'Perlu tegas pertahan bahasa Melayu'
Oleh Azrul Affandi Sobry
2010/11/24
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta lebih tegas dalam memastikan Bahasa Melayu digunakan secara meluas dan tidak dicemari secara sewenang-wenangnya dengan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) melaksanakan akta khusus melalui penubuhan Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan Bahasa Melayu.
Ia dilihat sebagai satu elemen penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan itu, sekali gus meningkatkan jati diri rakyat Malaysia ke arah merealisasikan gagasan 1Malaysia melalui bahasa dan budaya.
Cadangan itu adalah rumusan daripada Forum Jati Diri kali keempat anjuran bersama Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Sarjana Komunikasi dan Media Malaysia (PERSKOM) serta Jabatan Penerangan di Dewan Bestari, Jabatan Penerangan, di sini semalam.
Forum itu menampilkan dua tokoh bahasa iaitu bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Aziz Deraman serta pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Lim Swee Tin.
Forum yang dipengerusikan Pengerusi Gapena, Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar, turut memfokuskan dua isu lain ke arah menjadikan bahasa sebagai agen penting 1Malaysia.
Aziz berkata, Kementerian Pelajaran wajar melihat secara mendalam kepentingan memperkenalkan subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat sekolah rendah.
Katanya, langkah itu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan akademik semata-mata, tetapi lebih kepada diskusi mengenai maksud tersirat dalam peradaban budaya Melayu.
Sebenarnya orang Melayu begitu kaya dengan peribahasa dan pelbagai lagi aspek budaya lain. Sebagai contoh, pantun kita cukup dikagumi masyarakat luar, tetapi kita sendiri mengabaikannya, katanya.
Pendapatnya dipersetujui Swee Tin yang melihat kurangnya pendedahan kepada budaya dan bahasa Melayu pada peringkat sekolah melahirkan masyarakat Malaysia yang semakin hilang nilai jati diri, selain semakin tipis rasa hormat dengan orang sekeliling.
Gelombang kemajuan dan perubahan teknologi begitu pantas. Anak kita boleh berbicara pelbagai topik dengan rakan di Tokyo dan pada masa sama boleh bersahabat dengan orang di Moscow serta Australia tetapi tidak kenal jiran sebelah rumah.
Dalam konteks 1Malaysia, kita perlu menjadikan budaya Melayu sebagai tonggak untuk semua kaum. Mereka bebas mengamalkan budaya sendiri tetapi perlu diberi penekanan terhadap bahasa dan budaya Melayu supaya semua kaum di negara ini lebih mudah disatukan, katanya.
Forum itu turut bersetuju supaya kerajaan memperkenal Anugerah Khas 1Malaysia bagi mengangkat individu yang mampu dijadikan model konsep sebenar gagasan itu untuk rujukan semua kaum di negara ini.
Hadir sama pada forum itu ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Eksekutif Rencana, Zainor Said.
Cerpen: Laskar Syuhada
Oleh Fudzail
2010/10/23
(1)
KEEMPAT-EMPAT mereka bernafas kelegaan sebaik memboloskan diri dari terowong sepanjang 640 meter. Salah satu dari lebih 800 terowong di sempadan Rafah dan Gaza, terowong yang memisahkan dua dunia. Dalamnya empat meter, lebar satu meter, tinggi mencecah dua meter, cukup-cukup untuk memuatkan seorang demi seorang. Berjalan dalam kegelapan. Meraba-raba, terkadang, teraba punggung orang di depan. Berjalan perlahan, bernafas dalam kekurangan oksigen. Dalam dada berdebaran.
Apa sahaja boleh terjadi, termasuk pengeboman daripada serangan udara tentera Israel.
Datuk Ariffin terduduk dalam bangsal, mencari oksigen, meraba mencari rokok, tetapi teringat sudah berada pada bulan Ramadan. Ketiga-tiga yang lain, Datuk Rusdi, Datuk Mushil dan Datuk Imran sama terduduk di atas pasir. Awal subuh dan suhu masih rendah memberi kenyamanan dalam debaran jantung yang terus kencang.
“Fasa pertama misi sudah selesai!”
Mereka mengangguk. Menyeludup masuk ke Gaza mempunyai risiko besar. Tetapi destinasi itu bukan kebetulan. Mereka tahu dan tidak peduli. Semuanya sudah dirancang dengan teliti, sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan. Tiada jalan kembali.
Datuk Ariffin bangkit melihat keluar bangsal, memastikan tiada kelibat pihak penguatkuasa Palestin, apalagi tentera dan perisik Israel yang menjejak. Mata liar mencari petunjuk seperti yang telah dirancang. Ternampak sebuah kereta kuning cair parkir dalam 30 meter.
“Kenderaan yang ditempah sudah menanti!”
Mereka bergegas mengambil beg, berlari anak ke kereta.
“Kata laluan!” Pemandu berkumis, berkaca mata hitam bertanya.
“Angelina Jolie!”
Pemandu mengangguk sambil mata merenung wajah keempat mereka yang cuba kelihatan tenang. Cuba untuk menjadi macho dan hebat.
(2)
PERJALANAN dari Rafa ke bandar Gaza melalui kawasan kem pelarian yang kelihatan tidak teratur dengan bangunan seperti tidak siap. Keempat Datuk dengan satu misi bersama itu menatap pemandangan dengan penuh perhatian. Seperti dalam mimpi pula untuk berada di bumi bersejarah yang selama ini hanya diketahui dari media, buku-buku dan cerita-cerita.
“Ini bukan sahaja bumi anbia, tetapi juga bumi Musyrikin!”
Yasir, pemandu yang fasih berbahasa Inggeris itu menjadi pemandu pelancong yang baik.
“Kalau tiada orang jahat, tiada diturunkan nabi-nabi!”
Yasir menyambung cerita. Dari sejarah ribuan tahun ke situasi semasa. Seperti sahaja berada dalam dokumentari National Geoghrapic. Seketika, setelah berlegar di kawasan perumahan dan kedai-kedai, mereka menghampiri sempadan Israel.
“Tengok seberang tembok, di sana Israel, tanah kami yang dirampas sejak tahun 1948! Setiap hari melihat tanah yang dirampas, setiap hari yang tidak memudarkan semangat untuk kembali ke tanah kelahiran!”
Suara Yasir mendesir bersama-sama angin Mediterranean berhembusan. Suara yang melontar dendam dan keazaman. Wajahnya serius.
Datuk Ariffin, Datuk Imran, Datuk Rusdi dan Datuk Mushil mengangguk dengan wajah-wajah yang gusar. Kehadiran mereka ke bumi Gaza di bulan Ramadan bukan lagi satu mimpi, mereka benar-benar bernafas di ruang magis. Ruang yang membawa harapan berbunga dari satu misi kudus.
