Wednesday, December 22, 2010

Lambaian Kaabah: Sebak tinggal anak

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

KELANA JAYA: “Terasa sebak di dada apabila mengenangkan anak tunggal kesayangan kami tidak dapat turut serta mengerjakan tuntutan rukun Islam kelima bersama,” kata Ishak Pahri Ahmad, 56, yang mengerjakan haji bersama isteri tercinta, Hapsah Husin, 45, dari Klang, Selangor.

Beliau antara 200 jemaah haji kumpulan ke-65 (KT65) yang ditemui di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, di sini, semalam.


Ishak berkata, walaupun berasa amat gembira kerana tidak perlu menunggu lama untuk mengerjakan ibadat haji, namun jauh di sudut hatinya terselit kesedihan kerana satu-satunya permata hati mereka terpaksa tinggal di tanah air.


“Tetapi memandangkan dia (anak) telah meningkat dewasa, keresahan di hati kami sedikit terubat selain kerap meninggalkan pesan dan nasihat kepadanya untuk menjaga diri dan kelakuan sepanjang kami mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman mengerjakan ibadat umrah atau haji membuatkan perasaan gementar timbul dalam diri dan hanya melalui doa, selawat ke atas nabi dan ibadat sunat yang dilakukan dapat mengatasi perasaan itu.


Berlainan pula dengan Mustapa Abd Manas, 59, yang diberi peluang menunaikan rukun Islam kelima atas sebab kesihatannya.

Mustapa berkata, surat daripada doktor yang mengesahkannya mengalami lumpuh sebelah badan digunakan untuk membuat rayuan kepada Tabung Haji bagi membolehkannya menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci tahun ini.


“Saya amat berharap dapat menunaikan haji tahun ini sebelum kesihatan saya bertambah teruk. Alhamdulillah doa saya diterima Allah apabila dapat mengerjakan haji buat kali pertama tahun ini bersama isteri,” katanya

21 gunung lagi dikhuatiri meletus


2010/11/02

SEKUMPULAN penduduk meninggalkan kawasan dekat Merapi di perkampungan Balerante, Klaten, semalam.

Indonesia gusar aktiviti seismik meningkat selain Merapi

YOGYAKARTA: Indonesia pada masa ini bukan saja memantau Merapi yang memuntahkan gas dan debu panas semalam tetapi juga 21 gunung berapi lain yang menunjukkan tanda-tanda semakin aktif termasuk Galunggung, Dempo, Sinabung dan Anak Krakatau.

Letusan baru itu dilaporkan ketika Indonesia turut bertungkus lumus menangani kesan tsunami dengan dua bencana itu mengorbankan hampir 500 penduduk menyebab-kan tentera turut membantu.

Merapi adalah antara 129 gunung berapi aktif di Indonesia. Letusannya menyebabkan 38 kematian sejak seminggu lalu. Lebih 69,000 penduduk sudah dipindahkan daripada kaki gunung itu yang kini diselaputi debu.

Penduduk yang berada di khemah perlindungan sementara beberapa kilometer jauhnya turut lari mencari tempat lebih selamat selepas Merapi meletus lagi diikuti letupan kuat, kata Subrandrio, pegawai pemantau Merapi.

Gunung itu banyak kali meletus sejak dua abad lalu. Pada 1994, 60 orang maut manakala 1,300 terbunuh dalam letusan pada 1930 yang memusnahkan lebih 24 kampung.

Kerajaan juga meningkatkan tahap berjaga-jaga membabitkan 21 gunung berapi lain yang menunjukkan peningkatan aktiviti termasuk gegaran dan muntahan debu hitam sejak dua bulan lalu, kata pakar gunung berapi, Syamsul Rizal.
Seorang lagi pegawai, Gede Swantika berkata adalah biasa tahap berjaga-jaga ketiga tertinggi ditetapkan lima hingga 10 kerana sesebuah gunung berapi itu mungkin meletus dalam tempoh dua minggu.

Katanya, pegawai yang memantau aktiviti gunung berapi mengesan lebih banyak tempat menunjukkan aktivisi seismik lebih tinggi.

