Kampung Medan tiada kaitan seberang sebaliknya pusat hijrah warga Perak
BERMULA daripada sebuah kawasan perlombongan bijih timah diibaratkan 'hidup segan, mati tak mahu' sehingga menjangkaui status kawasan penempatan setinggan cukup terkenal di Lembah Klang serta dilingkari pelbagai coretan suka duka sudah cukup memberi gambaran nostalgia Kampung Medan yang kini pesat membangun.
D sebalik kemajuan pesat kawasan pinggir ibu negara yang kini dikenali Taman Medan, ada sesetengah masyarakatnya terutama generasi muda tidak tahu asal usul kewujudan kawasan penempatan itu.
Nama Kampung Medan itu dicadangkan Ketua UMNO Bahagian Damansara, Allahyarham Raja Nasron Raja Ishak, pada mesyuarat penubuhan cawangan UMNO di Kampung Medan, kira-kira 60 tahun lalu. Menariknya, nama kampung yang dianggap unik oleh masyarakat luar itu sebenarnya tidak mencerminkan identiti sebenar penduduk awal di kawasan penempatan berkenaan.
Sering kali pertanyaan diajukan ‘Kenapa namanya Kampung Medan?’ dan ‘Ramai warga seberang dari Medan ke? Hakikatnya, soalan sebegitu tidak harus disalahertikan kerana penduduk asal kawasan itu sebenarnya anak jati tanah air yang berhijrah dari kampung halaman masing-masing di Perak untuk mencari rezeki di ibu kota.
Menjejaki rentetan sejarah Kampung Medan, adalah tidak keterlaluan jika kawasan itu diberi nama jolokan ‘negeri Perak kedua’ kerana kira-kira 80 peratus daripada 80,000 penduduk di situ adalah masyarakat Yob itu sendiri.
Perjuangan menaikkan nama Kampung Medan sebenarnya satu usaha yang tidak kenal erti lelah kerana kawasan itu pernah dilabelkan kawasan hitam akibat tercetusnya beberapa kejadian berunsur jenayah dan perkauman di situ. Kawasan itu turut mengundang kehadiran pihak berkuasa terutama anggota bomba setiap kali berlaku kebakaran rumah setinggan.
Namun ibarat pepatah `alah bisa, tegal biasa', semua itu dihadapi sepenuh kekuatan semangat dan kesepakatan yang sememangnya tebal di kalangan masyarakat Yob itu yang difahamkan, berasal dari beberapa kawasan di Perak seperti Kampung Gajah, Lambor Kiri, Lambor Kanan, Bota Kiri, Bota Kanan, Telok Bakong, Telok Sarih, sekitar daerah Parit dan Kuala Kangsar.
Justeru, usah terkejut jika anda disapa oleh penduduk di situ dengan pertanyaan ‘Assalamualaikum...mike ni mencari ghomah sape?' (Anda mencari rumah siapa?)
Di sebalik kesepakatan mereka, kesungguhan penduduk Kampung Medan mempertahankan adat budaya dan bahasa mereka adalah sesuatu yang harus dipuji. Baru-baru ini, penempatan itu dipilih menganjurkan Pertandingan Rebana Perak ‘Hadrah’ serentak Majlis Jamuan Aidilfitri Muhibah dikelolakan bersama Persatuan Darul Ridzuan (PDR) dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Selangor.
Majlis serba meriah dan berwarna-warni itu dihadiri Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan diiringi isteri Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim Davidson. Hadir sama, Raja Di Hilir negeri itu, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan isteri Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah selain Presiden PDR Selangor/Kuala Lumpur, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional Negeri Selangor, Abdul Halim Omar.
Tetamu dihiburkan persembahan Rebana Hadrah yang cukup terkenal di Perak dan alat muzik tradisional yang turut dimainkan pada Majlis Menyambut Pembesar Negeri sehingga ke majlis perkahwinan. Turut diadakan, pertandingan yang menyaksikan pasukan rebana Hadrah Taman Sri Medan muncul juara sekali gus meraih hadiah wang tunai RM1,000 bersama sijil manakala tempat kedua disandang pasukan rebana Hadrah Taman Datuk Harun yang memberikan persembahan membanggakan dengan mengatasi lapan lagi pasukan pada peringkat pusingan.
