau oleh Mak Zu yang bagaikan kerasukan syaitan dan iblis. Itupun Mak Zu tak minum air daun ketum, kalau tidak tentu lebih ligat lagi. “Zu! cukuplah dengan apa yang kau capai tuu … ingat Allah banyak-banyak, mengucap banyak-banyak,” nasihat Hj Zul pada anaknya. “Alaaah ayah ni sibuk laa … tak habis-habis membebel … kan menyanyi ni boleh dapat rezeki … Alhamdulillah nanti duit banyak boleh Zu hantar ayah ke Makkah bagi kali yang kedua,” balas Zu. “Astagfirullah al-Aziim”! terpancul dari mulut Hj Zul dengan kata-kata Mak Zu itu. “Biarlah aku tak ke Makkah lagi dengan duit haram kau tu ….” balas Hj Zul dengan tegas dan marah. Haji Zul naik berang dan dengan tidak semena-mena tangannya telah hinggap ke pipi Mak Zu yang putih gebu bertukar merah seperti merah jambu air yang ditanam oleh Hj Zul di belakang rumahnya. Mak Zu ketika itu terlolong kesakitan, tidak tertahan dengan kepedihan penampar Hj Zul bagaikan tergigit jeruk cili api muda yang selalu dimakannya bersama dengan bihun sup di kedai Pak Kadir di hujung kampungnya. Ibu Mak Zu datang memeluk badan Hj Zul bagi menenang dan meredakan kemarahannya yang bengang dengan kelakuan dan perangai anaknya Zu yang sudah melampau. “Kalau dia mengaji dan masuk musabaqah al-Quran tu tak apa … walaupun tak faham pengertiannya … aku tak larang tapi ni dok melalak dengan Ghazal Parti Zenkulana tak tentu hala … itu syaitan dan iblis namanya …,” rengus Hj Zul. Isterinya hanya diam dan tidak membalas sepatah kata pun sambil merenggangkan pelukannya. Dia tahu sifat Hj Zul yang dikahwininya 19 tahun yang lalu, yang dapat diredakan kemarahannya dengan pelukan yang erat, mesra dan sayang. Isteri Hj Zul tak pernah belajar ilmu psikologi di universiti pun pandai mententeramkan jiwa suaminya yang keberangan. Masa kini kebanyakan isteri dan suami yang pernah belajar psikologi pun, tak pandai nak tenteramkan jiwa suami atau isteri, masing-masing stres sebab itu pertelingkahan rumah tangga tak habis-habis terpapar di media cetak dan elektronik. Tendang isterilah! Curah cuka getahlah! Dan macam-macam lagi kerenah stres rumah tangga. Kebetulan pula isteri Hj Zul selalu menjadi sumber rujukan suri rumah dan orang-orang di kampungnya kerana kepandaiannya dalam ilmu rumah tangga dan sikap kesabarannya yang menggunung.
Sejak dari peristiwa ditempeleng oleh Hj Zul, Mak Zu bertekad melarikan diri dari rumahnya bersama Man Jebong menuju ke Kuala Lumpur dengan hati yang pilu dan ngilu. Namun begitu demi mencari kepuasan nafsu dan ‘kemerdekaan maya’ semua itu terubat jiwanya. Ketika itu dirasakan dirinya ‘merdeka’ daripada segala-galanya tiada lagi pergantungan kepada sesiapa lagi, tapi itu sebenarnya ‘kemerdeka maya’. Mulai saat itu, Mak Zu dah tak kenal dosa dan noda, hidupnya hanyut di tengah-tengah sampah sarap kota yang penuh pancaroba, dosa dan noda bersama dengan ‘kemerdekaan maya’ yang dicarinya. Sejak dari itu juga ibu-bapanya sudah tiada di hatinya lagi kerana mengejar kepuasan yang di cari selama ini. Kegilaan seperti inilah berlaku kepada anak-anak remaja kita masa kini. Demi cinta monyet dan ‘kemerdekaan maya’ yang palsu, sanggup melarikan diri dengan teman lelaki. Bila perut dah terbojol baru menyesal diri sendiri. Anak dibuang sesuka hati. Tegas Pak Dali kepada Ustaz Hj Non.

Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu

“PAK Dali! ... Pak Dali!” suara memanggil namanya dan ia memberhentikan ceritanya pada Ustaz Hj Non. “Hah ada apa hal pulak,” bingkas pak Dali sambil meminta izin daripada Ustaz Hj Non bangun menuju kepada orang yang memanggil namanya di celah-celah orang ramai yang datang menziarah Mak Zu. Ustaz HjNon mengekorinya dari belakang masih lagi mencari jalan penyelesaian bagi penyudah kehidupan Mak Zu. Itulah sifat para ulama, kasih sesama insan tidak luput di hati. “Pak Dali …!, Mak Bedah dah sampai …! Mak Bedah adalah ibu Mak Zu yang baru tiba dari kampung terengsot-engsot berjalan dengan tongkat kerana kakinya bengkak terkena penyakit gout dan kencing manis, macam juga penyakit kronik yang dihadapi orang ramai hari ini seperti penyakit kencing manis, penyakit buah pinggang, darah tinggi, sakit jantung, penyakit strok dan bermacam-macam lagi. Pak Dali membimbing tangan Mak Bedah menuju ke bilik di mana jasad Mak Zu sedang bertarung dengan kesakitan sakratul maut dan pautan syaitan laknatullah terhadap diri Mak Zu. Ustaz Hj Non berkata sesuatu kepada Mak Bedah sambil di angguk-angguk oleh Mak Bedah. Air matanya mengalir membasahi pipinya sambil berkata, “ibu masih sayangkan kau nak … meskipun engkau tak pedulikan ibu … ibu tahu engkau nakkan ‘kemerdekaan’ tapi kemerdekaanmu itu adalah ‘kemerdekaan palsu’ yang tak menjanjikan kebebasan sebenarnya kepadamu nak! Ibu ampunkan segala dosa-dosa mu nak! … agar rohmu merdeka dalam erti kata sebenarnya dan keimanan kepada Allah.” Ustaz HjNon terus berusaha mentalqinkan Mak Zu dengan kalimat penyelamat lailahailallah pasport ke Syurga. Inilah daya upayanya yang dapat di usahakan untuk memerdekakan Mak Zu daripada terus kekal di dalam Neraka Jahanam di akhirat kelak sekiranya mati tanpa kalimah iman, meskipun begitu ia akan melalui seksaan di dalam Neraka kerana ‘kemerdekaan mayanya yang palsu’ semasa hidup di dunia yang fana ini. Terkumat kamit dengan nada suara yang terketar-ketar keluar dari mulut Mak Zu menyebut ‘lailahaillallah’.
Alhamdulillah! Bersyukur pada Allah tercetus dari mulut Ustaz Hj Non dan di ikuti oleh Pak Dali dan Pak Imam Hj Hashim. Mak Bedah kesedihan merebahkan mukanya ke pipi Mak Zu yang kini bagaikan batang pisang yang keras lagi sejuk, kini menuju ke alam Barzakh (kubur) yang tidak lagi mencari ‘kemerdekaan maya’ yang palsu. Detik masa untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51 belum lagi berlalu, kini jasad Mak Zu terbujur kaku … di detiknya juga yang pilu lagi terharu kerana ‘kemerdekaan maya’ yang palsu tidak membantu. ‘Kemerdekaan maya’ yang diburu segenap penjuru rupanya palsu! Palsu! Palsu! Tiada membantu, kepada Allah jua kita menuju. Inna lillah wa inna alaihi rajiuun.

Biodata: Dr Adnan Abd Rashid
DILAHIRKAN pada 8 Mei 1959 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, berjinak-jinak dalam dunia penulisan kreatif sebagai kegemaran masa lapang di samping menulis rencana ilmiah untuk jurnal dan prosiding persidangan. Cerpennya, Pak Ngah Pasca Merdeka, pernah disiarkan dalam Berita Minggu. Guru pelatih Maktab Perguruan Lembah Pantai Kuala Lumpur 79/80, kini berkhidmat sebagai Pensyarah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pakar Program Pendidikan di ISESCO, Rabat, Morocco 2010.

