Wednesday, June 1, 2011

Mewah Bahasa: Takut selumbar


2011/06/01

PADA cuti semester universiti, Zahar melawat rumah datuknya di kampung ….

Datuk: Zahar!! Buat apa tu?
Zahar: Tak ada apa-apa …. Saja menengok-nengok kat bawah rumah ni.
Datuk: Hai! Dari tadi Atuk dengar ketekung ketekang bunyi orang bertukang kat bawah rumah tu … tak buat apa-apanya?!

Zahar: Hehehe …. Atuk ni macam-macamlah! Bukannya buat apa-apa pun, cuma balik-balikkan papan kat bawah rumah ni.

Datuk: Eh!! Baik-baiklah … kut ada lipan ke, kala jengking ke ....

Zahar: Kayu dan papan apa ni Tuk? Daun tingkap pun ada ni .…
Datuk: Papan rumah dapur tu dulu ….

Zahar: Rumah dapur??

Datuk: Ha’a … dulu kan ke dapur tu kat atas? Tak ingat ke? Bila lantai dapur tu reput,… ubah suai jadi dapur atas tanah.

Zahar: Kayu-kayu ni tak macam reput pun??

Datuk: Ni papan dinding dan tingkap. Bila tukar dinding simen, tingkap ni tak sesuai lagi. Tak rosak pun, itu pasal Atuk simpan.

Zahar: Tu laa .... Nampak cantik-cantik lagi ni ….

Datuk: Ha laa …. Tingkap, kipas-kipas, kekisi …. Semua elok lagi!!

Zahar: Kipas?? Tak ada pun kipas ….

Datuk: Bukan kipas … tapi kipas-kipas. Tu yg berukir tu … kipas-kipas le tu!! Letaknya kat atas tingkap dan pintu ….

Zahar: Yang berukir ni??

Datuk: A’ haa ….

Zahar: Cantik ukirannya, sayanglah letak macam ni aje ….

Datuk: Tu pasallah atuk simpan, nanti bila Zahar buat rumah bolehlah guna bahan-bahan ni. Sekarang ni kat Kuala Lumpur tu banyak rumah batu yang guna tingkap, kekisi dan kipas-kipas kayu macam ni. Dah ada orang tanya nak beli ni … tapi Atuk tak kasi!!

Zahar: Jangan juallah!! Nanti saya nak pakai bila dah ada rumah sendiri nanti .…

Datuk: Jangan risau …. Atuk simpan!! Tapi baik-baik le pegang kayu tu, kayu lama tu, ada yang pecah!!

Zahar: Kenapa pulak??

Datuk: Takut selumbar!!

Zahar: Selumbar? Apa tu? Jenis ular ke?? Eeee … gelilah!! Memang dah hati-hati angkat kayu ni, … tadi dah jumpa lipan sekor, dah katuk pun. Ular selumbar ni bisa ke??

Datuk: Bukan ular … tapi bisa!! Kalau kena tangan mau berdarah juga, kalau tak dikeluarkan … oleh bernanah!!

Zahar: Ugh!! Bahaya tu …. Macam mana rupa binatang tu? Macam lipan ke? Atau macam kala jengking? Kalau lipan ngan kala jengking tu saya kenal. Selumbar ni saya tak tau, tak pernah jumpa … Atau rupa tokek kut?! Orang kata tokek pun bisa juga ... ada kat celah-celah papan ni agaknya.

Datuk: Hahahaha … macam-macamlah kamu ni, Zahar. Kalau dah budak bandar, tu la rupanya … selumbar pun tak tau!!

Zahar: Dah tak tau,… nak buat macam mana? Kat Kolumpo tak pernah jumpa binatang ni.

Datuk: Hehehehe … sebenarnya, selumbar ni bukan binatang!! Hehehehe ….

Zahar: Kalau bukan binatang, ... apa pulak??

Datuk: Selumbar tu sebenarnya serpihan halus kayu dekat papan yang pecah tu. Kalau kena tangan, masuk dalam daging dan patah kat dalam, itu yang boleh berdarah dan sakit. Kalau tak dicungkil keluar, mau bernanah!!

Zahar: Laa … selumbar tu serpihan kayu ke?? Ingatkan binatang berbisa … hehehe

Datuk: Tu la dia cucu aku … hahahaha ….

Glosari:
  • Selumbar - serpihan kayu, buluh, duri nibung, duri bertam dan lain-lain yang tajam.
  • Kipas-kipas - (dialek Melaka) ukiran pada lubang angin di atas tingkap atau pintu
  • Tokek - sejenis cicak yang turut dikenali sebagai gekko; (dialek Perak) takik, takuk; sejenis kudis di kepala

Iqra: Umar tinggalkan contoh kepemimpinan saksama


2011/06/01

SEPANJANG 10 tahun pemerintahannya, Madinah menjadi negara terbesar yang menyinari dunia kerana umat Islam ketika itu berada dalam satu kesatuan hingga mewujudkan kemakmuran, persamaan, persaudaraan dan kemanusiaan.

Kegemilangan pemerintahan Umar Al-Khattab menjadi contoh ikutan kepemimpinan hari ini yang dahagakan keharmonian dan keamanan. Ada yang mahu menjadi pemimpin seperti beliau yang adil terhadap rakyat dan bertindak tegas walaupun dalam perkara membabitkan keperluan keluarganya.
Buku Umar bin Al-Khattab The Conqueror membawa pembaca bersama pemimpin ulung itu mengembara episod demi episod kehidupan beliau yang dipenuhi kebaikan, keindahan, sinar cinta serta kegembiraan rakyat yang berpuas hati dengan cara kepemimpinannya yang adil saksama.
Umar juga pemimpin yang membuktikan idea baru boleh melakar sejarah dengan syarat dilaksanakan sepenuh hati. Beliau juga memperkenalkan subsidi untuk kesejahteraan sosial serta memberitahu rakyat di bawah pemerintahannya mereka dan orang Arab sama.

Dia juga yang pertama menjadikan pengadilan sebagai badan bebas untuk menjamin keadilan hak setiap orang selain membuat peraturan tegas supaya dipatuhi pegawainya. Jika tidak, mereka bakal berdepan tindakan kerana setiap yang melanggar peraturan perlu mene-rima kesannya.

Sebagai pemimpin rakyat, kisah Umar yang membuat kawalan malam untuk melihat lebih dekat kehidupan rakyat sehingga kini menjadi kisah bualan. Malah, itulah contoh sentiasa diulang untuk membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan beliau.

Pastinya semua tahu kisah Amirul Mukminin yang mengambil sendiri gandum dari stor simpanan, memasak dan menyuapkan ke mulut anak kecil yang menangis kelaparan. Itulah jiwa pemimpin yang tidak akan rasa senang jika rakyatnya berdepan dengan masalah.
Membaca buku Umar bin Al-Khattab The Conqueror akan mencambah minat untuk mengenali pemimpin ini dengan lebih dekat dan mendalami daya pemikiran beliau.
Buku setebal 503 halaman boleh menjadi rujukan semua yang mungkin sedang mencari idola untuk dicontohi.

Penulisan gaya novel memudahkan pembaca menyelami serta merasai sendiri pengalaman seolah mereka turut serta mengembara bersama pemimpin agung ini.