“Kita akui ini suatu yang luar biasa kerana membabitkan lebiht 20 gunung berapi pada satu masa. Kami perlu terus memantau tetapi saya tidak boleh kata atau ramal mana satu akan meletus. Kami hanya dapat kesan coraknya,” katanya lagi.

Di PADANG, pihak berkuasa menafikan laporan bahawa bantuan tersadai di pelabuhan menyebabkan mangsa tsunami yang terselamat terpaksa mencari tumbuhan liar selepas bencana alam yang membunuh beratus-ratus orang.

Ketika Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata bahawa negaranya menerima bantuan asing untuk pembinaan semula kampung yang terjejas, ada laporan menuduh kerajaan merancang untuk menempatkan semula penduduk jauh dari kawasan pantai.

Mangsa yang terselamat dalam kejadian tsunami setinggi tiga meter di pulau Mentawai, barat Sumatera mengadu bahawa bantuan terlalu perlahan tiba kepada mereka manakala pekerja bantuan berkata koordinasi adalah terlalu lemah.

Tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter itu meranapkan kira-kira 10 kampung, memusnahkan sekolah, masjid dan rumah tradisional di kawasan pedalaman dan pantai yang popular di kalangan peluncur asing. – AFP/AP

“Penangguhan disebabkan keadaan cuaca buruk. Tetapi sekarang kami sudah tiba ke kawasan terjejas dan bantuan dihantar walaupun ia agak terbatas,” katanya. –

Lingkaran musibah
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/31

« sebelum selepas »




Bekas tapak perkampungan di Mentawai selepas dilanda tsunami Isnin lalu.

Gempa bumi, tsunami dan letusan Merapi melanda Indonesia hampir serentak

ANDAI mahu diukur dari segi kedudukan, kestabilan muka bumi dan kekerapan ditimpa bencana alam, Indonesia mungkin paling layak berada di tempat teratas senarai negara paling tidak selamat untuk diduduki. Jika diteliti, sukar rasanya untuk republik itu melepasi tempoh setahun tanpa ada satu pun bencana mencelah.

Namun apa yang dihadapi negara jiran itu kali ini sesuatu yang jauh berbeza daripada kebiasaan kerana tiga musibah datang hampir serentak. Semuanya kerana kedudukan republik berkenaan dalam Lingkaran Api Pasifik.

Isnin lalu, Indonesia dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di Sumatera, sekali gus mencetuskan tsunami dan keesokannya pula, Gunung Merapi di Balerante, Jawa Tengah menyemburkan awan panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius.

Setakat Khamis lalu, bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dan mencipta ombak besar setinggi tiga meter dilapor melenyapkan beberapa kampung dan mengorbankan hampir 300 nyawa manakala angka korban angkara gunung berapi Merapi mencecah puluhan orang.

Pakar gunung berapi berkata, ketika mereka tidak boleh menidakkan letusan lebih ganas, ia mungkin berterusan sebagai siri letupan kecil seperti yang berlaku Selasa lalu.

“Jika keadaan berterusan seperti ini untuk beberapa waktu, kita akan melihat letusan yang perlahan dan panjang,” kata penyelidik gunung berapi, Gede Suantika.
Seperti Kepulauan Aleutian di Alaska yang bertaburan dengan gunung berapi, kepulauan Indonesia juga terletak di sempadan bawah laut antara dua plat paling besar dalam kerak bumi.

Dalam kes Indonesia, kerak plat Australia terletak di bawah kerak plat Eurasia yang membentuk kubu Sunda. Pergeseran kedua-dua plat memanaskan batu ke tahap cair, membekalkan magma yang membesar untuk membentuk gunung berapi serta mencetuskan gempa bumi.

Zon sama mengeliling Pasifik, mewujudkan rangkaian gunung berapi yang memanjang dari Andes sehingga Pasifik Barat, lalu membentuk Lingkaran Api.

Risiko keseluruhan rantau itu membuatkan sebahagian pakar gempa bumi berjaga sepanjang malam kerana ia juga mengandungi sebahagian zon yang membentuk ketegangan selama lebih 200 tahun. Jika ia dibebaskan dalam satu keadaan, gempa boleh mencecah 8.5 pada skala Richter yang boleh mencetuskan gempa bumi amat kuat.

