Wednesday, December 22, 2010

Tarikan terbaru di Bukit Lagong

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
saiful.sahak@utusan.com.my


M. Adam bersama kambing gurun peliharaannya ‘Big Chief’ di Teratak Kuda Asli Forest Horse Riding Park, Batu Caves, Selangor.


NAMA Bukit Lagong mungkin tidak dikenali seperti Taman Hutan Lipur Kanching, Taman Rimba Komanwel dan Taman Rimba Templer Park di Selangor yang menjadi tumpuan pelancong yang gemarkan alam rimba.

Namun kini tarikan destinasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kuala Lumpur dan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer itu semakin popular khususnya di kalangan peminat sukan berkuda.

Tarikan yang menanti pelawat di kawasan itu adalah Teratak Kuda Asli, Forest Horse Riding Park yang menempatkan kira-kira 30 ekor kuda daripada jenis baka Australia, New Zealand, India dan Argentina.

Mereka yang berminat tidak perlu pergi jauh untuk merasai pengalaman menaiki kuda atau mengambil lesen menunggang kuda kerana semua itu boleh dirasai di Bukit Lagong yang juga menempatkan sebuah perkampungan Orang Asli, Pusat Latihan Belia Bukit Lagong, Pusat Penternakan Arnab dan kolam memancing ikan.

Dengan bayaran RM5 untuk dua perjalanan (Joy Rider), anda dapat menunggang kuda sambil dibantu oleh penyelia atau jurulatih profesional yang akan mengajar seisi keluarga.

Manakala bagi yang ingin menjadi penunggang profesional bayaran berpatutan antara RM400 hingga RM800 dikenakan bagi setiap sepuluh sesi latihan yang dijalankan.

Bagaimanapun, kuda yang akan anda tunggang semua terlatih dan mempunyai pengalaman membantu anda menjadi penunggang profesional.

Tarikan terbaru itu merupakan idea dan usaha seorang peminat sukan kuda, M.Adam Waqif yang merupakan penduduk dan anak tempatan Selayang.

Adam yang merupakan peminat sukan berkuda berkata, dia pada mulanya hanya memiliki kira 10 ekor kuda sebagai hobi dan untuk tujuan latihan kecergasan kira-kira lima tahun lalu.

“Kemudian, saya terfikir dengan pengalaman dan memiliki kuda-kuda ini untuk membuka satu pusat latihan. Dari situ, bermulalah idea untuk menyediakan perkhidmatan ini.

“Pada mulanya, saya tidak mengenakan sebarang caj kerana sekadar menyediakan perkhidmatan tetap untuk anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

“Namun selepas ia menjadi satu tarikan dan permintaan daripada pengunjung di Bukit Lagong ini, saya buka kepada orang ramai dan mengenakan caj RM5 hingga RM10 untuk menunggang beberapa pusingan,” katanya.

Ayah kepada tiga orang anak itu memberitahu, dia kini memiliki 30 ekor kuda terdiri dari jenis poni, padi dan kuda lumba dan bercadang untuk membeli beberapa ekor kuda lagi.

Adam berkata, kuda padi di sini lebih mudah untuk dijaga dan dikawal di dalam kandang selain lebih lasak berbanding kuda lumba.

Selain itu menurut Adam, sesi latihan untuk penunggang profesional bermula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengahari dan disambung dari 2 hingga 6 petang setiap hari bersama beberapa pembantunya.

Adam memberitahu, tahun lalu pengunjung di Bukit Lagong tidak ramai kerana tidak banyak tarikan.

Bagaimanapun katanya, pengunjung Bukit Lagong berkenaan semakin meningkat selepas perkhidmatan menunggang kuda diperkenalkan di sini.

“Sekarang, kita boleh lihat Bukit Lagong ini menjadi sesak dengan orang ramai pada waktu petang terutama semasa hujung minggu untuk mandi manda di sungai, menunggang kuda, dan memancing.

Selain itu, pengunjung juga boleh melawat perkampungan Orang Asli, pusat penternakan arnab dan menyertai latihan kepimpinan di Pusat Belia Lagong.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti tunggangan kuda di Bukit Lagong boleh diperolehi dengan menghubungi Adam Waqif di talian 016-2744408, 012-3394177 atau datang ke Teratak Kuda Asli, Jalan Hutan Lipur Bukit Lagong 68100 Batu Caves, Rawang, Selangor

Kanopi Walkway

Oleh HAYAT SUEET



LALUAN kanopi Walkway dibina pada 1992 di Taman Negara oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara pada tahun 1992.