Pengerusi penganjuran majlis, Datuk Seri Jalaluddin Abdul Rahim, berkata, program kemasyarakatan itu bertujuan menghidupkan kembali permainan Rebana Hadrah agar ia dapat terus dimainkan oleh generasi muda.
“Kami berpendapat, satu usaha perlu dilakukan bagi menyelamatkan permainan muzik Rebana Hadrah. Justeru, kami sepakat untuk menganjurkan pertandingan ini di Taman Medan di sini kerana ia didiami ramai anak jati Perak. Alhamdulillah, sambutannya cukup membanggakan," katanya, menambah program itu dapat mengukuhkan ikatan silaturahim di kalangan penduduk di kawasan penempatan itu tanpa mengira bangsa dan agama.
“Ramai orang Cina dan India datang dan terhibur menyaksikan persembahan Rebana Hadrah sambil menikmati beraneka juadah lazat yang disediakan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Muhibah. Saya yakin ini satu kaedah yang akan meninggalkan kesan yang positif kepada bukan setakat kepada anak jati Perak tetapi juga masyarakat keseluruhannya," katanya.
Penduduk, Yahya Mohamad Yusoff atau lebih dikenali sebagai Pak Ya, 66, berkata beliau gembira dengan inisiatif menganjurkan majlis seumpama itu di kawasan tempat tinggalnya di situ.
“Ini majlis yang terbesar pernah dijalankan di Taman Medan ini. Seharusnya, penduduk di sini berterima kasih atas apa yang kami anggap sebagai hadiah bermakna sempena Aidilfitri tahun ini. Diharap lebih banyak majlis seumpama ini dapat dijalankan selepas ini,” katanya yang juga antara penduduk terawal di situ
Masyarakat Mabisa-Iya
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/10/10
ANTARA aktiviti dan rutin harian masyarakat Bisaya membabitkan budaya dan sumber rezeki.
PENDUDUK Padas Damit, Said Masi menunjukkan replika baju kebal dipakai pahlawan wanita Bisaya, Dang Isum.
Majoriti 50,000 etnik Bisaya bertapak di Beaufort, Sabah
NAMA mereka bukanlah asing untuk diperkatakan tetapi sejarah dan cara hidup mereka di satu lokasi 90 kilometer (km) di selatan Kota Kinabalu, Sabah, sememangnya menarik untuk dikongsi bersama.
Dalam kelembutan bahasa mereka, sebenarnya tersimpan banyak khazanah misteri yang layak diungkapkan mengenai masyarakat Bisaya yang juga satu etnik Islam dengan majoritinya bertumpu di daerah Beaufort, Sabah. Antara keunikan mereka yang diakui ramai adalah fizikal mereka yang tampak seperti orang Cina atau mungkin campuran Filipina. Pendek kata, mereka memang cantik.
Sebelum penulis mendekati mereka, rakan-rakan di Kota Kinabalu sudah menitipkan pesanan. Ada gurauan dan tidak kurang juga yang kedengaran serius.
“Jaga-jaga dengan orang Bisaya. Mereka bukan saja cantik tetapi ilmunya juga tinggi. Ketika di sana, jangan buat perangai tak tentu hala, takut nanti lain pula ceritanya. Ilmu mereka bukan calang-calang, tak senang nak dikesan. Takut nanti, balik ke Semenanjung, terpaksa pula kembali semula ke sini untuk berubat!”
Itu pesanan Ali Karimi Dahlan, seorang guru yang mengiringi kami dari Kota Kinabalu ke Beaufort dan bertindak sebagai penunjuk jalan bertemu dengan masyarakat itu.
Ada kebenaran juga kata-katanya kerana sepanjang empat hari bersama masyarakat itu, kami selalu dihidangkan dengan cerita yang bisa meremangkan bulu roma mengenai kehebatan ilmu mereka. Namun, kerisauan itu kendur apabila dimaklumkan tiada apa yang akan berlaku selagi kita tahu menjaga kelakuan di situ.
Pasti ramai yang mungkin pernah mendengar cerita mengenai kemaluan berasa ada di dahi dan itulah antara kehebatan yang disebut-sebut dimiliki etnik ini.