Bahagian itu berpusat di bawah Pulau Siberut di Padang. Pada September 2009, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda persisiran pantai Padang.

Sekali pandang, ia menepati corak gempa bumi pada ukuran sama yang berlaku sepanjang bahagian lain di pantai itu sejak 2004 apabila gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter menggegarkan utara Sumatera, menyebabkan anggaran 231,000 kematian secara langsung atau tidak langsung kerana tsunami yang merebak ke seluruh Lautan Hindi.

Sebahagian penyelidik berkata, mereka mengesyaki siri apa yang dikatakan gempa bumi lemah yang mewakili zon berkenaan sekadar menyesuaikan diri untuk berubah dalam corak tekanan yang disebabkan gegaran pada 2004.

Bagaimanapun, menurut sepasukan pakar gempa bumi yang berada di situ, gegaran pada 2009 tidak memberi kesan dalam mengurangkan ketegangan yang sudah terbina selama 200 tahun.

Menulis dalam jurnal Nature Geoscience, Januari lalu, pasukan berkenaan memberi amaran bahaya gempa bumi berukuran lebih 8.5 pada skala Richter masih ada di sepanjang segmen di Padang.

Sebarang harapan gempa bumi Isnin lalu mungkin mengurangkan ketegangan, nyata tersasar. Berdasarkan maklumat awal mengenai lokasi dan kedalaman pecahan, gempa itu berlaku amat jauh daripada ketegangan yang tercetus berhampiran Padang.

Indonesia dikelilingi pulau yang dianggarkan berjumlah 17,504 buah dan dengan kedudukan geografi yang meletakkan republik itu di titik pertembungan tiga plat yang mempunyai pergerakan tersendiri dengan arah bertentangan, lalu menyebabkan kumpulan tenaga tidak boleh dibendung, sekali gus mencetuskan gempa bumi.

INFO: Tragedi bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Indonesia

· Gempa bumi Toba di Sumatera Utara
Gempa bumi gunung berapi yang dianggap terbesar dalam sejarah dunia berlaku kira-kira 450,000 tahun lalu. Ia disebabkan aktiviti magma yang selalunya berlaku sebelum letusan gunung berapi. Aktiviti yang semakin memuncak akan menyebabkan letupan yang juga mengakibatkan gempa bumi. Kesan gempa bumi itu membentuk Danau Toba yang kini terkenal sebagai destinasi pelancongan.

· Gempa bumi di Jawa
Juga gempa bumi gunung berapi yang berlaku di pergunungan Jawa Timur dengan ukuran 6 hingga 6.8 pada skala Richter, kira-kira 1,770 tahun lalu. Gegaran menyebabkan letusan Gunung Sumeru dan tragedi ini meragut 6,000 nyawa serta menghasilkan hujan debu selama empat hari di seluruh kawasan tengah hingga Jawa Timur. Gunung Sumeru dianggap gunung berapi paling aktif sehingga sekarang.

· Gempa bumi 25 November 1833
Ia menyebabkan wujudnya segmen Kubu Sumatera di sepanjang 1,000 kilometer di tenggara. Perkara sama berlaku dalam gempa bumi pada 26 Disember 2004. Ia mencetuskan tsunami yang melanda pantai barat Sumatera, kawasan paling hampir dengan pusat gegaran ialah Pariaman hingga Bengkulu.

· Letusan gunung berapi Krakatoa
Apabila Krakatoa meletup pada Ogos 1883, ia menyamai kuasa bom atom. Letusan dapat didengar sehingga beribu kilometer, menggegarkan seluruh Lautan Pasifik, menyebabkan seluruh ‘pulau Krakatau’ tenggelam dan turut membawa bersama 100 pulau sekitarnya. Bencana itu membunuh 36,000 orang, kebanyakannya disebabkan tsunami. Debu letusan sampai hingga ke New York, menyebabkan penurunan suhu seluruh dunia untuk tempoh hingga setahun

Sumber makanan suci kukuhkan ketakwaan Muslim
Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir

2010/11/02

Mukmin cari rezeki halal bagi penuhi keperluan keluarga dianggap seperti mujahid, syuhada

ISLAM tidak menyekat umatnya mencari seberapa banyak rezeki di atas muka bumi ini. Cuma Allah memberi peringatan hamba-Nya supaya tidak gelojoh mencari rezeki hingga melanggar batas peraturan ditetapkan agama.