“Berapa lama kalian mahu berada di Gaza?” Yasir bertanya.
“Paling lama dalam dua minggu!” Jawab Datuk Mushil.
“Tidak menyambut Syawal di sini?”
“Kalau ada rezeki, mahu juga!” Datuk Imran pula menjawab.
“OK. Setelah tiba dan rehat di hotel, saya boleh bawa keliling Gaza, melihat kem-kem pelarian dan kita berbuka puasa di salah sebuah masjid dalam kem pelarian!”
Yasir mengatur jadual aktiviti, sesuatu yang tidak termasuk dalam pembayaran, tetapi cukup melegakan empat Datuk yang membawa pakaian cukup-cukup untuk seminggu.
(3)
MELIHAT kesan-kesan perang dan serangan rejim zionis yang ganas memang menginsafkan empat Datuk. Ada kalanya air mata mereka bergenangan melihat keadaan dhaif di khemah pelarian dan apabila bertemu dengan mereka yang cacat akibat serangan bom. Apalagi bertemu kanak-kanak pelarian yang kelihatan terbiar walau ceria dan berkumpul setiap kali melihat kedatangan mereka, ‘pelawat’ dari Malaysia, sebuah negara yang menjadi sebutan ramai kerana banyak membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak lama.
Sebaik solat Tarawih, mereka bersantai di kawasan pantai yang mula dipenuhi ramai warga Palestin. Meriah dengan manusia mengunjungi gerai makan yang menawarkan shisha dan tayangan filem percuma.
“Ada lebih 150 masjid yang musnah akibat pengeboman, manakala 300 yang lain rosak!”
Datuk Rusdi mengulang maklumat yang diterima. Sebagai seorang yang pernah menjadi pegawai kerajaan menjaga wang zakat dan masjid, dia mengira-ngira jumlah kos yang diperlukan untuk membina semula atau membaiki masjid-masjid tersebut. Sememangnya dia tahu wang zakat yang dikutip olehnya selama ini tidak semuanya sampai kepada yang berhak, malahan ada ketirisan dan digunakan untuk urusan lain, termasuk penyelewengan dalam bentuk hiburan seperti lawatan sambil belajar atas nama urusan rasmi. Walhal, tidak lebih untuk melancong secara percuma. Kekadang pelbagai perancangan dan tindakan dibuat atas nama agama pun tidak lebih sekadar menutup pelbagai kelemahan dan kepincangan di kalangan pegawai.
“Masjid di Gaza ini semuanya ada kelas tahfiz, sudah puluhan ribu hafiz yang lahir. Nampaknya dalam keadaan seperti penjara ini, warga Palestin di Gaza tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan, bersedia untuk kembali ke tanah yang dirampas!”
Sambung Datuk Mushil sambil matanya sesekali meninjau wanita-wanita Palestin yang lalu lalang. Tidak dapat mengelak untuk mengagumi kecantikan mereka, apalagi buat seorang yang selama ini ada banyak skandal sebagai ketua pengarah sebuah stesen TV. Dikelilingi artis-artis glamor yang mahukan publisiti dan kemewahan hidup tanpa bekerja keras. Datuk Mushil selalu mengambil kesempatan tanpa mengira dosa pahala. Asalkan bahagia dan seronok melapah seorang demi seorang artis wanita, terutama yang baru mahu berkecimpung dalam dunia hiburan dengan impian ke persada sebagai penghibur popular, selain kalau-kalau bernasib baik disambar para Datuk yang mahu melengkapkan kuota poligami.
“Kamu perasan selama dua hari di sini, sudah keliling Gaza, kita belum bertemu seorang pun peminta sedekah. Walhal, majoriti hidup di bawah paras kemiskinan!”
Datuk Ariffin mencelah. Sebagai seorang ahli politik yang sekian lama hidup mewah di bawah kuasa politik yang mana matlamat menghalalkan cara, dia cukup arif dengan sikap ahli politik yang lebih kurang sahaja sikap, sebagai peminta sedekah, kalau tidak sebagai pencuri dan perompak wang rakyat. Malah kekadang ada kebenarannya yang ahli politik sama taraf dengan pelacur, sesuatu yang tidak dinafikan oleh Datuk Ariffin yang telah menggadai bukan sahaja maruah diri, malah bangsanya sendiri dengan bisnes atas angin dan ali baba. Menidakkan hak majoriti kerana dia termasuk golongan elit yang berkuasa.
“Betullah! Malah ada yang apabila kita mahu beri wang, menolak dan minta masukkan dalam tabung, untuk dikongsi bersama!” Datuk Imran melepaskan kata-kata sambil melihat jauh ke arah kerlipan lampu kapal-kapal. Sebagai seorang penyanyi rock veteran yang bukan sahaja glamor, pernah menjadi idola anak muda malahan hidup dalam berfoya-foya, Datuk Imran selalu mencari publisiti murahan dengan konsert amal dan aktiviti seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Semuanya sandiwara, apalagi pihak media terus memberatkan hiburan dengan menjadikan artis sebagai bahan pelaris, walhal, kebanyakan artis seperti Datuk Imran yang mendapat anugerah Datuk kerana jasa mencemarkan budaya dengan budaya rock dan hippie, tidak lebih sekadar gimik.
Hidup dalam kemungkaran, solat tidak tentu hala dan mabuk-mabuk. Lebih banyak membawa keburukan kepada masyarakat yang menjadikan hiburan sebagai pelengkap kehidupan setelah muak, jelak, mual dan benci dengan gelagat, suasana politik dan ahli politik yang tidak berhabisan berebut kuasa. Jatuh menjatuh dan fitnah menfitnah sesama sendiri terutama kalau dalam sidang Parlimen yang boleh menjadi sarkis dan zoo.
Maka dalam kemeriahan malam Ramadan di Gaza menyelubungi suasana, tetapi tidak pada keempat Datuk yang kelihatan serba kekeliruan. Masih dalam ketidakpastian walau sebelum ini bertekad dengan satu misi. Sanggup masuk secara haram ke Gaza kerana tidak mahu menunggu lama untuk visa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir.
Misi yang diharapkan boleh mengubah satu destini dan destinasi kehidupan, setelah puluhan tahun bernafas dalam dosa, noda, pembohongan dan hipokrasi. Misi yang lahir dari satu sesi karaoke di pusat perjudian atas gunung setelah melihat dengan mata sendiri, seorang Tan Sri bertaraf bilionair mati sakit jantung di atas dada telanjang seorang GRO dari negeri China.
(4)
“KAMU tahu, abang saya adalah seorang syuhada. Dia menjadi pengebom berani mati yang berjaya membunuh 15 orang askar Zionis laknatullah di bandar Jericho!”