Haluan kanopi Taman Negara ini merupakan yang terpanjang di Malaysia dan di dunia dengan keluasan 530 meter dan ketinggian 50 meter.

Ia dibina dengan kabel besi dan jubah berkualiti tinggi serta tali yang kukuh dan mampu menampung berat lebih dari 5 tan dan kabel besi lebih dari 10 tan.

Ia tidak menggunakan paku yang mampu merosakkan pokok yang ada, hanya ruang kayu dipenuhi kabel dan tali.

Laluan kanopi itu juga merupakan jambatan antara kanopi dengan hutan yang menghubungkan pusat pentas atau sekitar pokok sebagai laluan ke kawasan hutan bagi tujuan penyelidikan.

Pokok tinggi yang melepasi kanopi hutan hujan tropika secara purata mampu mencapai 45 hingga 55 meter dan untuk sesetengah spesies daripadanya boleh mencapai ketinggian 60 hingga 70 meter.

Mengikut kajian, 40 peratus spesies flora dan fauna di dunia dan 25 peratus daripada keseluruhan spesies serangga dipercayai tinggal di dalam hutan hujan tropika.

Selalunya pengunjung atau pelancong hanya melihat kanopi itu tanpa menyedari siapa di sebalik pembuatnya.

Baru-baru ini, beratus pengunjung di Taman Negara bertuah kerana dapat melihat sendiri kehebatan anak-anak muda belasan tahun bergayut membina Kanopi Walkway di Taman Negara.

Menurut Pengarah Urusan Aremes Sdn. Bhd., Rathuan Md. Som, 46, berkata, syarikatnya telah di beri kepercayaan untuk membaik pulih dan membina laluan baru setinggi 40 hingga 50 meter.

Dengan kepakaran dan pengalaman sebelum ini, Aremes Sdn. Bhd. juga berjaya membina laluan kanopi di Taman Negara, Kuala Koh, Gua Musang sejauh 420 meter dan Taman Negara Pulau Pinang sepanjang 40 meter.

"Kerja-kerja seperti ini memerlukan peralatan yang diperakui ISO nya dan diiktiraf di seluruh dunia.

"Antaranya seperti tali kerja sintetik lanex yang boleh menampung beban sehingga 1,000 kilogram. Harnesses, connector atau carabiners, chain lock super cable, pullery sling, topi dan kasut keselamatan," katanya.

Bagi bahan-bahan binaan kanopi itu memerlukan peralatan 100 peratus pengiktiraan ISO 9001, SIRIM, terdiri dari kabel utama untuk kekuatan ikatan, bahan FRP untuk platform kanopi, tangga alluminium dan boltnuts SS304.

Bukan mudah untuk membina sebuah kanopi lebih-lebih apabila berhadapan dengan cabaran angin ribut, hujan, tempat bergantung dalam keadaan licin dan bila-bila masa sahaja boleh mengundang bahaya.

Namun semua cabaran tersebut dihadapi manusia terpilih yang tabah untuk melakukan kerja-kerja seperti itu.

Ketua tapak projek, Azmi Abdul Aziz, 46, berkata, tempoh siap sesebuah kanopi mengambil masa antara dua hingga enam bulan bergantung kepada geografi setempat dan panjang laluan.

Selain itu, tenaga pekerja juga perlu diutamakan. Oleh itu Syaikat Aremes tidak bergantung kepada pekerja luar kerana percaya tenaga tempatan lebih rajin, patuh dengan arahan dan mempunyai keazaman yang kuat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Pekerja-pekerja mahir kami terdiri dari 100 peratus rakyat Malaysia dari belia-belia yang dilatih sejak setahun lalu dan terdapat juga pekerja dari golongan Orang Asli yang kini sudah memeluk agama Islam," jelasnya.

Menurut, Mohd Shukri Abdul Rahman, 32, yang merupakan pekerja paling senior dan banyak pengalaman dalam kerja-kerja pembinaan kanopi berkata, kerja seperti ini lasak, mencabar dan merbahaya.