Cerpen: Syawal di Rumah Baru Abang
Oleh Nor Hidayah Asari

2010/09/18

SYAWAL hari ini ditemani hujan lebat sejak awal pagi. Suasana jadi muram, sunyi dan basah. Sejak pulang dari solat sunat Aidilfitri di masjid tadi, adik terus berkurung dalam bilik. Adik rasa terbeban dengan perasaan sedih dan rindu mengenangkan abang. Abang belum lagi sampai ke kampung. Agaknya abang memang tidak mahu berhari raya dengan keluarga. Abang sudah jauh berubah sejak memiliki perhiasan indah yang menjadi lambang kebanggaan di rumahnya itu.

Hubungan adik dan abang umpama ada benteng pemisah. Kalau bertemu pun bahasanya adalah kelu dan bisu. Adik tahu perhiasan kaca warna putih mutiara berbentuk hati itu mahal harganya, jadi wajarlah kalau abang terlalu menjaga perhiasan itu hingga abang semakin jauh dari adik dan keluarga.

Sejak memiliki perhiasan itu abang juga jarang-jarang sekali pulang ke kampung. Kalau pulang ke kampung pun hanya satu malam. Sampai di kampung jam 11 atau 12 tengah malam dan keesokannya sebelum tengahari, abang sudah mahu berangkat pergi. Itulah jadual abang setiap kali pulang ke kampung. Manalah sempat adik dan abang bercerita, bergurau senda dan ketawa riang seperti dahulu. Adik dengar bunyi hon kereta seraya derap langkah kaki di luar bilik . Adik rasa berdebar!

“Adik! Abang dah sampai!” jerit emak terburu-buru. Adik rasa serba salah untuk keluar. Adik teringat kembali peristiwa bulan Ramadan yang lalu. Perhiasan kesayangan abang jatuh dan pecah. Abang luka terkena serpihan kaca dari perhiasan itu. Luka itu dalam. Betul-betul di dada. Abang terlantar sakit.
Emak dan abah pujuk adik supaya menjaga abang di bandar. Emak dan abah beranggapan inilah peluang adik dan abang dapat memperbaiki hubungan yang telah lama renggang. Tambahan pula dalam bulan Ramadan, tentu ada banyak keberkatan dan hikmahnya. Walau berat hati, adik setuju juga ke rumah abang. Bagi adik, kesihatan abang lebih penting. Hampir dua minggu adik luangkan masa untuk membantu abang. Adik ikhlas dan rela hati merawat luka abang. Setiap hari adik bertahajut, menyedekahkan surah Yasin dan berdoa tidak putus agar abang kembali sihat.

“Dik, abang dah tak tahan nak jaga perhiasan kaca ini. Diletak di tempat yang baik pun masih juga mahu melukai abang. Abang fikir, abang nak cari perhiasan kaca baru ,” rintih abang pada suatu hari ketika adik masih di rumah abang.
Kasihan sungguh dengan keadaan abang. Tapi tak patut juga abang terus biarkan perhiasan kaca itu begitu sahaja. Kalaupun perhiasan itu telah melukai abang, abang juga ada salahnya. Abang terlalu manjakan perhiasan itu dan bila abang dah bosan, abang cuba cari perhiasan baru pula. Lebih baik abang jaga sahaja perhiasan kaca yang lama itu, lagipun belum tentu perhiasan kaca yang baru nanti tidak akan melukai Abang . Adik nasihatkan abang agar sabar dan beri masa luka abang pulih dalu, barulah abang buat keputusan. Malah, adik berikan abang semangat agar terus jaga perhiasan itu dengan baik.