Keempat-empat Datuk segera tersedar mendengar cerita Yasir walau cukup mengantuk. Perjalanan selepas Zuhur ke kawasan khemah pelarian terbesar dan paling padat di dunia, Al-Jabaliah memang cukup menyeksakan kerana mata terpaksa dibuka luas. Tersengguk bersama cerita Yasir yang tiba-tiba terasa menyegarkan.
“Kamu tahu ini juga bermakna, saya boleh menjadi ahli syurga kerana setiap syuhada boleh memilih 70 orang untuk bersamanya ke dalam syurga!”
Mendengar perkataan syuhada dan ahli syurga menambahkan tarikan. Semua orang mahu masuk syurga walau ramai yang mencorakkan neraka dalam kehidupan seharian.
“Sebab itukah kamu memandu berbahaya,” Tanya Datuk Ariffin yang sejak lama mahu menegur cara Yasir memandu. Ciluk sana, ciluk sini. Kadangkala laju tidak bertempat dan memotong ikut suka hati, walau Yasir bukan pemandu unik di Gaza, sedikit sebanyak mencemaskan.
Yasir ketawa.
“Ya! Saya ada lesen ke jannah!”
“Tetapi kami belum ada, kamu boleh mati syahid, masuk jannah, kami boleh mati katak di Gaza ini dengan cara kamu memandu!”
Ujar Datuk Rusdi diikuti ketawa beramai-ramai. Teringat jumlah mereka yang mati nahas jalan raya terus meningkat di tanah air, biarpun kenderaan semakin canggih dan jalan raya semakin banyak.
“Bukankah kamu berempat datang ke Gaza ini untuk mati syahid?”
Tanya Yasir kembali, setelah lima hari, Yasir sudah seperti lama mengenali empat orang Melayu awal lima puluhan yang juga sudah tidak segan silu bercerita latar belakang masing-masing.
Membongkar satu misi untuk mati syahid kerana yakin taubat mereka sukar untuk diterima. Walau berkali ke umrah dan haji, masih terasa terlalu banyak dosa dan noda untuk dihapuskan. Terlalu banyak menganiaya orang. Menipu, menyeleweng, berzina, memberi dan menerima rasuah, hantar santau, malah merogol dan merancang pembunuhan kerana persaingan dan dendam. Taraf kejahatan melampau yang menyebabkan keempat-empat mereka yang pernah bergelar golongan elit Melayu Baru itu bertekad untuk menyusup ke Gaza, berdepan dengan rejim Zionis dan kalau bernasib baik, mati syahid. Terus ke syurga tanpa hisab. Boleh bawa 70 orang lain sama-sama ke syurga.
“Kamu ahli politik bukan?” Tanya Yasir kepada Datuk Ariffin yang mengangguk.
“Di bumi Palestin ini pun ramai ahli politik yang korup. Sebab itu kami memilih parti Hamas walau dianggap teroris kerana sudah muak, jelak dan benci dengan pemimpin Fatah berpuluh tahun memungkiri janji dan amanah. Sebab itu saya cakap di sini bukan sahaja bumi anbiya, malahan bumi Musyrikin. Sebab itu orang Palestin berterusan dizalimi, dilanyak Yahudi kerana pemimpin kami ada yang sudah dibeli, korup dan mementingkan perut semata-mata. Perjuangan keramat membebaskan Palestin hanya sandiwara semata-mata. Apalagi dunia Arab yang bersetongkol dengan Israel dan Amerika!”
Tersentuh hati Datuk Ariffin yang memang selama ini sekadar proksi kepada ahli-ahli perniagaan yang menggunakan beliau untuk manipulasi kontrak. Kekayaan yang dikumpul di bawah dasar politik kronisme. Berguni-guni, malahan kadang berlori-lori wang tunai yang disimpan hasil rasuah dan penyelewengan. Hidup mewah tetapi seperti bangkai kerana makan minum duit haram.
“Kamu bayangkan nanti, berapa ramai yang kamu mesti minta maaf setelah menyalahgunakan, menyelewengkan duit rakyat, duit zakat, duit derma, seperti ramai ahli politik Palestin yang mengagihkan sesama sendiri sewaktu berkuasa dan menidakkan hak-hak kami, terutama anak-anak yatim, anak-anak pejuang yang syahid dan anak-anak yang terus dalam kemiskinan walhal hasil negara dari dana derma cukup menampung perbelanjaan untuk menanggung mereka!”
Yasir terus melepaskan apa yang selama itu terbuku dalam diri, apalagi setelah mengetahui niat dan tujuan misi empat orang Melayu bertaraf Datuk di bulan Ramadan ke Gaza, tanah genting sekangkang kera yang tidak putus dengan konflik dan terus mengorbankan jiwa para syuhada hampir setiap hari.
“Di kawasan Jabaliyah ini selalu ada tentera Israel menyusup masuk untuk membunuh mereka yang dianggap teroris. Kamu tahulah, dikalangan kami pun ramai pengintip upahan Israel yang cari makan dengan beri maklumat, kekadang maklumat salah kerana dendam dan dengki!”
Yasir memberhentikan kereta menghala ke kawasan lapang. Diperbukitan adalah sempadan Israel. Ada tembok dinding sedang dibina.
“Nampak kereta kebal, kereta pacuan empat roda yang mengawasi sempadan?”
Keempat-empat Datuk memandang dan mengangguk. Berdebaran, begitu hampir dengan sempadan Israel yang memungkinkan apa sahaja. Tentera Israel boleh bertindak mengikut keputusan mereka kerana ‘keselamatan negara Israel’ lebih penting daripada segalanya.
“Dahulu kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok kurma, pihak Israel musnahkan semua dan kini menjadi kawasan lapang untuk memudahkan mereka membolos masuk. Semua kilang yang pernah memenuhi kawasan ini dibom dan diratakan, meranapkan terus ekonomi Gaza!”
Suasana menjadi hening. Hembusan bayu menerojah minda yang diselaputi bayang-bayang.
“Kalian mahu mati syahid bukan?”
Tanya Yasir. Separuh serius, separuh berjenaka.
“Nampak kereta kebal Israel itu sedang mara ke sini?”
Terpaku keempat-empat Datuk. Debaran jantung membawa gelombang ke wajah.
“Bersedia untuk melontar dengan batu-batu seperti yang kami, terutama anak-anak kami lakukan, kalian baling sebaik kereta kebal itu masuk ke kawasan Palestin!”
Yasir memberi arahan, setelah lama berteori dengan pelbagai strategi, hari ke enam Ramadan yang cerah itu boleh merealisasikan satu misi empat Datuk Melayu sebagai Laskar Syuhada, ribuan kilometer dari tanah air dan keluarga yang sudah diwariskan harta dan wang jutaan ringgit dalam ASB, Tabung Haji, akaun bank Islam, yang semuanya dari hasil tidak halal.