"Ajal maut di tangan tuhan. Tetapi inilah usaha yang kami lakukan demi untuk menyara hidup anak dan isteri tersayang.

"Antara risiko proses pembinaan kanopi ialah seperti serangan lebah tualang yang boleh menyebabkan maut," ujarnya.

Tambahnya, Shukri sebelum ini pernah bekerja dalam bidang pembalakan dan ia banyak membantunya mengenali kehidupan dalam hutan.

Rutin harian, Shukri dan rakan-rakan seharian adalah pada awal pagi mereka memasak untuk sarapan dan membawa bekalan untuk makanan tengah hari.

Mohamad Faizal Ahmad Sobri, 23, dari Kedah memilih pekerjaan seperti ini untuk menguji kesabaran dan mencari cabaran.

"Sememangnya pekerjaan seperti ini mencabar dan kadang kala menggerunkan. Tetapi lama-kelamaan ia menyeronokkan dan boleh memberikan satu kepuasan dalam bidang kerjaya," katanya.

Beriadah di Putrajaya

Oleh HASHNAN ABDULLAH
Gambar ZAKI AMIRUDDIN


BerkayaK merupakan antara aktiviti yang mendapat sambutan di Tasik Putrajaya.


TASIK Putrajaya mempunyai keluasan kira-kira 400 hekter dan dibina dengan melimpahkan lembah Sungai Chuau serta Sungai Bisa.

Di tengah-tengah tasik itu dibina sebuah pulau buatan manusia yang menempatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan, termasuklah Masjid Al-Mizan (Masjid Besi) dan Istana Keadilan.

Tasik itu juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk menikmati hampir keseluruhan kawasan pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu dengan belayar bersama Cruise Tasik yang beroperasi bersebelahan Masjid Putra.

Namun begitu, pihak Perbadanan Putrajaya mahu menjadikan Tasik Putrajaya itu lebih mesra orang ramai, termasuk di kalangan komuniti yang tinggal di Putrajaya itu sendiri.

''Kita mahu memberi banyak pilihan kepada orang ramai yang datang ke Putrajaya untuk menikmati keindahan panorama tasik dan seni reka bentuk bangunan kerajaan, rumah dan kawasan komersial yang ada.

''Tetapi dalam masa yang sama, kami juga mahu orang ramai memahami kenapa kita perlu menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang," kata Presidennya, Tan Sri Samsudin Osman yang ditemui di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya, baru-baru ini.

Atas sebab itulah, Samsudin berkata, pihak perbadanan membina laluan pesisiran di sepanjang Tasik Putrajaya itu.

''Laluan itu meliputi sejauh lebih kurang 40 kilometer (km) dan ia merangkumi keseluruhan pulau buatan manusia itu iaitu kira-kira 12 km.

''Tanah besar pula, ia merangkumi dari Taman Wetland hingga ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang terletak di selatan Putrajaya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah, walaupun laluan pesisiran tasik itu adalah kawasan awam tetapi ada beberapa kawasan laluannya yang dianggap sebagai kawasan keselamatan utama.

''Maka laluan tersebut tidak disediakan sambungannya ke kawasan sedemikian," katanya ketika ditemui di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya, baru-baru ini.

Samsudin berkata, tujuan laluan itu dibina adalah untuk rekreasi dan memudahkan orang ramai untuk akses ke Tasik Putrajaya.

Beliau berkata, ia juga untuk kerja-kerja penyelenggaraan tasik dan akses ke Gross Polutant Trap yang terdapat di kawasan berhampiran gigi air di sekeliling tasik.

''Tujuan pesisiran dibina pula adalah sebagai penampan dan penapis air larian permukaan ke Tasik Putrajaya," katanya.

Antara kaedah pengangkutan yang sesuai untuk melalui laluan pesisiran tasik itu adalah berbasikal sama ada berkumpulan atau individu.

Lebih-lebih lagi bagi kalangan mereka yang mahu menikmati kesegaran udara dan kehijauan tasik sambil beriadah bagi menyihatkan badan.

Ini kerana, berbasikal bukan hanya menjimat sumber alam tetapi amalan itu dapat menyumbang kepada kelestarian hidup manusia.

Berbanding dengan kenderaan bermotor yang mengeluarkan gas yang mencemar udara, basikal lebih mesra.