Diam-diam adik perbaiki perhiasan itu adik cantumkan semula perhiasan itu. Dari kepingan pertama yang pecah hinggalah sempurna bentuknya. Sementara itu, luka abang pun beransur pulih. Sebagai kejutan, adik tunjukkan perhiasan kaca yang adik perbaiki itu. Abang nampak ceria. Abang tak sangka perhiasan itu kembali elok. Namun, sewaktu leka membelek perhiasan kaca itu, tiba-tiba jari Abang berdarah.
“Abang ni cepat sangat leka. Kalau abang tidak berhati-hati, abang akan sentiasa terluka. Kalau begini, sampai bila-bila pun abang tidak akan dapat perhiasan yang baik! ” Itu kata-kata adik yang paling keras pernah adik berikan kepada abang. Niat adik waktu itu hanyalah untuk menyedarkan abang tapi abang salah faham. Abang marah. Abang terus halau adik balik ke kampung. Adik cium tangan abang, berkali-kali minta maaf.

“Adik dah musnahkan kebahagiaan Abang! Kalau betul Adik dah baiki perhiasan kaca ini, kenapa masih ada yang sompek. Tengok ni, jari abang dah berdarah. Adik memang sengaja nak lukakan abang.”

Adik terduduk mendengar. Hinanya adik pada pandangan abang. Apa salah adik?
Setelah perhiasan itu kembali tercantum elok, abang buang adik pula. Takkanlah kerana sompek yang sedikit itu pun salah adik. Memang perhiasan itu sudah rosak. Walhal, abang sakit pun kerana perhiasan itu juga. Abang, abang ....
Kalaulah adik mahu rosakkan perhiasan itu, sejak hari pertama abang sakit, sudah adik buang perhiasan itu. Mana mungkin adik rela mencantumkan semula perhiasan yang sudah retak? Adik paut kedua kaki abang. Adik minta abang tarik semula kata-kata abang. Abang diam sahaja kemudian abang tolak tangan adik . Waktu itu, adik tahu abang memang tidak perlukan adik lagi.

Kenapa abang buta menilai keikhlasan adik? Kenapa abang tak usul periksa?
Kenapa abang biarkan parut luka abang ditinggalkan pedihnya pada adik pula? Akhirnya, adik patah hati dan pulang ke kampung dengan rasa kecewa. Adik kuncikan mulut daripada menceritakan apa yang berlaku di rumah abang kepada emak dan abah. Emak abah fikir hubungan adik dan abang sudah pulih. Kalau betul memang salah adik, biarlah adik seorang saja yang tanggung. Adik tidak mahu libatkan emak dan abah. Hinggalah hari ini , akhirnya abang pulang untuk berhari raya. Bunyi ketukan pintu di bilik mengejutkan lamunan adik .

“Adik ...” panggil Emak. Adik terkejut. Ingatkan abang yang datang ke bilik adik. Mata emak berair, nafas emak terhenjut-henjut. Abah ada bersama emak. Adik terpinga-pinga.

“Adik, dah lama abang sekeluarga di luar tu. Kenapa tak keluar-keluar lagi?” tanya abah sayu. Air mata abah juga bergenangan. Adik serba salah. Kenapa ni? Adik gugup untuk bersuara.

“Keluarlah dik. Janganlah macam ni. Ini kan Hari Raya. Pergilah bersalam. Jemputlah mereka masuk, ” pinta emak hiba. Adik hairan. Inikan rumah tempat abang dan adik dilahirkan. Takkanlah abang sekeluarga perlu dijemput masuk seperti tetamu asing pula.

“Rasanya abang lagi gembira kalau tak nampak muka adik,” jelas adik perlahan.
“Adik? Kenapa dengan adik ni? Itukan abang adik, darah daging adik. Kenapa adik cakap begitu? Sekarang ni, abah minta adik tolonglah keluar bersalam dan jemput mereka masuk,” pinta abah sambil menarik adik keluar dari bilik. Sampai di anjung rumah, adik nampak abang berdiri di tangga dengan sebelah tangan memegang Alisya anak sulungnya dan sebelah tangan lagi mendukung Alia, anak keduanya. Hati adik hiba. Alisya yang baru berusia tiga tahun itu menangis sambil memegang botol susunya yang kosong dan Alia yang baru berusia setahun itu merengek rimas. Anak-anak itu nampak comot dan kelaparan. Abang pula kelihatan seperti orang kebingungan. Ya, Allah! Apa dah jadi dengan abang?