Kalau mereka mati syahid, bukan sahaja ke syurga malah semuanya menjadi halal, begitulah fatwa yang mereka sama-sama rumuskan di malam terakhir berkaraoke sebelum Ramadan. Fatwa yang menjadi pegangan sebagai sandaran ke syurga. Fatwa yang membawa mereka ke genting Gaza.
Seketika dalam pandangan menerpa ke arah kereta kebal Israel yang seakan laju menghampiri, imej-imej kehidupan lima dekad mereka seakan terlontar ke layar yang memerangkap perasaan. Wajah-wajah mereka yang pernah dianiaya, dirasuah, difitnah, di jadikan kambing hitam mengejek-ngejek ke seluruh ruang.
Suara-suara menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah disalahgunakan berdengung, bergema, memekik-mekik ke seluruh pendengaran.
Tiba-tiba Datuk Ariffin terasa mual oleh perut memulas, Datuk Mushil pula berpinar oleh kecepatan jantung mengepam udara, Datuk Rusdi basah berpeluh-peluh kepanasan dan Datuk Imran seakan mahu terkencing. Segala-galanya begitu real sekali, tidak lagi sureal atau dalam sebuah mimpi. Sesaat yang mengerikan, mereka kini berdepan dengan tentera paling canggih dan kejam di dunia dan serentak, mereka yang lengkap berbaju raya Melayu dengan samping songket, secara spontan keluar dari kereta, berlari selaju mungkin untuk berpatah, menyusup keluar Gaza, ke terowong nun 50 kilometer di Rafah!
PROFIL
FUDZAIL berkelulusan sains komputer dan matematik dari New Zealand, pernah menjadi Pengurus Teknologi Maklumat TV3 dan ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak 2000. Terbabit dalam pembinaan projek mega seperti Dubai Internet City dan Palm Jumeirah. Kini menjadi konsultan kepada syarikat dari China, Turki, Hungary dan Perancis di Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Pernah memenangi hadiah sastera Utusan, Johor dan Hadiah Sastera Malaysia 2006/7. Kumpulan puisi "Waikato' diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2001 dan kumpulan cerpen Dotkomania (DBP: 2009) dan trilogi Aotearoa (Oasisbuku: 2010). Mengikuti misi kemanusiaan di Gaza pada Ramadan lalu. Boleh dihubungi melalui e-mel fudzail@gmail.com dan blog 1426.blogspot.com
Cerpen: Sebatang Pen
Oleh A Rahman CM
2010/10/16
SESIAPA sahaja yang berhajat hendak menunaikan fardu haji, mesti membersihkan dirinya terlebih dulu. Maksud membersihkan diri itu merangkumi beberapa perkara yang membabitkan dirinya dengan Allah juga yang membabitkan dirinya dengan manusia lain.
Napi mengingati frasa itu di meja kerjanya. Frasa itu lahir dari mulut Ustaz Zuki di masjid tempat selalu Napi solat berjemaah lima waktu. Di hadapan Napi sebatang pen yang sudah berusia tiga puluh tahun lebih. Tetapi pen itu sudah tidak digunakan lagi. Alat mengepam dakwatnya sudah rosak. Lalu pen itu hanya terbaring di atas meja kerja di rumahnya. Pen itu kadang-kadang mengusik jiwanya. Pen itu kadang-kadang menyentuh kalbunya.
Perkara yang membabitkan diri seseorang dengan Allah ialah melangsaikan segala arahan dan suruhan Allah. Napi faham maksudnya, iaitu kalau melakukan dosa, baik besar mahupun kecil hendaklah bertaubat. Istighfar banyak-banyak dengan menanam azam tidak akan melakukan dosa itu lagi. Wang yang hendak dibawa ke Makkah mestilah bersih. Maksudnya ialah, wang itu mesti diperoleh dari sumber yang halal. Kalau belum bayar zakat, tunaikan zakat dulu.
Napi ingat pula tentang yang membabitkan orang lain. Membabitkan hubungan sesama manusia. Ia banyak perkara. Ia menyebabkan Napi termenng panjang.
Berkelahi membabitkan manusia lain.
Bertengkar membabitkan manusia lain.
Mengutuk orang membabitkan manusia lain.
Mengumpat orang membabitkan manusia lain.
Mencuri barang orang membabitkan manusia lain.
Semuanya membabitkan dosa sesama manusia lain yang mesti dibersihkan.
Napi ingat.
Dia tidak pernah berkelahi.
Dia tidak pernah bertengkar.
Dia tidak pernah membuat kutukan.
Dia tidak pernah melakukan umpatan.
Tiba-tiba Napi nampak pen di atas meja yang sudah berusia lebih tiga puluh tahun itu. Pen itu banyak berjasa padanya. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah rendah. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah menengah. Dan dengan pen itu juga dia mencatat apa saja nota semasa dia di universiti dan seterusnya menduduki peperiksaan yang membolehkannya menggenggam ijazah pertama, Sarjan Muda Dengan Kepujian. Kemudian dia bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di sebuah kementerian. Akhirnya dia dilantik sebagai Pegawai Daerah (DO) di negerinya.
Lama Napi merenung pen sebatang itu.
Lama Napi menilik pen sebatang itu.
Lama Napi pandang pen itu.
Lama Napi tengok pen itu.
Napi nampak dirinya dalam kedai Pak Abu di kampungnya. Ketika itu dia dalam darjah lima sekolah rendah. Dia nampak dirinya mencapai pen di dalam almari kaca di kedai Pak Abu ketika Pak Abu ke belakang mengambil gula. Napi nampak dia memasukkan pen itu ke dalam saku seluarnya kemudian membayar harga gula lalu pulang ke rumahnya.
Sebelum mendapatkan pen itu, dia berkali-kali meminta ibunya membelikannya sebatang pen. Tetapi ibunya menjawab tidak ada duit. Dia terus meminta. Tetapi ibunya mendiamkan diri. Berkali-kali dia minta dibelikan pen. Ibunya tidak indahkan juga.
Lalu apabila dia berjaya mencuri pen di kedai Pak Abu itu, Napi tidak lagi merungut kepada ibunya hendakkan pen. Dia terus belajar. Napi terus ke sekolah dengan berjalan kaki. Dia terus membawa bekal nasi goreng dengan sebotol air kosong ke sekolah hari-hari kerana ibunya tidak memberinya wang saku.
Dalam berjalan ke sekolah, Napi nampak wajah ibunya yang uzur. Ayahnya entah ke mana. Dia tahu ayahnya sudah bertahun-tahun tidak pulang. Lalu ibunya yang uzur itu menyara hidup dan dirinya dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Napi menjaga pen itu seperti menjaga emas. Dia gunakannya dengan cermat. Kalau pen itu basah dia lapkan dengan sapu tangan. Apabila pulang ke rumah pen itu diletakkan di tengah-tengah meja. Napi bimbang pen itu jatuh ke lantai.