Ia juga menjimat kegunaan tanah kerana mengguna ruangan kecil berbanding dengan kenderaan bermotor.

Ditambah pula dengan laluannya yang tidak berbukit dan mempunyai lampu jalan bagi mereka yang gemar berbasikal pada waktu malam.

Tidak hairanlah, pihak Perbadanan Putrajaya telah mewujudkan wakaf di sepanjang laluan persisiran tasik itu sebagai tempat berteduh atau rehat.

Menurut Samsudin, sehingga kini terdapat 10 buah wakaf yang terdapat di sepanjang laluan itu sama ada di presint kediaman, pejabat kerajaan mahupun Taman Wetland.

''Kita tahu setiap hujung minggu dan malam minggu, ramai orang datang ke Putrajaya untuk berbasikal sama ada berkumpulan atau individu.

''Sebab itu, kita menyediakan ruang tempat letak kereta yang berhampiran dengan laluan persisiran tasik itu," katanya. Dalam masa sama, beliau menambah, pihaknya kini sedang menjalankan kajian bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan laluan itu kepada orang ramai.

''Kami mahu jadikan laluan persisiran itu sebagai destinasi utama bagi mereka yang gemar berbasikal," katanya.

Masyarakat perlu prihatin

Oleh ZUHAYATI YAZID


Ibu bapa yang mencorakkan peribadi anak-anak mereka.- Gambar hiasan


Jenayah penderaan kanak-kanak termasuklah pembuangan bayi perlu ditangani secara bersepadu oleh semua pihak ekoran peningkatan kes kumpulan tersebut sejak akhir-akhir ini.

Pengurus Pertubuhan Keselamatan dan perlindungan Kanak-kanak Selangor dan Kuala Lumpur, Madeleine Yong berkata, dalam menyelesaikan isu itu, semua pihak perlu berganding bahu dan tidak meletakkan permasalahan tersebut kepada ibu bapa dan juga mangsa sendiri.

''Dalam situasi sedemikian kita seharusnya mendalami permasalahan yang ditanggung oleh mangsa dan bukannya menghukum.

''Menghukum mangsa hanya sekadar merugikan masa sahaja sedangkan permasalahan sebenar tidak dapat diselesaikan,'' katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Jelasnya, dalam usaha menyelesaikan permasalahan sedemikian perlu dilihat kepada 'akar' yang menjadi punca berlakunya permasalahan itu.

''Sekiranya ia berpunca dari rumah, maka penyelesaiannya adalah kepada ibu bapa, yang mana ibu dan bapa adalah guru pertama yang mencorakkan diri anak-anak itu,'' ujarnya.

Tegas Madeleine, tugas ibu bapa bukan sekadar memberikan pendidikan serta menjaga makan dan minum anak-anak semata -mata tetapi memberikan kasih sayang dan perlindungan yang secukupnya,

Sekiranya kasih sayang yang diperlukan kanak-kanak tidak dapat dikecapi di rumah, maka mereka akan cuba perolehinya di luar rumah. Di sinilah bermula kepada masalah.

"Anak-anak cuba mencari keseronokan di luar rumah dan mereka mula terpengaruh dengan perkara yang hanya merugikan diri mereka dan juga masa depan anak-anak itu,'' jelasnya.

Ditanya apakah yang dilakukan oleh pertubuhan itu dalam usaha menyelesaikan permasahan itu, Madeleine menjelaskan, pihaknya banyak menjalankan sesi kaunseling kepada kanak-kanak dan ibubapa dalam usaha memberikan kesedaran.

''Dalam situasi tersebut, kita banyak mendengar keluhan mangsa-mangsa yang terjerumus dalam masalah sosial,'' jelasnya.

Namun dalam situasi tersebut, Madeleine memberitahu, banyak pihak yang cuba menghentam anak-anak itu sehingga mereka takut untuk berkongsi masalah yang hadapi.

''Oleh itu, timbullah pelbagai isu sebagai contohnya, pembuangan bayi yang mana mereka sebenarnya cuba menutup kesilapan yang telah di lakukan.

"Dalam situasi tersebut, seharusnya, ibu bapa menerima mereka dan cuba membawa ke pangkal jalan, tetapi yang berlaku sebaliknya.