Kita dituntut mencari rezeki halal daripada sumber baik dan bersih, bukan harta hasil menipu orang, mencuri, meragut atau rasuah. Islam sama sekali tidak membenarkan mengambil harta orang lain untuk dijadikan harta sendiri.

Islam sama sekali tidak mengizinkan umatnya memakan atau membeli makan minum untuk diri sendiri dan keluarga daripada sumber rezeki haram kerana rezeki yang tidak diredai Allah, azab menanti mereka di akhirat kelak.

Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188).

Firman Allah bermaksud: “Hai para Rasul, makanlah daripada makanan yang baik dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah Al-Mu’minun, ayat 51).

Menyentuh soal makanan dalam agama, Imam Al-Ghazali mengumpamakan seperti kerangka pada bangunan. Jika kerangka itu kukuh dan kuat, bangunan akan berdiri tegak dan kukuh. Sebaliknya, jika kerangka rapuh dan bengkok, bangunan runtuh dan musnah.
Jelas dilihat betapa pentingnya kedudukan makanan dalam Islam. Makan bukan sekadar memenuhi keperluan tubuh badan, tapi berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan seseorang Muslim.

Jika seseorang mengambil makanan daripada sumber halal, adalah diyakini keimanan serta ketakwaannya akan bertambah kukuh, mantap dan kuat. Sebaliknya, jika seseorang itu memakan makanan haram, maka diyakini imannya akan lemah dan akhirnya terhakis daripada hatinya.

Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Baik, Dia tidak menerima selain yang baik-baik, dan sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kepada orang yang beriman apa yang Dia perintahkan kepada para Rasul.”

Rasulullah SAW menjelaskan orang yang mencari rezeki halal untuk memenuhi keperluan keluarganya sama seperti mujahid dan syuhada.

Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa mencari rezeki halal untuk menafkahi keluarganya, ia laksana mujahid (pejuang) di jalan Allah. Barang siapa mencari harta halal untuk menjaga diri dari keharaman, ia berada pada darjat syuhada (orang yang mati syahid).” (Hadis riwayat Muslim).

Jelaslah mencari rezeki halal adalah tuntutan yang harus dipenuhi setiap Muslim. Memakan rezeki daripada sumber halal memberi kesan positif dalam kehidupan seseorang.

Hal ini diungkapkan Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya bermaksud: “Barang siapa memakan makanan halal selama empat puluh hari, nescaya Allah akan menyinari hatinya dan mengalirkan sumber kebijaksanaan dari hatinya ke lidahnya.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim).

Sementara bagi mereka yang makan makanan daripada sumber rezeki haram, Ibnu Abbas berkata, “Allah tidak menerima solat seseorang yang dalam perutnya terdapat makanan haram.”

Islam menekankan perkara ini bersandarkan wahyu dan sunnah, seharusnya ia membuka hati Muslim supaya makan makanan halal daripada sumber rezeki halal.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa tidak peduli dari mana ia memperoleh hartanya, nescaya Allah tidak akan peduli dari pintu mana Dia memasukkannya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Abu Manshur Ad-Dailami).

Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, api neraka lebih pantas baginya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi).

Peniaga perlu berpandu syariat mantapkan ummah, perniagaan
Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

2010/11/02

ISLAM sejak awal lagi mengiktiraf peranan penting dimainkan sektor swasta dalam memaju ekonomi negara. Pengiktirafan Islam ini menuntut budaya korporat dan strategi perniagaan sektor swasta menepati semangat agama.

Dalam usaha memantapkan budaya korporat sektor swasta, pendekatan unggul seperti keuntungan melalui tanggungjawab sosial jika dihayati dengan tepat akan membawa hasil positif bukan saja kepada prestasi perniagaan tetapi sekali gus membangun keadilan sosioekonomi dan masyarakat.