Napi terus ke sekolah menengah berasrama penuh setelah mendapat lima A dalam peperiksaan penilaian darjah lima. Napi mendapat biasiswa penuh setelah siasatan terhadap keluarganya dijalankan. Lalu dia belajar dengan tekun. Napi berjimat dengan wang. Kalau ada wang lebih belanja, dia kirimkan kepada ibunya. Napi bawa bersama pen curiannya. Dia sudah lupa sama sekali bahawa pen itu adalah pen curi.
Apabila Napi memasuki universiti, pen itu dibawanya lagi. Hingga beberapa tahun dia bekerja pun, pen itu masih menemaninya hinggalah pen itu rosak pamnya dan tidak ada pam penggantinya. Lalu pen itu Napi simpan di atas mejanya.
Derap kaki menghampiri mejanya mengejutkan Napi. Dia menoleh. Dia nampak isterinya, Zizah.
“Milah telefon, dia nakkan komputer,” kata Zizah.
“Okey.” jawab Napi.
“Abang okey saja dengan kehendak Milah.”
Napi mendongak pada wajah isterinya Zizah.
“Nanti manja budak tu.”
Napi menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa dengan abang?”
“Zah tak tahu susahnya abang belajar dulu.”
Zizah diam.
“Abang tak pernah dapat walaupun sebatang pen daripada mak abang untuk belajar dulu.”
Zizah menarik sebuah kerusi lalu duduk di sebelah Napi. Wajahnya pada wajah suaminya itu yang kelihatan seperti mengimbau kenangan zaman silam. Dia menunggu.
“Itu, itu, pen yang terbaring di atas meja itu,” kata Napi.
Zizah memandang pen itu. Dia tahu pen itu sudah lama di situ. Dia ingat juga bahawa dia tidak boleh mengalihkan pen itu ke tempat lain. Suaminya melarang dia menyentuh pen itu. Batangnya sudah berkarat. Dia hairan juga. Tetapi dia tidak ambil kisah kerana ia cuma sebatang pen, bukan perempuan yang harus dia cemburu.
“Pen itu pen curi Zah. Masa abang darjah lima dulu orang lain dalam darjah abang semua pakai pen, tapi abang masih gunakan pensil. Abang malu kerana selalu diperli. Laku abang curi pen itu di kedai Pak Abu. “
“Ah! Cuma sebatang pen, bang.”
“Benar. Apalah sangat sebatang pen. Tapi bagi abang yang miskin ini, terasa.”
“Jadi sebab itu sebarang apa saja kehendak Milah untuk belajar abang penuhi?”
Napi mengangguk.
Zizah menarik nafas payah.
“Abang mau dia belajar dengan suka.”
“Tapi Zah bimbang.”
“Bimbang apa?”
“Bukan abang tak tahu zaman moden ini. SMS melalui telefon bimbit. Hal-hal negatif melalui internet.”
“Abang yakin pada Milah. Telefon bimbitnya untuk senang dia hubungi kita. Komputer yang dimintanya itu untuk dia belajar. Banyak pelajaran akan diperolehnya nanti melalui internet.”
“Macam mana abang boleh yakin?”
“Dengan kita selalu hubunginya. Dengan selalu kita bertanya khabarnya. Dan apabila dia balik, kita boleh periksa telefonnya, komputernya.”
Zizah diam.
Napi balik memandang pada pen yang terbaring di atas mejanya.
“Habis, yang Zah tengok abang kadang-kadang runsing semacam tu kenapa?”
“Pen itu mengganggu emosi abang.”
“Kenapa?”
Mata Napi bulat pada wajah isterinya Zizah.
“Kenapa bang?”
“Tadi kan abang beritahu Zah, bahawa pen itu pen curi?”
“Ah! Ia cuma sebatang pen, bang.”
“Tapi ia tetap barang curi. Dosa abang mencuri pen itu masih ada.”
“Lalu?”
“Kita nak ke Makkah lepas puasa nanti kan,” Napi memandang wajah isterinya.
Zizah sadin.
“Abang kena bersihkan diri abang. Zah juga. Kalau tak, haji kita nanti tergantung,” kata Napi.
Zizah tunduk.
Napi memandang kepala Zizah yang tunduk. Dia kemudian mencapai terjemahan al-Quran. Dia membuka pada surah Az-Zalzalah. Dia membaca. Dan penumpuan Napi terus pada ayat tujuh, ‘Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).’ Napi terus kepada ayat lapan, ‘Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya’).
Nabi membaca pula nota kaki di bawah, ‘Dua ayat itu menerangkan bahawa masing-masing akan menerima balasan amalnya sama ada yang baik atau yang buruk, walau yang sebesar debu sekalipun. ‘ ( Rujukan: Tafsir Ar-Rahman terbitan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri m/s 1714.)
Napi ingat ayat itu sudah berkali-kali didengarinya dari mulut Ustaz Zuki. Dia sendiri juga sudah berkali-kali membaca ayat itu. Lalu Napi balik memandang pen di atas meja yang amat berjasa padanya.
Napi ingat benar bahawa pen itu, pen curi. Dengan demikian dia telah melakukan satu dosa yang membabitkan dirinya dengan manusia lain. Dan manusia lain dalam kes pen itu ialah Pak Abu.
Berkali-kali pula mulut Napi kemudian membisikkan nama Pak Abu. Kedai Pak Abu sudah tidak ada. Pak Abu sekarang sudah tua. Sekali-sekali dia jumpa Pak Abu pada hari Jumaat di masjid dengan kerusi. Pak Abu hanya ke masjid pada hari Jumaat. Dia sudah terlalu uzur. Pak Abu sembahyang dengan duduk di atas kerusi.
Napi ingat jasa pen itu. Dia lulus dalam semua peperiksaan. Pen itu juga membawanya ke meja kerjanya sebagai PTD. Jasa pen itu membolehkannya menerima gaji ribuan ringgit tiap-tiap bulan. Jasa pen itu yang membolehkan mengumpulkan wang hingga mampu menghantarkan ibunya ke tanah suci Makkah dan ibunya meninggal ketika wukuf di Arafah.
Sekarang dia pula hendak ke Makkah.
Wangnya mesti dari sumber yang halal.
Napi ingat sangat itu.
Napi ingat dia menghadap Ustaz Zuki. Dia tidak malu menceritakan bahawa dia mencuri sebatang pen dari kedai Pak Abu. Napi terangkan jasa pen itu.
Dia nampak wajah Ustaz Zuki senyum lembut padanya.
Tuan kena bersihkan. Napi ingat kata Ustaz Zuki.
Napi ingat dia mendongak pada wajah Ustaz Zuki.