"Justeru ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

"Mereka perlu luangkan lebih masa dengan anak-anak dan mengambil tahu apa masalah mereka.

''Kita perlu tahu bahawa gelora anak-anak muda memerlukan pembimbing yang betul sebagai panduan untuk menilai baik dan buruk,'' ujarnya serius.

Masyarakat juga katanya, harus berganding bahu dalam sama-sama menyelesaikan permasalahan yang berlaku memandangkan anak-anak adalah generasi yang akan membentuk pembangunan masa depan.

-mel anda: Mana wang pencen RM360?

SEBAGAI anggota pasukan keselamatan yang menyabung nyawa ketika zaman darurat lalu, saya memohon kerajaan memberi bantuan pencen bulanan seperti diumumkan kerajaan pada 1 Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini wang pencen berjumlah RM360 sebulan yang dicadangkan Persatuan Bekas Polis Malaysia itu masih belum menjadi kenyataan walaupun sudah lebih setahun diumumkan.

Saya dan rakan seangkatan berasa sangat terkilan dengan janji yang belum tertunai itu sedangkan ia sudah diumumkan. Ini menyebabkan saya ibarat menanti buah yang tidak gugur.

Mungkin kerajaan terlepas pandang perkara ini dan saya berharap kerajaan menunaikan janji berkenaan kerana wang itu boleh menampung keperluan bagi kami yang rata-rata berusia 75 hingga 80 tahun menghabiskan sisa-sisa hidup ini.


Saya dengan rendah diri merayu belas ihsan, perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada Kementerian Pertahanan supaya dapat menghulurkan bantuan pencen bulanan kepada kami yang mempertahankan kedaulatan bangsa dan memperjuangkan kemerdekaan negara.


Ia sebagai menghargai jasa kami yang bergelar ‘wira bangsa’ yang berkhidmat pada zaman darurat (1948-1958-1961) di kawasan hitam dengan beroperasi memburu pengganas komunis tidak kira siang atau malam.


ALI GULAM MOHAMAD
Bekas Polis

Mohd `Adlan

Bekerja sebagai penjawat awam merupakan impian emas ramai orang kerana faktor kestabilan pendapatan bulanan dan faedah-faedah yang diterima berbanding kerjaya dalam bidang swasta atau bekerja sendiri. Gaji bulanan yang tetap dianggap sebagai satu jaminan untuk kehidupan yang sejahtera. Justeru, ramai ibu bapa berharap agar anak-anak mereka dapat menjadi polis, tentera, pegawai kerajaan, atau sekurang-kurangnya kerani di mana-mana jabatan.

Namun, sesetengah pihak yang panjang akal melihat hal ini sebagai satu kesempatan untuk menjana pendapatan mereka dengan cara tersendiri, atau untuk mengaut keuntungan seolah-olah penjawat awam adalah lubuk emas. Hal ini dapat dilihat apabila banyak golongan terutama yang berorientasikan perniagaan menyasarkan penjawat awam sebagai pasaran utama mereka. Bermula dengan pelbagai syarikat insurans, pinjaman peribadi, ah long, pakej percutian, alatan komputer dan telefon bimbit, serta tidak ketinggalan aksesori kenderaan. Banyak daripada mereka menjadikan penjawat awam sebagai pelanggan nombor satu mereka.

Benar, banyak transaksi boleh berlaku dengan hanya menggunakan skim 'potong gaji' atau skim ansuran. Namun, kita dapat melihat ramai penjawat awam yang merungut kerana berasa terperdaya dengan produk yang tidak berkualiti, lebih mahal daripada harga sebenar di pasaran, khidmat pascajualan yang tidak memuaskan dan kemudian di hujung bulan, mereka merungut kerana lebih banyak hutang berbanding pendapatan bulanan.

Lebih teruk apabila penjawat awam ini mengambil sikap melulu dalam membeli sesuatu produk atau perkhidmatan tanpa membuat kajian kualiti terhadap produk atau perkhidmatan tersebut. Ini ditambah dengan sikap sesetengah daripada mereka yang membeli dengan alasan 'kerana boleh berhutang' walaupun produk tersebut bukan keperluan mereka.

Saya menyeru kepada pihak yang terlibat dalam memanipulasi penjawat awam ini agar berhenti daripada menjadikan kakitangan awam sebagai lubuk emas mereka. Berniagalah dengan adil dan tawarkanlah produk atau perkhidmatan yang benar-benar berkualiti, bukan semata-mata untuk keuntungan peribadi.