Penulis bukan mahu menceritakan sesuatu yang negatif kerana realitinya sudah ramai mengetahui mengenai kehebatan ilmu mereka. Di sebalik cerita negatif mengenai mereka, pada hakikatnya penduduknya mempunyai akhlak yang tinggi dan kuat pegangan agama.
Apa pun, tidak dinafikan kecantikan gadis Bisaya pasti menarik perhatian. Dengan kulit putih dan wajah seperti orang Cina bermata sepet, ia menonjolkan keayuan dan kelembutan tersendiri. Tambah unik kerana raut wajah mereka tidak sepenuhnya seperti orang Cina tetapi lebih menarik.
Berbeza versi cerita menakutkan mengenai kehebatan ilmu kebatinan mereka, realiti yang dapat dilihat ialah orang Bisaya ramah dan berbudi bahasa. Kita pasti leka apabila bersembang dengan sesiapa saja di situ, tidak kira yang muda mahu pun tua. Tiada seorang pun yang lokek melontarkan senyuman.
Etnik Bisaya bukan saja ada di Beaufort, tetapi boleh ditemui di Kuala Penyu, Menumbok, Sipitang dan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan. Bagaimanapun, majoritinya berkampung di Beaufort dengan jumlah masyarakatnya melebihi 50,000 orang.
Di Beaufort, masyarakat ini mendiami kawasan Klias dan sepanjang tebing Sungai Padas. Di Klias pula, mereka mendiami kawasan perkampungan seperti Kampung Kebatu, Kukut, Kabidang, Takuli, Malabau, Kota Klias, Klias Kecil, Laba dan Nukahan.
Di sepanjang Sungai Padas pula, mereka mendiami kawasan Kampung Malalugus, Luagan, Mempagar, Limbawang, Pintas, Lubak, Lupak, Batandok, Beringin, Gadong, Kepawa, Garama, Silaun, Lawa, Kebajang, Lago, Suasa, Padas Damit, Jabang dan Bangkalalak, manakala di Kuala Penyu, penempatan mereka ialah di Kilugus, Manggis, Sinapokan, Siaun, Malikai dan di pekan Menumbok.
Dalam daerah Sipitang, sebahagian kecil mereka mendiami kawasan Sindumin, Mesapol serta di pekan itu sendiri. Di daerah lain pula, kebanyakannya berada di Kota Kinabalu, Wilayah Persekutuan Labuan, bandar lain seperti Tawau, Sandakan, Keningau, Kudat dan di pekan kecil seperti Kota Belud, Ranau, Tenom, Papar dan Membakut.
Meskipun masyarakat ini banyak di lokasi lain di Sabah, mereka juga ada di Sarawak. Namun, peninggalan sejarah serta cerita mengenai mereka lebih tepat diperoleh daripada masyarakat di Beaufort kerana menurut ‘orang lama’ di situ, beberapa lokasi sekitar daerah itu menjadi titik tolak perkembangan masyarakat Bisaya di Sabah, malah kisah mengenai kehebatan mereka juga berakar umbi di situ.
Menurut kepercayaan orang tempatan, perkataan Bisaya berasal daripada sebutan “Mabisa Iya” yang membawa maksud seseorang lelaki atau wanita nampak tampan dan gagah serta cantik. Sebutan itu kemudian bertukar kepada Bisaya sehingga hari ini.
Versi lain yang memetik Beyer H.O pada 1926, Hester E.D pada 1954 dan Harrison pada 1956 ialah perkataan Bisaya kemungkinan berasal daripada Empayar Srivijaya (Sonza, 1972). Pada 1960, John Carol menyatakan perkataan Bisaya berasal daripada pahlawan yang bernama Sri Visaya. Derek Headly (1950) pula menyatakan Sultan Brunei ketika kunjungannya untuk meninjau kawasan penduduk Bisaya dan baginda menyebut: “Bisai-Yah!” yang bermaksud betapa cantiknya ketika melihat gadis di situ.
Masyarakat Bisaya boleh dikatakan majoritinya beragama Islam. Mereka hidup dalam kawasan kampung terancang dan menjalankan aktiviti pertanian, selain ada yang mengusahakan produk sagu kerana hampir semua masyarakat Bisaya gemar memakan sagu, malah menjadikannya sebagai makanan asasi pula menggantikan nasi.