Kalau tuan tak malu ceritakan pada saya, kenapa tuan harus malu nak jumpa Pak Abu? Jumpalah dia. Mohon ampun, mohon halalkan pen itu. Kalau boleh tuan belikan sebatang pen berikan kepada Pak Abu.
Wajah Napi masih pada wajah Ustaz Zuki.
Itu saja caranya membersihkan diri tuan dengan Pak Abu itu.
Napi ingat dia mengangguk.
Dan Napi ingat dia menanam azam untuk menemui Pak Abu. Lalu dia membeli sebatang pen Parker siap dengan kotaknya sekali. Napi membuka laci mejanya. Dia capai kotak pen Parker. Dia genggam kotak itu.
“Abang ingatkan apa dengan pen itu?”
Napi menoleh pada Zizah isterinya di sebelah.
“Abang nak jumpa Pak Abu. Dia sudah uzur.”
“Abang nak mengaku yang abang curi pennya dulu?”
Napi mengangguk.
“Tak malu ke abang?”
Napi diam.
“Bekas DO mengaku mencuri pen?”
“Abang malu pada Allah,” desis Napi.
Zizah meluaskan matanya pada wajah suaminya Napi.
“Pak Abu hanya manusia biasa. Abang tahu. Tapi abang tetap sebagai pencuri sebatang pen dari kedainya. DO pangkat abang itu masa bekerja. Tapi Zah kena ingat pangkat itu abang peroleh adalah jasa dari pen sebatang yang abang curi itu. “
Zizah berdiri lalu keluar dari bilik kerja Napi.
Petang itu selepas sembahyang Asar di masjid, Napi ke rumah Pak Abu yang tidak jauh dari masjid. Di tangannya kotak pen Parker. Setelah memberi salam, Napi dijemput masuk ke ruang tamu rumah Pak Abu.
Agak sejurus Pak Abu keluar dengan bertongkat lalu lambat-lambat duduk di kerusi sebelah Napi.
“Allah Tuan,” kata Pak Abu apabila tangannya dicapai oleh Napi lalu menciumnya lembut.
Mata Napi pada wajah Pak Abu.
“Apa hajat tuan ke mari,” tanya Pak Abu.
Napi segera menyerahkan kotak pen Parker itu kepada Pak Abu.
“Apa ini tuan,” Pak Abu membuka kotak itu. Dia nampak sebatang pen Parker. Lalu matanya pada wajah Napi bekas pegawai daerah yang pernah ditemui dan selalu memanggilnya tuan itu. Lama matanya pada wajah Napi.
Napi menahan perasaan. Dia mengawal gelodak rasa terharu dalam kalbunya.
“Kenapa tuan?”
“Pak Abu ingat tak mak saya?”
“Ingat. Mek Som. Dia meninggal di Makkah kan?”
“ Pak Abu ingat tak kami miskin masa itu?”
“Saya ingat. Tapi tuan tidak pernah berhutang di kedai saya. Walau secupak beras, tuan bayar tunai,” kata Pak Abu.
Napi tidak dapat mengawal dirinya lagi mendengar kalimat itu. Dia memandang wajah Pak Abu dengan mata berkaca. Tidak lama kaca-kaca dalam matanya itu kemudian bertukar air mata lalu ia mengalir laju.
“Kenapa tuan? Ada saya tersalah cakap?” Wajah Pak Abu kehairanan.
Napi menggeleng-gelengkan kepalanya.
Pak Abu masih memandang wajah Napi.
Napi kemudian duduk lalu memegang lutut Pak Abu.
“Kenapa tuan?”
“Saya minta maaf dengan Pak Abu,” wajah Napi pada kedua lutut Pak Abu.
“Saya tak faham tuan. Kenapa begini? Tak baik dilihat orang,” tangan Pak Abu mencapai lengan Napi dan berusaha untuk mengangkatnya.
Napi mendongak.
“Pak Abu memang tak sedar. Pak Abu memang tak ingat.”
“Apa dia tuan?”
“Saya curi sebatang pen di kedai Pak Abu dulu.”
Pak Abu senyum.
Napi balik duduk pada mejanya.
“Saya minta maaf dan minta dihalalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi pula.
“Ah! Masa itu tuan budak. Cuma nakal, bukan jahat.”
“Tapi saya tetap mencuri pen Pak Abu. Maafkan saya Pa Abu.”
“Jadi ini, sebagai ganti pen itu?” Pak Abu angkat kotak pen Parker.
Napi mengangguk.
“Ini mahal tuan. Pen yang tuan curi dulu murah saja.”
“Pen seperti itu sudah tak ada sekarang.”
“Terima kasihlah tuan,” Pak Abu menghulurkan tangannya ke hadapan Napi.
Napi menyambut tangan Pak Abu. “Maafkan saya, halalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi.
“Saya rasa syukur, kerana pen itu tuan boleh belajar dengan baik. Tuan mengaku curi pen itu. Saya hargai ikhlas tuan. Saya halalkan pen itu untuk tuan. Saya maafkan kalau itu dikira dosa tuan terhadap saya. Dunia akhirat. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” kata Pak Abu.
Napi lalu mendakap badan Pak Abu. Mereka berpelukan.
“Terima kasih Pak Abu, “ desis Napi. Lalu badan mereka berpisah.
“Tapi pen ini? Saya tak menulis lagi sekarang. Tangan dah menggigil.” kata Pak Abu.
“Pak Abu kena terima. Ikhlas daripada saya. Tanda sesal saya pada Pak Abu.”
Pak Abu mengangguk. Dia lalu memegang pen Parker itu kemas-kemas.
Dengan ucapan memohon maaf sekali lagi kepada Pak Abu, Napi lalu memohon diri untuk pulang. Kepalanya terasa ringan. Dadanya rasa lapang.
INFO Penulis
NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen
Cerpen: Editor Seorang Tuhan
Oleh Jaya Ramba
2010/10/09
KATA salah seorang rakan penulis yang agak berkuasa, manusia bergelar editor sudah mula menganggap dirinya sebagai Tuhan. Memang mereka mengadili penulis sama ada penulis yang baik mahupun terbaik yang bukan kerabat mereka. Penulis inilah seperti hamba yang meminta.
Mahkamah sastera pun tidak boleh mengatasi masalah-masalah seumpamanya di negara ini. Pucuk pimpinan yang dikatakan berkuasa juga tidak boleh menyingkirkan mereka. Kalau dia perempuan, dia cukup cantik dan harus dikurung di tempat khusus. Kalau dia lelaki, dia cukup kacak diletakkan pada tabir kerusi boneka. Desas-desus kekuatan editor seorang Tuhan dalam landskap jabatan itu memang ternyata utuh. Buktinya, manis mulutnya berkata di dada majalah agung itu. Maka, penulis seperti aku memang sukar untuk diberi ruang khas. Siapa penulis seperti aku? Penulis seperti aku tidak perlu diagungkan kerana aku penulis bangsa yang tidak dikenali. Akulah penulis yang sengaja dipinggirkan.