Para penjawat awam pula hendaklah tidak sewenang-wenang membuat sebarang 'hutang' atau pembelian produk dan perkhidmatan yang bukan keperluan mereka. Banyak saluran boleh digunakan oleh penjawat awam untuk mendapatkan nasihat atau pandangan kedua sebelum membeli sesuatu. Sekurang-kurangnya, mereka boleh merujuk kepada majikan masing-masing, atau lebih baik, mencari maklumat lanjut daripada Persatuan Pengguna atau di Internet.

Mohd `Adlan,

Lahad Datu, Sabah.

http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

Tiga puluh peratus penduduk di negara ini mempunyai berat badan berlebihan manakala 30 peratus lagi obes, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata, ia merangkumi semua peringkat umur, manakala jumlah kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan pula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pernah mengadakan lawatan ke sebuah ladang organik di New York bersama Michelle Obama, yang berkempen bagi tabiat pemakanan sihat bagi melawan kadar obesiti yang meningkat di Amerika. Kenapalah dibawaknya Rosmah ke lading organik? Banyak lagi isu lain yang boleh dikemukakan, kenapa pulak isu obes? Macam perli Bigmama aje?

Lawatan ke Stone Barns Center, sebuah pusat pendidikan berasaskan ladang seluas 32 hektar terletak 40 kilometer ke utara bandar raya New York, sambil memerhatikan pelajar gred tiga menuai, memasak dan menikmati hidangan sayur segar, telur dan produk ladang lain.

Rosmah, yang mengakui beliau tidak gemar makan sayur ketika muda berkata, program seumpama ini amat berguna bagi menggalakkan kanak-kanak makan sayur-sayuran yang ditanam di laman sendiri, menyedia dan memasak dan khususnya tanpa bahan kimia dan pengawet.

Rosmah menyuarakan kebimbangan mengenai obesiti di kalangan kanak-kanak di Malaysia yang mungkin disebabkan peningkatan pengambilan makanan segera dan kurangnya senaman.

Bagi anda yang merasa latihan olahraga yang dilakukan sudah mencapai tahap tepu dan sudah tidak menghasilkan kemajuan, anda memerlukan bentuk senaman baru. Apa kata lari menggunakan paracut.

Menurut Murat Gecmen, pelatih dan pemilik FitInFitness, England kaedah ini amat efektif untuk memberi kejutan pada sistem otot. Melakukan sprint dengan mengikatkan paracut kecil di belakang sangat efektif dan meningkatkan heart rate dan menambah kekuatan otot khususnya meningkatkan otot-otot kaki, paha dan tubuh.

Amacam? Sanggup ke? Apa salahnya ikut nasihat isteri PM tu…nak jaga permasalahan obes rakyat semakin teruk kini

Ribuan mangsa Merapi pulang ke rumah

DUA penduduk yang menunggang sebuah motosikal melalui kawasan beberapa buah rumah yang musnah akibat letusan Gunung Merapi di daerah Klaten, Pulau Jawa semalam.



GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Beribu-ribu penduduk kampung kembali ke rumah masing-masing semalam selepas pihak berkuasa Indonesia menyatakan beberapa kawasan tidak lagi berbahaya selepas Gunung Merapi di Pulau Jawa meletus dengan kuat dua minggu lalu.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana, Gunung Merapi yang meletus sejak 26 Oktober lalu telah membunuh lebih 259 orang.

Menurut seorang ahli vulkanologi, Gunung Merapi dilihat masih mengeluarkan asap panas dan debu namun aktivitinya sudah berkurangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Setelah berada selama hampir tiga minggu di kem-kem sementara yang sesak, ramai penduduk kampung kembali ke rumah dengan membawa tikar, selimut dan baju.

Mereka yang pulang ke kampung mendapati hampir semua barang yang dimiliki termasuk rumah sudah musnah.

"Rumah-rumah diselaputi oleh abu tebal dan hasil pertanian tidak boleh dituai.

"Kami perlu mencari jalan untuk membantu mereka kerana ramai yang tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan," kata seorang ketua kampung Jati, Lilik Sujati. - AP

No comments:

Post a Comment