Melihat taraf dan kualiti hidup mereka di sekitar Beaufort, nampak jelas kebanyakan mereka mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, malah ramai juga hidup mewah kerana menceburi bidang perniagaan, selain sektor pertanian juga memberi pendapatan lumayan.
Dalam kemewahan dan keselesaan hidup itu, mereka utuh mempertahankan budaya masyarakat Bisaya kerana masih ada kumpulan kebudayaan bergerak aktif memainkan alat muzik seperti kulintangan dan gambang, malah mempunyai rutin latihan mereka sendiri di lokasi khusus.
Bisaya bukan masyarakat terpencil kerana realitinya mereka mempunyai sistem pengurusan yang mantap. Dalam kalangan masyarakat itu, sudah ada yang menjadi pemimpin dalam pelbagai badan politik dan bukan kerajaan. Sebagai contoh, siapa tidak kenal Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin yang turut bertindak sebagai Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).
Persatuan itu juga bergerak aktif dengan jawatankuasa yang dilantik dan dirombak setiap kali mesyuarat agung, selain tidak pernah gagal menganjurkan keramaian Adau Janang Gayuh setiap 15 Julai yang membawa maksud hari besar pemimpin sebagai satu simbol penghormatan serta mengenang jasa pemimpin masyarakat itu pada masa lalu hingga kini.
'Terima Islam seawal kurun 13'
ETNIK Bisaya sudah wujud di Kepulauan Borneo sejak ribuan tahun lalu dan menjadi antara suku kaum digeruni dan dihormati oleh suku kaum Asli lain di Sabah.
Mereka juga dipercayai antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua Bisaya yang pertama ialah Awang Alak Betatar atau Sultan Mohammad Shah. Hubungan perdagangan yang dijalin dengan pedagang dari tanah Arab menjadi antara faktor etnik ini cepat memeluk Islam berbanding etnik lain di kepulauan Borneo.
Jika dilihat dari segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan seharian mereka. Etnik Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia kini menjadi sumber utama pendapatan mereka.
Masyarakat ini walaupun dipercayai ada kaitan dengan suku Visaya di Filipina, Bisaya hanya ada di Sabah dan Sarawak. Visaya di Filipina dipercayai berasal dari Borneo dan penghijrahan beramai-ramai mereka ke sana adalah disebabkan pelbagai faktor, termasuk politik.
Bisaya terkenal dengan budaya unik yang diamalkan sejak sekian lama, terutama dalam hal makanan tradisi dan kesenian. Antaranya, makanan tradisi yang paling digemari mereka ialah sagu yang diambil dari batang rumbia.
Lagu rakyat pula dipertahankan iaitu badaup yang dinyanyikan beramai-ramai ketika menuai padi, kebiasaannya oleh wanita dalam masyarakat itu. Selain badaup, ada juga nyanyian lain iaitu Oh Aki-aki dan King-king Batudan, iaitu rangkaian pantun kanak-kanak untuk mendodoi anak.
Banyak lagi kebudayaan masyarakat yang dipimpin oleh Janang Gayuh, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, termasuk tarian dan muzik tradisi, namun ia dikatakan semakin sukar dilihat akibat arus kemodenan yang semakin menghimpit mereka, selain penghijrahan belia ke lokasi yang lebih membangun terutama di bandar.
Bukan sukar untuk mengenali dan berjumpa orang Bisaya di Beaufort kerana mereka seolah-olah ada identiti tersendiri. Paling ketara ialah raut wajah mereka seperti kacukan Cina dan Melayu. Jika berkunjung ke kampung Padas Damit, Karukan dan Kelias, boleh dikatakan semuanya orang Bisaya.
Meskipun semua kampung itu berada dalam daerah sama, lokasinya agak jauh di antara satu sama lain, malah ada yang memakan masa sehingga dua jam perjalanan. Ini sekali gus menunjukkan masyarakat itu memonopoli hampir segenap lokasi di Beaufort.
Difahamkan, perkampungan di Padas Damit menjadi satu lokasi utama perkembangan masyarakat Bisaya di Beaufort dan mempunyai banyak tinggalan sejarah, terutama ketika pertempuran masyarakat itu dengan tentera British pada suatu ketika dulu. Ia sekali gus menjadikan Padas Damit sebagai lokasi wajib dikunjungi sekiranya mahu mengenali lebih dekat mengenai Bisaya.