Pendekatan ini menganjurkan keharmonian antara kepentingan perniagaan, golongan peniaga serta tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Pendekatan ini adalah asas penting kepada penyusunan dan pembinaan masyarakat bernegara.

Prinsip hidup berharmoni ini menjelaskan kepentingan golongan peniaga melaksanakan tanggungjawab kepada kebajikan masyarakat. Islam mengiktiraf keuntungan dari usaha perniagaan dan perdagangan kepada peniaga adalah sesuatu hukum yang tabii serta adil.

Mengakui hukum pulangan sebagai sesuatu yang penting untuk memberangsang golongan peniaga semoga halus dan rapi dalam menjalankan perniagaan. Keuntungan akan diperoleh apabila jumlah pendapatan mengatasi jumlah kos.

Jika diurus dan dilaksana secara positif, jumlah hasil mampu ditingkatkan melalui kuantiti jualan produk. Dalam dunia tidak berbatas, jumlah jualan tidak terhad, yang membatasi ialah persaingan sengit dari pengusaha dan peniaga dalam serta luar negara.

Ruang mengembangkan kuantiti jualan luas terbentang dan kejayaan menembusi pasaran antarabangsa mencermin kemampuan pengusaha menguasai pasaran produk. Dalam konteks pencapaian kejayaan berterusan, strategi menguasai pasaran perlu menjadi strategi perniagaan.
Pencapaian kepada matlamat ini memerlukan organisasi melakukan kajian dan penyelidikan dinamik supaya kualiti penghasilan produk meningkat dan produk dihasilkan sentiasa relevan dengan keperluan serta kebajikan pengguna.

Usaha positif ini memerlukan kepada akhlak kepemimpinan organisasi swasta demi kepentingan bersama peniaga dan pengguna. Harga yang berpatutan juga akan dapat meluaskan faedah kegunaan produk kepada pengguna berpendapatan rendah.

Melalui perancangan dan kepakaran yang tinggi serta sentiasa menanamkan sikap untuk meningkat kecekapan, mengurangkan pembaziran, nescaya usaha itu akan menghasilkan penurunan kos.

Jika nilai akhlak Islam disepadukan dalam pengawalan kos, kos sosial tidak langsung seperti keruntuhan akhlak pekerja dan pencemaran kepada alam persekitaran akan turut sama diberi perhatian.

Kos sosial ini adalah faktor negatif yang turut menjejas kemajuan prestasi organisasi dalam jangka masa panjang. Tanpa akhlak pekerja yang tinggi serta alam persekitaran sihat, prestasi sektor swasta akan menurun dalam jangka panjang, meruntuhkan kestabilan dan kebajikan masyarakat.

Kejayaan mengurangkan kos oleh sektor swasta mengikut perspektif di atas adalah kejayaan yang memaparkan tahap kepakaran pengendalian perniagaan sudah dapat ditingkatkan.

Jelaslah keuntungan melalui pendekatan berakhlak adalah pendekatan dinamik tanda sifat tanggungjawab tinggi dihayati sektor swasta dalam kegiatan perniagaan mereka. Pendekatan ini menjadi budaya organisasi korporat berjaya pada masa ini yang beroperasi secara global.

Pendekatan keuntungan melalui tanggungjawab sosial jika dihayati akan menghasilkan budaya korporat yang sihat, mampu memperoleh kejayaan sektor swasta sekali gus membangunkan taraf dan mutu hidup masyarakat.

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sabri Yunus dan Cicik deklamasi puisi di UPM malam ini


2010/11/02

PELAWAK terkenal, Sabri Yunus dan Peserta Akademi Nasyid Musim Ketiga, Cicik bakal memeriahkan Malam Puisi Riong: Merentas Ruang yang berlangsung di Latar Siswa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, bermula jam 8.30 malam ini (2 November).

Majlis anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM itu, menunjukkan pembabitan artis dalam menjayakan majlis itu, dapat membuka mata golongan muda untuk menarik minat mereka mencintai seni sastera kerana mencipta kelainan dalam deklamasi puisi melalui dendangan lagu puisi secara akustik dan puisi jenaka.