“Sekalipun kita sudah 1Malaysia, itu bukan jaminan.” Itu kata penulis yang bernama Sampah. Aku tahu suatu ketika dulu dia memang banyak menulis dan tulisannya hampir setiap bulan die-melkan kepada seorang editor. Setahun sekali karyanya terbit tetapi kini, Sampah juga seperti aku. Kami tidak diberi ruang sama rata seperti penulis lain. Kami dijahanamkan oleh seseorang editor yang tidak mengerti hak sama rata warga penulis. Beberapa orang rakan penulis dari negeri sabahat juga menerima nasib serupa. Kami diadili tanpa mengira bahasa dan bangsa. Rumpun kami mahu dihapuskan. Inilah sebuah sistem dalam dunia sastera yang tidak ada siapa akan ambil tahu.
Pernah aku mendiamkan diri di satu sudut yang indah. Aku cuba tidak mahu menulis. Melihat masyarakatku bertani. Belajar menoreh. Menarik rotan. Menjadi nelayan. Menjadi pemburu. Aku juga menikmati hidup dengan kerja ilmiah lain. Ketika itu aku merindui dunia penulisan kembali sehingga aku mahu menulis lagi. Memerdekakan diri bukan bermakna aku ingin menjadi penulis yang kaya raya seperti penulis agung. Ingin juga aku menjadi seorang Tuhan seperti dia, tetapi aku tidak mampu. Aku rasakan diriku hanya mampu menjadi seorang pengikut Tuhan Yang Maha Kuasa yang terbaik di dunia ini.
Apabila aku kembali menulis lagi, karya-karya kususul ke beberapa buah majalah dan media akhbar tanah air. Besar harapan agar karya itu terbit. Aku memang terlalu cemburu dengan karya penulis lain yang diterbitkan. Apa lagi karya itu agak teruk juga persembahannya. Kisahnya sama dengan kisah karya itu dan ini. Sama saja! Masakan aku tidak boleh menilai kerana aku juga seorang penulis yang memiliki sarjana. Karya aku lebih baik kerana aku menulis tentang kisah yang berlainan di negara ini. Cuma aku tidak diberi ruang oleh seorang editor yang memilih kerabatnya. Aku tahu editor itu dari Utusan Berangkai. Aku juga tahu editor itu dari Majalah Dewan Kaya Raya. Aku tahu editor itu hanya memilih orang-orang yang sama. Orang-orang itulah konco-konconya. Karya-karya mereka tiga empat kali terbit di dada majalah dan akhbar yang sama. Bagaimana ada ruang karya aku diterbitkan?
“Kalau politik kian kotor, kerja editor pun seperti itu!” Itu sungutan seorang sahabat. Aku hanya terpinga-pinga kerana tidak mampu bersuara. Hilang daya kuasa untuk menulis. Ukuran bagaimana lagi yang harus aku lakukan jika keadaan terus begini. Akulah seorang penulis yang dibiarkan oleh editor seorang Tuhan.
Aku masih menjejak kembali kata-kata seorang editor yang pernah menabur janji manis. Janji-janji manis itu lebur menjadi kata-kata keji dan marah. “Tolong nasihatkan rakan kau ini.” Itu peringatan dia melalui rakan penulis aku. Dalam masa yang sama aku susulkan e-mel kepadanya dengan peringatan agar menepati janji. Atau sekurang-kurangnya beri ruang sepatah perkataan untuk karyaku diterbitkan. Alangkah bongkaknya dia, menaburkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Inilah detik-detik tamatnya hubungan manis kami. Juga, telah lebur harapanku. Aku kembali mengingati doaku kepada Tuhan yang pada suatu ketika dulu aku mengharapkan dia sihat dan sembuh daripada penyakitnya. Syukur dia benar-benar sihat, tetapi itulah balasannya. Kini, dia menganggap aku penulis yang tidak patut diberi ruang kerana aku tidak patut maju seperti penulis pujaannya. Aku bukan bangsanya dan aku tidak patut dimajukan.
Sesudah detik itu, aku paling benci kepadanya. Aku memang tidak berniat menghantar karya kepada majalahnya. Aku juga tidak mahu menghantar karya ke Utusan Berangkai kerana editor jenis muka bertalam dua akan memilih karya dari rakan-rakan mereka. Malah mahkamah sastera sudah kelompok mereka genggam. Semua penulis tahu yang mereka hanya memilih karya rakan mereka sahaja. Mereka ini diberi ruang dengan menutup ruangan penulis lain. Oleh kerana itulah sikap tidak sihat mereka sudah diketahui orang ramai. Biarlah orang ramai yang menjadi hakim kepada kelompok mereka ini.
Isu buku etnik kebangsaan menjadi isu besar. Pemimpin sering memilih karya bangsa kerabatnya. Bicara mereka berlegar besar agar karya etnik diberi ruang. Agar semua masyarakat berdiri sama tinggi. Agar karya dari negeri bumi kami dan negeri di bawah angin juga diberi perhatian. Namun, karya-karya etnik juga tidak diberi ruang. Mereka inilah yang menenggelamkan karya kami. Mereka ini masih menerbitkan karya-karya kerabat mereka.
“Shit!” Herdik Sampah di depan aku. Karyanya juga sudah tidak dilayan lagi walaupun hampir setiap bulan dia menghantarnya kepada editor berkenaan. Pada hari ini, sudah tidak ada pertimbangan lagi dalam dunia sastera. Betul kata beberapa orang penulis bahawa editor sudah macam Tuhan yang perlu disembah. Editor ada kalanya terlalu menutup ruang penulis lemah. Penulis seperti aku, apa lagi kerana jauh di pulau yang lain. Malah atas perkara-perkara yang lain. Memang langsung tidak boleh dipertimbangkan apabila aku menjadi penulis kelompok aku.
Aku damai dengan dunia yang lain. Aku berjuang dengan pekerjaan tetap, namun mengharapkan ada editor lain menawarkan ruang untuk berkarya. Kerunsingan hilang apabila aku terlibat dengan aktiviti itu dan aktiviti ini. Aku berlagak seperti penyanyi. Aku seperti seorang pemain bola sepak. Aku juga berlagak seperti seorang pengarah filem. Dengan itu, aku berusaha membesarkan peluang diri di bawah himpitan. Aku dapat juga makan empat bungkus nasi dengan kerja yang aku lakukan seharian. Dapat juga aku membuka ruang kepada rakan yang senasib denganku. Ketika itu aku terus beringat untuk tidak menjadi Tuhan seperti editor itu.