Dari Kota Kinabalu, perjalanan ke Beaufort hanya memakan masa lebih dua jam, sama ada menaiki bas atau teksi yang boleh didapati dengan mudah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Menjejakkan kaki ke pekan Beaufort saja sudah cukup untuk bertemu orang Bisaya tetapi ia tidak memadai kerana sejarah dan misteri masyarakat itu tersimpan di ceruk pedalaman daerah itu.\
Dilarikan makhluk wajah anjing, babi'
Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my
2010/10/10
NAJIB Abdullah Ghani berusaha mengubat Siti Balqis.
SITI Balqis menujukkan siling tempatnya pernah disembunyikan.
ANTARA SMS yang sempat dihantar kepada ibunya ketika dia dibawa makhluk halus.
Siti Balqis ghaib dibawa ke rumah tinggal, atas pokok dan tanah perkuburan
NASIB gadis, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Terengganu, yang melalui peristiwa seram memasuki alam ghaib, sememangnya mencuri tumpuan ramai. Namun, seperti misterinya kejadian itu, begitu jugalah sukarnya kaedah bagi merungkai nasib dirinya yang tidak lagi dapat melalui kehidupan tenang apabila terus berdepan kejadian pelik berkenaan.
Apa yang pasti, seperti diakui Siti Balqis yang selesa dipanggil Siti, setiap kali hilang dari rumah, dia yang sudah melalui beberapa pengembaraan ke alam ghaib sejak dua bulan lalu, dibawa suatu lembaga besar dan tinggi berwajah anjing dan berbulu tebal seperti beruang. Ada kalanya, makhluk itu menyerupai babi yang sentiasa ada di sekelilingnya.
Makhluk itu yang menggendong di bahu 'berjalan' merentas apa saja hinggakan mereka sampai ke destinasi dengan begitu cepat sebaik diambil makhluk itu dari rumahnya dan sampai ke destinasi yang pernah sejauh 10 kilometer dari rumahnya.
“Saya berada di alam yang sukar digambarkan insan lain. Kadang-kadang rasa seperti bermimpi, tetapi anehnya, saya dapat mengamati kejadian yang berlaku seperti orang menangis, meraung meminta tolong dan mengaji al-Quran di kubur,” katanya yang menetap bersama keluarga di Kampung Gong Nangka, Apal di Jertih.
Dalam nada keletihan, Siti Balqis berkata, anehnya, dia pasrah dengan nasib dirinya yang pelik itu dan yakin pasti ada penyelesaian terhadap masalahnya itu.
“Pada mulanya, memanglah takut. Tetapi apabila sudah hampir setiap hari dapat melihat makhluk ini, saya seakan sudah biasa. Kebanyakannya ia muncul dalam bentuk makhluk besar berwajah anjing dan berbulu tebal seperti beruang.
“Pada masa lain pula, ia berupa babi. Ia juga ada di mana-mana baik di dalam mahu pun di luar rumah. Saya tidak dapat mengelaknya kerana ia sentiasa berada di sekeliling. Mungkin disebabkan itu saya tidak berasa takut biarpun bimbang apa yang akan dilakukan kepada diri ini,” katanya.
Malah, wartawan Berita Minggu turut sama menyelami sendiri kehidupan keluarga berkenaan yang terpaksa berjaga malam mengawal pergerakan Siti pada malam Selasa lalu tetapi dia tidak ghaib pada malam itu. Ibunya, Norizan Said, 47, berkata, anaknya tidak ghaib jika berada dalam kesakitan.
Namun, penulis dan jurugambar, Aswadi Alias, sempat merasai pengalaman seram apabila mendengar dentuman seperti suatu objek berat terhempas di lantai.
Namun, selepas diperiksa, tiada apa terjadi. Tidak lama kemudian, objek yang berbalut kain putih melayang dalam rumah.
Logam sepanjang kira-kira 12 sentimeter itu kemudian terhempas di penjuru ruang tamu, cukup untuk menegakkan bulu roma sesiapa saja, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bersama isterinya yang turut hadir.