Cicik atau nama sebenarnya Mohd Shukri Nasron bakal mempersembahkan dua lagu puisi pada malam itu untuk diketengahkan kepada pendengar dari kalangan generasi muda dengan memberikan nafas kontemporari bagi menyesuaikannya dengan jiwa mereka.

“Lagu puisi seharusnya disuntik dengan nafas baru dan tidak lagi bersifat stereoptaip, manakala komposer dan penyanyi lagu puisi pula mempunyai tugas besar untuk memulakan budaya baru ini supaya tersebar di kalangan orang biasa.

“Melodi dan lirik lagu puisi mampu menembusi banyak golongan pendengar sehingga ia diminati setiap lapisan masyarakat seperti yang sebelum ini dibawa oleh kumpulan Kopratasa termasuk saya sehingga menumbuhkan kecenderungan saya kepada karya puitis yang dapat melahirkan lirik yang membawa kesan kepada masyarakat,” katanya.

Cicik berkata, lagu Berita Buat Kawan karya Ebiet G Ade yang sering dikongsi dengan khalayak setiap kali tampil pada malam puisi Riong masih menjadi pilihannya yang akan dipersembahkan Malam Puisi Riong kerana keindahan lirik dan melodinya tetap segar dalam kehidupan manusia.

“Peranan penyanyi dalam menyampaikan mesej amat penting khususnya dalam program seperti majlis bacaan puisi yang mengutamakan keindahan bahasa dan saya harap penyanyi lain juga dapat memainkan peranan dalam menyuburkan kembali penggunaan bahasa Melayu dan kebudayaan bangsa,” katanya.
Sementara itu, Sabri pula bercadang mendeklamasikan dua puisi khas karyanya yang bakal mengekalkan unsur jenaka untuk dikongsi dengan khalayak pada malam terbabit kerana genre berkenaan mudah diterima masyarakat dan bersesuaian dengan karakter yang sering dilakonkannya.

“Malam Puisi Riong mampu menjadi landasan bagi peminat sastera dan seni tempatan mendekati pengkarya dan artis yang beraksi di pentas acara sehingga mendorong saya untuk mempersembahkan puisi karya sendiri kerana berasa lebih dekat dengan khalayak, selain bebas beraksi mengikut cita rasa dengan gaya santai,” katanya

Rakyat tunai haji lebih daripada sekali tidak patut ikut Muassasah


2010/11/02

SAYA sememangnya bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh, yang antara lain menggesa Lembaga Tabung Haji mengubah sistem kuota untuk pemilihan rakyat Malaysia beragama Islam menjadi tetamu Allah SWT.

Sistem kuota yang diamalkan kini, pada pandangan saya tidak adil dan bersifat ‘menutup peluang orang lain’.

Seperti yang dikatakan oleh Abdul Ghapur, di televisyen kita melihat jemaah haji begitu gembira mengatakan “ini kali kedua (atau ketiga, atau keempat) saya ke Makkah, terima kasih Tabung Haji”. Namun, jauh di sudut hati insan yang masih belum menjejakkan kaki ke Makkah, ungkapan ini tentunya menyedihkan mereka.

Malah, lebih menyedihkan apabila terdapat segelintir hamba Allah SWT yang sanggup menggunakan ‘kabel’ untuk ke Makkah. Mereka menggunakan bantuan orang dalam untuk mempercepat proses mereka ke Makkah. Begitu malang nasib golongan yang menanti sekian lama untuk menunaikan haji, namun akhirnya nama mereka dipintas oleh orang lain. Lembaga Tabung Haji perlu memandang serius perkara ini.

Saya mencadangkan, agar pihak Lembaga Tabung Haji membuat satu peraturan kepada mereka yang sudah pergi menunaikan haji ke Makkah, tidak dibenarkan pergi lagi.

Jika mahu berbuat demikian, mereka perlulah menggunakan pakej dan tidak lagi melalui Muassasah. Ini bagi memberi peluang kepada bakal jemaah lain untuk menunaikan haji.

NOORSYAZWAN NAZRI, Padang Rengas, Perak.

No comments:

Post a Comment