Aku tetap membaca majalah Dewan Kaya Raya. Karya-karya orang yang sama masih memenuhi ruang majalah itu. Aku juga membaca karya-karya Utusan Berangkai. Terbukti karya-karya rakan dan kerabatnya sahaja yang terbit. Aku langsung tidak melihat karya bangsaku di situ. Aku tidak melihat karya-karya bangsa lain di situ, tetapi hanya karya-karya dari kelompok kerabatnya. Editor jenis itu memang paling teruk. Seorang editor yang tiada pembaharuan, apa lagi mahu memperkenalkan penulis baru. Penulis lama yang bukan kerabatnya, langsung tidak diterima mereka. Patutlah hanya kerabatnya mengisi tempat kemenangan anugerah sastera tanah air saban tahun.
“Dasar editor tidak guna!” rungut seorang penulis yang bernama pena, Kutu kepadaku.
“Awak sembah dia! Awak puji dia!” kataku kepada Kutu sambil ketawa, tetapi di dalam hati bukan lagi kepalang geramnya. Apa tidaknya, editor jenis itu menutup ruang demokrasi buat satu bangsa negara ini. Mereka itulah tidak seharusnya mengisi kerusi editor kerana tabiat mengampu antara mereka. Mereka itu berlagak sombong! Ada kalanya bersifat mereka kurang komunikasi peramah dengan penulis seperti kita. Mereka dilahirkan di bandar-bandar yang kurang ajar. Pelajaran yang mereka terima tidak cukup untuk mereka menjadi manusia yang peramah.
Mereka membuat peraturan sendiri. Mereka inilah memegang tabiat talam dua muka. Mereka menyembah penulis besar dan kerabat mereka sendiri. Jadi, kita kena menyembah pula mereka agar karya kita diterima. Menurut Kutu, editor jantan lebih peramah, tetapi perlu dirayu. Sedangkan editor betina, bermulut manis tetapi hati mereka lain-lain. Bongkak dan sombong kalau dihubungi tentang bila karya kita hendak diterbitkan. Malah kita harus menjaga tutur percakapan kita.
Sebelum Kutu memberitahu, aku sudah tahu kerana aku sudah mengharungi saat genting itu. Aku tahu editor betina itu tidak pernah respon e-mel yang aku susulkan. Agaknya, dia tetap mengutamakan kelompoknya. Susahkah beri respon yang dia telah terima e-mel dan karya kita? Susahkah dia menghubungi melalui telefon yang dia sudah terima karya berkenaan dan tidak dapat diterbitkan kerana tidak sesuai? Susahkan dia beritahu karya kita itu sampah? Memang itulah penyakit editor seorang Tuhan. Susahkah dia beritahu karya itu tidak matang seperti yang diinginkan?
Editor itu memang mengutamakan kelompok kerabatnya. Editor itu memang telah merancang agar semua anugerah dikaut oleh kerabatnya sahaja. Anugerah yang berharga sesen pun mereka kaut, apa lagi anugerah yang besar.
Aku dapat merasakan keraguan warga penulis yang terpinggir seperti aku. Mereka tidak berdoa seperti dulu. Mereka sudah mula tidak mengharapkan apa-apa harapan daripada editor itu. Cuma, mereka berharap editor jenis itu ditukar. Editor itu dijangka menjadi kudis kepada kemajuan sastera kita. Jutaan terima kasih buat akhbar Berita Gempar kerana sentiasa memberi peluang kepada karya kami yang diterbitkan. Aku melihat kebanyakan karya penulis terpinggir diterbitkan di dada Berita Tergempar.
Namun, aku masih ingatkan editor seorang Tuhan agar beri peluang karya kami diterbitkan. Karya dia pun sama tahapnya dengan karyaku. Aku menilai begitu kerana aku membaca semua karya yang terbit di majalah itu tidaklah seagung mana pun. Karya aku dan rakan-rakan juga setanding dengan karya mereka itu. Mungkin kerana masalah editor itu berpenyakit kronik mungkin? Atau berpenyakit tidak suka? Atau memang menutup karya penulis dari pulau yang jauh seperti kami? Itulah satu kemungkinan yang berlaku.
Namun, editor itu masih lagi tidak memandang penulis seperti aku. Tetap juga memilih kerabatnya. Tetap meminta karya-karya daripada kelompok dia sahaja. Malah menutup langsung pintu untuk karya aku diterbitkan.
“Dia Tuhan! Dia editor yang kerabatnya sembah,” itu kata Sampah kepadaku dan Kutu.
Biodata Penulis:
JAYA Ramba, penulis Iban yang dilahirkan di Tinjar Baram, juga menggunakan nama Jay R Miri untuk genre puisi. Pemegang Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran (Kepujian), kini berkhidmat di Jabatan Kewangan, Lembaga Air Kawasan Utara Sarawak, Miri. Antologi puisinya Wajah Kita Bandar Kita (2003), Kota Gemilang Warisan Kita (2004), Pelagus (2004), Getus Fikir (2004), Penangkap Rama-rama dan Kelawar (2005). Antologi cerpennya ialah Karya Sasterawan (2005), Seikhlas Bicara, Pelagus, Kepanasan Seketul Salji Hitam (2006) dan Memori Sebuah Rindu (200), Sea of Rainbow-cerpen Ngayap(2009). Sudah menghasilkan ebih 10 novel dan antaranya Senja Cinta Warisan (2003), Dendam Asmara (2004), Sempadan Dendam (2003), Bara Yang Menyala (2009), Indu Iban Ti Penudi (2010). Memenangi Hadiah Pertama Pertandingan Cerpen Jubli Perak Negeri Sarawak (Pahat Masih Berbunyi), Hadiah Ketiga Pertandingan Novel DBP-SHELL (Bara Yang Menyala) dan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2004, 2005, 2006 dan 2007. Hadiah Pertama Pertandingan Cerpen Jubli Perak Negeri Sarawak, Pertandingan Novel DBP-SHELL (Bara Yang Menyala) dan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2004, 2005, 2006 dan 2007. Menang Tempat Kedua Peraduan Menulis Cerpen Pelbagai Kaum Malaysia 2005. Menang Hadiah Utama Menulis Cerita Legenda Miri 2006. Pernah menyertai Bengkel Penulisan Novel (MASTERA-Majlis Sastera Asia Tenggara) di Bogor, Jakarta, Indonesia (Ogos, 2006). Menyertai Bengkel Penataran Penulis Muda Borneo-Kalimantan, di Kalimantan Barat, 2004. Kini Setiausaha 1, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA). Karyanya pernah terbit di Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Utusan Malaysia, Berita Harian, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Jendela Sarawak dan Harian Equator-Kalimantan Indonesia. Juga sudah menerbitkan album pertama. Sekarang menyiapkan album kedua dalam bidang nyanyian. Bakal mengarah filem sendiri.
No comments:
Post a Comment