Bercerita lanjut, Siti Balqis berkata, berbanding pengalaman orang lain yang hilang dibawa makhluk halus, dia sebaliknya tidak berasa seperti berada di taman indah atau dihidangkan untuk menikmati makanan yang sedap. Malah dia berasa seperti berada di suatu tempat dan dapat melihat orang ramai mundar mandir mencarinya. Pernah sekali, ketika ghaib ke dalam sebuah rumah tinggal di kampung itu, dia menyentuh tangan bapa saudaranya beberapa kali tetapi mereka tidak berasakan kehadirannya.
Dalam tempoh dua bulan lalu, termasuk Ramadan, Siti Balqis sudah berada di lima lokasi luar rumahnya selain ghaib hampir setiap malam antara enam hingga tujuh jam sebelum ditemui semula selepas keluarga membuat solat hajat, membaca al-Quran dan melaungkan azan di tempat dia dipercayai berada.
Setakat ini, Siti sudah dibawa makhluk itu ke sebuah rumah tinggal, atas pokok, atas siling rumahnya, dalam mesin pembancuh simen dan paling jauh 'perjalanan' ke dua tanah perkuburan pada malam tujuh likur Ramadan. Perjalanan lebih 10 kilometer ke tanah perkuburan berkenaan memang mengambil masa. Justeru, Siti yang dibawa semula bersama penulis ke kawasan perkuburan itu, berasa hairan kerana dia ke sana dengan pantas merentas laluan yang sangat berbeza.
“Ini bukan laluan saya pergi ke kubur tetapi ada jalan pintas meredah hutan dan belukar untuk sampai ke sana ketika saya dibawa lembaga menyerupai anjing yang lebat bulunya,” kata Siti, yang kelihatan agak letih selepas keadaan yang menimpanya, mengenai perjalannnya ke Perkuburan Islam Kampung Gong, Gucil, Jertih, Terengganu.
Katanya, pada malam itu, dia berasa seperti berada dalam sebuah keranda selepas dibawa makhluk berkenaan. Selepas di alam ghaib itu, dia tersedar dan berada di atas tanah kubur. Ketika itulah dia yang masih menggenggam telefon bimbitnya, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu meminta tolong kerana takut. Tetapi tidak lama kemudian, dia kembali ke alam ghaib apabila diambil lembaga itu dan dibawa ke tanah perkuburan lain di Kampung Gong Rengas, yang lebih jauh dari kampungnya.
Norizan mengakui menerima SMS itu kira-kira jam 3 pagi bergegas bersama tiga anak lain dengan sebuah kereta yang dipandu jiran, tetapi gagal menemui Siti. Mereka kemudian ke balai polis bagi membuat laporan kehilangannya. Akan tetapi sebaik masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi, mereka terhidu sesuatu yang sukar digambarkan dan tiba-tiba Siti muncul di depan rumah. Seluruh tubuhnya dibasahi air dan bajunya kotor berlumuran tanah liat merah.
Ibarat berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kehidupan Siti sekeluarga, khususnya Norizan, dipenuhi pelbagai usaha bagi memulihkan anak kesayangannya termasuk solat hajat, membaca al-Quran, membaca surah Yasin dan kaedah lain menurut ajaran Islam tetapi belum berhasil.
Keluarga itu turut menggunakan lebih 100 bomoh dari Kelantan, Terengganu dan Pahang selain empat guni beras, satu guni garam, lima kilogram pulut hitam dan dua kilogram lada hitam yang menjadi sebahagian ikhtiar, tetapi keadaan tidak berubah.
“Sudah banyak wang dibelanjakan untuk upah bomoh dan sekarang kami sudah tidak mampu lagi kerana tiada sumber kewangan yang cukup,” katanya yang mengharapkan rezeki sebagai tukang jahit.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri (Operasi), Omar Musa, berkata apa yang dialami Siti mungkin ada kaitan dengan gangguan makhluk halus.
Katanya, keluarga mangsa hendaklah bersabar dan mencari perubatan alternatif secara perubatan Islam bagi membolehkan mangsa tidak lagi diganggu makhluk halus.
"Tetapi, perlu diingatkan jangan sekali-kali beranggapan apa yang terjadi terhadap Siti Balqis itu ada kaitan dengan keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosakkan dan menyesatkan pemikiran dan akidah kita (orang Islam)," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata kerajaan negeri simpati dengan masalah Siti Balqis dan tidak menolak kejadian menimpanya ada kaitan dengan gangguan makhluk halus dan hendaklah dirawat menggunakan kaedah Islam.