Kelihatan muka abang bengkak, merah dan ada kesan luka seperti dicakar dengan kuku. Baju Melayu yang dipakainya nampak comot dan bertompok basah dek hujan. Kain samping songket berbenang emas, hanya di sangkut di bahunya. Rantai butang baju Melayu abang juga sudah putus. Rambutnya kusut masai dan kasutnya berselut tanah basah. Kenapa ni? Adik bergegas turun tangga. Adik salam dan cium tangan abang dengan rasa hiba seakan terlupa peristiwa Ramadan yang lalu.
“Salam Kak Seri !” perintah abang perlahan.

“Pergi nak. Pergi salam Kak Seri, cepat jemput Kak Seri masuk rumah,” pinta emak sebak. Adik pandang kereta abang yang diletakkan di pokok cempedak di halaman rumah. Nampaknya, abang sudah bertukar kereta baru.

“Kenapa Kak Seri tak mahu keluar dari kereta?” soal adik. Abang diam sahaja.
“Dah puas abah, emak dan abang pujuk. Kak Seri kata, kalau Adik tak bersalam dan jemput dia masuk ke rumah, itu bermakna adik tak alu-alukan kedatangannya. Dia berkeras nak balik semula ke Kuala Lumpur,” jelas Abah. Adik beristighfar. Abang masih membisu.

Adik berfikir sejenak. Tiba-tiba abah ambil payung dan selipar adik di bawah tangga. Melihat abah begitu, segera adik berlalu pergi dengan hanya berkaki ayam sebelum sempat abah memberikan selipar dan payung itu kepada adik. Langkah adik rasa tak teratur lagi menuju ke arah kereta abang. Adik berjalan dengan langkah geram, marah, sedih dan entahlah! Air mata adik mengalir deras, sama seperti hujan yang telah membasahi tubuh adik. Abah cuba kejar adik dengan payung, tetapi adik lebih dahulu sampai ke kereta abang. Adik berhenti beberapa jengkal dari pintu kereta.

Adik nampak Kak Seri sedang duduk memaling tubuh ke arah kanan, bersebelahan kerusi pemandu. Kerusinya disandarkan separuh, nampaknya dia sudah lama menunggu di dalam kereta. Adik dekatkan mata adik ke tingkap kereta. Adik nampak Kak Seri sudah berubah penampilan. Dia tidak bertudung. Rambutnya yang kerinting, nampaknya sudah diluruskan dan diwarnakan dengan warna coklat muda. Baju kurung moden yang dipakainya juga berkerlipan dengan manik dan labuci, lagak seperti isteri VIP. Adik menggeleng kepala. Nampaknya semua sudah berubah baru!

Adik ketuk cermin tingkap kereta. Tiada reaksi. Adik nampak wajah adik sendiri di cermin kereta yang basah mengalir air hujan. Air mata adik dan air hujan yang mengalir di cermin kereta itu nampak sama sahaja. Adik tarik nafas kuat-kuat. Sabarlah wahai hati, pujuk adik sendiri. Adik ketuk lebih kuat lagi. Tiba-tiba abah sampai dan pegang pintu kereta untuk dibuka. Mujurlah adik cepat daripada abah. Adik terus tarik pintu kereta itu. Takkanlah adik nak biarkan abah buka pintu kereta untuk menantunya. Kak Seri masih tidak berpaling lagi. Betul-betul diberikan punggung pada Adik. Adik panggil namanya dan kemudian cuit pinggangnya, barulah Kak Seri berpaling. Subhanallah! Wajah Kak Seri bukan lagi seperti perhiasan kaca putih mutiara yang abang agung-agungkan selama ini. Inikah dia perhiasan indah yang adik cuba pulihkan Ramadan yang lalu? Wajah Kak Seri merah padam, bibirnya muncung, matanya bulat dan garang seperti mahu memakan setiap inci tubuh adik. Walau wajah Kak Seri bersolek tebal, tubuhnya berpakaian mahal, leher dan tangan berhias barang kemas, entah kenapa adik merasakan Kak Seri seperti badut. Dirinya tak seindah namanya, Seri Ayu.