INFO
Kehilangan misteri global pernah dilaporkan
· Di Indonesia, pada 2009, seorang gadis, Aslina yang menetap di Bengkalis, koma selama 48 jam. Sebaik sedar, dia mendakwa melihat pelbagai kejadian aneh berkaitan amal dan perbuatan manusia di dunia. Malah ketika sidang media di sebuah stesen televisyen di daerah itu, kejadian aneh seperti bekalan elektrik terputus dan kelibat wanita berpakaian putih dan berambut panjang, mengejutkan wakil media.
· Kehilangan misteri penulis terkenal England, Agatha Christie selama 11 hari pada 3 Disember 1926, yang mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk masalah tekanan dan masalah lupa ingatan atau amnesia serta unsur mistik.
· Diplomat Britain, Benjamin Bathurst, baru kembali dari Hamburg dengan seorang rakannya selepas hadir di mahkamah Austria pada 1809. Dalam perjalanan, mereka berhenti makan malam di bandar Perelberg. Sebaik habis makan, mereka kembali ke kereta kuda yang menunggu. Rakan Bathurst melihat diplomat itu menaiki koc depan kereta kuda itu untuk memeriksa kuda dan dia terus hilang tanpa dapat dikesan.
· Tiga anggota tentera New Zealand yang mendakwa melihat sendiri kehilangan misteri satu batalion pada 1915. Tiga anggota tentera New Zealand berkata mereka nampak dengan jelas batalionRejimen Diraja Norfolk berkawad menaiki bukit di Teluk Suvla, Turki. Bukit itu dikelilingi awan dan tentera Inggeris itu berkawad memasuki awan dengan mudah. Mereka dapat dikesan lagi selepas kejadian itu.
Bumi baru
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/10
Saintis temui planet miliki banyak persamaan
ANDAI bumi semakin tidak selamat diduduki berikutan pencemaran manusia daripada peperangan hingga pencemaran, mungkin penemuan baru sekumpulan pakar astronomi boleh dijadikan alternatif untuk didiami - andai ada syarat teknologi untuk sampai ke sana.
Pakar astronomi, baru-baru ini, mengumumkan penemuan planet yang disifatkan kembar bumi kerana miliki banyak persamaan tetapi bersaiz tiga kali ganda lebih besar dan mengelilingi bintang terletak 20 tahun cahaya.
Planet berkenaan terletak dalam ‘zon Goldilocks’ bintang itu - rantau di angkasa lepas yang menyaksikan keadaannya sama ada terlalu panas atau terlalu sejuk untuk membentuk lautan, tasik dan sungai.
Ia bagaimanapun, dikatakan memiliki atmosfera dan graviti seperti di bumi yang menjadikannya kemungkinan besar boleh didiami.
Penemuan itu berlaku tiga tahun selepas pakar astronomi menemui planet sama tetapi tidak sesuai diduduki di sekitar bintang sama. Penyelidik mendapati pertemuan itu menunjukkan alam semesta dipenuhi dunia seperti bumi.
“Jika tidak, kita tidak sepatutnya menemui satu planet lain begitu cepat dan amat hampir. Bilangan sistem dengan potensi planet boleh diduduki berkemungkinan cuma 10 atau 20 peratus, dan apabila menggandakannya dengan beratus bilion bintang di Milky Way atau Bima Sakti, ia satu jumlah besar.
“Besar kemungkinan berpuluh bilion sistem ini dalam galaksi kita,” kata Dr Steven Vogt yang mengetuai kajian berkenaan di Universiti California, Santa Cruz.
Keputusan itu dihasilkan 11 tahun selepas pemerhatian di Pusat Pemerhatian W M Keck di Hawaii. Planet berkenaan beredar mengelilingi bintang kecil berwarna mereka dinamakan Gliese 581 di buruj Libra. Ia yang dinamakan Glieseg, terletak pada jarak 189,902,592,000,000 kilometer dari bumi - kedudukan yang amat jauh sehingga cahaya daripadanya mengambil masa 20 tahun untuk tiba di bumi!