Adik hulur salam. Kak Seri membalas kasar. Sekadar salam, Adik tidak mencium tangan Kak Seri. Adik rasa hilang hormat pada Kak Seri. Ya. Orang yang tidak menghormati orang tua, apalagi ibu bapa suaminya adalah manusia yang tidak patut dihormati. Marah Adik di dalam hati. Adik jemput Kak Seri naik ke rumah, setelah itu barulah Kak Seri sudi keluar dari kereta. Ironinya perangai Kak Seri, dia seorang pendidik dan mendapat kelulusan ijazah terbaik sebagai seorang guru. Di sekolah, Kak Seri mengajar anak muridnya agar bermoral dan berhemah tinggi, tetapi dirinya sendiri bukanlah contoh terbaik pada keluarga.
Abah tepuk bahu adik perlahan. Berkali-kali. Seolah-olah tanda abah ucapkan terima kasih kerana telah berjaya membuatkan Kak Seri keluar dari kereta. Abah minta adik dan Kak Seri jalan berpayung sama, tetapi adik berundur ke belakang. Akhirnya abah payungkan Kak Seri seorang hingga sampai ke rumah. Sampai di anjung, abang peluk Kak Seri dan Kak Seri menangis bagai anak kecil. Hampir lima minit memujuk, barulah Kak Seri diam. Adik memerhati saja dari jauh drama indah yang Kak Seri lakonkan pada pagi Hari Raya ini. Selama ini Adik hanya menonton drama di tv atau membaca cerita tentang kisah menantu yang tidak tahu mengambil hati dan menghormati keluarga mentua, tapi hari ini adik dapat saksikan sendiri betapa hebatnya Kak Seri. Akhirnya abang sekeluarga naik juga ke rumah. Kak Seri sempat berpaling pada adik sambil menjeling tajam. Hati adik rasa panas menggelegak. Emak dan abah gamit Adik .

“Adik, naiklah nak. Hujan lagi ni, demam nanti,” pujuk emak dengan suara yang tenggelam timbul dek hujan. Adik angguk perlahan, tapi adik tidak naik ke rumah. Adik ambil basikal dan terus mengayuh laju. Adik berhenti di pondok bas berhampiran masjid. Adik mahu menenangkan fikiran seketika . Adik duduk berpeluk lutut. Adik menangis sepuasnya. Teringat zaman kanak-kanak dulu, bila hujan begini, dapatlah bermain air hujan dengan abang. Adik cukup suka dengan hujan. Selalunya bila hari hujan, abang akan mengajak adik ke laman rumah untuk bermain lopak. Hai, kalaulah sekarang adik dan abang masih pada zaman kanak-kanak, tentu tidak akan ada yang menangis dan berjauh hati begini. Kalau semasa kecil, merajuk macam mana sekalipun, lima minit selepas bergaduh tentu akan berpeluk dan ketawa semula.

Kenapa abang ikutkan saja ragam isterinya itu. Takkanlah kerana abang berkelulusan SPM sahaja dan Kak Seri pula memiliki Ijazah Pendidikan, lalu abang biarkan ego dan angkuh Kak Seri menguasai semua perkara. Dulu, masa mereka bertunang memanglah abang hanya bekerja sebagai Pembantu Stor kilang dan gajinya cuma lima ratus ringgit saja, tetapi sekarang abang sudah berjaya menjadi Pengurus Pemasaran. Gaji abang juga sudah melebihi Kak Seri. Takkanlah abang masih rendah diri dan biarkan perangai sombong dan angkuh Kak Seri berterusan lagi. Entah bilalah abang akan sedar! Sikap abang yang tidak tegas itu membuatkan emak, abah dan adik banyak terasa hati. Emak, abah ... fahamilah hati adik. Adik pun tak suka berlaku biadap dan tidak sopan dengan orang, terutamanya dengan keluarga sendiri, tapi adik tak tahan dengan sikap abang dan Kak Seri, rintih adik.