Ia cuma mengambil masa 37 hari untuk mengelilingi matahari yang bermakna setiap musim, planet berkenaan cuma bertahan beberapa hari. Separuh planet berkenaan sentiasa mengadap bintangnya dan berpanas sepanjang siang manakala separuh lagi sentiasa dalam kegelapan - menyamai bumi ketika malam.
Tempat paling sesuai untuk kehidupan atau manusia pada masa depan terletak di zon antara kegelapan dan cahaya yang mengelilingi planet berkenaan.
Jika Gliese 581g mempunyai kandungan berbatu yang serupa dengan bumi, keluasannya garis pusatnya kira-kira 1.2 hingga 1.4 kali ganda lebih luas daripada bumi. Graviti pula berkemungkinan serupa yang membolehkan angkasawan berjalan di permukaan tanpa sebarang kesukaran.
Pakar astronomi kini menemui enam planet dalam orbit di sekeliling Gliese 581 - paling banyak ditemui dalam sistem planet berbanding sistem solar bumi. Dua daripada planetnya yang dikesan sebelum ini dicadangkan sebagai planet yang boleh diduduki. Bagaimanapun, ia terletak di kawasan melampau Zon Goldilocks - satu di bahagian panas dan satu di bahagian sejuk manakala Gliese 581g, sebaliknya, terletak di tengah-tengah.
Bintang itu belum diberikan nama rasmi. Ia muncul dalam katalog bintang yang disusun oleh pakar astronomi Jerman, William Gliese, yang kemudian diberi nombor rujukan 581.
Pakar menamakan planet yang didapati mengelilingi bintang dengan huruf. Lima planet yang ditemui sekitar Gliese 581 sebelum ini dinamakan daripada b hingga f, menjadikan penemuan terbaru sebagai Gliese 581g.
Fakta
Gliese 581g
· Purata suhu permukaan: antara -31 darjah Celsius dan -12 darjah Celsius
· Jarak dari Bumi - 20 tahun cahaya atau 189,902,592,000,000 kilometer
· Masa diperlukan untuk mengembara ke Gliese 581g dalam roket yang berkelajuan satu persepuluh kelajuan cahaya atau 30,577.536 kilometer sesaat - 200 tahun
· Panjang tahun - 37 hari (berbanding bumi 365 hari)
· Jarak daripada matahari - kira-kira sembilan juta kilometer
da apa pada otak, minda manusia?
RHODE ISLAND - Kewujudan manusia di muka Bumi memang amat istimewa dan penuh misteri, sama ada dilihat dari sudut agama, budaya, teknologi, sejarah mahu pun sains perubatan.
Kajian sains menunjukkan wujud persamaan hampir 98 peratus antara manusia dan cimpanzi, tetapi kajian pakar neurobiologi dan primatologi membuktikan otak manusia adalah jauh lebih kompleks dan istimewa berbanding mana-mana hidupan lain.
Robert Sapolsky dari Universiti Stanford, California menyatakan demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Simposium Sains Otak di Providence, Rhode Island, Amerika Syarikat pada 13 Oktober lalu.
"Kuasa minda dan keistimewaan penuh misteri dalam otak manusia menjadikan kita sangat istimewa dan sekali gus tidak boleh disamakan dengan haiwan," katanya.
Tidak dapat dinafikan bahawa secara saintifik, unit asas sel otak manusia tidak jauh berbeza dengan spesies haiwan lain.
"Namun, manusia memiliki kemampuan untuk memanfaatkan neuron dalam sel otak dan jaringan otak yang kompleks untuk menjana kemampuannya ke tahap kognitif yang lebih tinggi dan menyeluruh.
"Sama ada mahu diperakui atau tidak, dari segi fisiologi, manusia dan primat mempunyai banyak persamaan tetapi cara kita menggunakan anugerah otak membezakan kita dengan primat lain," kata Sapolsky.
Kajian sains menunjukkan bahawa binatang juga mempunyai corak pemikiran yang hampir sama dalam soal budaya, cubaan untuk menguasai dan emosi, tetapi minda manusia lebih terkedepan.
"Sekadar contoh, sewaktu menonton filem Avatar, rata-rata penonton berasa simpati dan empati terhadap watak makhluk asing yang ditampilkan," katanya.
No comments:
Post a Comment