Timbul pula rasa bersalah di hati adik. Adik mahu mohon ampun maaf pada semua ahli keluarga. Mungkin adik yang beremosi. Adik segera kayuh basikal pulang ke rumah. Sampai saja di halaman rumah, adik nampak semua orang sedang berkumpul di anjung. Abang sudah mahu balik? Adik segera menghampiri mereka.

"Adik, abang dah nak balik. Abang tak bermalam kerana masih sibuk mengemas rumah barunya,” tutur abah seperti wakil jurucakap abang pula. Adik tersentak. Adik rasa sedih.

“Abang berpindah ke rumah baru? Kenapa?” soal adik perlahan.

“Rumah lama tu banyak sial . Tak aman, panas!” tiba-tiba Kak Seri mencelah.
Lantang dan tegas. Adik tersenyum sendiri. Sial? Adik rasa macam nak ketawa kuat dan biar satu dunia dengar ketawa Adik. Perangai yang buruk, rumah pula yang disalahkan! Setahu adik rumah itu tak aman kerana abang dan Kak Seri sering bergaduh, selalu tak bersependapat dan yang menambahkan kerunsingan penghuninya adalah kerana mereka sentiasa dilanda pelbagai masalah kerana sikap Kak Seri sendiri. Adik mengeluh perlahan. Adik cium Alisya dan Alia, kemudian Adik hulur tangan pada abang, cium tangan abang. Adik ingin beritahu abang, adik sayangkan abang! Tapi Kak Seri segera tarik tangan adik. Adik sambut. Kak Seri peluk adik serta berlaga pipi seolah-olah berkucupan mesra dengan adik.
Bahang panas dari tubuh Kak Seri rasanya masuk ke dalam badan adik. Sandiwara apa pula ni? Detik hati adik.

“Jemputlah datang ke rumah baru kami pada Hari Raya ke lima nanti. Ada open house,” pelawa Kak Seri dengan lemah lembut dan senyum rahsianya. Emak dan abah nampak gembira bila Kak Seri buat begitu pada adik.

“Baguslah! Sudah berpenampilan baru, kereta baru, pindah rumah baru. Perangai je masih lama,” sindir adik. Emak cuit tangan adik. Abah memandang tajam pada adik. Muka Kak Seri berubah merah.

“Datang ye, dik. Bawa emak dan abah sekali, sampai KL telefonlah. Abang ambil di perhentian bas,” abang cuba mengalih perbualan. Hipokrit! Bentak adik. Abang sudah lupakah permintaan abang agar adik jangan ganggu abang! Jangan lagi datang ke rumah abang! Jangan sentuh lagi perhiasan abang! Tiba-tiba hujan turun lagi.

“Cepat! Cepat masuk kereta. Hujan turun lagi !” abah bersuara. Kelam kabut abang sekeluarga masuk ke dalam kereta. Adik terus masuk ke dalam rumah. Dalam hati adik, Allah saja yang tahu, luluhnya hati. Adik sangka kepulangan abang kali ini akan menjernihkan keadaan. Rupa-rupanya abang balik hanya untuk memberitahu abang sudah berpindah lagi. Abang ... abang ... aban g...! Abang dengarkah suara hati adik memanggil nama abang, sedangkan hujan begitu lebat?
Tuhan itu adil, diberinya hujan agar tidak seorang pun akan mendengar rintih pilu dan tangis sendu adik. Adik mengintai dari tingkap bilik, kereta abang sudah bergerak perlahan meninggalkan kampung halaman. Ini kepulangan abang yang paling singkat. Nampaknya memang tiada ruang dan waktu lagi untuk adik bercerita tentang kenangan dulu kerana sudah tentu di rumah baru abang kali ini, perhiasan indah itu akan menjadi simbol lagi. Antara adik dan Kak Seri memang tidak serasi.

Sebaik sahaja abang pergi, abah tak tunggu lama untuk marahkan adik. Abah salahkan adik kerana lambat turun bersalam dengan Kak Seri. Abah kata adik biadap. Adik tidak pernah dimarahi begitu sekali. Tangan abah hampir-hampir saja naik ke muka adik. Mujurlah emak tenangkan abah dan kemudian barulah emak ceritakan Kak Seri mengamuk macam orang hilang akal dalam kereta tadi. Tak nak keluar dari kereta selagi adik tak turun bersalam dan sambut dia naik ke rumah. Dia marah-marahkan abang kerana tidak menegur perangai adik. Semua cerita lama diungkit kembali hinggalah masalah rumah tangga mereka pun dikatakan semuanya berpunca daripada keluarga ini. Bukan setakat itu saja, depan mata emak dan abah Kak Seri pukul abang, tampar abang, tarik rambut abang, cakar abang. Abang sedikit pun tak membalas. Di hadapan emak dan abah pun Kak Seri berani memperlakukan abang begitu. Mujurlah emak dan abah cepat ambil Alisya dan Alia. Kalau tidak entah apalah nasib anak-anak kecil itu.

Adik terdiam seketika. Teringat keadaan abang waktu mula sampai tadi. Patutlah emak dan abah sampai merayu adik turun bersalam dengan Kak Seri dan abang.
Lidah adik terus kelu untuk berkata-kata. Sekarang adik faham, adiklah yang harus menjaga perasaan emak dan abah. Biarlah emak dan abah tak tahu yang abang pernah menghalau adik. Biarlah adik yang dianggap bersalah, asalkan adik tidak lagi membuatkan emak dan abah sakit hati. Apa yang ada dalam fikiran adik ialah mungkin abang sembunyikan sesuatu yang lebih dahsyat pada keluarga tentang Kak Seri. Kak Seri terlalu obses dengan abang. Semua tindakan abang harus berada di bawah telunjuknya. Mungkin abang juga ada sebab tersendiri untuk berahsia.

Sungguhlah firasat adik dulu, perhiasan kesayangan abang itu bukan sebarang perhiasan. Sekarang, jelas sekali abang telah memilih perhiasan itu dengan melukakan hati kami semua. Walau adik cuba perbaiki dan tidak pernah anggap ia perhiasan itu sebagai mainan, semuanya sudah menjadi luka. Pergilah abang .... Pergilah berpindah ke mana sahaja. Bersama derai air mata adik buang rasa terkilan pergi jauh dibawa hujan. Abang ... walau adik terluka, adik akan pergi juga ke rumah baru abang. Adik akan tebalkan muka, adik akan lawan rasa malu, sedih dan marah ini. Adik akan bawa emak dan abah ke rumah baru abang kerana memang itulah tanggungjawab adik. Adik perlu menjaga hati emak dan abah agar tidak berduka kerana kita. Perlu ada salah seorang yang mengalah.

Tunggulah adik di rumah baru abang. Semoga di rumah baru abang nanti tidak akan berlaku apa-apa perkara yang mengguris hati kita semua. Adik kesat air mata yang berbaki. Abang ....


PROFIL

NOr Hidayah Asari , berasal dari Jerantut, Pahang. Lahir pada 21 Julai 1979 adalah lulusan Diploma Seni Penulisan Kreatif dari Akademi Seni Kebangsaan (ASK-2003), kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Karyanya dalam genre puisi dan cerpen pernah tersiar dalam Berita Harian, Metro Ahad, Utusan Melayu Mingguan (Jawi), Mingguan Malaysia, Utusan Sarawak, Mingguan Wanita, Seri Dewi Keluarga, URTV, Wanita, Tunas Cipta, WADAH Sabah dan Ibu. Sepanjang menetap di Sabah (2005-2009), karyanya turut mendapat tempat dalam akhbar tempatan di Sabah seperti Harian Ekpres, Utusan Borneo dan New Sabah Times . Pernah memenangi anugerah Hadiah Utama dalam kategori Cerpen Remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004. Kini menetap di Kuching, Sarawak.

No comments:

Post a Comment